Halau jin pakai CD
RUTIN harian Ahmad Husin, 35, seperti insan biasa lain. Usai bersarapan, pemegang diploma teknologi maklumat dari sebuah kolej tempatan ini bingkas bangun melayan pesakit yang bertandang ke premisnya yang terletak di hadapan Masjid Jumhuriyah, Taman Dato’ Haron, Petaling Jaya, Selangor.
“Ada rasa sakit kepala, dada, tulang belakang atau rusuk selepas waktu Asar?” soalnya pada pesakit lelaki berusia lewat 40-an itu.
Tebak Ahmad lagi setelah jawapan negatif diberikan, selalukah mendapat mimpi dipatuk ular, jatuh dari tempat tinggi atau berada di lokasi sunyi dan kotor?
Juga negatif jawapan pesakitnya, Ahmad menggunakan pula pendekatan refleksologi untuk mengesan gangguan jin dengan cara memicit telapak tangan, lengan, ibu jari kaki dan pelipat lutut.
Oleh kerana kesemua lokasi yang ditekan tidak meninggalkan sensasi mencucuk seolah-olah renjatan elektrik, pesakit tadi disahkan bebas daripada gangguan jin atau sihir.
“Mungkin rasa sakit-sakit dan lenguh badan ini disebabkan kecederaan lampau,” ujarnya menyampaikan resolusi.
Pengalaman selama lima tahun Ahmad dan keberkesanan rawatan terapi al-Quran membuatkan Ahmad dipercayai pesakit.
Menurutnya, terapi yang berteraskan Rukyah Assyariah iaitu ayat tertentu daripada al-Quran dan doa yang selari dengan syariat ini bukan bidang baru dalam perubatan Islam.
Memperoleh ilmu daripada gurunya di Kedah, Ustaz Abdul Malik Lazim, Ahmad berkata membacakan ayat-ayat Rukyah kepada pesakit adalah kaedah yang paling afdal dalam menyingkirkan jin daripada tubuh seseorang.
Panas
“Semasa dibacakan 20 ayat Rukyah, pesakit diminta memejamkan mata dan mendengar dengan tenang tetapi tidak dibenarkan mengikut bacaan tadi bagi memastikan ayat tersebut ‘masuk’ ke dalam badan.
“Selepas itu, hembus ubun-ubun pesakit begitu juga dua botol air mineral bersaiz besar yang disediakan pesakit setiap kali datang berubat,” katanya.
Tambah Ahmad, sebotol air tersebut perlu diminum pesakit selama tujuh hari manakala sebotol lagi dibuat mandi.
Ahmad menyifatkan semua gangguan jin sebagai satu bentuk sihir. Antara simptom terkena gangguan jin ialah pesakit akan kerap bersendirian, menangis, tubuh menggeletar, meracau, badan bertukar panas, terdapat seperti sesuatu bergerak di bawah lapisan kulit dan pitam.
Oleh sebab itulah, apabila anggota badan pesakit yang mendapat gangguan jin disentuh, lokasi jin melekat akan terasa panas dan menjadi keras.
Kekuatan serangan jin ke atas manusia berbeza-beza dan akan menjadi-jadi sekiranya kaedah menghalaunya berbaur syirik.
Jin berupaya masuk ke dalam badan seseorang menerusi liang roma atau anggota badan yang berongga.
“Tidak kiralah sama ada melalui rongga badan yang besar seperti hidung, telinga, mulut dan kemaluan, jin juga berupaya merasuk manusia menerusi liang peluh,” bicaranya.
Sehubungan itu, Ahmad menyarankan setiap premis ‘dipagar’ dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi mengelakkan diganggu atau membuang sihir yang sedia ada.
“Laungkan azan di tengah-tengah premis atau rumah dengan menghadap ke arah kiblat dan renjiskan kawasan sekitar dengan air bacaan ayat Kursi,” katanya.
Ahmad turut mengesyorkan agar tiada gambar hidup digantung di dalam premis kerana gambar itu ibarat magnet yang menarik jin untuk singgah ke dalamnya.
“Simpanlah gambar di dalam album sahaja,” cadang Ahmad.
Dalam pada itu, terapi audio turut digunakan Ahmad dalam merawat pesakit yang terkena gangguan jin.
“Cakera padat (CD) yang mengandungi bacaan ayat-ayat Rukyah boleh dipasang setiap hari selama sebulan untuk mencegah daripada terkena sihir,” tegasnya.
Kereta
Amalan mendengar CD Rukyah di dalam kereta bagaimanapun tidak digalakkan kerana dikhuatiri membahayakan pemanduan.
“Jika badan kita kemungkinan mempunyai gangguan jin, ia akan menyebabkan seseorang mengantuk dan mengundang berlaku kemalangan,” katanya yang tidak menolak amalan memasang CD di dalam kereta bagi individu normal yang tidak diganggu jin.
Ahmad turut menjelaskan tiada halangan untuk seseorang merawat gangguan jin secara persendirian berbekalkan bacaan ayat-ayat Rukyah.
“Kes gangguan ringan bolehlah dibuat sendiri dengan cara memasang CD ayat-ayat Rukyah bersebelahan dengan tiga botol air mineral yang dibuka penutupnya.
“Setelah selesai, minum air tersebut sebanyak tiga kali setiap hari sehingga habis,” ujarnya.
Tambah Ahmad lagi, pelbagai manfaat diperoleh menerusi amalan membaca ayat-ayat Rukyah.
“Ayat-ayat Rukyah sifatnya menenangkan minda, penerang hati dan membersihkan aura diri.
“Selain itu, ayat-ayat ini mampu mengurangkan pendarahan berpanjangan bagi wanita yang mengalami istihadah,” ungkapnya.
sumber:Akhbar Tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan