Iklan

Rabu, 12 Oktober 2011

Legenda emas tinggal kenangan


AHMAD JAIS bangkit memperjuangkan seni sehingga ke akhir hayatnya.

PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani lagu popular berjudul Azizah itu cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Ahmad Jais atau nama sebenarnya Datuk Mohd. Jais Ahmad.

Semestinya orang yang begitu rapat atau yang pernah berdepan dengan Ahmad Jais, 75, akan merasai kehilangan dan sedih apabila penyanyi legenda bersuara emas itu kembali ke Rahmatullah semalam.

Menurut anak keempat Allahyarham, Maimun, 31, bapa kesayangannya itu telah dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam apabila mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor pada 8 September lalu.

“Kemudian, ayah telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam pada 24 September selama 15 hari setelah keadaan kesihatannya semakin serius.

“Kemudian sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir keadaan ayah semakin tidak stabil dan akhirnya ayah telah meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi akibat komplikasi paru-paru,” jelasnya.

Ditanya tentang ahli keluarga lain yang berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir, Maimun memberitahu, hanya dia dan adiknya, Mashita, 25, yang berada kerana dua orang abang mereka iaitu Iskandar, 41, Hisham, 40, serta seorang kakaknya, Salawati, 38, menetap di Singapura.

Jenazah Allahyarham telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 selepas solat Zuhur.

Dengan pemergian Allahyarham Datuk Ahmad Jais ke Rahmatullah, ternyata ia adalah satu kehilangan yang cukup besar dalam industri seni tanah air.

Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez yang ditemui di Masjid Negeri Shah Alam, perginya Ahmad Jais merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air khususnya pada irama pop yeh yeh.

“Pencapaiannya sangat besar dalam industri muzik dan dia merupakan legenda. Beliau merupakan ahli persatuan Karyawan yang sangat aktif dan bersedia membantu rakan-rakan dalam persatuan tidak kira masa dan tenaga,” ujar Freddie.

Mengulas lanjut, kata Freddie, 58, Allahyarham juga dikenali oleh seluruh kaum tidak kira Melayu, India dan Cina kerana kelunakan suara dan lagu-lagunya yang sangat malar segar. Disebabkan itu sehingga kini Ahmad Jais masih menerima jemputan menyanyi di majlis-majlis.

“Saya sedih sebab dia tidak sempat menyanyi untuk jemputan nyanyian di masa akan datang sedangkan banyak jemputan yang diterimanya,” katanya yang sempat melawat Allahyarham ketika beliau koma di DEMC.

Menurut Freddie lagi, hampir sebulan Ahmad Jais menderita penyakit paru-paru. Selepas dimasukkan ke DEMC beliau koma selama tiga minggu dan kemudiannya meninggal.

Kali pertama dan terakhir

Tiada apa yang mampu diucapkan selain melahirkan perasan sedih yang amat sangat. Itulah yang dialami penyanyi veteran tersohor, Salamiah Hassan, 60, meluahkan rasa sedih dan terkejut di atas pemergian Ahmad Jais.

Kali terakhir, ibu kepada penyanyi genit Atilia itu berjumpa dan berduet bersama Ahmad Jais untuk lagu Berdebar-Debar ketika mengadakan persembahan pada jamuan rumah terbuka raya Suruhanjaya Komunukasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 16 September lalu.

“Itulah kali pertama dan juga terakhir kami berduet bersama. Sebelum ini, lagu Berdebar-Debar merupakan lagu duet kami untuk album dan kami tidak pernah berduet untuk persembahan khalayak bersama,” katanya dengan nada sedih ketika dihubungi semalam.

Ketika berduet pada malam rumah terbuka raya tersebut, Salamiah memberitahu, keadaan Allahyarham tidak begitu sihat dan pernafasannya kedengaran tersekat namun beliau tetap cekal untuk menyanyi dan menghiburkan tetamu.

Semangatnya begitu kuat dan suaranya masih jelas mantap kedengaran di telinga Salamiah.

Melihat kepada rakan duetnya yang sudah tiada, pinta Salamiah agar nasib artis-artis veteran yang lain supaya lebih terbela.

“Janganlah bila mereka sudah tiada nanti baru nak ingat dan diangkat. Masa ketika tua mereka perlukan sokongan dan bantuan daripada mana-mana badan,” katanya lagi.

Sementara itu, penyanyi Datuk DJ Dave yang turut ditemui memberitahu bahawa Allahyarham adalah penyanyi yang sangat diminatinya dari dulu sehingga sekarang.

Ujarnya, dia begitu meminati penyanyi tersohor itu kerana tertarik dengan suara unik yang dimiliki dan mereka kerap membuat persembahan bersama-sama sekitar era 70-an dan 80-an.

“Lagu berjudul Azizah yang dinyanyikan oleh arwah adalah merupakan lagu Melayu kedua yang saya dengar dan saya terus tertarik dan kagum dengan bakat yang dimilikinya itu.

“Sebagai seorang yang sudah berpuluh-puluh tahun berkecimpung sebagai penyanyi, arwah sememangnya seorang anak seni yang sudah banyak berjasa dalam industri hiburan tempatan,” jelasnya.

Suka bergurau

Berkenaan dengan sikap peribadi yang dimiliki oleh penyanyi legenda berkenaan, rata-rata rakannya menganggap arwah sebagai seorang individu yang suka bergurau terutama dengan rakan-rakan di sekelilingnya.

Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah, 58, yang terkejut dengan pemergian arwah memberitahu bahawa dia sudah menganggap penyanyi tersebut sebagai seorang abang setelah berkenalan sejak tahun 1965.

“Sepanjang 46 tahun saya berkawan dengannya, memang kami agak rapat kerana selalu membuat persembahan bersama-sama. Bagi saya, arwah seorang yang sangat suka bergurau dengan sesiapa sahaja.

“Antara gurauannya yang paling saya ingat apabila dia asyik bertanyakan tentang bila saya mahu berumah tangga. Bila mengenangkan gurauannya itu kembali, memang saya berasa teramat sedih,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual.

Ditanya sama ada beliau sempat menziarahi arwah sepanjang berada di hospital, Kak Pah memberitahu dia sempat melawat pada minggu lalu tetapi pada masa itu arwah dalam keadaan tidak berkata-kata.

Seorang lagi penyanyi yang popular sekitar tahun 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan, 64, ketika ditemui berkata, arwah dianggap sebagai sebutir permata yang sangat berharga.

Menurutnya, biarpun sudah berkecimpung dalam bidang seni suara hampir 50 tahun, namun namanya masih lagi menjadi sebutan ramai dan mempunyai peminat yang tersendiri.

“Tidak dinafikan kebanyakan lagu-lagu dinyanyikan arwah adalah lagu evergreen yang masih diminati sehingga hari ini. Jadi, sudah sewajarnya dia diangkat sebagai salah seorang penyanyi legenda negara,” jelasnya.

Bagaimanapun, di sebalik sikap penyanyi berkenaan yang suka bergurau, A. Rahman memberitahu bahawa arwah mempunyai sikap yang cukup tegas terutama dalam membuat sesuatu keputusan.

“Memang adakalanya ada sebilangan orang yang akan kecil hati dengan sikap ketegasannya itu, namun sepanjang mengenali dirinya dia sebenarnya adalah seorang individu yang sangat baik hati,” ujarnya.

Sementara pelakon veteran terkenal, Datuk Aziz Sattar, 86, pula berkata, pemergian penyanyi legenda itu adalah sesuatu yang sukar untuk dicari ganti dan jasanya dalam bidang nyanyian tidak harus dilupakan sama sekali.

“Sebagai artis veteran hubungan kami sememangnya cukup rapat dan sepanjang mengenalinya arwah adalah seorang insan yang cukup istimewa.

“Perjuangannya sebagai seorang anak seni selama berpuluh-puluh tahun harus dijadikan contoh kepada penyanyi-penyanyi generasi sekarang,” ujarnya.

Perginya Ahmad Jais sangat dirasai buat peminat-peminat yang menggilai suara dan lagunya. Hanya lunak suara dan lagu-lagu popularnya seperti Di Ambang Sore, Azizah dan Budi Setahun Segunung Intan yang tinggal sebagai kenangan.

Menyahut panggilan Ilahi, Allahyarham Ahmad Jais telah pergi meninggalkan kita semua selepas dikhabarkan rakan perjuangannya mengenai kebaikan dan keceriaan yang disalurkan ke dalam hidup mereka.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Ahmad Jais pergi dan tidak akan kembali lagi.

sumber - kosmo

Jumaat, 7 Oktober 2011

Legenda Apple meninggal dunia


SEORANG wanita bertafakur sebagai tanda menghormati pemergian pengasas bersama Apple, Steve Jobs di luar sebuah premis Apple di Tokyo, Jepun semalam.

SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas bersama syarikat gergasi komputer dan teknologi maklumat, Apple Inc., Steve Jobs meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat kanser pankreas kelmarin.

Dianggap pencetus revolusi budaya moden menerusi ciptaannya seperti iPod, iPhone dan iPad, kematian Jobs berlaku ketika Apple Inc. berada di kemuncak kegemilangannya sebagai pengeluar gajet telekomunikasi terbesar di dunia.

Steve Jobs

"Kami semua sedih mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia semalam," kata pembuat gajet yang berpangkalan di California dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli lembaga pengarah Apple.

Tambah mereka, Apple kehilangan seorang pemimpin yang berwawasan dan genius, manakala dunia pula kehilangan seorang manusia yang menakjubkan.

"Steve meninggalkan sebuah syarikat yang hanya dia boleh membinanya. Semangatnya akan terus wujud sebagai asas kepada Apple," kata pengendali Apple sejak Jobs bercuti sakit sejak Januari lalu, Tim Cook.

Cook dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Ogos lalu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga Jobs, beliau meninggal dunia dalam keadaan aman sambil dikelilingi ahli keluarganya.

Apple memberi penghormatan kepada legenda Lembah Silikon itu dengan memaparkan gambar hitam putihnya yang berjambang dan memakai cermin mata bulat serta baju berkolar di home pagenya bersama tulisan 'Steve Jobs - 1955-2011'.
MESEJ bermaksud "Terima kasih Steve" ditulis di tingkap kaca kedai Apple Store di Santa Monica, California, Amerika Syarikat. Kematian Steve Jobs ditangisi oleh peminat gajet di seluruh dunia.

Apabila pengunjung mengklik pada gambar tersebut, mereka akan dibawa kepada mesej yang ditulis Cook sebagai peringatan kepada Jobs.

Peminat Apple juga dijemput berkongsi memori, ingatan dan salam takziah mereka dengan menghantar pesanan kepada remeberingsteve@apple.com.

Legenda gajet itu dilahirkan pada 24 Februari 1955 di San Franciso oleh seorang ibu tunggal dan diambil sebagai anak angkat oleh satu pasangan di Mountain View ketika baru berusia beberapa hari.

Beliau berusia 21 tahun apabila mencipta Apple Computer bersama Steve Wozniak, 26, di garaj keluarganya pada tahun 1976.

Di bawah Steve, syarikat tersebut memperkenalkan komputer Apple pertama dan kemudiannya Macintosh yang menjadi popular pada tahun 1980-an.

Jobs meninggalkan Apple pada 1985 selepas berlakunya perebutan kuasa. Jobs kemudian memulakan syarikat NeXT Computer yang mengkhusus dalam perisian stesen kerja yang canggih untuk perniagaan.

Sejak itu, kegemilangan Apple pudar. Namun ia kembali pulih pada tahun 1996 apabila Apple membeli NeXT Computer pada harga $429 juta (RM1.2 bilion).

Apple semakin kukuh apabila Jobs merombak strategi Macintosh, merevolusi budaya moden dan melancarkan pasca era komputer peribadi yang memberi laluan kepada alat mudah alih pintar seperti iPod, iPhone dan iPad.

Jobs meninggalkan seorang balu, Laurene dan tiga orang anak. - AFP
sumber - kosmo

Rabu, 5 Oktober 2011

Roti tempatan, keghairahan Itali


BAGI Lai Fei Siong, 31, tanggungjawab menjaga seluruh proses pembuatan roti bermula sejak pukul 8 pagi. Namun dia selalunya tiba lebih awal di Taman Perindustrian Pulau Indah di Pelabuhan Klang untuk mendaftar masuk tugas di kilang pembuatan roti, The Italian Baker.

“Kilang ini direka untuk beroperasi 24 jam. Namun, buat masa ini kami hanya beroperasi untuk tempoh terhad. Namun, saya akan berada di kilang pada bila-bila masa diperlukan.

“Ini kerana saya perlu memastikan setiap prosedur pemprosesan makanan berjalan lancar bagi memastikan roti ini sampai di meja sarapan pengguna.

“Ia satu tanggungjawab yang besar,” kata penyelia bakeri itu yang mengakui dirinya menggemari suasana kerja berasaskan makanan, khususnya roti.

Lai Feng memberitahu, terdapat 10 bahagian utama di kilang tersebut, bermula dengan bahagian pemprosesan roti sandwic Masimmo dan ban Duetto.

ROTI-ROTI ini melalui proses penyejukan sebelum ia dipotong dan dibungkus.

Gedung pemprosesan itu juga menempatkan ruang pejabat pemasaran, jualan, pembuatan, pergudangan, kejuruteraan, kualiti, penyelidikan dan pembangunan serta sumber manusia. Tidak terkecuali adalah bahagian pengedaran yang melibatkan lori-lori pengedaran.

Sesudah memberi penerangan asas, Fei Siong membawa masuk krew wartawan dan jurugambar ke dalam kilang dari ruang lobi yang juga menempatkan sebuah kafe roti The Italian Baker.

Walaupun proses pembuatan roti utama di kilang itu tidak melibatkan tenaga kerja manusia, pihak pengurusan tetap merekrut kira-kira 100 kakitangan untuk dibahagikan kepada dua hingga tiga syif kerja. Semua penjadualan syif itu dibuat untuk memastikan capaian pengeluaran yang lebih banyak, selari dengan faktor permintaan.

Dengan keluasan kilang sekitar 20,000 meter persegi, kilang The Italian Baker mula dibina pada tahun 2009 dan siap pada akhir tahun 2010.

“Operasi pemprosesan roti bermula pada awal tahun ini. Walaupun ia bukan dibuat di Itali, tetapi ia dihasilkan menggunakan keterujaan dan keghairahan pembuat roti di Itali!” kata-kata itu berulang kali diucapkan oleh Pengurus Besar The Italian Baker, Jimmy Chang Gee Sing ketika berada di ruang lawatan bercermin di kilang itu.

Roti dan ban
SEORANG pekerja bahagian bakeri memantau adunan doh sebelum dihantar untuk proses pembahagian.

Walaupun tidak dapat melihat secara dekat dan langsung proses pembuatan roti di The Italian Baker atas sebab kebersihan dan kesihatan, pelawaan ke sebuah bilik bercermin tetap memberikan suasana komprehensif.

Krew Kosmo! bukan sahaja dapat menyaksikan proses pembuatan roti dan ban dari dalam ruang berhawa dingin, malah dari sudut pandangan atas yang menunjukkan keseluruhan suasana operasi kilang.

“Di sebelah kanan anda ialah bahagian pemprosesan roti sandwic Massimo dan di sebelah kiri anda ialah ban berkrim Duetto. Pemprosesan kedua-dua roti sedikit berbeza dan masing-masing memerlukan kaedah, masa serta pembungkusan berlainan,” ujar Fei Siong.

Walau bagaimanapun, secara asasnya, setiap pemprosesan pembuatan bermula dengan penimbangan berat kandungan, pengadunan doh, pemisahan doh mengikut saiz, membakar doh, penyejukan dan akhir sekali pembungkusan.
DARI KIRI: Fei Siong, JImmy dan Pengurus Bahagian The Italian Baker, Eric Ong Poh Choy, menunjukkan produk yang menjadi kebanggaan mereka.

Di antara segmen kerja tersebut, beberapa kakitangan ditempatkan untuk memeriksa berat dan ketinggian roti. Mereka juga bertanggungjawab membuat pemeriksaan berkala bagi mengesan sekiranya terdapat pencemaran kandungan logam dalam roti.

Lazimnya, sebuku roti sandwic mengambil masa tiga jam untuk dihasilkan. Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna pihak pengilang memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan sejumlah roti yang banyak.

Kecekapan mesin pembuat roti yang diimport dari Eropah dan Amerika di kilang itu mampu menyiapkan roti dalam jumlah yang besar, iaitu 10,000 buku roti sandwic sejam dan 24,000 biji ban setiap jam.
DOH yang siap diadun dengan bahan mentah akan difermentasi selama empat jam sebelum dihantar ke ketuhar untuk proses membakar.

“The Italian Baker menghasilkan 40,000 buku roti sandwic Massimo dan 24,000 ban Duetto sehari. Ini angka permulaan kerana kami hanya beroperasi pada syif yang terhad iaitu 12 jam sehari dan ia mungkin dikembangkan mengikut permintaan pada masa hadapan kelak,” ujar Fei Siong sambil menunjukkan barisan roti Massimo yang tersusun di atas dulang berputar untuk proses penyejukan.

Di atas dulang berputar itu sahaja terdapat 10,000 buku roti. Semua roti itu menunggu masa untuk dihantar ke empat buah mesin pemotongan dan pembungkusan roti. Bagi roti ban Duetto pula, mesin yang hampir serupa menjalankan ‘tugas’ meletakkan krim sebelum pembungkusan.

Memulakan operasi pembuatan roti pada 21 Mac lalu, The Italian Baker, menurut Jimmy Chang telah membabitkan pelaburan sebanyak RM120 juta dengan keutamaan diberikan kepada mesin-mesin yang diimport dari Amerika dan Eropah.

Selaku syarikat subsidiari Federal Flour Mill (FFM), yang lokasi kilangnya juga bertempat di Pulau Indah, Jimmy mengakui pihaknya mudah mendapat bekalan bahan mentah.

“Jadi, kami bukan sahaja menjimatkan masa dari segi pengangkutan, malah dapat memberikan harga roti yang lebih murah kerana dapat menjimatkan kos logistik dan bahan mentah tersebut,” katanya.

sumber - kosmo

Selasa, 4 Oktober 2011

Bulan madu paling lama sampai dapat empat orang anak

Pasangan ini mengelilingi dunia selama 11 tahun, perjalanan mereka bermula selepas mereka berkahwin dan membuat keputusan untuk berbulan madu dengan mengelilingi dunia sehingga mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata. Hanya mengunakan sebuah kereta model Bentley mereka sekeluarga mampu mengelilingi dunia walaupun mengambil masa yang agak lama..

















Khamis, 29 September 2011

Burger Malaysia di jalan Phonm Penh


BURGER Ziki's kini menjadi kegemaran anak muda di Kemboja.

SIAPA sangka konsep dan cita rasa burger jalanan yang popular di Malaysia juga mampu menempa nama di luar negara terutama negara-negara Indo China seperti Kemboja dan Vietnam. Idea yang mendapat sambutan menggalakkan itu berjaya dibuktikan melalui produk di bawah label Ziki’s Burger yang dimiliki sepenuhnya syarikat tempatan, Deminziki Co. Ltd. (Deminziki).

Malah, inisiatif Deminziki itu kini berjaya membawa konsep dan cita rasa burger jalanan yang mewarnai kehidupan rakyat di negara ini menjalar ke bandar raya Phonm Penh, Kemboja.

Berorientasi cita rasa Malaysia sepenuhnya, kombinasi daging burger tempatan buatan Ramly menjadi sandaran utama Ziki's Burger dalam menawan hati penduduk Phonm Penh. Pengarah Eksekutif Deminziki, Md. Arfizal Md. Ariffin berkata, idea memperkenalkan konsep burger jalanan ke negara itu dibuat atas dua sebab.

Sebab pertama, menurutnya peluang terbuka seiring dengan kepesatan ekonomi Kemboja yang kini sedang pesat membangun dan mempunyai potensi pasaran yang luas kepada pelabur luar selepas era zaman pemerintahan zalim tentera Pol Pot.

“Lagi pun, kini ledakan industri makanan segera berlaku di Kemboja dan ia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kita boleh lihat kemunculan banyak restoran makanan segera seperti piza, pasta, burger dan ayam goreng.

“Jadi kami mencuba nasib memperkenalkan Ziki’s Burger sejak beberapa tahun dahulu dan ternyata ia menerima sambutan yang baik. Sehingga kini kami sudah mempunyai 40 gerai burger di seluruh pelosok Pnom Penh dan ia dijangka bertambah dalam masa terdekat,” ujarnya.

Perkara kedua, menurut Md. Arfizal, kolaborasi syarikat usahasama Malaysia dan Kemboja telah melancarkan rangkaian kios burger halal pertama seumpamanya pada 11 Mei lalu sebagai pilihan makanan halal kepada masyarakat Islam Kemboja dan pelancong luar.

Bermula dengan pemilihan lokasi strategik di sekitar Phnom Penh sebelum menempatkan kios kini di kawasan tumpuan ramai.

Bagi memastikan produk tersebut dikenali, pelbagai promosi dijalankan sebagai usaha menarik minat penduduk Kemboja bagi merasai keenakan burger jalanan yang begitu asing pada mereka, katanya.

“Setiap hari pasti akan ada kios-kios terpilih sekitar bandar menjalankan promosi istimewa termasuk pengedaran risalah tentang jenama Ziki’s Burger,” katanya.

Kini selepas dua bulan memulakan operasi, Ziki’s Burger berjaya menggandakan jumlah kiosnya menjadi 40 buah sejajar dengan sasaran menjadikan 100 buah kios menjelang hujung tahun ini.

Keenakan burger Malaysia

Sama seperti burger di negara ini, kualiti, rasa dan bentuknya tetap dikekalkan sebagai penanda aras.

Ciri-ciri keunikan burger jalanan, burger untuk semua lapisan masyarakat ditonjolkan supaya penduduk tidak rasa janggal dan hairan ia lebih murah berbanding harga ditawarkan di restoran.

Ban lembut, mayonis, salad, bawang menjadi pelengkap kepada daging burger keluaran Ramly yang diimport ke Phonm Penh.
BEBERAPA kakitangan Ziki's Burger melakukan promosi di jalan Phonm Penh termasuk menggunakan maskot berbentuk burger.

Rata-rata pelanggan yang merasai burger keluaran Ziki’s berpuas hati dengan rasa asli daging yang digunakan berbanding burger tempatan yang dijual di restoran.

Menurut Md. Arfizal, hasil maklum balas para pelanggan, kualiti daging yang enak menjadi pilihan kenapa mereka kembali memilih burger keluaran Ziki’s.

Faktor harga yang lebih murah berbanding burger yang dijual di restoran turut menyebabkan ia menjadi tarikan utama bagi warga Phonm Penh untuk tidak lokek mengeluarkan wang saku.

Pada harga semurah RM3.30, Ziki’s Burger mampu terjual kira-kira 500 biji sehari.

“Pelanggan kita berusia 40 tahun ke bawah dan kebanyakan yang menggemari produk kita merupakan remaja,” katanya.

Katanya, biarpun jenama Ziki’s Burger masih baru namun, dengan sambutan yang diberikan sejak ia diperkenalkan, beliau yakin burger keluarannya mampu bersaing dan berkembang menjadi jenama digemari.

“Kita tahu bukan mudah untuk kita ubah cara pemakanan sesuatu masyarakat, namun dengan perkembangan cara hidup masa kini yang lebih mendesak burger bakal menjadi pilihan masyarakat Kemboja,” katanya.

Salah seorang pelanggan, Chin Phearum, 23, berkata, kali pertama menikmati keenakan Ziki’s Burger membuatkan beliau tertarik dengan rasa daging sebenar yang berlainan dengan burger keluaran tempatan.

Katanya, rasa yang enak membuatkan beliau teruja untuk membeli kali kedua burger tersebut.

“Kami di sini jarang boleh menikmati burger kerana ia agak mahal jika hendak dibeli di restoran. Ada juga gerai yang menjual burger tetapi, mereka mengeluarkan daging yang dihasilkan sendiri. Rasanya kurang enak berbanding burger biasa,” katanya.

Sementara itu, mengenai cara memasak pula, Md. Arfizal berkata, ia dipantau mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pengeluar daging burger Ramly bagi menjamin keenakan daging tersebut tidak terjejas apabila dimasak.

Antara pilihan menu yang terdapat di kedai Ziki's Burger ketika ini ialah, burger ayam, daging, ayam dan daging istimewa.

Bagi menjaga aspek kualiti makanan, kios Ziki’s Burger diubah suai mengikut keperluan penduduk di sana.

“Kios-kios yang ditempah khas pada asasnya sama seperti kios-kios burger yang terdapat di Malaysia, cuma apa yang membezakan ialah ia lebih bersih dan dilengkapi sistem penyerap minyak dan asap,” kata Arfizal.

Menurutnya, para pekerja pula diwajibkan memakai uniform lengkap berserta dengan apron sebagai penampilan diri kemas dan bersih.
ZIKI'S menawarkan empat jenis burger di gerainya di Phonm Penh.
Ketika penyediaan makanan para pekerja diwajibkan menggunakan sarung tangan plastik bagi menjaga kualiti dan kebersihan burger yang hendak dibungkus sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Program untuk belia Islam

Program Pembangunan dan Pencapaian Usahawan Kecil (SEDAP) merupakan platform utama membantu belia-belia Islam Kemboja keluar daripada belenggu masalah kemiskinan.

Dengan menerapkan pembangunan kapasiti, belia-belia Islam Kemboja diberikan latihan menjadi usahawan kecil untuk berdikari.

Salah seorang pekerja Ziki’s Burger, Reh Vanny, 20, peluang yang diberikan amat bermakna buat dirinya.

Katanya, apa yang ditawarkan oleh majikannya itu jauh lebih baik dan mampu membuatkan beliau mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

“Sebagai kaum minoriti di sini tidak banyak yang boleh dilakukan terutama dalam bidang perniagaan. Apa yang ditawarkan oleh Ziki’s Burger terlalu istimewa untuk ditolak,” katanya.

Bagi Pengurus Besar Deminziki Kemboja, Fauzy Ahmad, menerusi SEDAP, belia-belia Islam Kemboja bakal dilatih membina kemampuan, ketahanan dan kemahiran perniagaan.

Buat permulaan 40 orang belia kini sedang dilatih menjadi usahawan kecil sehingga mereka betul-betul mahir dan kemudian bakal ditawarkan peluang membuka kios burger sendiri.

“Dengan membuka kios sendiri keuntungan jualan bakal dimiliki melalui penjualan burger,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Ziki's Burger boleh diikuti melalui laman web www.zikiburger.blogspot.com atau di laman sosial facebook.

SUMBER - KOSMO

Rabu, 28 September 2011

Cathay Pacific, Dragonair Nyaris Bertembung

HONG KONG: Dua pesawat yang berpangkalan di Hong Kong dengan lebih daripada 600 penumpang terselamat daripada bertembung antara satu sama lain selepas juruterbangnya dalam situasi kelam kabut bertindak balas terhadap isyarat amaran yang diterima.

Kapal terbang berkenaan masing-masing, Cathay Pacific Boeing 777 yang tiba dari New York dan Dragonair Airbus A330 dari Taiwan memaklumkan menara kawalan untuk melakukan pendaratan berikutan cuaca buruk, 18 September lalu, bagaimanapun, tersasar ke laluan pesawat bertentangan.

Pegawai syarikat penerbangan yang terbabit, berkata kedua-dua pesawat itu berada pada jarak 2,000 meter dengan ketinggian sama, barat daya Lapangan Terbang Hong Kong sebelum sistem pencegahan amaran dibunyikan.

Tindakan juruterbang Dragonair meletakkan pesawat yang membawa 284 penumpang dan 12 anak kapal dalam keadaan mendaki manakala Cathay Pacific yang membawa 299 penumpang dan 18 anak kapal menjunam berjaya mengelakkan sebarang kemalangan. – AFP

sumber - berita harian

Kapal bawa perak RM660.47 juta ditemui

KOMPAS yang terdapat pada kapal SS Gairsoppa yang karam itu.
AFP
LUBANG terbentuk akibat bedilan torpedo pada badan kapal SS Gairsoppa yang karam pada 1941.

TAMPA - Syarikat Odyssey Marine Exploration Inc kelmarin mengesahkan identiti dan lokasi sebuah kapal era Perang Dunia Kedua yang dipercayai membawa perak sebanyak tujuh juta auns.

Kapal itu, SS Gairsoppa karam selepas ditembak dengan torpedo oleh sebuah kapal Jerman pada Februari 1941.

Ia kini berada sedalam 4,700 meter di Laut Atlantik Utara kira-kira 500 meter dari perairan antarabangsa Ireland.

Kapal itu sepanjang 126 meter beroperasi untuk Kementerian Pengangkutan Perang United Kingdom.

Berdasarkan harga perak pada Jumaat lalu yang ditutup AS$30.10 (RM94.66) satu auns, kapal tersebut membawa perak yang mungkin bernilai AS$210 juta (RM660.47 juta).

Syarikat itu menyatakan ia merakamkan video dan gambar dari lokasi tersebut dengan menggunakan kenderaan kawalan jarak jauh.

Ia kini merancang untuk membawa harta karun itu ke daratan dengan operasi dijangkakan bermula pada 2012. - AP

sumber - kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya