Kesegaran sayur ditanam menggunakan sistem hidroponik bertingkat menarik minat pengunjung Ekspo Inovasi Malaysia (MIExpo) Universiti Putra Malaysia (UPM), akhir tahun lalu.
Kaedah yang digunakan itu membolehkan aktiviti pertanian dilakukan di mana saja termasuk di penempatan di bandar.
Bagi Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi, teknik pertanian itu digelar pertanian tanpa tanah.
Kekurangan kawasan pertanian di bandar dan harga makanan yang naik menyuntik minat penyelidik UPM itu membangunkan kaedah pertanian lebih sistematik.
Kekurangan kawasan pertanian di bandar dan harga makanan yang naik menyuntik minat penyelidik UPM itu membangunkan kaedah pertanian lebih sistematik.
TEKNIK tanaman takungan juga boleh digunakan di bawah sistem berkenaan.
Dr Abdul Shukor bersama kumpulan pensyarah dan penyelidik antara individu yang giat membangunkan pelbagai kaedah pertanian di bandar yang terhad.
Pegawai Pertanian Kanan Fakulti Pertanian UPM Ghazali Mohd Satar berkata, terdapat dua kaedah pertanian bertingkat iaitu melalui hidroponik (air ) atau bantal dengan menggunakan cocopeat atau gentian sabut kelapa.
“Sistem bertingkat ini adalah kaedah pertanian sayur di kawasan sempit.
“Contohnya di rumah teres, di halaman, pejalan kaki, bangunan atau pejabat,” katanya.
Menurutnya, bantuan cahaya Diod Pemancar Cahaya (LED) membantu proses fotosintesis bagi pokok.
“Jika tidak mendapat cahaya mencukupi, LED ini membantu pokok melakukan proses fotosintesis.
“Jika di luar kawasan yang mempunyai cahaya matahari mencukupi, kita tidak perlukan bantuan LED,” katanya.
Katanya, sistem tanaman bertingkat ini boleh digunakan untuk penanaman sayur seperti salad, sawi, kailan, manakala tanaman herba seperti pegaga dan daun kesum.
“Sabut kelapa itu adalah teknik penanaman secara fertigasi, selain pembajaan juga sama,” katanya.
Menurutnya, apa yang membezakan antara sistem hidroponik bertingkat dan fertigasi bertingkat adalah penggunaan air.
“Sistem fertigasi menggunakan air sedikit, tetapi hidroponik, penggunaan air banyak,” katanya.
Kelebihan kepada sistem pertanian bertingkat ini katanya ia boleh diletak takungan hidroponik di bawahnya.
“Bila ada ada takungan, kita boleh menggunakan sistem 3T atau tanam, tinggal dan tuai.
“Penjagaannya kurang tetapi hasilnya lumayan,” katanya.
Katanya, setiap takungan dalam sistem itu mengandungi lapan lubang yang boleh diletak beberapa jenis tanaman.
“Kita boleh tanam kangkung dan bayam bersama sebab setiap tingkat itu terdapat sedikit jarak,” katanya.
Struktur sistem berkenaan menggunakan besi sebagai bahan utama dengan kos kira-kira RM900.
“Harga itu lengkap dengan sistem pengairan, takungan dan tempat untuk menanam.
“Ini satu daripada sistem yang boleh menggalakkan orang menanam sayuran dan boleh mengurangkan kos,” katanya.
Melalui sistem itu, pengguna mendapat sayur yang sihat, segar dan secara terus dari punca di rumah.
“Anda boleh menggunakan baja organik atau kimia. Saya cadangkan baja Bacto 10 hasil penyelidikan UPM.
“Jika baja kimia, guna setakat keperluan saja,” katanya.
Untuk memudahkan aliran air, pengguna sistem ini boleh menggunakan pam akuarium bernilai RM50.
Katanya, hasil tanaman melalui sistem itu sama jika menggunakan kaedah tanah.
“Dalam tempoh sebulan, kita boleh memungut hasil. Tanaman diletak di depan atau belakang rumah bukan saja baik dan kurang kerosakan berbanding ditanam di luar rumah,” katanya.
Lebih mustahak katanya, pengguna tahu apa jenis sayuran yang dimakan.
“Kalau di pasar kita tidak tahu petani menggunakan bahan apa untuk tanaman mereka, jadi ia lebih selamat kepada kesihatan,” katanya.
Katanya, UPM kini giat mempromosikan sistem pertanian bertingkat melalui pameran apatah lagi menjadi perintis projek Pertanian Bandar.
SUMBER:HARIAN METRO
1 ulasan:
tanam sayur tak susah sangat... cuma setengahnya tak minat berkebun.
Catat Ulasan