Mai La Usha usha apa yg ada ..uhuhuhuhuhuhu ......... - Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah pula kita menjadi langau yang boleh membusukkan daging..........."
Iklan
Jumaat, 14 Oktober 2011
Mencari kedamaian di belantara
KEADAAN Pusat Peranginan Eco Etno Agrotourism Long Mio yang berkabus pastinya menawarkan suasana nyaman dan mempesonakan.
SUDAH bosan dengan tempat percutian yang hambar dan menyajikan suasana serta aktiviti yang sama? Ingin mencari tempat percutian berbeza dan jauh daripada kebisingan serta hiruk-pikuk kota?
Resort Eco Etno Agrotourism Long Mio di Sipitang, Sabah menjanjikan satu kelainan yang pastinya tidak disediakan oleh pusat peranginan lain.
Terletak kira-kira 123 kilometer dari pekan Sipitang, ia satu-satunya pusat peranginan paling hampir dengan Kampung Long Pasia iaitu sebuah penempatan pedalaman bagi kaum Lundayeh.
Dengan melalui jalan balak hampir empat jam, pusat peranginan terletak di tengah-tengah hutan tebal tersebut merupakan pusat peranginan yang tentunya menjanjikan pengalaman berbeza.
Malah, pengunjung yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ pasti teruja disambut dengan bunyi cengkerik dan burung serta alunan arus sungai yang memecah kesunyian.
Suasana nyaman juga pasti terasa sepanjang masa di sana. Namun, bagi yang tidak tahan kesejukan, perlulah bersedia dengan baju tebal.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang, Ali Hassan Hamid berkata, pusat peranginan milik PPK itu mula beroperasi pada 2008.
Katanya, pemilihan lokasi berkenaan adalah berlandaskan kepada tiga elemen iaitu ekologi, etnologi dan agro yang kaya di kawasan itu.
Keindahan alam di situ bermula seawal perjalanan melalui jalan balak sejauh 70 kilometer dengan topografi yang berbukit dan berbatu.
Keadaan jalan yang agak licin pada musim hujan juga sangat mengujakan pemandu dan penumpang.
"Malah terdapat jalan balak lama yang sesuai dijadikan trail test power bagi kenderaan pacuan empat roda dan motor cross," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Dalam pada itu, kata beliau, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di kawasan yang kaya dengan flora dan fauna itu seperti melawat perkampungan Long Pasia yang menjadi pertemuan tiga sungai iaitu dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Jelasnya, selain menikmati keindahan sungai, pengunjung juga boleh melihat kehidupan dan budaya masyarakat Lundayeh yang begitu unik.
Bagi yang meminati aktiviti mencabar, laluan denai ke Tasik Sinopong yang terletak di atas Bukit Rimau setinggi 6,500 kaki dari paras laut sentiasa menanti.
"Berjalan kaki ke sana mengambil masa lima jam melalui denai rimba yang berbukit amat menyeronokkan kerana dapat melihat pelbagai pokok dan tumbuhan unik seperti paku-pakis gergasi dan pelbagai jenis orkid.
"Selain itu, kita juga dapat melihat pelbagai serangga dan haiwan belantara seperti monyet dan rusa yang berkeliaran,'' ujar beliau.
Katanya, bagi yang meminati aktiviti air pula boleh menyusur Ulu Sungai Padas menggunakan rakit dan kayak.
Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti berkelah dan memancing di sungai yang bukan sahaja indah tetapi kaya dengan pelbagai spesies ikan termasuk ikan kelah.
Dalam pada itu, Pengurus Pusat Peranginan berkenaan, Jamil Ebrahim berkata, terdapat dua jenis bilik VIP ditawarkan iaitu dengan kadar bayaran sebanyak RM80 dan RM120.
Terdapat juga asrama yang boleh memuatkan 50 orang dengan harga RM25 seorang selain pelbagai kemudahan disediakan seperti bilik mesyuarat, ruang terbuka dan juga restoran.
Sesiapa yang berminat untuk mencuba pengalaman menarik tersebut, boleh menghubungi pusat peranginan terbabit di talian 087-822177 atau 019-8500001.
sumber - utusan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan