Iklan

Selasa, 16 April 2013

ARTIKEL - AGRO - ‘Jutawan’ cili padi


‘Jutawan’ cili padi

Berbudi kepada tanah, pasti mendapat hasilnya dan ia dibuktikan Ammar Abd Aziz, 40, yang kini bergelar siswazah tani apabila mengusahakan projek penanaman cili padi di ladang berkeluasan 21 hektar.
Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Pelaburan, dia tidak kekok menjadi petani moden. 
Tanpa sebarang pengalaman, Ammar memberanikan diri mengusahakan projek tanaman cili padi secara ladang di Kampung Batu 3, Membau, Seremban dan Kampung Chembong Kechil, Rembau, Negeri Sembilan. 

Dengan bantuan tenaga kerja asing, dia boleh berbangga mengeluarkan cili padi segar untuk pasaran di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Dengan pendapatan lumayan itu, dia mampu memperuntukan RM15,000 sebulan bagi membayar gaji pekerja.

Ammar yang juga usahawan bimbingan Institut­ Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah ( PhD). 

Justeru, dia meminta bantuan dua sahabatnya memantau projek perladangan cili segar itu menggunakan teknologi telekomunikasi jarak jauh. 

“Walaupun mengambil PhD di University of Queensland Australia dalam bidang Perubahan Cuaca dan Kajian Pokok Bakau, saya masih mampu memantau tanaman cilinya dari jarak jauh,” katanya. 

Dia tidak menggunakan kedah penanaman cili padi segar secara fertigasi atau sistem sembur ‘sprinkler’, sebaliknya kaedah ‘drip tape’ iaitu pengairan titis. 

“Sistem pengairan renjis atau ‘sprinkler’ tidak praktikal kerana semburan tidak tepat kepada tanaman.

“Penggunaan sistem pe­ngairan titis dipraktikkan di ladang lebih menjimatkan malah terus meresap ke akar,” katanya. 

Usahanya itu berbaloi kerana dia kini siswazah tani Bumiputera terbesar menghasilkan tanaman cili padi. 

“Penanaman cili padi ini agak memenatkan kerana kaedah mengutip hasil dilakukan secara manual. 

“Bagi penghasilan sekilogram cili padi, pekerja perlu memetik 600 biji. 

“Justeru, saya perlu bijak menyusun pekerja bagi memastikan seorang pekerja mampu mengutip 30 hingga 40 kilogram cili padi sehari,” katanya. 

Dia berterima kasih kepada Jabatan Pertanian dan MARDI yang banyak membantu dalam usahanya menanam cili padi. 

Kini, Ammar menggunakan varieti cili padi Taiwan yang disemai di tapak semaian di ladang miliknya itu. 

“Cili padi ini boleh hidup sehingga lapan bulan dan hasilnya lebih lumayan. 

“Pokok ini akan disemai dalam rumah khas selama 32 hari dan selepas tiga bulan, 
ia mengeluarkan hasil,” katanya.

SUMBER - HM

ARTIKEL - AGRO - GENKiMO atasi kandang busuk


GENKiMO atasi kandang busuk

BAU ladang ternakan ayam, kambing dan lembu sering kali menjadi isu di kalangan penternak hingga keadaan itu mengundang kehadiran lalat.
Masalah bau busuk itu turut menghantui penduduk setempat sehingga menimbulkan konfrontasi berpanjangan. 
Biarpun penggunaan habuk kayu dapat mengurangkan bau busuk, sifat semula jadi bahan buangan haiwan itu tidak dapat dibasmi sepenuhnya. 

Justeru, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan teknologi GENKiMO iaitu produk bioteknologi menghasilkan mikro organisma probiotik sihat.

Produk dibangunkan melalui usaha sama dengan syarikat Dazzling Destiny Sdn Bhd di Hi-Tech 5, Semenyih Hi-Tech Industrial Park, Semenyih.

Ia dihasilkan melalui proses fermentasi dan pencirian secara semula jadi menggunakan bahan persekitaran tempatan sepenuhnya. 

Lima produk GENKiMO dibangunkan Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Ibu Pejabat MARDI, Dr. Ramli Mohd Noor itu adalah GENKiMO Flora, GENKiMO Fauna, GENKiMO Odor Removal, GENKiMO Composeed (Benih kompos) dan GENKiMO Bio (Aditif Makanan Ternakan). 

Beliau berkata, teknologi dibangunkan itu menggunakan dana TechnoFun (MOA) berjumlah RM1.5 juta. 

“GENKiMO mampu mengitar semula bahan-bahan tanaman hijau atau bahan sampingan agro-industri menjadi baja bio organik dan makanan ternakan. 

“Ia juga memaksimumkan pemuliharaan nutrien dalam bahan-bahan tempatan serta mengandungi mikroorganisma probiotik yang sihat. 

“Kosnya rendah, selamat, tahap aplikasi rendah dan mesra alam sekitar,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO meningkatkan kualiti, warna dan bau selain memendekkan tempoh pemeraman kepada 14 hari. 

“Ia juga mengatasi masalah ‘buffer’ yang sering timbul dengan penggunaan urea dalam pemprosesan silaj,” katanya. 

Beliau berkata, setiap daripada lima produk GENKiMO membantu petani mempertingkatkan pengeluaran di ladang ternakan. 

“Produk GENKiMO Odor Removal sesuai digunakan untuk mengatasi masalah bau busuk di sekitar kandang ternakan. 

“Kami melakukan testimoni di sebuah ladang ayam di Beranang dan hasilnya memang hebat kerana tiada bau dan bebas lalat,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO Bio (Aditif Makanan Ternakan) membantu meningkatkan prestasi serta kesihatan ternakan. 

Sebagai tambahan penternak boleh melakukan pemeraman bahan makanan bagi meningkatkan lagi kesannya. 

“Ia sesuai digunakan untuk ternakan lembu, ayam, itik dan kambing,” katanya. 

Katanya, cecair minuman GENKiMO Fauna dijadikan sebagai bahan alternatif pengganti antibiotik bagi mengurangkan stres pada ternakan dan mengurangkan kos rawatan dan ubat-ubatan. 

“Ia juga mengatasi masalah pencemaran bau busuk dan lalat pada ladang ternakan dan mengatasi masalah serangan kutu dan cacing. 

“Sukatan penggunaan dengan pencairan seliter Fauna bersamaan 1,000 liter air tanpa klorin,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO Flora menggalakkan percambahan dan tumbesaran tanaman, meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman dan meningkatkan jumlah hasil. 

“Ia meningkatkan daya ketahanan tumbuhan terhadap penyakit dan serangga, mampu menghasilkan baja bio organik dan memulih serta menambahbaik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah. 

“Kaedah penggunaan ialah seliter Flora bersamaan satu tan bahan kompos. Penggunaan semburan pada tumbuhan pula membabitkan nisbah 1:700. 

“Jika disembur pada pokok, tumbuhan itu lebih sihat dan cepat membesar,” katanya. 

Produk terakhir, GENKiMO Composeed memulihkan tanah dengan penggunaan 10 kilogram produk itu untuk sehektar tanah. 

Beliau berkata, semua produk GENKiMO dihasilkan menggunakan dua teknologi saranan MARDI seperti tangki fermentasi cecair dan ‘bioreaktor’ ciptaan tempatan. 

Teknologi GENKiMO yang menggunakan konsep ‘pengusaha sejahtera, masyarakat sekeliling sejahtera’ menerima Anugerah Emas Bio Malaysia dan pingat perak bagi Seoul International Invention Fair (SIIF) 2009. 

Bagi perancangan jangka panjang, produk itu akan dikembangkan untuk kegunaan rumah seperti bahan pengelap lantai, karpet dan pembersih bulu kucing.
SUMBER -HM

ARTIKEL - AGRO - Kacang panjang pulangan lumayan


Kacang panjang pulangan lumayan

Sekitar 2010, Ahajani Shaari, 43, bersama rakan sekampung menyertai Kumpulan Tani untuk mengusahakan pelbagai projek penanaman sayuran di tanah rizab padi.
Bagi mendapatkan bantuan, mereka kemudian menyertai Projek Ladang Kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 
Sejak itu, pelbagai projek penanaman sayuran termasuk cili, bendi, timun, jagung dan kacang panjang dilaksanakan secara bergilir-gilir di kalangan peserta di Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor. 

Ahajani berkata, dengan keluasan tanah 1.2 hektar persegi, dia mengusahakan projek penanaman timun dan kacang panjang secara berselang seli bagi menjamin kualiti sayur dihasilkan.

“Daripada jumlah tanah itu, 0.6 hektar diusahakan dengan timun dan bakinya dengan kacang panjang.

“Namun, modal diperlukan untuk menanam sayur jenis junjung agak tinggi kerana perlu menyediakan kos seperti penyediaan kayu junjung, tali dan dawai dengan anggaran RM10,000 untuk 0.6 hektar,” katanya. 

Menurutnya, FAMA bukan saja membeli hasil pertanian secara langsung, tapi turut menyediakan khidmat nasihat kepada peserta projek terbabit. 

“Kami juga dibantu Jabatan Pertanian. FAMA bertindak untuk memasarkan sayuran. Kami beruntung kerana FAMA menawarkan harga semasa dan membayar pada kadar sama jika harga­nya jatuh. 

“Itu konsep yang dipersetujui menerusi Ladang Kontrak, tapi FAMA akan membayar lebih tinggi jika harga di pasaran meningkat,” katanya. 

Menyentuh mengenai pemilihan dua sayuran diusahakannya, Ahajani yang pernah mengusahakan kantin dan pembekalan makanan asrama mengakui penanaman sayuran seperti itu dapat menjimatkan kos. 

“Biasanya selepas menanam timun, saya akan menanam kacang panjang. Saya mempraktikkan teknik penanaman dua sayuran itu kerana mahu menjimatkan kos. 

“Tali yang digunakan tidak perlu dibuang dan boleh digunakan semula untuk penanaman kacang panjang. Maknanya saya hanya perlu menunggu pokok lama kering sebelum digantikan de­ngan kacang panjang. 

“Biasanya kos upah pemasangan tali untuk 0.6 hektar sekitar RM700 hingga RM800. Jadi di situ saya sudah melakukan banyak penjimatan,” katanya yang turut mengutamakan penggunaan baja organik, selaras dengan konsep ‘natural farming’. 

Menurutnya, semua benih kacang panjang dan timun diimport dari luar negara, manakala pekerjanya pula kebanyakan daripada penduduk tempatan. 

“Kacang panjang mengeluarkan hasil selepas 45 hari ditanam di ladang. Setiap satu batas memerlukan 120 pokok dan bermakna kira-kira 12,000 pokok diperlukan untuk 0.6 hektar. 

“Jangka hayat pokok kacang kira-kira 40 hari, namun usianya boleh mencecah sehingga dua bulan,” kata­nya. 

Dianggarkan 400 hingga 500 kilogram kacang panjang dihasilkan dalam keluasan tanah 0.6 hektar. 

“Potensi penanaman sayur kacang sangat menguntungkan. Jika bergantung kepada pasaran pasar besar atau borong harganya mungkin di bawah kos. 

“Biasanya 10 bakul dapat dihasilkan untuk setiap kali tuaian di ladang. Berdasarkan perjanjian, separuh akan dijual kepada FAMA dan separuh lagi untuk pasaran tempatan,” katanya. 

Mengenai perancangan masa depan, katanya dia berharap dapat meluaskan lagi projek penanaman sayuran, sekali gus meningkatkan skala pengeluaran.

ARTIKEL - AGRO - Lintah mudah diternak


Lintah mudah diternak Jika diberi pilihan untuk memegang lintah, mungkin ramai kalangan kita cuba mengelak daripada mendekati haiwan berkenaan kerana rupa bentuknya yang berlendir, lembik dan licin. Sifat semula jadinya yang ditonjol­kan sebagai ‘drakula’ penghisap darah menyebabkan lintah sering dipandang sebagai spesies menakutkan terutama ketika berada di persekitaran habitat asalnya. Bagaimanapun, satu perkara jarang diketahui orang ramai ialah tabiat menghisap darah haiwan berkenaan, iaitu ketika tempoh mengawan tiba bagi kegunaan telurnya, manakala makanan utamanya adalah cacing dan lumut. Walaupun ia haiwan penghisap darah yang ditakuti keba­nyakan orang, khasiatnya dalam dunia perubatan tidak boleh disangkal, malah terbukti berupaya untuk menyelesaikan masalah berkaitan pengaliran darah. LINTAH mempunyai nilai tinggi dalam dunia perubatan. Kandungan ‘hirudin’ di dalam lintah adalah bahan yang sangat berkesan bagi mencegah pembekuan darah, manakala ‘histamine’ padanya pula dapat mengembangkan saluran kapilari darah. Dalam dunia perubatan, air liur lintah mengandungi bahan bius, bahan anti pembekuan dan bahan antibiotik yang berkesan. Khasiatnya terbukti dalam menggalakkan peredaran darah danmenghalang pembekuan darah, selain banyak digunakan dalam pembedahan mikro (kecil) seperti dalam kes penyambungan anggota badan. Tidak hairanlah negara dari Eropah termasuk Amerika Syarikat sudah lama mempraktikkan penggunaan lintah dalam dunia perubatan, industri herba, farmaseutikal, kosmetik dan industri bedah. Lintah atau ‘Hirudo medicinalis’ adalah spesies haiwan inverterbrata (haiwan tidak bertulang dan berkaki) mempunyai saiz badan yang pelbagai iaitu lima milimeter (mm) hingga 450 mm apabila memanjang. Badan lintah adalah leper dan mempunyai dua penghisap di kedua-dua hujung badannya dengan saiz penghisap hadapan lebih kecil dari penghisap belakang. Unik­nya spesies berkenaan ialah ia sejenis haiwan ‘hermapordit’ kerana mempunyai kemaluan jantan dan betina di dalam satu badan, namun masih memerlukan pasangan untuk mengawan. Kedua-dua pasangan lintah akan menyalurkan sperma ke badan pasangan manakala telurnya yang berada di dalam kokun (kelongsong) akan melekat di bawah rekahan tanah atau pokok kiambang. Kokun yang mengandungi nutrien untuk menelurkan anak lintah sebenarnya terhasil daripada sejenis cecair pekat dikeluarkan haiwan itu menerusi bahagian badannya dikenali sebagai klitelum. Ia tahan dengan keadaan persekitaran yang ekstrem, dengan setiap satu kokun boleh menempatkan lebih 20 ekor anak lintah. Bagi masyarakat Melayu, lintah sudah lama digunakan untuk tujuan perubatan, malah penduduk di kawasan desa dan perkampungan pernah menjadikannya sebagai bahan pengubat luka. Dalam mengubat luka caranya sangat mudah iaitu hanya menyapu tempat luka dengan lendir lintah. Malah, ia juga sangat berkesan bagi merawat penyakit kudis buta. Oleh itu, tidak keterlaluan untuk me­ngatakan pengubatan secara tradisional masyarakat Melayu satu ketika dahulu seakan-akan sama dengan rawatan perubatan yang dipelopori Barat, cuma ka­edahnya berbeza. Keberkesanan penggunaan lintah dalam bidang perubatan yang sudah dibuktikan di peringkat global itu menyebabkan haiwan berkenaan diternak secara besar-besaran bagi tujuan komersial. Di negara ini, ia dipelopori Art Soulist Holdings Sdn Bhd (Artsoulist) menerusi pembangunan dan penyelidikan (R&D) dilaksanakan semenjak 1995. Pembabitan pihak terbabit bagaimanapun bermula dari bawah, bermula dengan modal jualan minyak lintah sebanyak 40 botol kepada pelanggan sekitar Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, seterusnya berkembang hingga terbinanya sebuah kilang dengan pelaburan RM1 juta. Tambahan pula, selepas mendapat inspirasi daripada Kementerian Kesihatan, Pengarah Urusannya, Zamri Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif Syed Osman Ismail tidak teragak-agak lagi untuk mengembangkan perniagaan kepada skala lebih besar. Zamri berkata, keistimewaan terdapat pada lintah seperti mudah diternak menjadi antara faktor pihaknya memilih haiwan berkenaan untuk dikomersilkan. “Dilihat kepada potensinya, lintah boleh diusahakan secara komersial. Dalam pasaran negara, ba­nyak syarikat mengeluarkan produk berasaskan gamat, madu dan Tongkat Ali. “Jadi mengapa tidak kami menerokai spesies haiwan itu yang banyak terdapat di negara ini, terutama khasiatnya kepada golongan lelaki,” katanya. Sejak dahulu hing­ga kini, minyak lintah sudah dikenali masya­rakat dan dari situ juga bermulanya langkah pertama pihak terbabit untuk mengembangkan industri penternakan lintah di dalam negara. Tanpa menoleh ke belakang, dua sahabat terbabit memulakan penternakan lintah secara lebih serius pada 1998 dan menghasilkan minyak lintah yang menjadi bahan komoditi baik bagi industri farmaseutikal. Zamri berkata, me­ngikut kitab lama ‘Tajul Muluk’, lintah memang digunakan untuk kesihatan lelaki dan ia disokong de­ngan empat elemen penting pada haiwan itu seperti hirudin, pheromone, histamin dan nitrat oksida. “Barat gunakan lintah untuk tujuan perubatan. Jika berlaku kemalangan, lendir lintah akan digunakan. “Enzim lintah ini akan disapukan pada bahagian luka kerana berperanan sebagai pembekuan darah, sekali gus menghentikan pengaliran darah berterusan. “Sebagai contoh enzim lintah dapat menyambung balik bahagian organ seperti telinga yang terputus, manakala dari segi kosmetik, lintah digunakan untuk rawatan masalah kulit,” katanya. Kini lintah diternak di beberapa kawasan di Terengganu, Perak dan Kedah menerusi pembekal utama yang dilantik Artsoulist bagi memenuhi keperluan penghasilan produk syarikat di Ajil. “Ketika mula diperkenalkan, lintah banyak di­usahakan, namun sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyebabkan ia dijadikan sebagai medium kepada skim cepat kaya hingga berkubur seketika. “Dari situ kami menghentikan penternakan lintah sebelum memilih lebih 10 pembekal bagi memenuhi keperluan. Lebih penting harganya kini dijual sekali ganda daripada RM60 kepada RM120 sekilogram,” katanya. Berkongsi pengalaman mengenai penternakan lintah katanya, ada tiga jenis lintah yang diternak di negara ini membabitkan spesies tiger, brown dan hijau, dengan lintah Asia mempunyai nilai perubatan paling tinggi di seluruh dunia. Menurutnya, haiwan itu mempunyai 650 gigi halus serta tiga bahagian rahang untuk mencangkuk dan mengeluarkan enzim bagi mencairkan darah sebelum mengeluarkan sejenis lagi bahan kimia untuk menghentikan darah sebaik ia kenyang. Katanya, tempoh matang bagi induk adalah selama enam bulan dan haiwan itu mampu hidup sehingga tiga tahun bergantung kepada cara ternakan yang dijalankan penternak. “Lintah mudah diternak kerana hidup di persekitaran habitat semula jadi. Kita hanya perlu memindahkannya dari tempat asal ke kolam baru dengan menjaga air dan keasidan tanah (pH). “Setiap satu kilogram lintah mengandungi kira-kira 100 ekor dan kualitinya akan diperiksa sebelum diasingkan bagi proses pengekstrakan,” katanya. Beliau berkata, teknologi pengekstrakan yang digunakan membabitkan beberapa kaedah iaitu dengan menggunakan pelarut, perahan atau teknik penyulingan bagi mendapatkan hasil diingini. Katanya, bagi mendapatkan ekstrak lintah, proses pengekstrakan dijalankan terhadap lintah yang berkualiti sebelum menghasilkan dua jenis produk akhir iaitu bentuk cecair ataupun minyak. Menerusi ekstrak minyak lintah, katanya Artsoulist berjaya mengeluarkan 20 jenis produk kesihatan berkaitan lelaki termasuk produk paling utama atas jenama Minyak Lintah Tapa. “Kira-kira 10,000 hingga 20,000 botol minyak lintah dikeluarkan syarikat dalam tempoh sebulan bagi bekalan tempatan seperti edaran runcit, farmasi, kedai kosmetik dan jamu. “Selain itu, kira-kira 4,000 botol minyak lintah lagi diedarkan ke luar negara selepas mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) dan diyakini selamat lagi berkesan,” katanya. SUMBER - http://www.hmetro.com.my/articles/Lintahmudahditernak/Article

Khamis, 4 April 2013

ARTIKEL - MENARIK - SEJARAH - RAJA HONDA MALAYSIA - LOH BOON SIEW

Tan Sri Dato' Loh Boon Siew 1915-1995 (bahasa Cina: Tulisan Cina Tradisional 駱文秀/Tulisan Cina Ringkas 骆文秀) juga dikenali sebagai “Mr Honda” merupakan jutawan Pulau Pinang dan pengasas Boon Siew Honda. Loh dilahirkan di Hui-An, Daerah Fujian, China. Dia menghabiskan zaman kanak-kanaknya mengumpul najis vavi (sebagai bahan bakar) untuk mendapatkan duit. Ketika berusia 12 tahun, dia tiba di Pulau Pinang dalam sebuah bot kecil dari China. Dia hanya mampu bertutur dalam bahasa Hokkien dan hampir tiada pendidikan rasmi. Dia bekerja sebagai pelatih mekhanik kereta (3 ringgit sebulan) ketika baru tiba. Dia tinggal dalam kuarters pekerja ‘kolie keng’ di 4, Katz Street, Pulau Pinang dan dia menambah pendapatan dengan mengambil upah membasuh bas dengan bayaran 10 sen setiap buah. Boon Siew (kiri) & Honda punya founder Soichiro Honda Ketika berusia 18 tahun, Loh membeli 11 unit bas pertamanya dengan menggunakan simpanan 2,000 ringgit. Dia membaiki bas tersebut dan menjualnya dengan harga 12,000 ringgit. Kemudiannya dia membeli 39 unit bas yang lain. Pada tahun 1942, kesemua wang hasil keringatnya dirampas oleh tentera penjajah Jepun semasa Perang Dunia II. Tetapi Loh tidak berputus asa, selepas 1945 setelah Jepun kalah, dia mula menjual basikal dan peralatan motorsikal, kemudian dia mengembangkan perniagaannya untuk menjual kereta terpakai, pengangkutan dan juga (sekali lagi) bas. Pada tahun 1950-an, Loh membuat langkah pertama dalam pembangunan harta tanah dengan membina vila di Taman Saw Kit dan Jalan Loh Boon Siew di Pulau Pinang. HONDA CUB Pada tahun 1958, ketika bercuti di metropolitan Jepun, Loh perasan popular meluas motosikal Honda Super Cub. Dia percaya bahawa mesin berkos rendah, amat berkesan akan mendapat pasaran yang meluas dalam kawasan yang semakin maju di Malaysia. Loh mengatur perjumpaan dengan Mr. Soichiro Honda, pencipta motosikal itu, yang dengan cepat menyedari potensi besar bagi kejayaan subsidiari Honda di Malaysia. Tidak menghairankan, bilik pameran Honda Malaysia terletak di Jalan Pitt, Pulau Pinang, berhampiran dengan rumah Boon Siew. Sebagai tanda ikatan kepercayaan dan hormat yang semakin mendalam, Japanese Honda Motor Co Ltd kemudian melantik Boon Siew pengedar tunggal motorsikal Honda dinegara ini pada ketika 50 unit Honda 4-stroke cub dibawa masuk ke Malaysia dalam sejarah. Beberapa tahun kemudian kilang dibuka di Pulau Pinang bagi memasang Honda Cub dan motorsikal Honda telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda. Honda Cub menjadi motorsikal paling laris di Malaysia dan Loh Boon Siew sebagai orang pertama membawa masuk motorsikal Honda Cub ke Asia Tenggara. Perkataan Kapcai berasal dari Honda Cub yang bererti motorsikal kecil di Malaysia. SUMBANGAN Dia turut memainkan peranan dalam gabungan singkat antara Kwong Wah Yit Poh dan The Star (Malaysia) pada 1974, dan antara jasa baiknya merupakan penubuhan Hospital Lam Wah Ee dan Rumah Orang Tua Pulau Pinang - (Penang Old Folks Home). Boon Siew, yang mempunyai dua isteri, Oh Guat Sim dan Ong Lay Wah, meninggal ketika tidur ketika berusia 79 pada 16 Februari 1995. Dia meninggalkan lima anak dan 18 cucu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya