Iklan

Selasa, 20 September 2011

Perwira negara Bukit Kepong


FOTO kenangan sebahagian anggota polis yang terlibat dalam peristiwa di Bukit Kepong.

“JANGAN bimbang Tuan OCPD (Ketua Polis Daerah), kita akan pertahankan tempat (Bukit Kepong), biar putih tulang jangan putih mata.”

Demikian ayat terakhir Sarjan Jamil ketika melambai kepada Ketua Polis Daerah Pagoh, Datuk Seri J.J Raj yang ketika itu berada di jeti polis marin ke Lenga, Johor selepas melawat Bukit Kepong pada 22 Februari 1950. Tarikh itu ialah sehari sebelum balai polis tersebut diserang dan dibakar komunis.

Dalam sesi lawatan itu, Raj yang tiba pukul 10.30 pagi disambut oleh Jamil, polis Interpol dan Penghulu Ali yang kemudian menikmati hidangan makan tengah hari di kediaman penghulu sebelum berbasikal mengelilingi Bukit Kepong tanpa menyedari sejumlah 180 komunis telah bersedia menyorok di sekitar kawasan itu.

Raj, 90, yang masih sihat dan berbadan tegap berkata, selepas meronda, beliau pulang semula ke jeti kira-kira pukul 7 malam, manakala orang ramai yang ketika itu menghantarnya ke jeti bersama penghulu dan Sarjan Jamil menunggu di tebing jeti.

Menurut Raj, ketika anggota polis marin menghidupkan enjin bot, beliau sempat berpesan kepada Jamil, ‘Eh Jamil, jaga baik-baik’.

“Saya masih ingat lagi ayat Sarjan Jamil, sambil memberikan tabik yang rupa-rupanya merupakan tabiknya yang terakhir kepada saya. Itulah kali terakhir saya jumpa Sarjan Jamil,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Yayasan Pengaman Malaysia di Shah Alam baru-baru ini.

Sambil mengimbau kembali tragedi Bukit Kepong yang menyayat hati itu, Raj yang menjaga lebih 20 balai polis di Pagoh memberitahu, pertama kali beliau bersama pasukan skuad Tiger sampai di Bukit Kepong pukul 8 pagi pada 23 Februari 1950, fikirannya sendiri kosong dan rasa seperti gila.

“Saya tengok tapak balai, saya jadi macam orang gila. Tidak tahu apa hendak buat, darah ada di mana-mana dan api masih membakar balai polis,” katanya lagi.

Dibakar bersama balai

Raj yang memegang jawatan terakhir sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman sebelum bersara pada 1976 berkata, berdasarkan fakta yang dicatatkan, anggota Parti Komunis Malaya (PKM) bertindak mencampakkan anggota-anggota polis dan ahli keluarga mereka yang tercedera ke dalam api yang sedang marak.

“Anggota polis dan orang awam yang cedera dicampak ke dalam api yang sedang marak membakar balai polis mengakibatkan bilangan mereka yang terkorban adalah seramai 27 orang iaitu 14 anggota polis, lima polis bantuan dan masing-masing empat isteri serta anak polis,” ujar beliau sedih.

Raj yang sangat terkilan, tersinggung dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung kenyataannya yang menyokong perjuangan komunis itu juga memberitahu, pada hari kejadian kekuatan anggotanya yang diterajui oleh Jamil hanya seramai kira-kira 20 orang berbanding komunis sebanyak 180 orang.

Menurut beliau, selalunya orang biasa akan menyerah diri atau mengibarkan bendera putih tanda menyerah kalah apabila diserang dengan jumlah kekuatan sembilan kali ganda. Tetapi Jamil dan anggotanya tetap bersemangat melawan bagi mempertahankan bukan saja balai polis dan kawasan itu tetapi agama dan keselamatan keluarga.

Malah, tambahnya, pertempuran itu berlangsung selama hampir tiga jam.

“Pada masa itu, kedudukan balai polis dikelilingi bukit dan belukar di mana 180 komunis menyorok di situ. Ketika diserang, Sarjan Jamil dan anggotanya melawan balik dan berlarutan selama tiga jam dan pada pukul 6.30 pagi, komunis semakin berani sehingga meniup begol kali kedua dan terus menembak lagi,” ujarnya.

Ketika itu juga, Raj menambah, Ahmad Indera atau Mat Indera juga dikatakan turut menggunakan alat pembesar suara meminta supaya polis menyerah diri jika tidak mahu diapa-apakan.

“Bila Mat Indera bagi amaran, Sarjan Jamil tinggal seorang, rakan di sebelahnya cedera dan sebelah lagi terkorban, manakala di belakangnya kedengaran suara anak-anak dan isteri yang menangis.

“Mungkin orang lain akan menyerah tetapi Sarjan Jamil tetap berjuang melawan dan dia ditembak ketika sedang berlari keluar pergi ke kubu apabila balai polis itu terbakar selepas dilemparkan botol berisi minyak tanah,” katanya.

SUMBER-KOSMO

Isnin, 19 September 2011

Tinggal Di Rumah Sama Selama 100 Tahun


VIOLET STRUGNELL berdiri di luar kediamannya yang menjadi tempat tinggalnya selama 100 tahun di Portsmouth, Britain.
PORTSMOUTH, Britain – Seorang pesara wanita, Violet Strugnell telah tinggal di sebuah rumah yang sama di Jalan Sheffield di sini selama 100 tahun, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Portsmouth yang merupakan sebuah bandar pelabuhan di selatan Britain, kerap dibom pesawat-pesawat perang Jerman semasa Perang Dunia Kedua tetapi kediamannya terselamat dan ia masih mengekalkan reka bentuk asalnya sehingga kini.

Dia pernah bersembunyi di dalam bilik bawah tanah semasa jet-jet tentera Nazi dari Jerman melancarkan serangan bom semasa Perang Dunia Kedua

GAMBAR bertarikh 1927 menunjukkan Violet Strugnell membonceng motosikal saudara lelakinya di luar kediamannya itu.


Warga emas itu yang berusia 100 tahun pada minggu lalu, berpindah ke rumah tiga bilik tidur selepas ia siap dibina pada tahun 1911.

“Saya seperti tidak percaya sudah tinggal di rumah ini sejak sekian lama. Rumah ini tidak akan dijual sebaliknya, ia akan diwariskan kepada keluarga saya,” kata Strugnell.

Menurutnya, dia mewarisi rumah tersebut daripada ibu bapanya, Emma dan Vernon yang membeli kediaman berkenaan pada harga £175 (RM483.85) pada masa itu.

Ia kini bernilai £150,000 (RM725,927). – Agensi

Sumber-Kosmo

Simpan 30 Sen Sebulan Untuk Menunaikan Haji




KUCHING: Dengan berpegang kepada pepatah Melayu ‘sedikit sedikit, lama-lama jadi bukit’, seorang warga emas, Mail Brahim, 77, yang menyimpan 30 sen sebulan bermula 1950, akhirnya mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan fardu haji, tahun ini.

Ketika memulakan tabungan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada awal 1950-an, Mail, yang ketika itu bekerja sebagai kelasi kapal dengan gaji kurang RM40 sebulan, memasukkan 30 sen ke dalam tabung botolnya.

Kesempitan hidup menyebabkan beliau yang perlu membantu keluarga, cuma dapat menabung 30 sen sebulan dengan keazaman suatu hari nanti wang itu dapat digunakan untuk menunaikan fardu haji.

“Alhamdulillah berkat niat baik, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Apabila gaji bertambah, jumlah wang yang saya simpan juga saya tambah.

“Akhirnya saya dapat menggunakan wang itu untuk ke Tanah Suci tahun ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian sewaktu menghadiri Kursus Perdana Haji 1432H di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini, semalam.

Mail adalah antara 421 bakal jemaah haji dari Bahagian Kuching dan Samarahan yang menghadiri kursus dua hari itu, yang berakhir semalam.
Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau mendaftar untuk menunaikan fardu haji pada 2005 selepas jumlah dikumpul mencukupi dan bersyukur kerana disenaraikan ke Tanah Suci pada tahun ini.

Sementara itu, seorang tukang perahu, pembuat batu nisan dan napur, Zulkipli Madon, 64, dari Kampung Tanjung Bundong, Samarahan, berkata beliau mula menyimpan dengan Tabung Haji pada 2004 selepas mendapat hidayah untuk menunaikan fardu haji.

Setiap bulan beliau menyimpan antara RM400 hingga RM500 hasil daripada kerja membuat perahu, batu nisan dan napur penduduk kampung.

“Pada 2005 saya mendaftar untuk menunaikan haji bersama isteri, Rosiah Bujang, 57. Namun isteri saya yang turut menjual sayur dan telur masin di kampung, bertekad untuk mengumpul wang sendiri,” katanya.

Rosiah yang turut menyimpan RM400 hingga RM500 sebulan akhirnya berjaya mencukupkan wang haji, dengan pasangan suami isteri itu akan ke Makkah, dengan hasil pendapatan masing-masing.

Pasangan yang mempunyai 12 anak itu bersyukur kerana walaupun mereka hanya bekerja sendiri di kampung, namun hasilnya berkat dan boleh digunakan untuk menunaikan ibadah haji.

Sumber-Bharian

Pemuda Gemar Curi Motosikal Selama 14 Tahun Ditangkap


KUALA LUMPUR 15 Sept. – Walaupun sedar perbuatan mencuri salah di sisi undang-undang, seorang pemuda gagal menahan diri daripada melakukan jenayah itu gara- gara mempunyai hobi pelik iaitu gemar mencuri motosikal.

Disebabkan hobi pelik itu, dia akhirnya menerima padah apabila dicekup polis semasa sedang menunggang motosikal curi di Taman Serdang Perdana, Serdang dekat sini, Isnin lalu.

Suspek berusia 27 tahun semasa disiasat mengaku terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak berusia 13 tahun dan dalam tempoh 14 tahun sudah mencuri beratus motosikal di sekitar kawasan Seri Kembangan, Serdang, Puchong, Cheras dan Dang Wangi dekat sini.

Malah, suspek yang tinggal di Cheras sanggup pergi ke Kuantan, Pahang untuk melarikan motosikal di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, penjenayah pelik itu diberkas oleh sepasukan anggota polis diketuai Ketua Balai Polis Seri Kembangan, Cif Inspektor Chai Chee Boon semasa menjalankan rondaan cegah jenayah di hadapan Pusat Beli-belah Plaza South City, Seksyen 1, Taman Serdang Perdana pada pukul 5 petang, Isnin lalu.

“Dia yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan enggan berhenti apabila diarahkan oleh polis untuk diperiksa, malah bertindak memecut laju untuk melarikan diri.

“Namun, suspek berjaya ditangkap selepas terlanggar belakang sebuah teksi yang berhenti di bahu jalan dan terjatuh,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Abd. Razak berkata, siasatan mendapati suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu curi motosikal pada 2005 dan 2008, menunggang motosikal yang dicuri dari Kuantan.

Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja dan berhenti sekolah sejak berusia 13 tahun mengaku mencuri motosikal adalah hobinya dan tabiat buruk itu sukar dibuang.

Menurutnya, demi memenuhi hobinya itu, suspek sanggup menaiki bas atau komuter ke beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri lain semata-mata mahu mencari motosikal untuk dicuri.

“Motosikal yang dicuri akan digunakan sendiri atau diberikan kepada rakan-rakan secara percuma jika mereka berminat.

“Jika sudah bosan menggunakan motosikal itu, ia akan ditinggalkan di mana-mana bangunan pangsapuri atau tepi jalan,” katanya sambil memberitahu ada juga motosikal dijual dengan harga RM250 hingga RM450 jika suspek terdesak memerlukan wang.

Abd. Razak berkata, hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis berjaya menemui enam motosikal bernilai RM30,000 yang dicuri lelaki terbabit sebelum ini.
sumber-utusan

PGM Tahan Empat Lelaki Kerana Mencuri Pokok Karas


JOHOR BAHARU – Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua (PGM) menahan empat lelaki termasuk tiga warga Kemboja kerana menebang dan cuba mencuri pokok karas di Pulau Pisang dekat Pontian, di sini, semalam.

Komander PGM Wilayah Dua, ACP Zainul Abidin Hasan berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi oleh anggota PGM dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian semasa menjalankan rondaan berskala di pulau berkenaan.

“Anggota PGM dan IPD Pontian pada mulanya terserempak dengan enam orang yang sedang menebang pokok tersebut. Bagaimanapun, hanya empat daripada mereka yang berjaya ditahan manakala dua yang lain berjaya melarikan diri ke dalam hutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihaknya turut merampas lima kapak, dua parang, tiga pemutar skru, tujuh batang besi diubahsuai serta dua karung kayu karas yang siap dipotong daripada mereka.

Zainul Abidin berkata kesemua mereka dipercayai menceroboh tanah rizab kerajaan dan melakukan kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara 1984 (pindaan 1993) kerana mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.

Katanya, pokok karas mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana menghasilkan gaharu yang memberikan keuntungan berlipat kali ganda.

Kes berkenaan, katanya, diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Johor dan Pejabat Tanah Pontian untuk tindakan lanjut. – Bernama

Sumber-kosmo

Wanita Paling Kaya Miliki Bot Mewah Terbesar

KIRSTY BERTARELLI dan suaminya, Ernesto Bertarelli.
PLYMOUTH – Seorang wanita terkaya di Britain dan suaminya yang merupakan seorang bilionair memiliki sebuah bot mewah yang terbesar di United Kingdom (UK), lapor sebuah akhbar kelmarin.

Wanita itu yang juga bekas Ratu Cantik UK, Kirsty Bertarelli dan suaminya, Ernesto menempah bot mewah Vava II berukuran 96 meter (m) dengan kos luar biasa iaitu £100 juta (RM488 juta).

Kapal layar tersebut mempunyai sentuhan rekaan dalaman yang mewah dan dibina di sini dan memerlukan lebih dua tahun untuk dibina selain melibatkan 200 pekerja.

Ia dilengkapi pad pendaratan helikopter, ruang tetamu yang mewah dan empat buah bot untuk membawa penumpang ke pantai.

Suami wanita itu memiliki anggaran kekayaan sebanyak £6.8 bilion (RM33.14 bilion) menjadikan dia lelaki yang ke-81 terkaya di dunia dan kelima di Britain.
sumber-kosmo

KUALA LUMPUR: Taktik polis yang memberi peluang kepada Mat Rempit berpesta sambil menayangkan aksi berani mati sebelum melakukan serbuan membuahkan hasil apabila empat penunggang dan dua pembonceng motosikal ditahan di Dataran Merdeka, malam kelmarin.

Difahamkan, empat penunggang dan dua pembonceng motosikal itu asyik menunjukkan aksi berbahaya tanpa menyedari anggota polis berpakaian biasa menyaksikan pertunjukan mereka.

Dalam operasi Ops Ambang Merdeka dijalankan Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah malam itu, enam suspek terbabit cuba meloloskan diri dengan meninggalkan motosikal mereka di kawasan berkenaan, tetapi gagal.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata Mat Rempit terbabit menunjukkan pelbagai aksi bahaya di jalan raya sebelum lokasi berkenaan digempur.

“Empat penunggang motosikal itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

“Dua lagi pembonceng motosikal ditahan mengikut Seksyen 111, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua Mat Rempit itu berusia 18 hingga 19 tahun,” katanya.

Menurutnya, 21 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh manakala 58 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal parah selepas dirempuh sebuah kereta Honda di Bulatan Dato Onn berhampiran Bank Negara, kira-kira jam 2 pagi.

Difahamkan, kereta dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol membuat pusingan di bulatan itu sebelum merempuh seorang penunggang motosikal.

Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar bagi tindakan lanjut.
sumber-kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya