Sejarah Selangor
Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan di antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi. Ini menyebabkan kaum Minangkabau yang lebih dulu (100 tahun awal) datang dari Sumatra terpaksa berpindah.
Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir serta Perang Kelang ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.
Pada 1896, Residen Frank Swettenham bertanggungjawab menyatukan Selangor dengan Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan ibu negeri Selangor, Kuala Lumpur sebagai pusatnya.
Negeri-negeri Bersekutu ini menjadi Persekutuan Malaya pada 1948 dan seterusnya Persekutuan Malaysia pada 1963. Pada 1974, Selangor melepaskan Kuala Lumpur kepada kerajaan persekutuan untuk dijadikan ibu negara. Ini terjadi semula pada Putrajaya pada 1995.
Kini, Selangor seluas 7,956 km persegi dan mempunyai penduduk yang paling banyak di Malaysia. Pada 2005, Menteri Besar Selangor mengumumkan status negeri maju terhadap Negeri Selangor Darul Ehsan.
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan