Iklan

Jumaat, 14 Oktober 2011

Pesisiran Sayong ikon pelancongan terbaharu


SEBAHAGIAN daripada pandangan indah pesisiran Sayong Kuala Kangsar yang terletak di tepi Sungai Perak.

KUALA KANGSAR 12 Okt. - Kawasan sekitar Persisiran Sayong yang menjadi antara mercu tanda di bandar diraja ini akan dipromosikan secara besar-besaran sebagai ikon pelancongan terkemuka selaras kempen Tahun Melawat Perak tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan, Datuk Wan Khairil Anuar Wah Ahmad berkata, walaupun belum mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong, usaha giat sedang dijalankan bagi mempromosikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang merangka strategi, termasuk cadangan membawa pelancong ke kawasan tersebut melalui Hentian Rawat dan Rehat Dataran Sungai Perak di Lebuh Raya Utara Selatan.

Beliau berkata, pelancong akan dibawa menaiki bot laju dari jeti yang sudah siap dibina berhampiran hentian tersebut.

"Pelancong akan melalui Sungai Perak, mudik ke hulu hingga ke Pesisiran Sayong untuk melihat suasana kawasan berkenaan yang menampilkan keistimewaan sebagai salah satu lokasi pelancongan baru di negeri ini," katanya di sini, hari ini.

Pesisiran Sayong merupakan kawasan pelancongan yang diwujudkan melalui inisiatif pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pada 2009 dengan melibatkan kos RM14 juta oleh Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain mempunyai landskap menarik, pelancong juga boleh mengunjungi beberapa lokasi menarik seperti bangunan Karyaneka, restoran terapung, jeti, kios kraf tangan dan galeri Sayong.

Wan Khairil Anuar memberitahu, kawasan itu berpotensi untuk berkembang selain keperluan pihak restoran di situ untuk menyediakan hidangan makanan yang lazat serta memenuhi selera pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.


p/s:rindunya dengan kg sayong lemboh....
sumber - utusan

Keunikan Yogyakarta & Solo


Candi Borobudur, keajaiban dunia yang mesti dikunjungi.

YOGYAKARTA, metropolitan kedua terbesar Pulau Jawa sememangnya terkenal dengan keunikan peninggalan sejarah serta budaya menjadikan pelaburan berkunjung ke destinasi itu amat berbaloi.

Di situ tersergam Candi Borobudur - salah satu keajaiban dunia yang termasy- hur terutama dari sudut kehebatan seni bina dan sejarah yang tersimpan rapi.

Candi yang berdiri gagah setinggi 42 meter itu berusia kira-kira 1,200 tahun adalah candi tertua dunia dengan seni bina masih utuh. Tentunya kunjungan ke Candi Borobudur menawarkan pengalaman tersendiri.

Begitu juga dengan Kuil Prambanan yang terkenal dengan keindahan sehingga ada yang memberi gelaran kuil tercantik di dunia. Terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar, kuil yang dibina pada kurun ke-10 itu mempunyai ketinggian sehingga 47 meter iaitu lebih tinggi berbanding Borobudur dan dikelilingi taman yang mempersonakan.

Jelajah Yogyakarta bukan sekadar keajaiban kuil-kuil purba. Terlalu banyak yang ditawarkan kepada pengunjung termasuk runtuhan istana bawah air Taman Sari yang juga dikenali sebagai Istana Air Taman Sari.

Tarikan lain daripada yang lain tentunya Gunung Merapi iaitu satu-satunya gunung berapi di Daerah Istimewa Yogyakarta. Biar pun berbahaya apabila meletus, namun Gunung Merapi mempunyai keistimewaan tersendiri, malah dalam keadaan selamat pengunjung boleh melakukan pendakian.

Jika anda mempunyai stamina, ketahanan fizikal dan mental, apa kata kunjungi Yogyakarta untuk mencuba pengalaman baru mendaki Gunung Merapi.

Puas menikmati keindahan ciptaan Tuhan di Gunung Merapi apa kata kunjungi pula Istana Sultan. Percaya atau tidak, Yogyakarta adalah satu-satunya daerah di Indonesia yang mempunyai sultan dan hampir separuh daripada istananya diubah menjadi tempat kunjungan pelancong.

Kepada yang gemar seni ukiran dan kraftangan tentunya mengunjungi Yogyakarta adalah pilihan yang tepat. Destinasi itu terkenal dengan seni ukir perak dan batik serta aktiviti membeli belah di Jalan Malioboro yang amat sinonim dengan pelbagai barangan kraf tangan dan pakaian murah tapi bermutu tinggi. Juga jangan lupa kunjungi Pasar Tradisional Beringharjo.

Untuk mengisi perut, pelbagai hidangan tempatan sememangnya tidak mampu ditolak kerana keenakan serta cita rasa tersendiri. Ayam Goreng Ibu Suharti misalnya amat terkenal di seluruh Pulau Jawa selain bakpia, kaplak dan nasi gudeg Jogja.

Lain-lain tarikan di Yogyakarta adalah Kota Gede, Kasongan, Pantai Parangtritis dan tarian balet Ramayana.

sumber - utusan

Rom bandar abadi


ROM merupakan ibu kota kepada Itali dan ia kaya dengan sejarah empayar Rom kuno dan kini ia dijadikan sebagai pusat Gereja Roman Katolik (Vatican City).

PARA pelancong dari seluruh dunia sebulat suara mengatakan Itali merupakan sebuah destinasi yang menarik untuk dikunjungi.

Negara tersebut amat kaya dengan sejarah yang telah bermula sejak ribuan tahun lamanya, selain struktur-struktur bangunan lama yang masih utuh menjadi tarikan utama pengunjung untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Jika anda bercadang untuk melawat negara paling terkenal di selatan Eropah itu, Itali yang turut disenaraikan dalam Warisan Dunia UNESCO, juga terkenal dengan hidangan yang enak, fesyen, kereta dan motosikal mewah serta kawasan pantai, tasik dan gunung-ganang (Alps dan Appennines) yang pastinya memuaskan untuk dikunjungi.

Itali terletak berhampiran dengan Perancis, Switzerland, Austria dan Slovenia. Ia turut dikelilingi oleh Laut Ligurian, Sardinian dan Tyrrhenian di bahagian barat manakala Sicily dan Laut Ionian pula di bahagian Selatan dan Laut Adriatic di sebelah timur.

Bahasa Itali merupakan bahasa utama yang digunakan tetapi pengembara boleh mendengar beberapa dialek-dialek berbeza yang turut digunakan di sana.

Pengunjung yang melawatnya boleh meluangkan masa dengan mengunjungi dua pulau utama iaitu Sardinia yang merupakan sebuah pulau dari pantai barat Itali dan Sicily yang berada di hujung bahagian selatan.

Bagaimanapun, lokasi bandar utama Itali iaitu Kota Rom sering menjadi pilihan pengunjung kerana keindahan kota purba itu pastinya memberikan pengalaman yang hebat dan berbaloi dikunjungi.

Di bahagian utara Itali pula merupakan tempat paling maju dan penduduknya amat padat seperti yang terdapat di bandar Turin, Milan, Bologna, Verona dan Venice.

Antara kawasan menarik untuk dikunjungi ialah seperti Lake Como, kawasan pergunungan Dolomites serta Italian Alps dan Cortina d'Ampezzo.

Bahagian Itali tengah pula merupakan kawasan yang amat kaya dengan sejarah kemegahan empayar Rom.

Pelbagai mercu tanda boleh dilihat kerana ia masih dikekalkan dengan baik seperti Colosseum, Florence, Renaisans, Tuscany manakala bandar-bandar berdekatan seperti Siena, Pisa dan Lucca pula menawarkan pengalaman melihat dan mengenali warisan kebudayaan negara tersebut.

sumber - utusan

Mencari kedamaian di belantara


KEADAAN Pusat Peranginan Eco Etno Agrotourism Long Mio yang berkabus pastinya menawarkan suasana nyaman dan mempesonakan.

SUDAH bosan dengan tempat percutian yang hambar dan menyajikan suasana serta aktiviti yang sama? Ingin mencari tempat percutian berbeza dan jauh daripada kebisingan serta hiruk-pikuk kota?

Resort Eco Etno Agrotourism Long Mio di Sipitang, Sabah menjanjikan satu kelainan yang pastinya tidak disediakan oleh pusat peranginan lain.

Terletak kira-kira 123 kilometer dari pekan Sipitang, ia satu-satunya pusat peranginan paling hampir dengan Kampung Long Pasia iaitu sebuah penempatan pedalaman bagi kaum Lundayeh.

Dengan melalui jalan balak hampir empat jam, pusat peranginan terletak di tengah-tengah hutan tebal tersebut merupakan pusat peranginan yang tentunya menjanjikan pengalaman berbeza.

Malah, pengunjung yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ pasti teruja disambut dengan bunyi cengkerik dan burung serta alunan arus sungai yang memecah kesunyian.

Suasana nyaman juga pasti terasa sepanjang masa di sana. Namun, bagi yang tidak tahan kesejukan, perlulah bersedia dengan baju tebal.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang, Ali Hassan Hamid berkata, pusat peranginan milik PPK itu mula beroperasi pada 2008.

Katanya, pemilihan lokasi berkenaan adalah berlandaskan kepada tiga elemen iaitu ekologi, etnologi dan agro yang kaya di kawasan itu.

Keindahan alam di situ bermula seawal perjalanan melalui jalan balak sejauh 70 kilometer dengan topografi yang berbukit dan berbatu.

Keadaan jalan yang agak licin pada musim hujan juga sangat mengujakan pemandu dan penumpang.

"Malah terdapat jalan balak lama yang sesuai dijadikan trail test power bagi kenderaan pacuan empat roda dan motor cross," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Dalam pada itu, kata beliau, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di kawasan yang kaya dengan flora dan fauna itu seperti melawat perkampungan Long Pasia yang menjadi pertemuan tiga sungai iaitu dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.

Jelasnya, selain menikmati keindahan sungai, pengunjung juga boleh melihat kehidupan dan budaya masyarakat Lundayeh yang begitu unik.

Bagi yang meminati aktiviti mencabar, laluan denai ke Tasik Sinopong yang terletak di atas Bukit Rimau setinggi 6,500 kaki dari paras laut sentiasa menanti.

"Berjalan kaki ke sana mengambil masa lima jam melalui denai rimba yang berbukit amat menyeronokkan kerana dapat melihat pelbagai pokok dan tumbuhan unik seperti paku-pakis gergasi dan pelbagai jenis orkid.

"Selain itu, kita juga dapat melihat pelbagai serangga dan haiwan belantara seperti monyet dan rusa yang berkeliaran,'' ujar beliau.

Katanya, bagi yang meminati aktiviti air pula boleh menyusur Ulu Sungai Padas menggunakan rakit dan kayak.

Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti berkelah dan memancing di sungai yang bukan sahaja indah tetapi kaya dengan pelbagai spesies ikan termasuk ikan kelah.

Dalam pada itu, Pengurus Pusat Peranginan berkenaan, Jamil Ebrahim berkata, terdapat dua jenis bilik VIP ditawarkan iaitu dengan kadar bayaran sebanyak RM80 dan RM120.

Terdapat juga asrama yang boleh memuatkan 50 orang dengan harga RM25 seorang selain pelbagai kemudahan disediakan seperti bilik mesyuarat, ruang terbuka dan juga restoran.

Sesiapa yang berminat untuk mencuba pengalaman menarik tersebut, boleh menghubungi pusat peranginan terbabit di talian 087-822177 atau 019-8500001.

sumber - utusan

Warna-warni Pesta Nukenan Bario


MAKANAN tradisional masyarakat Kelabit berasaskan tumbuhan dan haiwan hutan.

BERPELUANG menjejakkan kaki ke perkampungan Bario yang terletak di daerah Utara Timur Sarawak merupakan pengalaman yang sangat unik.

Manakan tidak, kawasannya yang dikelilingi pergunungan dan berbukit-bukau dengan catatan suhu serendah 12 darjah Celsius memberi persekitaran cukup dingin dan nyaman.

Sambil menikmati kemanisan nanas Bario, pengunjung pasti akan terpesona melayan keindahan alam semulajadinya.

Bario mempunyai sebanyak 14 buah kampung dengan jumlah penduduk lebih kurang 2,000 orang yang majoritinya terdiri daripada suku etnik Kelabit.

Kunjungan rombongan media ke sana menerusi program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertujuan membuat liputan beberapa projek komuniti di bawah kendalian organisasi itu.

Ia juga adalah bersempena sambutan festival makanan dan kebudayaan masyarakat Kelabit Bario dikenali sebagai Pesta Nukenen 2011.

Nukenen membawa maksud makanan dalam bahasa Kelabit dan pesta berkenaan merupakan perayaan tahunan yang mula dianjurkan sejak tahun 2005.

Bermula 21 hingga 23 Julai lalu, pesta yang cukup meriah dengan pelbagai jenis makanan eksotik itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga anak jati Bario, Datuk Seri Idris Jala.

Menurut beliau, penganjuran acara yang masuk tahun ke enam itu menyasarkan matlamat mempromosi makanan masyarakat Kelabit kepada orang luar.

''Menerusi festival ini, kita mahu pengunjung serta pelancong mengenali dan menghargai makanan tradisional di sini.

''Kesemua makanan yang dipamer ini disediakan daripada hasil hutan seperti tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan.

''Sememangnya masyarakat Kelabit di Bario ini berpegang kepada adat menghargai tetamu melalui makanan.

''Mereka biasanya akan menyambut tetamu dengan hidangan makanan kerana ia dianggap sebagai perkongsian kehidupan dan juga kasih sayang,'' katanya ketika ditemui selepas merasmikan pesta berkenaan di Bario baru-baru ini.

Melihat kepada produk makanan yang dijual di lebih 20 gerai di tapak pesta itu, ia sememangnya unik dan jarang ditemui.

Kebanyakannya dihasilkan daripada pelbagai spesies sayur-sayuran dan buah-buahan hutan selain disajikan di dalam daun dan juga buluh.

Tidak cukup dengan itu, haiwan seperti ikan, daging rusa, kijang dan musang turut disediakan dalam aneka resipi.

Menurut salah seorang penduduk kampung, Debora Alau Ayu, 31, festival itu dilihat mampu membantu masyarakat setempat meningkatkan pendapatan di samping memperkenalkan makanan tradisi orang Kelabit.

''Gerai saya menjual ikan pekasam dan aneka sayur-sayuran seperti daun ubi, asparagus, umbut nenas dan umbut rebung.

''Ia disediakan secara gorengan dan direbus bersama garam. Rasanya sangat sedap dan pasti membuka selera,'' jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Rebita Lupong, 44, memberitahu, gerainya menjual nasi pulut, sayur kulat batang, bubur daun timun, bubur ikan dan tomato goreng.

''Di samping itu, saya turut menyediakan hidangan Laba Bada atau daging musang rebus yang biasanya di makan bersama nasi.

''Untuk pencuci mulut, para pengunjung disediakan giru dan gurau senaan yang diperbuat daripada ubi,'' katanya.

Bagi Diana Falong, 47, pula, dia telah tiga kali menyertai Pesta Nukenan dan sangat teruja untuk mempamerkan masakannya kepada para pelancong.

''Saya menyediakan masakan nasi bersama lauk siput tekuyong dan sayur-sayuran seperti tengayen, lanau dan juga busah kludoh atau bunga kantan.

''Ikan gesar iaitu daging ikan yang dilecek juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan mendapat permintaan tinggi,'' katanya.

Sesuatu yang unik mengenai Pesta Nukenan, para pengunjung boleh mencuba sendiri masakan-masakan yang dihidangkan sebelum membelinya dengan harga yang sangat murah.

Selain pengunjung tempatan, pesta tersebut turut dihadiri para pelancong dari luar negara seperti England, Denmark dan Australia.

Bukan sekadar makanan, pesta berkenaan turut menjual pelbagai produk keluaran Bario seperti beras Bario, garam Bario dan produk kraftangan.

Produk kraf yang dijual pula adalah merangkumi topi, gelang tangan, gelang kaki, rantai leher, bakul anyaman dan juga sumpit.

Semua kelebihan yang terdapat di sana menyempurnakan lagi Bario sebagai destinasi pelancongan dan istirehat unik.

Apa yang diharapkan, menerusi penganjuran program festival seperti itu, ia dapat memberitahu dunia bahawa Bario bukan sekadar kawasan tanah tinggi biasa sekali gus menarik lebih ramai pelawat berkunjung ke sana.

sumber - utusan

Stadium Bola Sepak Terapung Pertama Di Asia.....






Lokasi : Teluk Marina Singapura
Keluasan : 120 meter X 83 meter
Berat: 1070 Tan

Raja Naga kahwini orang biasa


PASANGAN pengantin diraja Bhutan mendukung seorang kanak-kanak selepas majlis perkahwinan mereka.

PUNAKHA, Bhutan - Pemerintah Bhutan, Raja Jigme Khesar Namgyal Wangchuck berkahwin dengan pengantin perempuan daripada golongan rakyat biasa dalam istiadat purba mengikut agama Buddha yang diadakan di sebuah kuil bersejarah di Bhutan.

Memakai gelaran Raja Naga Kelima, Raja Jigme Wangchuck turun dari takhta emas di hadapan patung Buddha besar semalam, sebelum meletakkan mahkota di atas kepala pengantin perempuan, Jetsun Pema.

Kemudian, Raja Jigme, 31, kembali ke takhtanya. Sementara Pema duduk di sisinya sebagai permaisuri baharu Bhutan.

Pema yang baru berusia 21 tahun dan masih belajar merupakan anak perempuan seorang juruterbang komersial.

Upacara perkahwinan diraja itu disiarkan secara langsung di Bhutan, sebuah negara yang memiliki cuma 700,000 penduduk.

Beribu-ribu orang yang memakai pakaian tradisi negara di Banjaran Himalaya itu berkumpul di luar kuil berkenaan untuk memeriahkan lagi istiadat perkahwinan diraja tersebut. - AP

sumber - kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya