Iklan

Rabu, 2 Mac 2011

Sempoi La Main Paintball Camni...

Paintball pertama dalam cahaya UV


Pengalaman yang diraih sebelum ini memberi kelebihan kepada A.C.E menjadi juara dalam Energizer Night Strike di Xtion Paintball yang dianjurkan baru-baru ini.


SIAPA sangka, permainan paintball yang pada asalnya dimainkan dua sahabat di hutan Henniker, New Hampshire, Amerika Syarikat pada tahun 1950-an kini mempunyai kira-kira 12 juta peminatnya di seantero dunia. Populariti paintball dikatakan setara dengan sukan futsal.

Di Malaysia, sukan itu mula dimainkan secara meluas pada tahun 1999. Mungkin ramai tidak mengetahui sebenarnya Malaysia adalah pusat paintball terbesar di Asia.

Sejajar dengan perkembangannya, baru-baru ini pihak Energizer Malaysia Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menganjurkan Energizer Night Strike di Xtion Paintball, Bukit Jalil yang telah pun mencipta sejarahnya tersendiri.

Bermain guna cahaya UV

Acara itu diiktiraf sebagai pertandingan paintball waktu malam yang menggunakan cahaya ultraviolet (UV) pertama di Asia Pasifik oleh Paintball Asia League Series (PALS). Permainan itu menampilkan pusingan ‘speedball’ tujuh minit yang mempunyai senario menawan bendera.

Ia dimainkan dalam keadaan gelap dan hanya diterangi oleh cahaya UV dan bebola cat berwarna pendarfluor untuk melengkapkan imej jenama baru Energizer, iaitu Energy Beam.

“Energizer Night Strike merupakan salah satu contoh bagaimana Energizer membawakan keseronokan jenama kami melalui acara sebegini yang boleh dialami sendiri secara realiti oleh pengguna kami,” kata Pengurus Jenama bagi Energizer, Joshua Leong.

Selama tiga hari berturut-turut, pancaran cahaya dan bebola cat pendarfluor jingga yang ditembak oleh para peserta sepanjang malam berserta bunyi helikopter dan letusan senjata telah menggamatkan Bukit Jalil.

Sebanyak 19 pasukan mengambil bahagian dengan 85 pusingan permainan yang kesemuanya dijalankan pada waktu malam.

Antara pasukan yang mengambil bahagian seperti A.C.E, Pro-Ops, Marauders, TMS, Orale Canale, Black Cell dan Double R termasuk dua pasukan daripada Energizer Malaysia.

Pasukan A.C.E. dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000. Sementara pasukan Double R meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Black Cell dengan wang tunai sebanyak RM5,000.

Kejutan pasukan amatur

Seperti yang dijangkakan, pasukan-pasukan berpengalaman seperti A.C.E sememangnya mempunyai banyak kelebihan. Namun suasana kelam dan cahaya neon di arena pertempuran turut memberi kelebihan kepada para peserta amatur yang berjaya mencatat jumlah tembakan mengenai sasaran yang memberangsangkan.

Sebagai contoh, walaupun pasukan profesional Black Cell yang cukup berpengalaman namun, mereka kalah mengejut dengan pasukan amatur, Double R.


SETIAP pemain harus bijak mengatur strategi melumpuhkan lawan apabila berada di kawasan yang gelap.


“Medan pertempuran sememangnya seimbang bagi semua pasukan. Tapi persekitaran permainan yang agak gelap ditambah bilangan bebola cat terhad yang boleh digunakan oleh setiap pemain dalam setiap pusingan.

“Ini memberikan peluang kepada pasukan yang kurang berpengalaman untuk mencatat kemenangan,” kata salah seorang ahli pasukan Black Cell, Nicholas Wong.

Bagaimanapun Nicholas mencuri tumpuan ramai dalam permainan itu. Dia telah memasuki medan pertempuran dengan memakai satu sut samaran ghillie lengkap, menjadikan beliau hampir tidak kelihatan apabila meniarap di atas tanah.

Taktik tersebut ternyata berhasil apabila dia berjaya mengetepikan empat orang lawan dalam satu pusingan dan berjaya menggondol gelaran Best Camouflage.

Dalam pada itu, Suhaila Shardi yang merupakan satu-satunya pemain paintball wanita dalam pasukan TMS, muncul sebagai pemain pertama berjaya menawan kubu lawan dalam pusingan awal pada malam pertama.

Dengan mempamerkan ketangkasan dan semangat juang yang mengagumkan, dia berjaya menyelinap masuk jauh ke dalam kawasan pihak lawan dan menyalakan bateri AA Energizer gergasi, menandakan kejayaan mencapai kemenangan.

Mengulas lanjut, Pengurus Besar Napshot, Energizer Night Strike, Kevin Wong berkata, pertandingan itu merupakan satu acara yang sungguh baik untuk industri paintball tempatan, terutamanya bagi membangkitkan rasa minat terhadap sukan tersebut.

“Acara sebegini mungkin bakal menjadi suatu fenomena baru dalam sukan paintball yang pastinya akan menarik minat lebih ramai untuk menyertai permainan tersebut,” tambah beliau.

Sumber:Akhbar Tempatan.

Bodyguard Pompuan Joeee....

Gaddafi dan 40 pengawal wanita


GADDAFI sentiasa ditemani pengawal peribadi wanita tidak kira siang mahupun malam.


PADA Jun 2009, pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tiba di Rom, Itali dengan 300 ahli rombongan. Mereka menggunakan tiga buah pesawat Airbus.

Seperti kebiasaan apabila melakukan lawatan ke luar negara, Gaddafi akan membawa bersama khemah gergasi Badwi yang didirikan di tengah-tengah bandar.

Beliau lebih suka tidur bahkan bertemu pemimpin negara asing di khemah itu berbanding hotel mewah.

Pada tahun 2007, Gaddafi bukan sahaja memacakkan khemah di kawasan lapang sebuah hotel lima bintang di Paris malah mempamerkan untanya di situ.

Senarai sisi eksentrik Gaddafi seperti yang dilaporkan akhbar Britain, Daily Mail termasuklah tindakannya membawa unta gurun Sahara sebagai sebahagian daripada rombongan pengiringnya semasa beliau melawat Perancis.

Gaddafi memerlukan lima buah kapal terbang untuk mengangkut semua ahli rombongannya.

Gaddafi memacakkan khemahnya di estet milik jutawan Amerika, Donald Trump di New York semasa menghadiri Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2009. Gaddafi mengembara dengan membawa khemah bagi menonjolkan asal-usul Badwi.

Masyarakat Badwi merupakan kumpulan puak yang tinggal di kawasan padang pasir di Afrika.

Khemah

Apabila mereka berkelana merentas padang pasir, mereka akan mendirikan khemah bagi bermalam atau berlindung daripada cuaca buruk termasuk ribut pasir.

Kain khemah itu biasanya diperbuat daripada bulu biri-biri yang ditenun dengan tangan.

Dengan memakai gel dan rambut yang diwarnakan semasa tiba di Itali dua tahun lalu, Kolonel itu disifatkan media Barat mirip gaya Raja Pop, Michael Jackson.

Di tengah dadanya tersemat sekeping gambar pemimpin pemberontak Libya yang telah dihukum gantung oleh penjajah Itali pada tahun 1931. Beliau diberi sambutan negara oleh Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

Pakaian Gaddafi sememangnya sering menarik perhatian. Beliau gemar memakai jubah yang panjang berjela dan mengenakan cermin mata seperti seorang juruterbang.

Beliau yang memakai topi tentera, kelip merah dan pakaian lengkap seorang kolonel tentera masih mencuri tumpuan.

Namun, pasukan pengawal peribadi Gaddafi, kini berusia 68 tahun, lebih memukau. Mereka memakai uniform khaki dan beret merah sambil menggalas senapang Kalashnikov buatan Rusia.


GAYA Gaddafi tidak banyak berubah sejak berkuasa lebih 40 tahun lalu.


Kira-kira 42 tahun lalu, Gaddafi menggulingkan raja terakhir Libya, Raja Idris atas nama revolusi Islam. Beliau juga mengisytiharkan dirinya sebagai pelopor sosialisme Islam.

Bagaimanapun, pengawal peribadi wanitanya itu tidak menyorokkan wajah mereka di sebalik burqa.

Menurut Gaddafi, mereka adalah simbol kepercayaannya pada emansipasi wanita.

"Wanita patut dilatih untuk berlawan, jadi mereka tidak mudah dipermainkan oleh musuh," kata Gaddafi.

Raja Afrika

Semua wanita itu dikatakan telah mengangkat sumpah taat setia kepada Gaddafi dan sanggup menyerahkan seluruh hidup mereka untuk lelaki itu.

Ternyata, dikatakan tiada seorang pun daripada mereka pernah meninggalkan Gaddafi baik siang mahupun malam.

Gaddafi juga menegaskan semua pengawalnya masih dara iaitu syarat wajib sebelum dibenarkan bertugas dalam pasukan elit itu.

Malah, pekerjaan yang dianggap berprestij itu sentiasa menjadi buruan wanita Libya.

Mereka dilatih di sebuah kolej khas dan mengikuti program fizikal yang lasak.

Mereka dilatih untuk menjadi pembunuh, pakar senjata api dan mahir dalam seni mempertahankan diri.

Gaddafi akan membuat sendiri pemilihan terakhir, namun ada khabar angin kononnya pengawal peribadi itu turut dikehendaki melayan kehendak seksual Gaddafi.

Wanita-wanita itu memakai lipstik, barang kemas, kuku yang dikilatkan bahkan kasut tumit tinggi tetapi ketangkasan mereka telah diuji berulang kali.

Pada tahun 1998, salah seorang daripada mereka terbunuh dan tujuh yang lain cedera selepas kumpulan fundamental Islam di Libya menyerang kenderaan Gaddafi.

Gadis yang mati itu dikatakan merupakan pengawal kesukaan Gaddafi. Dia 'menerbangkan' dirinya untuk melindungi tubuh Gaddafi.

Dia rela mati ditembusi peluru berbanding membiarkan peluru itu mengenai tuannya.

Kehebatan Gaddafi adakalanya dipuji lawan dan kawan. Malah, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Gaddafi, yang pernah dianggap oleh Barat sebagai bapa keganasan dan lelaki di sebalik pengeboman Lockerbie pada tahun 1988, diberi layanan istimewa oleh Berlusconi.


SUASANA lapangan terbang di Tripoli minggu ini yang menyaksikan ramai rakyat asing meninggalkan Libya berikutan pergolakan anti-Gaddafi.


Sebenarnya, tidak ramai pemimpin dunia seperti Gaddafi mengekalkan kuasa dan mengharungi pelbagai tekanan sepanjang 40 tahun pemerintahannya.

Beliau menulis sendiri buku Green Book yang memaparkan pandangan politik dan teori sosialnya.

Apabila beliau berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan.

Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam.

Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung.

Kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika. Dua tahun lalu, Gaddafi menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen 'Penyatuan Afrika' Gaddafi.

"Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika," beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni.

Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar 'Raja Segala Raja' di Afrika. - Agensi

Katakan Ya..kepada Yakult...

Rutin wanita pengedar Yakult




Di luar, orang ramai sudah berpusu-pusu menuju ke stesen Transit Aliran Panta (MRT) untuk ke tempat kerja masing-masing. Rentak kehidupan di kota termoden di dunia ini menuntut mereka bergerak pantas demi mencari rezeki sesuap nasi.

Dalam kesibukan pagi itu juga, sekumpulan Wanita Yakult bersedia melunaskan tanggungjawab menghantar dan menjual minuman probiotik itu kepada pelanggan di sekitar Shin-torigoe Centre, yang menempatkan kilang Yakult.

Sekitar pukul 8 pagi, pejabat Yakult di situ akan dimasuki sekumpulan pekerja wanita beruniform putih, bertali leher dan sut biru pekat bercorak petak serta skirt atau seluar panjang biru gelap polos.

Di pintu masuk pejabat tersebut, tersusun basikal dan troli kecil yang akan digunakan oleh para pekerja itu untuk menghantar minuman kesihatan.

Sebahagian besar pekerja ini merupakan suri rumah dan mereka perlu mengayuh basikal atau menolak troli sejauh beberapa kilometer untuk menghantar produk terbabit.

Tanpa menghiraukan kehadiran 12 wakil media Malaysia, pekerja-pekerja itu tekun memeriksa senarai dan jenis barangan yang ditempah pelanggan.

Sebelum beredar dengan kenderaan masing-masing ke kawasan yang telah ditetapkan, mereka terlebih dahulu mendengar taklimat dan membaca ikrar yang diketuai oleh seorang pengurus.

Keiko Suzuki, 31, merupakan salah seorang daripada 42,802 Wanita Yakult yang terdapat di seluruh Jepun.

Menurut Keiko, perkara pertama yang difikirkannya ialah memastikan produk tersebut sampai dalam keadaan baik ke tangan pengguna.

Bekas penyejuk

"Minuman ini perlu disimpan di dalam bekas penyejuk pada suhu 10 darjah Celcius supaya kualitinya terjamin," kata Keiko yang melakukan rutin tersebut sejak 11 bulan yang lalu.

Pada hari tersebut, penulis dan seorang lagi wakil akhbar dari Malaysia berpeluang menyaksikan Keiko menyelesaikan kerjanya. Dia sekadar menolak sebuah troli bertayar empat yang penuh dengan produk Yakult.


LEBIH 42,000 orang wanita terlibat dalam khidmat penghantaran dan jualan Yakult di seluruh Jepun.


Sekali pandang, gayanya seperti pramugari menolak troli makanan di celah-celah tempat duduk penumpang di dalam kapal terbang.

Sambil ditemani Pengurus Jualan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. yang turut bertindak sebagai penterjemah, Minoru Osada, kami melewati lorong ke lorong di kawasan kediaman dan pejabat untuk menghantar tempahan pelanggan selain menjualnya kepada orang ramai yang ditemui di sepanjang perjalanan.

Keiko memberitahu, rutinnya bermula seawal pukul 6.30 pagi. Sejurus menghantar anaknya ke pusat asuhan yang disediakan oleh majikannya berhampiran tempat kerja, Keiko bergegas ke pejabat Yakult.

Menceritakan pembabitan sebagai Wanita Yakult, segala-galanya bermula dengan satu kempen pengambilan suri rumah oleh syarikat tersebut. Pada masa itu, wakil syarikat tersebut bergerak dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain bagi memberi penerangan.

Dimarahi pelanggan

Keiko tertarik untuk menyertai syarikat tersebut kerana masa bekerjanya yang singkat iaitu lima jam sahaja sehari dan lima hari seminggu.

"Lazimnya, saya diberi cuti rehat pada hujung minggu. Lagipun selepas melahirkan anak sulung, saya memerlukan lebih banyak masa bersama keluarga," kata Keiko yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat yang menjual pakaian.

Isteri kepada kepada seorang peniaga restoran itu mengakui dia cukup serasi dengan kerjaya tersebut.

Kerjaya baru itu banyak membantunya meningkatkan keyakinan diri ketika berkomunikasi selain dapat bertemu dengan orang ramai saban hari.

Bahkan katanya, mengedar produk itu juga bukan sesuatu yang sukar kerana jenama Yakult sudah bertapak kukuh di Jepun sejak 76 tahun lalu.

Cuma, ujarnya, faktor cuaca adakalanya mempengaruhi kuantiti tempahan.


KEIKO (kiri) terserempak dengan pengasuh anaknya ketika dia bertugas.


"Apabila ada promosi minuman terbaru dalam pasaran, saya akan berikan pelanggan sampel minuman untuk dicuba.

"Dari situ mereka akan jadi pelanggan saya," kata Keiko yang sudah terbiasa dengan jenama tersebut sejak kecil.

Bagaimanapun, dia bukanlah pengamal tegar minuman kesihatan tersebut. Pada zaman remajanya, dia hanya menikmati minuman tersebut sekali-sekala yang diselang-seli dengan pengambilan yogurt.

Bagaimanapun, masalah sembelit yang dialaminya ketika hamil berjaya mengubah persepsinya terhadap minuman probiotik itu.

Selepas Yakult berjaya membantu menangani sembelit yang dialaminya, Keiko yakin bahawa minuman itu perlu diamalkan secara berterusan.

"Saya akan minum sebotol Yakult setiap pagi," kata Keiko menceritakan amalannya.

Namun, kerjaya sebagai Wanita Yakult juga ada cabarannya. "Saya berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan.

"Adakalanya dimarahi pelanggan tetapi saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada asam garam kehidupan," kata Keiko yang peramah dan berwajah manis.

Dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir dan tutur kata yang sopan, Keiko bijak memikat pelanggan.

Namun, meskipun sudah biasa dengan pelanggan tetapnya, Keiko tetap mematuhi etika sebagai seorang jurujual. Dia tidak akan memasuki premis pelanggannya sesuka hati.

"Ohayou gozaimasu, saya Keiko, dari Yakult menghantar minuman puan," begitulah sapaan Keiko sebaik sahaja beliau menekan loceng rumah atau pejabat pelanggan.

Hampir setahun menjadi Wanita Yakult, Keiko ternyata puas dengan kerjayanya itu.

"Saya bangga menjadi wanita Yakult kerana selain dapat memasarkan minuman kesihatan ini, saya juga dapat menyebarkan manfaatnya kepada orang ramai," luah wanita yang berasal dari Taiti-ku, Tokyo itu.

Kaedah penghantaran produk dari rumah ke rumah menerusi sistem Wanita Yakult diwujudkan oleh Kumpulan Yakult sejak tahun 1963.

Ia sebahagian daripada pelan perniagaan Yakult mengikut falsafah Shirota-isme yang diperkenalkan oleh Dr. Shirota.

Shirota merupakan individu pertama di dunia yang berjaya mengkultur bakteria asid laktik yang bermanfaat untuk manusia.

Komisen

Beliaulah yang memperkenalkan Yakult di pasaran seawal tahun 1935 selepas melakukan penyelidikan yang panjang.

Sehingga bulan Oktober 2010, Yakult berjaya merekrut seramai 81,788 orang Wanita Yakult di 15 buah negara.

Di Jepun, terdapat 42,802 Wanita Yakult yang menyumbang kepada jualan sebanyak lima juta botol sehari.


BEKAS penyejuk digunakan untuk memastikan kualiti produk yang dihantar terjamin.


Seorang pelanggan tetap Keiko, Oiwa Tonoko, 38, berkata Yakult yang diperkenalkan oleh Keiko kepada keluarganya tepat pada masanya.

Tonoko yakin pada khasiat minuman itu selepas anaknya yang mengalami cirit-birit pulih setelah minum Yakult.

Jika sebelum ini dia akan ke pasar raya untuk membeli produk tersebut, dengan adanya perkhidmatan penghantaran terus ke rumah, Tonoko tidak lagi perlu bersusah-payah pergi ke pasar raya.

"Khidmat penghantaran ini memudahkan saya yang sibuk bekerja selain memastikan stok Yakult sentiasa ada di rumah.

"Lagipun tiada caj tambahan dikenakan," kata Tonoko yang menggalakkan keluarganya minum minuman tersebut sejak lima bulan lalu.

Hampir dua jam bersama Keiko, kami meninggalkannya meneruskan tugas tanpa gangguan. Terbukti kerjaya sebagai Wanita Yakult memberi satu persepsi berbeza.

Yakult bukan sekadar mempromosikan produk minuman kesihatan, bahkan ia juga melatih ramai suri rumah untuk berdikari dan yakin diri tanpa perlu mengorbankan masa berkualiti bersama keluarga.

"Wanita Yakult akan diberi latihan pemasaran dan teknik melayan pelanggan kira-kira dua minggu sebelum mereka melakukan khidmat penghantaran ini," kata Presiden Jualan Cawangan Sentral Tokyo, Hideo Mase.

Secara purata, Wanita Yakult menerima komisen sebanyak 110, 000 yen (RM4,400) sebulan bergantung kepada pesanan dan jumlah jualan mereka.

Lebih istimewa, kata Mase, Yakult melatih dan memberi ruang pekerjaan kepada wanita yang berumur antara 21 hingga 75 tahun.

Sumber:Akhbar Tempatan.

Shisha..Hisap Jangan Tak Hisap...

Tarikan sedutan shisha




HANYUT dalam kelembutan irama ghazal yang bertambah rancak, para pengunjung berketurunan Arab semakin asyik menghisap paip panjang yang disaluti aksesori seakan-akan ekor unta itu.

Selang beberapa saat kemudian, kepulan tebal asap dengan aroma Salom dihembus perlahan-lahan melalui mulut dan hidung.

Dengan mata yang masih tertutup, kaki yang dihentak perlahan mengikut alunan muzik ala padang pasir cukup untuk memberitahu keasyikan penggemar shisha menikmati santapan harum tersebut.

"Untuk mendapatkan nikmat menghisap shisha, anda perlu tahu teknik yang betul. Jika tidak, anda akan mudah terbatuk," ujar seorang pengunjung warga Tunisia, Suleiman Chalgoumi, 35, kepada Jurnal.

Dia sering berkunjung ke negara ini atas urusan perniagaan selain menziarahi keluarganya. Jurutera elektrik ini tidak akan melepaskan peluang untuk bertandang ke Sahara Tent, sebuah restoran milik warga Iraq yang menyajikan masakan Arab di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


BEKAS shisha dari Arab Saudi dan UAE dikatakan yang terbaik.


Kemestian

"Dalam setahun, sekali atau dua kali saya akan ke Malaysia. Jika dulu agak sukar untuk jumpa kedai yang jual shisha, tetapi sekarang ia ada di mana-mana," katanya.

Seperti Suleiman, ribuan pengunjung, ekspatriat mahupun pelajar dari Timur Tengah menjadikan malam hujung minggu sebagai masa untuk berkumpul dengan rakan-rakan sambil menghisap shisha.

Lokasi pilihan mereka sudah tentu restoran yang menyajikan hidangan timur tengah di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

"Menghisap shisha bersama rakan-rakan sambil menikmati kehidupan malam di Kuala Lumpur sudah menjadi rutin mingguan kami.

"Selain berjumpa dengan kawan-kawan, menghisap shisha juga mengingatkan saya kepada keluarga di Istanbul, Turki.

"Shisha adalah trend yang sangat digemari di negara saya. Malah, setiap petang pada musim sejuk, kami akan pergi ke kedai-kedai kopi untuk menghisap shisha," ujar Emre Ozal, 45.

Menggemari perisa Salom dan Zaghol kerana rasanya yang lebih 'keras', warga Turki ini sedar tentang bahaya tembakau shisha yang dihisapnya, namun itu tidak menghalang minatnya terhadap shisha.

"Di Turki, kami menyebut shisha sebagai nargile. Ramai berpendapat menghisap shisha boleh memberi kelegaan, terutama selepas penat bekerja.

"Malah, sudah jadi kebiasaan bagi sebilangan besar warga Turki untuk menghisap shisha sebelum pulang ke rumah," katanya yang menganggap shisha sebagai pencuci mulut selepas menikmati hidangan berat khususnya makanan yang berempah.

Budaya menghisap rokok tradisional yang berasal dari Gujerat dan Rajastan, India ini lebih sinonim dengan dunia Arab.

Dikenali dengan pelbagai nama seperti hookah, narghile atau gaylan, populariti shisha terus berkembang ke seluruh dunia.

Dari Afrika, Eropah hingga ke Asia, shisha sudah menjadi suatu hobi yang tidak sukar untuk ditemui apatah lagi jika negara itu mempunyai komuniti yang berasal dari Asia Barat.


SAHARA Tent di Bukit Bintang merupakan restoran Arab yang menjadi tumpuan penggemar shisha.


Penarik

Seperti di Malaysia sendiri, gelagat anak-anak muda, tidak kira lelaki mahupun perempuan, menghisap shisha bukan lagi asing khasnya di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang.

Menurut penyelia di Sahara Tent, Rafiquel, 38, lebih 50 peratus pelanggan yang memesan shisha terdiri daripada rakyat tempatan.

"Ketika restoran ini dibuka sembilan tahun lalu, kami turut memperkenalkan shisha dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Dengan harga RM20 untuk satu sisha, kami boleh menjual hingga 100 shisha sehari.

"Ini menunjukkan orang Malaysia sudah mula menerima shisha sebagai budaya dalam hidup mereka.

"Malah, ada juga menganggap menghisap shisha satu kemestian jika keluar bersama rakan-rakan sama ada ke tempat makan atau tempat hiburan," katanya.

Kemasukan budaya shisha pada tahun 90-an telah mencetuskan demam shisha di negara ini.

Tidak hanya bertumpu di restoran bercirikan Arab, kafe dan restoran tempatan yang menjual makanan ala Siam juga sudah banyak yang menawarkan shisha di premis mereka.

"Shisha kini boleh dianggap sebagai daya penarik untuk kafe atau kedai makan," tutur Mohd. Yazid Yahya, 30, yang mempunyai sebuah kedai shisha di Kampung Baru.

Biarpun masih dianggap sebagai trend baru, namun menurut Yazid, keunikan shisha telah menarik minat sebahagian besar golongan muda.

"Saya dulu juga seorang peminat shisha. Selesa melihat budaya ini semakin diterima anak muda, saya cuba untuk berniaga shisha. Alhamdulillah, perniagaan saya semakin meningkat maju," ujarnya.

Yazid yang pernah menjadi pelanggan tetap Azim's Shisha yang beroperasi di Medan Selera Rasta di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur menimba kemahiran menyediakan shisha daripada sifunya yang hanya mahu dikenali sebagai Azim, 30.

Piramid

Selain Yazid dan Azim, terdapat lebih 50 anak muda Melayu menjual shisha di sekitar Lembah Klang.

Terkenal sebagai lokasi popular buat penggemar shisha, Azim yang beroperasi di Medan Selera Rasta cuba memberi kelainan dalam penyediaan shisha kepada pelanggannya.

"Berniaga shisha bukan hanya menjual, tetapi turut memberi perkhidmatan.

"Untuk mendapatkan kualiti shisha yang bagus, kita perlu ada kemahiran dalam penyediaannya, begitu juga dengan penjagaan arang," katanya.

Bagi memastikan kualiti tembakau, Azim mengimport tembakau khas untuk shisha dari Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dan juga Amerika Syarikat.

Tidak hanya gemar menghisap shisha, dia juga suka mengumpul koleksi shisha pelbagai bentuk yang dibeli ketika melancong ke luar negara.

Antara yang menjadi kegemarannya ialah shisha yang dibeli di Turki dan Australia.

"Shisha yang dibeli di Australia bentuknya unik, seperti piramid manakala shisha buatan Turki dihasilkan daripada seramik berwarna biru kobalt yang dihiasi dengan tulisan purba Turki.

"Selain mencari shisha untuk dijadikan koleksi dan dekorasi rumah, adalah menjadi kemestian untuk saya mencari dan menghisap shisha di semua negara yang saya lawati antaranya Perancis, Australia, Switzerland, Turki dan Maghribi.

"Saya pertama kali menghisap shisha di England, ketika berumur 18 tahun. Saya diperkenalkan kepada shisha melalui seorang rakan yang berasal dari Palestin," katanya.

Sejak itu, Azim mula menggemari shisha malah dia turut membeli satu set shisha untuk keperluan dirinya sendiri.

"Lebih kurang enam tahun lalu seorang pelanggan bertanya kepada saya, mengapa anda tidak menjual shisha sedangkan anda begitu menggemarinya?

"Lantaran itu, saya mula teroka perniagaan shisha dan cuba untuk menyediakan shisha dengan cara saya sendiri," katanya yang mempunyai 50 buah shisha di kedainya.


AZIM’S Shisha menawarkan 40 perisa tembakau kepada pelanggannya.


Sungguhpun Azim dan rakan-rakannya menjadi penghisap shisha tegar, mereka tidak menghisap rokok.

"Rokok memang membahayakan kesihatan kerana kandungan toksin yang tinggi.

"Berbeza dengan shihsa, ia hanya mengandungi 0.05 peratus sahaja nikotin daripada tembakau yang digunakan.

"Tembakau tersebut dicampur dengan gliserin, sirap pekat buah-buahan dan pelbagai perisa pilihan. Itu sahaja.

"Orang ramai sering menganggap shisha lebih bahaya daripada rokok kerana nampak asap berkepul-kepul keluar dari mulut. Hakikatnya, ia tidak seteruk rokok," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Azim memberitahu, asap yang terhasil apabila menghisap shisha bukan dihasilkan daripada pembakaran tembakau sebaliknya daripada pemanasan sirap gula, gliserin dan perasa.

"Saya juga memasukkan ais dalam bekas shisha supaya hasil sedutan sejuk apabila masuk ke dada," jelasnya.

p/s:Lama tak pi sahara tent..makan nasik kambing....
Sumber:Akhbar Tempatan.

Nak Buat Jeti 5 Bintang Joeee.....

Jeti nelayan lima bintang


TRANSFORMASI TERHEBAT. Hampir 90 nelayan dari Kampung Merlimau lega dan gembira apabila Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM5.5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Jeti Nelayan Kuala Merlimau Pantai.


BERABAD lamanya, pada hari Selasa malam Rabu, Kuala Merlimau Pantai menjadi tumpuan rakyat di seluruh pelosok negeri. Di situ, berlangsungnya satu perayaan gilang-gemilang yang dipanggil Pesta Mandi Safar.

Para petani dan nelayan sejak awal pagi sudah menghiasi kereta lembu masing-masing. Kemudian, mereka akan bergerak beramai-ramai ke Kuala Merlimau Pantai untuk melakukan sesuatu yang bukan rahsia. Apakah dia? Mereka melakukan ritual keagamaan iaitu mandi. Mereka percaya dengan melakukan perbuatan itu, semua dosa yang dilakukan dapat ditebus. Sebab itulah perayaan tersebut juga dikenali sebagai Pesta Menebus Dosa.

Tapi, itu amalan orang lama. Sekarang ia sudah pupus. Bagaimanapun, kelibat-kelibat nelayan yang mencari rezeki di laut masih berterusan sehingga kini. Ada yang masih menggunakan sampan dan tidak kurang juga yang menggunakan bot moden.

Pada awal pagi dan lewat petang, jeti Kuala Merlimau Pantai akan meriah dengan suara-suara peraih melelong ikan segar di jeti itu. Daripada ikan kecil hingga ke besar semuanya ada. Menariknya, harganya sangat murah.

Baru-baru ini, para nelayan di Kuala Merlimau Pantai ketika ditemui tersenyum lebar. Said Bakar, 46, meluahkan betapa riangnya dia dan rakan-rakan seperjuangannya apabila kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk menaik taraf kawasan itu.

Peruntukan lumayan

"Bagaikan mimpi jadi kenyataan, saya percaya selepas ini kehidupan para nelayan Kuala Merlimau Pantai akan berubah secara drastik," katanya yang sibuk bergotong-royong bersama nelayan-nelayan lain membersihkan kawasan di persekitaran kuala kerana bakal dikunjungi oleh satu rombongan besar.

Peruntukan yang lumayan itu akan menjadikan jeti nelayan Kuala Merlimau Pantai yang tercanggih. Tidak seperti jeti-jeti lain, jeti di kampung ini berbumbung. Pendekatan itu dikatakan sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini.


SEGAR DARI LAUT. Setiap awal pagi dan lewat petang, para pelanggan termasuk yang datang dari Muar akan mengerumuni jeti ini yang menjual pelbagai jenis hidupan laut termasuk sayuran pada harga yang murah.


Memetik kenyataan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, dengan terbinanya projek itu yang dijangka siap dalam tempoh satu tahun, ia akan menjadi satu lagi tarikan baru industri pelancongan di Melaka Bandaraya Bersejarah ini. Serentak dengan itu, ia juga akan mentransformasikan sosio ekonomi nelayan.

Jelasnya, secara keseluruhan, jeti itu akan mempunyai bumbung sepanjang 150 meter, garaj cuci bot, penimbang berat, surau, gerai makanan restoran dan taman permainan kanak-kanak.

Menariknya, sebuah menara tinjau turut diwujudkan bagi menjaga keselamatan nelayan-nelayan yang bekerja.

Sebuah kawasan rekreasi serta rumah rehat berkonsepkan nelayanstay dijangka dapat merubah wajah perkampungan sekali gus dapat memberi manfaat kepada para nelayan.

Tidak cukup dengan itu, sebuah Taman Hidupan Kucing dan Taman Hidupan Monyet turut dibangunkan memandangkan terdapat banyak kucing dan monyet terbiar di situ. Idea itu sebenarnya datang daripada pihak nelayan sendiri, beritahu Said.

Sesungguhnya, impak kepada gendang pilihan raya kecil (PRK) yang kian bergema di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau telah membuka lembaran dan harapan baru kepada kehidupan nelayan di Kuala Merlimau Pantai Harap yang dirancang bakal menjadi realiti.

Sumber:Akhbar Tempatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya