Iklan

Rabu, 29 Januari 2014

ARTIKEL - AGRO - Ayam piru rendah lemak

Tempoh matang agak lama antara enam ke tujuh bulan menyebabkan penternakan ayam piru atau ayam belanda kurang mendapat perhatian.
Kos bahan makanan yang meningkat turut menjadi faktor ramai eng­gan menceburi industri itu. 
Berbeza dengan Mohd Zaki Zakaria, sifat berani mencuba sesuatu yang baru menyuntik minatnya mengusahakan penternakan ayam piru. 

Pernah berkhidmat dalam bidang perkapalan lebih 10 tahun membuat­kan dirinya cekal dalam mengharungi pelbagai risiko.

“Antara faktor yang mendorong pembabitan saya dalam industri penternakan ayam piru ini selepas melihat industri ini kurang diceburi usahawan Bumiputera,” katanya.

Bermula dengan 100 anak ayam piru, usaha­nya berbaloi apabila ternakannya mendapat sambutan baik pada musim perayaan terutamanya Krismas dan Deepavali. 

“Namun, saya tidak boleh bergantung kepada dua perayaan itu saja, sebaliknya meluaskan pasaran ke tempat lain,” katanya. 

Kos makanan yang semakin meningkat me­nyebabkan dia hampir berputus asa mengusahakan penternakan itu. 

“Alhamdulillah, hasil perbincangan bersama ahli keluarga, kami mencipta pelbagai produk hiliran daripada ayam ini,” katanya. 

Sesuai dengan latar belakang keluarganya yang terbabit dalam bidang katering, pelbagai menu ayam piru dihasilkan seperti sate, burger bakar, kebab dan nasi beriani. 

“Kami juga memasukkan semua produk dalam pakej menu katering. 

“Produk ini mula mendapat perhatian kerana ia jarang dijumpai di pasaran,” katanya. 

Dia mengakui, sebelum ini sambutan pengguna hambar terutama sate ayam piru kerana harganya yang tinggi berbanding sate ayam di pasaran. 

“Ketika sate ayam piru diperkenalkan tahun lalu, produk kami sukar dijual kerana harganya agak mahal iaitu RM1.50 secucuk. 

““Namun, kuasa beli yang semakin baik menyebabkan produk sate piru keluaran syarikat kami iaitu One Piru Best Resources semakin laris,” katanya. 

Katanya, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah baru-baru ini, pihaknya menjual sehingga 800 cucuk sate piru sehari. 

“Tahap kesedaran me­ngenai kesihatan yang semakin tinggi dalam kala­ngan masyarakat menjadi faktor ayam piru menjadi pilihan. 

“Ini kerana ia mempu­nyai lemak yang rendah berbanding ayam biasa,” katanya. 

Atas usaha gigihnya melayakkan dirinya menerima Anugerah Inovasi Industri Kategori Penternakan Peringkat Kebangsaan 2013. 

Kini, Mohd Zaki menternak lebih 200 ayam piru baka tempatan, Local Bronze di Kampung Sungai Baru, Alor Setar. 

Syarikat itu turut memproses benih anak ayam menggunakan sistem inkubator di ladang. 

“Saya juga ada me­nyediakan pakej khas bagi bagi sesiapa yang berminat menternak ayam piru termasuk inkubator, benih, makanan dan juga kursus berkaitan,” katanya. 

Beliau turut merancang melahirkan usahawan di bawah jenama Piru Best dalam sistem francais. 

“Usahawan boleh memilih menggunakan karavan dengan modal RM60,000 atau kios yang berharga RM5,000,” katanya. 

Anak didik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah ini turut me­nyasarkan membuka cawangan jualannya di setiap daerah di Kedah dan melebarkan sayap­nya ke seluruh negara tahun depan. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya