Iklan

Rabu, 24 Ogos 2011

Rosnah popularkan kuih cak, beka.....nyummmm....nyummmm....nyummmm....



ROSNAH memanggang kuih beka iaitu sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula merah dan santan.

JIKA dilihat pada rupa bentuk dan cara pembungkusannya, pasti ramai yang menyangka dua jenis kuih yang dibalut dengan daun pisang dan daun nipah itu adalah pulut udang atau otak-otak.

Malah, jika dibuka kulit dan melihat isinya, ramai yang mula yakin bahawa kuih yang terhidang itu adalah pulut udang atau otak-otak kerana bentuk isinya yang seakan-akan sama.

Namun tidak ramai yang tahu bahawa kedua-dua kuih berkenaan adalah kuih gedung cak dan kuih beka. kedua-duanya merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu utara yang semakin dilupakan.

"Kuih gedung cak adalah makanan tradisi orang utara seperti di Pulau Pinang dan Kedah, ia diperbuat daripada campuran tepung pulut, gula merah, kepala parut, gula putih dan garam.

"Apabila masak, isinya kelihatan seperti otak-otak kerana ia dibalut dengan dauh nipah tetapi rasanya manis," kata Rosnah Shaari, 53, yang masih mengusahakan jualan tradisi itu di rumahnya di Kampung Pelandok Jatuh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut Rosnah, dia yang dibantu anaknya, Yusliza Md. Yusof, 33, mahu memperkenalkan kembali kuih berkenaan setelah mendapati ia semakin dilupakan oleh masyarakat terutama generasi muda.

Malah katanya, kuih tersebut yang dahulunya kerap dihidangkan pada majlis-majlis keraian atau doa selamat kini semakin sukar diperoleh kerana tidak ramai yang mewarisi cara membuatnya.

Mengenai kuih beka pula, Rosnah memberitahu ia adalah sejenis kuih tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Banjar.

Wanita yang berdarah Banjar itu mempelajari cara-cara membuat kuih berkenaan daripada ibunya suatu ketika dahulu.

Sukar diperolehi


KUIH gedung cak yang semakin dilupakan oleh generasi muda masa kini.

"Kuih beka mempunyai dua warna iaitu coklat keperangan dan putih. Ia juga mempunyai dua rasa iaitu manis dan lemak masin.

"Kuih ini dibalut di dalam daun pisang dan dibakar sama seperti membakar pulut udang," jelasnya. Kuih beka diperbuat daripada tepung beras, santan dan gula merah.

Menurut Rosnah, dia kini banyak menerima tempahan daripada kenalan dan jiran-jiran yang ingin mendapatkan juadah berkenaan sepanjang bulan Ramadan kerana kuih tersebut amat sukar untuk ditemui terutama di bazar-bazar Ramadan.

Yusliza pula memberitahu, dia bangga dapat mempelajari cara membuat kedua-dua kuih tradisional itu, malah berhasrat meluaskan jualan tersebut.

"Saya bangga kerana dapat belajar daripada mak dan jika ada permintaan untuk tempahan boleh hubungi saya di talian 017-4975 667," kata Yusliza. -

Sumber-Kosmo

Selasa, 23 Ogos 2011

Pantai Kaca (Glass Beach)





Glass Beach (Pantai Kaca) adalah sebuah pantai unik dan pelik yang berada di Fott Bragg, California. Mengapakah dikatakan ia unik dan pelik? Pada pandangan pertama melihat pantai ini, pasti tiada banyak bezanya dengan pantai-pantai lain, tetapi jika kita mengambil segenggam dari pasirnya, anda akan melihat butiran-butiran kaca yang cantik ditapak tangan anda. Ya, sememangnya dipantai tersebut, pasir-pasirnya kebanyakannya adalah kaca dan sebab itulah dikatakan ianya unik.

Pada asalnya pantai ini adalah sama seperti pantai-pantai yang lain, tetapi pada awal tahun 1949, kawasan pantai itu dijadikan tempat untuk melupuskan sampah secara terbuka. Sejak dari itu, penduduk disitu dengan sesuka hatinya membuang sampah dipinggiran pantai tersebut. Mereka membuang segala jenis sampah-sampah ke situ termasuklah bertan-tan kaca, barangan rumah, dan juga kereta!

Keadaan pada masa itu sangat menyedihkan sehinggalah pada tahun 60-an, terdapat beberapa percubaan untuk mengawal pembuangan sampah secara berleluasa dan bagi pembuangan sisa tosik, dilarang sama sekali. Akhirnya pada tahun 1967, Kerajaan pada ketika itu menyedari bahawa pembuangan sampah tersebut adalah kesilapan besar dan seterusnya melarang pembuangan sampah ke situ dan juga menutup tempat itu serta merta.



Sekarang, setelah 30 tahun terbiar, alam semula jadi telah mengubah semula keadaan pantai itu. Bertahun-tahun ombak yang memukul telah menghakis sampah-sampah yang terdapat disitu dan telah merubah kaca-kaca menjadi kecil, lembut dan berwarna yang meliputi pantai itu ketika ini. Walaupun begitu masih terdapat kesan-kesan sampah yang masih tidak terhakis contohnya spark plug yang terdapat disekitarnya tetapi anda boleh lihat jutaan kaca kecil yang berwarna-warni melitupi seluruh pantai tersebut. Pantai ini unik bukanlah ianya hasil buatan manusia, tetapi ianya unik kerana alam semula jadi yang merubah kesilapan manusia sebagaimana ombak yang memukul tebing pantai itu selama bertahun lamanya telah menghakis sampah dan seterusnya menjadikan ia 'hidup' kembali.



Pada tahun 2002, California State Park System telah membeli 38 ekar tapak pantai kaca tersebut dan menyerahkan tugas pembersihan semula kepada Mackerricher State Park. Kawasan ini kerap dilawati oleh pengunjung walaupun ia masih belum dibuka secara rasmi. Tetapi apa yang pasti, para pengunjung pasti merasa kagum akan pantai tersebut dan membawa pulang kaca-kaca yang unik.
















Isnin, 22 Ogos 2011

Tradisi Masjid Kampung Hulu...





MASJID Kampung Hulu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka sudah berusia 283 tahun. Rumah Allah yang dibina oleh seorang pendatang dari negara China itu sudah merentasi beberapa zaman. Namun, reka bentuk dan struktur konkritnya masih utuh dan tersergam indah.

Masjid Kampung Hulu tidak pernah sunyi sehingga kini. Alunan ayat-ayat suci al-Quran sentiasa bergema di corong-corong pembesar suara.

Para jemaahnya pula merentasi benua. Wajah-wajah unik dari Tanah Arab mahupun dari China sesekali mendominasi ruang masjid tertua di Melaka itu. Ketika Ramadan, syiar Islam di Masjid Kampung Hulu dikatakan lebih terkesan dan terserlah.

Baru-baru ini penulis bersama jurufoto, Abdul Razak Latif berpeluang merasai aura Ramadan di sana. Sebaik para jemaah selesai menunaikan solat Asar, para jemaah lelaki berkumpul di beberapa sudut masjid.

Ada yang sibuk menyusun pinggan mangkuk dan cawan plastik. Tidak kurang pula yang berhempas-pulas mengalih dan mengangkat beberapa periuk besar dari bara api.

Seorang budak lelaki pula sedang sibuk mencedok bubur lambuk. Sementara lelaki yang serius wajahnya, khusyuk menyusun kurma di atas sebiji pinggan.

Selepas itu, datang seorang lelaki berkulit sawo matang dan berketayap mengangkat dua biji dulang yang dipenuhi nasi dengan kedua-dua belah tangannya.

Pada petang yang mendung itu, rumah Allah itu bertali arus didatangi oleh pelbagai manusia yang entah dari mana. Mereka dilihat menghantar bungkusan makanan. Tanpa sebarang pesan, mereka meletakkan bingkisan itu di tepi tangga dan terus beredar.

Sukarelawan masjid

Namun seorang lelaki India Muslim yang memikul beberapa kampit beras sempat membisikkan sesuatu kepada seorang pegawai masjid.

“Ya, pada bulan Ramadan ini, ramai datang bersedekah, murah rezeki masjid ini, Alhamdulillah.


KATA Abdullah, Masjid Kampung Hulu merupakan satu-satunya masjid di Melaka menggunakan beduk untuk menandakan azan Maghrib sudah masuk waktu.

“Sekarang, saya dan beberapa sukarelawan masjid sedang menyediakan persiapan untuk berbuka puasa untuk para jemaah, tapi sebenarnya kita dah mula sejak awal pagi,” kata norja Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abdul Kadir, 62, kepada Kosmo!.

Hubungan antara masjid itu dan Abdullah sangat akrab. Dia mengetahui serba-serbi mengenai rumah Allah tersebut.

Topik perbualan kami pada petang itu terarah tentang rutin Ramadan di masjid tersebut. Kata anak jati Melaka ini, Masjid Kampung Hulu masih mengekalkan stail makan dalam dulang sejak hampir tiga abad yang lampau.

“Zaman dulu, masjid ini pakai material yang dibawa khas dari China tapi sekarang semua dah pecah.

“Sehingga kini, kita tak pernah terfikir untuk ubah tradisi itu (makan dalam dulang), cuma jemaah perempuan saja kita tukar makan pakai pinggan tapi jemaah lelaki tetap sama,” jelasnya yang dilantik menjadi norja sejak 12 tahun lalu.

Abdullah tidak berseorangan dalam mengurus masjid itu. Dia dibantu oleh seramai lima hingga lapan sukarelawan yang ikhlas dan tidak kisah melakukan kerja-kerja secara percuma.

Pada setiap hari, norja memberitahu, 50 dulang makanan disediakan untuk majlis berbuka puasa. Sebanyak 40 dulang untuk lelaki dan bakinya untuk jemaah wanita.

“Menu kita ialah nasi bukhari, nasi putih, kari, kurma, tembikai, air panas dan air sejuk. Selebihnya datang daripada orang ramai dan akan diagih-agihkan secara adil kepada semua orang,” ujarnya yang membeli keperluan melalui dana masjid dan hasil derma orang ramai.

Apakah menariknya makan sedulang? Menurut pendakwah bebas, Hashim Awaludin, makan secara berjemaah akan mewujudkan hubungan yang baik.

“Makan sedulang berupaya mengeratkan hubungan sesama insan.

“Rasulullah sering makan sedulang dengan anggota keluarganya kerana Maha Pencipta menjanjikan keberkatan kepada mereka yang mengamalkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Cerita musafir

Melihat jemaah yang berwajah asing, berbeza pemakaian dan loghat percakapan, Abdullah ditanya tentang tetamu-tetamu Allah itu.

“Ya, ada antara mereka terdiri daripada musafir yang datang dengan tujuan. Tidak ketinggalan ada orang yang sesat dan yang bermunajat, kita sambut dengan hati terbuka” katanya.


SETIAP hari, pihak masjid akan menyediakan 50 dulang untuk para jemaah yang datang bertandang ke sini.

Abdullah terus bercerita. Ujarnya, sejak zaman berzaman, setiap kali Ramadan, masjid itu akan diimarahkan dengan ibadah yang tidak pernah putus sejak fajar mula menyingsing sehingga lewat pagi.

Jemaah bukan saja didorong menunaikan solat sunat tarawih dan bermoreh, tetapi diajak bersama-sama menyemarakkan majlis witriah.

“Witriah adalah bacaan puji-pujian kepada Allah pada bulan Ramadan dan kalau hendak tahu, Masjid Kampung Hulu saja merupakan satu-satunya masjid yang mengekalkan amalan ini,” ujar Abdullah.

Hal itu diakui oleh Setiausaha Biro Ekonomi Masjid Kampung Hulu, Yusop Tambri. Yusop yang juga kariah masjid tersebut sejak berumur 12 tahun berkata, tempat ibadat itu sememangnya dekat di hati masyarakat Kampung Hulu.

“Masjid ini sungguh istimewa dan gemar dilawati umat Islam lebih-lebih lagi terdapat makam Sayyid Abdullah Al-Haddad,” katanya. Sayyid Abdullah Al-Haddah ialah seorang guru agama dan mempunyai ilmu tasawuf yang tinggi. Beliau dianggap sebagai wali Allah pada sekitar tahun 1800-an.

Sedar tidak sedar, langit semakin gelap. Itu menandakan azan Maghrib akan berkumandang pada bila-bila masa.

Abdullah mengenakan songkok lantas menaiki tangga untuk memukul beduk yang terletak betul-betul di atas gerbang masjid.

Layanan baik

Dia tidak hentam kromo mengalunkan irama sebaliknya nada irama yang dipalunya ada oktaf tersendiri.

“Beduk atau gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat pada zaman dulu hanya terdapat di masjid ini,” katanya sambil memberitahu paluan beduk hanya layak disempurnakan oleh pegawai masjid sahaja.

Sebaik azan dilaungkan, kurma dijamah dan tanpa mengenal latar belakang, empat individu berkongsi nasi yang dihidangkan dalam satu dulang.

Sudah terbiasa makan di masjid, seorang jemaah Myanmar yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, memberitahu, kemiskinan hidup telah mengheretnya ke masjid tersebut.

“Saya bersyukur kerana orang masjid di sini melayan orang luar dengan baik,” katanya.

Seorang jemaah wanita, Latifah Awang, 51, berkata, masjid itu telah mengikat hubungan persaudaraan dengan para jemaah lain.

“Selain gembira makan bersama, kami sesama jemaah sudah menjadi kawan baik,” katanya yang sering ke masjid tersebut sejak dua tahun lalu.

Siti, 27, yang tinggal di Peringgit, Melaka pula sanggup hadir ke masjid kerana baginya aura masjid itu sungguh mempesona dan sukar didapati di mana-mana.

Meskipun Masjid Kampung Hulu dikelilingi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina, ia sedikit pun tidak mengganggu keharmonian masjid ini.

Seperti kata Yusop: “Orang Cina di sini tak pernah merungut sebaliknya mereka sentiasa mengharapkan masjid ini meriah. Mereka kata itu boleh dijadikan sebagai panduan mereka bangun untuk mula bekerja.”

Sumber:Kosmo

Kurma Oh Kurmaaa.........Buah Kormaaaak.....

Jangan tertipu kurma RM1



PERBEZAAN kurma tiruan (kiri) dan kurma asli yang kelihatan segar.

GEORGE TOWN – Permintaan tinggi buah kurma semasa bulan Ramadan menyaksikan ada segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual buah kurma yang dicampur dengan bahan pemanis.

Kebiasaannya, cara ini diamalkan oleh peniaga yang menjual buah kurma secara pukal atau timbang dengan harga yang lebih rendah.

Difahamkan, peniaga atau pemborong ini mengimport buah kurma yang berkualiti rendah secara pukal sebelum diproses bagi membolehkan buah kurma ini dijual semula.

Kosmo! diberitahu, buah-buah kurma ini digaul dengan gula merah dan disimpan beberapa lama untuk sebati sebelum dicampur semula dengan buah kurma kualiti sederhana.

“Hasilnya, buah kurma kualiti rendah ini akan terasa manis seperti kurma sebenar (buah kurma yang berkualiti baik) tapi sebenarnya ia telah dicampur gula merah.

“Buah kurma jenis ini dijual secara timbang dan banyak dijual di kedai-kedai runcit atau gerai kaki lima sepanjang Ramadan,” ujar sumber yang memberitahu pernah mempraktikkan kaedah tersebut.

sumber:Kosmo

Jumaat, 19 Ogos 2011

Bora Bora

Cantiknya pantai bora-bora ni...

















Cabaran berdepan waris si mati

BERDEPAN dengan mayat setiap hari bukan satu perkara yang mudah apatah lagi bukan semua individu mampu berteman dengan orang mati dalam tugasan harian.

Namun, kerja-kerja pengurusan mayat sudah lali ditempuh oleh seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), Roesmal Azwan Abd. Malik, 33, yang hampir setahun berkhidmat dengan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Rutin harian Roesmal bukan hanya memindahkan mayat dari wad ke bilik mayat sahaja tetapi sebagai PPK, lelaki yang berasal dari Kelantan itu juga membantu doktor dan pegawai perubatan melakukan bedah siasat.

Kerja-kerja bedah siasat seringkali divisualkan sebagai berbahaya dan memerlukan ketelitian, apatah lagi jasad yang dibedah siasat itu kebanyakannya berada dalam keadaan menyedihkan.

"Forensik HKL banyak menguruskan kes-kes kematian melibatkan perundangan (medico legal) seperti jenayah ataupun kemalangan.

"Jadi membedah siasat mayat yang tidak lengkap anggota badan, fizikal hancur dan sebagainya sudah sebati dalam tugasan kami," jelasnya yang memberitahu sekurang-kurangnya tujuh mayat perlu dibedah siasat setiap hari.

Mayat akibat nahas jalan raya seringkali berada dalam keadaan fizikal yang meruntun jiwa sehingga ada yang tidak menyerupai bentuk manusia langsung.

Menyedari kesukaran berdepan dengan waris mangsa yang menuntut mayat tersebut, forensik HKL mengambil langkah proaktif dengan menyempurnakan mayat itu.

Anggota-anggota tubuh yang tercerai akan dijahit sebaik mungkin bagi mengelakkan penderaan emosi terlampau dalam kalangan waris si mati.

Momen paling diingati Roesmal adalah saat menjalankan autopsi ke atas mayat yang telah lama disimpan kerana bau busuk mayat tersebut ternyata menganggu konsentrasi kerjanya.

"Bau mayat tersebut memang tidak dapat ditahan dan saya rasa boleh membuatkan orang muntah walaupun memakai topeng mulut.

"Bayangkan selama dua jam bedah siasat dijalankan, saya cuba menghilangkan rasa tidak selesa itu tetapi lama-kelamaan bau tersebut hilang begitu sahaja," ujarnya.

Momokan kisah mistik

Logik di sebalik kisah spiritual pula dirasakan tidak boleh boleh diguna pakai memandangkan tiada gangguan melampau diterima oleh pekerja-pekerja rumah mayat tersebut.

"Gangguan makhluk halus ada di mana-mana, jadi tidak wajar orang menganggap rumah mayat penuh dengan kisah-kisah mistik.

"Persepsi orang ramai terhadap pekerja rumah mayat juga sebenarnya meleset kerana wajah-wajah kami tidaklah pucat seperti mayat seperti diperkatakan ramai orang.

"Setakat ini kesemua petugas di sini tidak berdepan masalah besar dengan mayat tetapi selalunya masalah melibatkan waris si mati," jelasnya.

Bercerita tentang jenis-jenis mayat di forensik HKL, Penolong Pegawai Perubatan jabatan tersebut, Zainorden Tamat, 41, menjelaskan mayat-mayat diterima mereka terdiri daripada medico legal dan mayat biasa.


HKL tidak menggunakan bahan pengawet ke atas mayat sebaliknya mayat hanya disimpan di dalam peti ais.

Menurut Zainorden, jenazah medico legal dibahagikan kepada dua kategori iaitu membabitkan jenayah seperti bunuh dan bukan jenayah seperti kemalangan, kebakaran dan lain-lain.

"Kita juga mengendalikan mayat-mayat pesakit yang mati di wad iaitu selepas satu jam dari waktu kematian, mayat akan dibawa PPK ke bilik mayat.

"Waris akan dihubungi dan mayat tersebut akan dituntut selepas proses pengecaman dijalankan.

"Bagi mayat yang tidak berwaris, kita akan tunggu sehingga tiga hari bagi mereka beragama Islam dan 14 hari bagi agama lain sebelum ia diuruskan pihak kami," ujar Zainorden yang berkhidmat di HKL selama 16 tahun.

Mayat Islam yang tidak dituntut itu akan diserahkan kepada pejabat khas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di HKL bagi menguruskan kes-kes tersebut.

Mayat Medico Legal

Si mati yang diuruskan tidak hanya sendirian tanpa waris, malah ada juga yang tidak diketahui identiti menyebabkan pengkebumian mereka dilakukan di kawasan lapang seperti di tanah perkuburan Jalan Karak.

Begitu juga dengan mayat agama lain. Selepas usaha mengesan waris menemui kegagalan, mayat tersebut akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum dibakar di tempat pembakaran di Cheras.

Menyelak kes-kes medico legal, Zainorden merungkaikan bahawa majoriti mayat membabitkan urusan polis dan urusan mahkamah perlu menjalani proses bedah siasat.

Rasional bedah siasat dijalankan bertujuan mencari punca kematian si mati sama ada melibatkan jenayah atau sebaliknya, tetapi ia hanya dijalankan jika surat arahan daripada pihak polis dikeluarkan.

"Jabatan kami akan menjalankan bedah siasat mengikut kalendar mahkamah bagi kes-kes jenayah seperti pembunuhan.

"Disebabkan kematian individu tersebut melibatkan perundangan, maka mayatnya terpaksa disimpan sehingga surat kebenaran untuk melupuskan mayat dikeluarkan," ujar Zainorden lagi.


HKL pernah menyimpan mayat sehingga enam bulan bagi kes medico legal.
Pihaknya juga pernah menyimpan mayat membabitkan kes medico legal selama enam bulan.

Suhu peti ais menyimpan mayat adalah di antara 2 darjah Celcius hingga 8 darjah Celsius tanpa menggunakan bahan pengawet.

Menurut Zainorden, mengawet mayat di HKL bagi mengekalkan ciri-ciri fizikal mayat adalah ditegah dan mereka tidak mampu untuk menyekat proses pereputan sekiranya mayat disimpan terlalu lama.

Kematian ahli keluarga merupakan detik paling tidak ingin dihadapi oleh semua orang, namun ia adalah ketentuan yang tidak dapat dielakkan.

Petugas bilik mayat jabatan itu tidak hanya berhadapan cabaran autopsi dan pengurusan mayat, malah turut diduga dengan reaksi waris si mati.

Seorang lagi Penolong Pegawai Perubatan HKL, Zaidun Che Mat, 47, menyatakan, berdepan dengan keluarga si mati antara situasi paling sukar memandangkan kes-kes kematian medico legal adalah mengejut dan keadaan mayat yang tidak sempurna.

"Tidak semua autopsi dapat melengkapkan semula fizikal mayat kerana ada jasad yang memang langsung tidak dapat diselamatkan.

"Waris yang melihat si mati yang dalam keadaan menyayat hati sukar menerima kenyataan dan menyebabkan mereka meraung hingga pihak kami terpaksa menenangkan keadaan.

"Sehubungan itu, kami menyediakan bilik khusus yang dipanggil Bilik Menangis untuk waris mangsa bertenang sehingga mereka berkeupayaan meneruskan proses tuntutan mayat," ceritanya yang telah 13 tahun menyaksikan pelbagai situasi menyedihkan.


Bisnes acuan kuih Melayu Man Ah






LELAKI Tionghua berkemeja kolar putih dan berseluar pendek itu begitu khusyuk membaca surat khabar di satu sudut tersembunyi di kedainya. Memang resam rakyat Melaka yang ramah-tamah, Lee Man Ah menyambut penulis dan jurufoto, Abdul Razak Latif dengan tangan terbuka saat kami menyapanya.


Bagi penduduk negeri Hang Tuah itu, premis Man Ah yang beralamat di DI-T, 1064, Kampung Jawa, Melaka sangat istimewa. Dari aspek luaran, kedai yang terletak di lokasi paling hujung antara 20 kedai di premis klasik Kampung Jawa nampak sedikit usang.



MAH AH bukan sekadar berniaga tetapi beliau dan isterinya mengetahui cara-cara menggunakan peralatan dan mengadun resipi kuih-muih tradisional Melayu.

Sebahagian dinding kedai masih kekal dengan binaan papan. Pintu besi kedai juga jelas menggambarkan betapa premis itu sudah berpuluh tahun usianya.

Setiap peralatan yang dijual dibiarkan begitu saja. Namun, lebih banyak yang dibalut kemas dengan plastik jernih dan diikat rapi dengan tali rafia.

Man Ah nampaknya lebih mengharapkan udara segar yang bertiup selain kipas antiknya. Dia dan isterinya, Chin San Moon, 60, seperti tidak berminat menggunakan pendingin hawa.

"Kita sudah lama berniaga, kita selesa macam ini," kata Man Ah ringkas kepada Kosmo!.

Apakah tarikan premis yang dimiliki oleh pasangan suami isteri itu sebenarnya? Di kedai tersebut terdapat segala acuan atau peralatan kuih-muih tradisional Melayu. Adakalanya, kuih yang jarang diketahui oleh muda-mudi masa kini, boleh didapati di kedai tersebut.

"Tadi awak tanya saya berapa banyak jenis acuan kuih yang dijual di kedai ini, ia terlalu banyak sampai saya sendiri tak ingat, tapi yang pasti, ada jenis acuan yang kuihnya tak dibuat orang lagi," ujar Man Ah yang terpaksa mengambil masa seketika untuk membalas pertanyaan yang diajukan.



SAN Moon dan suaminya, Man Ah sudah hampir tiga dekad mengusahakan bisnes menjual acuan kuih-muih tradisional masyarakat Melayu.

Lelaki yang berusia lewat 60-an yang fasih berbahasa Melayu itu memberitahu, dia menjalankan perniagaan tersebut sejak di bangku sekolah. Melihat dia dan isterinya yang berketurunan Tionghua mengusahakan bisnes sebegini, secara peribadi penulis beranggapan, ia merupakan sesuatu yang unik.

Apakah yang mendorong mereka menjalankan perniagaan tersebut?

Dahulu bapanya yang juga seorang ahli perniagaan pernah terlibat dalam menyediakan kelengkapan bagi upacara tradisi masyarakat Minangkabau.

"Saya masih ingat lagi, untuk menjalankan adat pepatih mereka minta kita menyediakan beberapa peralatan termasuk dulang air dan dulang nasi bersaiz besar yang kini sudah tiada lagi.

"Sejak itu, saya belajar mengenai adat orang Melayu dan mulakan perniagaan menjual acuan dan peralatan kuih tradisional Melayu," jelas bapa kepada dua anak ini.

Anak jati Melaka itu galak menerangkan setiap acuan kuih yang terdapat di kedainya. Dia memperkenalkan satu persatu jenis acuan yang dipamerkan di meja kayu di hadapan lot kedainya.

Tambah kapasiti


ACUAN aluminium kuih tart dan sarang semut hanya berharga 50 sen sahaja.

Di situ, terdapat acuan kuih tart aluminium dan plastik, rempeyek, ros, samprit, kuih lompang, kuih ku dan roti jala.

Selain itu, terdapat acuan membuat kuih serabai, kuih bahulu, kuih sepit, muruku, putu mayang, kuih bakar dan banyak lagi. Semuanya datang dalam pelbagai saiz. Ada yang diperbuat daripada tembaga, besi dan kayu termasuk jenis plastik.

Pada musim perayaan terutama pada hari raya, kesemua peralatan ditambah jumlahnya memandangkan terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan.

Namun beritahu Mah Ah, daripada banyak jenis, acuan yang paling istimewa di kedainya ialah kuih bakar Bombay.

Acuan yang diperbuat daripada tembaga itu yang berharga RM220 difahamkan sukar didapati di negara ini.

Acuan kuih tembaga


KUIH sepit antara kuih tradisional yang masih mendapat tempat di hati masyarakat.

"Acuan ini ada juga diperbuat daripada besi biasa. Tapi ia jenis tembaga, ia datang dengan penutupnya sekali, orang-orang lama suka masak kuih bakar menggunakan alat tembaga kerana rasanya sangat sedap bila dibakar dengan arang.

"Kalau pilih jenis besi, rasanya lain, itu sebab ia jenis tembaga menjadi pilihan utama," terangnya sambil membelek-belek peralatan itu yang dibungkus dengan plastik jernih bagi mengelak ia berhabuk.

Kepada mereka yang gemarkan peralatan antik, anda pastinya ghairah sekiranya bertandang ke lokasi milik Man Ah dan San Moon ini.

Tidak hanya membekalkan acuan kuih-muih tradisional sebaliknya lot kedai tradisi itu menjual peralatan-peralatan tradisional lain.

Antaranya, bekas nasi kukus yang diperbuat daripada besi dan kayu, alat membuat cendol, alat memarut kelapa, bekas air basuh tangan, lesung batu, alatan mengukus, kuali, periuk, senduk, tepak sirih dan variasi pisau dan parang.


KETUHAR lama yang sukar didapati sekarang boleh didapati di sini.


Paling mencuri tumpuan penulis ialah ketuhar zaman 80-an yang dijual dengan harga RM70 sahaja.

"Dulu kita jual peralatan jenis tanah liat yang diperbuat daripada tempurung seperti acuan buat kuih serabai ni, tetapi sekarang susah betul nak dapat," katanya yang memperoleh semua produknya di merata-rata tempat di negara ini.

Kedua-dua pasangan itu tidak sekadar menjual. Mereka mempunyai pengetahuan yang sangat luas tentang cara menggunakan peralatan kuih-muih yang dijual.

"Untuk alat kuih sepit ini, kena letak minyak dan panaskan terlebih dulu, kemudian letak adunan tepung di dalamnya, bersihkan sisa-sisa yang terkeluar, kepitkannya dan bila sudah nampak kekuningan, itu bermakna ia sudah masak," terang San Moon kepada penulis yang teruja dengan penerangannya.

Sementara itu, bagi acuan roti jala, wanita itu memberitahu, alat itu juga boleh digunakan untuk membuat muruku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya