Mai La Usha usha apa yg ada ..uhuhuhuhuhuhu ......... - Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah pula kita menjadi langau yang boleh membusukkan daging..........."
Iklan
Jumaat, 19 Ogos 2011
Bisnes acuan kuih Melayu Man Ah
LELAKI Tionghua berkemeja kolar putih dan berseluar pendek itu begitu khusyuk membaca surat khabar di satu sudut tersembunyi di kedainya. Memang resam rakyat Melaka yang ramah-tamah, Lee Man Ah menyambut penulis dan jurufoto, Abdul Razak Latif dengan tangan terbuka saat kami menyapanya.
Bagi penduduk negeri Hang Tuah itu, premis Man Ah yang beralamat di DI-T, 1064, Kampung Jawa, Melaka sangat istimewa. Dari aspek luaran, kedai yang terletak di lokasi paling hujung antara 20 kedai di premis klasik Kampung Jawa nampak sedikit usang.
MAH AH bukan sekadar berniaga tetapi beliau dan isterinya mengetahui cara-cara menggunakan peralatan dan mengadun resipi kuih-muih tradisional Melayu.
Sebahagian dinding kedai masih kekal dengan binaan papan. Pintu besi kedai juga jelas menggambarkan betapa premis itu sudah berpuluh tahun usianya.
Setiap peralatan yang dijual dibiarkan begitu saja. Namun, lebih banyak yang dibalut kemas dengan plastik jernih dan diikat rapi dengan tali rafia.
Man Ah nampaknya lebih mengharapkan udara segar yang bertiup selain kipas antiknya. Dia dan isterinya, Chin San Moon, 60, seperti tidak berminat menggunakan pendingin hawa.
"Kita sudah lama berniaga, kita selesa macam ini," kata Man Ah ringkas kepada Kosmo!.
Apakah tarikan premis yang dimiliki oleh pasangan suami isteri itu sebenarnya? Di kedai tersebut terdapat segala acuan atau peralatan kuih-muih tradisional Melayu. Adakalanya, kuih yang jarang diketahui oleh muda-mudi masa kini, boleh didapati di kedai tersebut.
"Tadi awak tanya saya berapa banyak jenis acuan kuih yang dijual di kedai ini, ia terlalu banyak sampai saya sendiri tak ingat, tapi yang pasti, ada jenis acuan yang kuihnya tak dibuat orang lagi," ujar Man Ah yang terpaksa mengambil masa seketika untuk membalas pertanyaan yang diajukan.
SAN Moon dan suaminya, Man Ah sudah hampir tiga dekad mengusahakan bisnes menjual acuan kuih-muih tradisional masyarakat Melayu.
Lelaki yang berusia lewat 60-an yang fasih berbahasa Melayu itu memberitahu, dia menjalankan perniagaan tersebut sejak di bangku sekolah. Melihat dia dan isterinya yang berketurunan Tionghua mengusahakan bisnes sebegini, secara peribadi penulis beranggapan, ia merupakan sesuatu yang unik.
Apakah yang mendorong mereka menjalankan perniagaan tersebut?
Dahulu bapanya yang juga seorang ahli perniagaan pernah terlibat dalam menyediakan kelengkapan bagi upacara tradisi masyarakat Minangkabau.
"Saya masih ingat lagi, untuk menjalankan adat pepatih mereka minta kita menyediakan beberapa peralatan termasuk dulang air dan dulang nasi bersaiz besar yang kini sudah tiada lagi.
"Sejak itu, saya belajar mengenai adat orang Melayu dan mulakan perniagaan menjual acuan dan peralatan kuih tradisional Melayu," jelas bapa kepada dua anak ini.
Anak jati Melaka itu galak menerangkan setiap acuan kuih yang terdapat di kedainya. Dia memperkenalkan satu persatu jenis acuan yang dipamerkan di meja kayu di hadapan lot kedainya.
Tambah kapasiti
ACUAN aluminium kuih tart dan sarang semut hanya berharga 50 sen sahaja.
Di situ, terdapat acuan kuih tart aluminium dan plastik, rempeyek, ros, samprit, kuih lompang, kuih ku dan roti jala.
Selain itu, terdapat acuan membuat kuih serabai, kuih bahulu, kuih sepit, muruku, putu mayang, kuih bakar dan banyak lagi. Semuanya datang dalam pelbagai saiz. Ada yang diperbuat daripada tembaga, besi dan kayu termasuk jenis plastik.
Pada musim perayaan terutama pada hari raya, kesemua peralatan ditambah jumlahnya memandangkan terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan.
Namun beritahu Mah Ah, daripada banyak jenis, acuan yang paling istimewa di kedainya ialah kuih bakar Bombay.
Acuan yang diperbuat daripada tembaga itu yang berharga RM220 difahamkan sukar didapati di negara ini.
Acuan kuih tembaga
KUIH sepit antara kuih tradisional yang masih mendapat tempat di hati masyarakat.
"Acuan ini ada juga diperbuat daripada besi biasa. Tapi ia jenis tembaga, ia datang dengan penutupnya sekali, orang-orang lama suka masak kuih bakar menggunakan alat tembaga kerana rasanya sangat sedap bila dibakar dengan arang.
"Kalau pilih jenis besi, rasanya lain, itu sebab ia jenis tembaga menjadi pilihan utama," terangnya sambil membelek-belek peralatan itu yang dibungkus dengan plastik jernih bagi mengelak ia berhabuk.
Kepada mereka yang gemarkan peralatan antik, anda pastinya ghairah sekiranya bertandang ke lokasi milik Man Ah dan San Moon ini.
Tidak hanya membekalkan acuan kuih-muih tradisional sebaliknya lot kedai tradisi itu menjual peralatan-peralatan tradisional lain.
Antaranya, bekas nasi kukus yang diperbuat daripada besi dan kayu, alat membuat cendol, alat memarut kelapa, bekas air basuh tangan, lesung batu, alatan mengukus, kuali, periuk, senduk, tepak sirih dan variasi pisau dan parang.
KETUHAR lama yang sukar didapati sekarang boleh didapati di sini.
Paling mencuri tumpuan penulis ialah ketuhar zaman 80-an yang dijual dengan harga RM70 sahaja.
"Dulu kita jual peralatan jenis tanah liat yang diperbuat daripada tempurung seperti acuan buat kuih serabai ni, tetapi sekarang susah betul nak dapat," katanya yang memperoleh semua produknya di merata-rata tempat di negara ini.
Kedua-dua pasangan itu tidak sekadar menjual. Mereka mempunyai pengetahuan yang sangat luas tentang cara menggunakan peralatan kuih-muih yang dijual.
"Untuk alat kuih sepit ini, kena letak minyak dan panaskan terlebih dulu, kemudian letak adunan tepung di dalamnya, bersihkan sisa-sisa yang terkeluar, kepitkannya dan bila sudah nampak kekuningan, itu bermakna ia sudah masak," terang San Moon kepada penulis yang teruja dengan penerangannya.
Sementara itu, bagi acuan roti jala, wanita itu memberitahu, alat itu juga boleh digunakan untuk membuat muruku.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan