Iklan

Jumaat, 4 Mac 2011

Kawen dapat helikopter....

Pengantin lelaki dapat hadiah helikopter


LALIT TANWAR (tiga dari kanan) bersama pengantin wanita
di sebuah rumah dekat New Delhi pada Selasa lalu.


NEW DELHI - Seorang lelaki, Lalit Tanwar, 26, berkahwin dengan Yogita Jaunapuria dalam satu majlis perkahwinan mewah, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Lalit dilaporkan menerima hadiah sebuah helikopter manakala 18,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinannya.

Mereka berkahwin di sebuah rumah dekat bandar raya ini dengan 12 skrin televisyen gergasi dipasang bagi merakamkan majlis perkahwinan tersebut.

Akhbar Times of India membuat anggaran bahawa majlis perkahwinan yang diadakan pada Selasa lalu itu melibatkan kos AS$22 juta (RM66.67 juta).

Namun, akhbar Mail Today melaporkan, kos majlis perkahwinan itu mungkin AS$55 juta (RM166.67 juta).

Akhbar Indian Express melaporkan bahawa, pengantin lelaki mendapat hadiah sebuah helikopter Bel 429 berharga AS$8 juta (RM24.24 juta) dalam satu majlis perkahwinan yang ringkas.

Majlis perkahwinan itu melibatkan anak seorang ahli politik daripada parti Kongres yang kaya, Kanwar Tanwar.

Lalit dikatakan memakai kalungan bunga yang diperbuat daripada wang kertas dalam majlis perkahwinan tersebut.

Keluarga pengantin perempuan meraikan pengantin lelaki dengan memberikannya hadiah bernilai AS$5 juta (RM15.15 juta). - Agensi

p/s:pandai cari bini cam ni..kaya...kaya...kaya....

Yey ...Yey ...Yey ...Yey ...Ipad 2 dah kluar....

Jobs perkenal iPad 2


STEVE JOBS berdiri di depan skrin yang menunjukkan komputer tablet iPad 2 di atas pentas di Pusat Yerba Buena,San Francisco kelmarin.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs, 56, membuat kejutan apabila dia hadir dengan tubuhnya yang kurus semasa mendedahkan versi kedua iPad kelmarin.

Orang ramai berdiri bertepuk tangan apabila Jobs yang merupakan pengasas syarikat Apple menaiki pentas di Pusat Yerba Buena di sini dengan gaya yang bersahajanya, memakai baju berkolar, seluar jean biru dan cermin mata.

"Kami telah bekerja keras untuk menghasilkan produk ini dan saya tidak mahu melepaskan hari yang bersejarah ini," katanya.

Beliau berkata, tahun 2010 merupakan tahun buat iPad sebelum skrin video memaparkan komputer tablet Apple itu.

"Kami melalui permulaan yang susah dan tidak pernah berehat untuk kejayaan ini. Kami akan memperkenalkan iPad 2 hari ini (kelmarin)," kata Jobs. Berita yang dibawa beliau itu menyebabkan saham Apple melonjak dengan serta-merta.

Situasi itu berlaku kerana Jobs tidak muncul sejak Januari lalu kerana dia mengalami masalah kesihatan dan kerap mengelak daripada menghadiri majlis besar anjuran syarikat Apple.

Pada bulan lalu, sebuah akhbar di AS menyiarkan gambar-gambar Jobs yang kelihatan terlalu kurus di Palo Alto, California.

Kira-kira 10 tahun yang lalu, beliau telah menjalani pelbagai rawatan untuk merawat penyakit kanser pankreas dan melalui pembedahan pemindahan hati.

Namun, iPad 2 yang diperkenalkan Jobs itu lebih nipis, ringan dan mempunyai pemprosesan yang lebih cepat serta dilengkapi dua buah kamera untuk merakam foto serta perbualan video.

Ia datang dengan dua warna, hitam dan putih dengan ketebalan hanya 8.8 milimeter berbanding model sekarang setebal 13.4 milimeter.

"Sebenarnya, iPad 2 lebih nipis daripada iPhone 4" jelas Jobs.

Model baru itu akan berada di pasaran pada 11 Mac ini dan berharga di antara $499 (RM1,512) hingga $829 (RM2,513) bergantung kepada kapasiti memori dan kebolehan bersambung dengan Internet melalui talian selular.

Di AS, iPad 2 akan bekerjasama dengan At&T dan Verizon Wireless.

Syarikat Apple turut mencipta beberapa aksesori baru untuk iPad 2.

Antara aksesori baru itu ialah soket yang membolehkan pengguna menghubungkan iPad 2 kepada televisyen beresolusi tinggi. -Agensi

p/s:kena simpan duit la cam ni...

Khamis, 3 Mac 2011

Dadah oh..Dadah...

Dadah tiruan ancam dunia


DADAH sintetik seperti syabu digilai penagih kerana kesannya yang mampu membuatkan seseorang menjadi agresif. - Gambar hiasan


GENEVA - Gejala penagihan dadah tiruan didakwa sudah tidak terkawal dan merebak di banyak negara dunia, lapor Lembaga Kawalan Dadah Antarabangsa (INCB) semalam.

Dadah tiruan itu merujuk kepada dadah yang mengandungi bahan kimia yang diubah suai di makmal sama ada melibatkan dadah baru atau dadah sedia ada bagi mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengelakkan ia dikategorikan sebagai bahan larangan di sisi undang-undang.

Antara dadah tiruan yang popular selain ekstasi dan amphetamine adalah mephedrone atau lebih popular dengan nama meow meow, MCAT atau buih.

Meow meow dilaporkan memiliki kesan yang sama dengan amphetamine, ekstasi dan dadah kokain.

Dadah meow meow amat popular dalam kalangan pengunjung kelab malam di London.

Menurut INCB yang merupakan badan pemantau narkotik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyalahgunaan dadah tiruan meow meow kini merebak di kebanyakan negara dan ceruk rantau.

"Mephedrone merupakan penyumbang utama gejala penagihan dadah di Eropah, Amerika Utara, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand," kata INCB dalam laporannya.

Menurut laporan tersebut, penyebaran meow meow sukar dibendung kerana dadah tiruan itu mudah didapati.

Dadah itu juga dijual lebih murah daripada kokain.

p/s: Macam Macam la sekarang ni....

Moh Ke Payrock...(Perak)

Konsep baru percutian mewah


RESTORAN yang hanya menyajikan makanan sihat, organik dan seimbang.


MASIH mencari-cari destinasi terbaik untuk memuaskan hati insan tersayang pada percutian bulan madu tidak lama lagi? Lupakan kerisauan pada kos dan penerbangan yang terlalu lama ke luar negara.

Resort premium The Banjaran Hotsprings Retreat (Banjaran) kini menawarkan percutian kelas pertama dengan kemewahan penuh romantik dan lebih peribadi.

Destinasi pengunduran dari kesibukan kota ini adalah pilihan terbaru dan terbaik untuk lokasi percutian bulan madu di negara ini.

Jaminan kepuasan penginapan bertaraf lima bintang dan layanan eksklusif dipakej dengan kombinasi alam semulajadi terbaik di sekeliling resort. Pendek kata, semuanya lengkap untuk menutup mulut si dia yang agak cerewet membuat pilihan.

Cuma mungkin agak sukar untuk anda mempercayai lokasi pilihan WOW! kali ini hanya terletak 15 minit pemanduan dari Ipoh, Perak.

Resort milik Sunway International Hotels & Resorts bersebelahan dengan taman tema Lost World of Tambun ini baru sahaja memulakan operasi Januari tahun lalu.

Keistimewaannya bukan hanya pada kemewahan dan keindahan alam semata-mata. Resort ini memiliki lebih daripada apa yang didambakan oleh setiap pasangan.

Peluang menjejakkan kaki di Banjaran baru-baru ini boleh dipuisikan seperti titik pertemuan antara bumi dengan syurga atau cebisan tanah dari kayangan.

Bayangkan kehidupan di lembah hijau yang dikelilingi puncak dan cenuram bukit batu kapur yang mempersonakan.

Mistik alam yang terselindung itu dihidupkan lagi dengan pemandangan berkabus di permukaan kolam yang menjadi tarikan utama di resort ini.

Sumber air panas yang keluar dari perut bumi sejak jutaan tahun itu suatu ketika dahulu popular di kalangan penduduk sekitar Tambun untuk merawat dan mencantikkan kulit. Kini ia menjadi milik peribadi resort seluas 16 ekar itu.

Seperti terlalu mempersonakan? Tunggu, kerana kolam air panas itu bukanlah penutup. Sekarang bayangkan pula sebuah gua batu kapur yang diubah menjadi bilik sauna yang dipanaskan secara semulajadi menggunakan sebahagian daripada tiga juta liter air panas yang keluar dari kolam yang sama setiap hari.

Tarikan di tengah-tengah landskap itu diteruskan dengan curahan air terjun setinggi bangunan satu tingkat yang mengetuai 'orkestra' terapi air di sekitar resort.

Gambaran itu mungkin kedengaran seperti fantasi namun itulah tarikan sebenar yang ada. Keunikan tersebut merupakan sebahagian daripada kriteria yang menjadikan Banjaran sebagai resort kesejahteraan (wellness resort) pertama di negara ini.

Banjaran menawarkan tiga kategori bilik iaitu dua dari jenis vila taman dan satu vila air.

Setiap unit berbumbung jerami dibina dengan rekaan Bali yang mencetuskan aura neo-nusantara seperti yang kerap digunakan pada rekaan resort-resort terkemuka.

Dengan sentuhan kunci gelang pada pintu pagar gerbang, aura kemewahan vila yang mempunyai keluasan dua kali ganda saiz pangsapuri biasa itu perlahan-lahan diserap pancaindera penulis.

Ketibaan disambut oleh ruang tamu terbuka yang santai. Bertentangan dengannya adalah hadiah paling istimewa iaitu kolam renang yang selesa untuk penginapan berpasangan mahupun berkeluarga.

Curahan air yang hampir memenuhi kolam ketika itu diselangi kelunakan irama klasikal yang dimainkan melalui sistem audio jenama Bose lantas menghidupkan mod istirehat.

Ketenangan yang dirasai terus melenyapkan kepenatan memandu selama dua jam dari Kuala Lumpur, pada petang itu.

Di laman tamu itu, susunan kemas perabot bergaya kontemporari juga berjaya melengahkan saya daripada terus menjenguk ke kamar tidur.

Di sebalik pintu yang memisahkan laman dengan vila penginapan itu, kelihatan katil bersaiz King dengan tilam setebal 10 inci. Landasan terbaik untuk 'mendarat'.

Namun pengunduran daripada kesibukan harian tidak bermakna anda terpisah terus dengan hiburan. Sebagai pelengkap penginapan mewah sebuah televisyen LED 40 inci dan talian Internet tanpa wayar disediakan di dalam vila.

Namun kedua-duanya itu mungkin perkara terakhir yang anda ingin sentuh di tempat yang damai seperti ini.

Di Banjaran, kemewahan bermula dari langkah pertama hingga yang terakhir. Di bahagian belakang vila, sebuah tab jakuzi peribadi dan ruang mandi tanpa bumbung disediakan untuk mereka yang keberatan untuk meninggalkan vila pada hari pertama.

Pada hari berikutnya, terapi air panas di kolam geotermal pasti menjanjikan pengalaman berbeza. Beberapa buah kolah jakuzi juga disediakan di tepi kolam dengan pemandangan mengadap air terjun yang berlatarbelakang bukit-bukau.

Bagi yang mencari ketenangan dalam erti kata yang sebenar, peluang bersantai dikelilingi hutan tropika itu adalah terapi terbaik untuk memulihkan kesegaran fizikal dan kerohanian.

Dari celahan bukit itu, tiupan angin sesekali dirasakan menghembus ke muka, lokasi itu juga dipenuhi oleh pelbagai spesies unggas yang sentiasa memenuhi ruang udara.

Selain itu, tetamu juga disediakan dengan laluan berbatu untuk tujuan refleksologi, rawatan garrarufa iaitu spesies ikan yang diimport khas dari Turki, kolam renang umum, kerusi baring dan susunan dangau seperti memberi pilihan untuk beristirehat.

Pakej percutian kesejahteraan diri di Banjaran kini ditawarkan pada harga permulaan dari RM1,990 hingga RM4,650 untuk penginapan tiga hari dua malam.

Maklumat lanjut mengenai pakej boleh diperolehi dari laman web www.thebanjaran.com.

p/s:Moh kome datang ke payrock...

Sumber:Akhbar Tempatan.

Janda...Oh Janda Baik....

Kedamaian Janda Baik di Cherengin




BERBICARA mengenai 'janda baik', pasti ada yang mengangkat kening tersenyum mendengar nama itu. Ia hanyalah nama sebuah kampung yang terletak di selatan Pahang dan bersempadan dengan Selangor.

Pada mereka yang mengenali Janda Baik pasti akan terkenangkan kehijauan dan kedamaian sebaik sahaja memandu masuk ke kawasan perkampungan Melayu itu.

Sekarang, Janda Baik merupakan destinasi pilihan bagi mereka yang ingin melakukan pelbagai aktiviti riadah terutama bina diri.

Bagaikan tumbuh bak cendawan selepas hujan, kita boleh saksikan pelbagai chalet diwujudkan bagi tujuan tersebut.

Namun sedikit menghampakan kerana kebanyakan chalet tidak mempunyai prasarana yang lengkap untuk menjalankan aktiviti riadah.

Prihatin dengan keperluan itu, anak jati Janda Baik, Mohd. Fauzi A. Latif terdorong untuk membangunkan kawasan kampungnya yang semakin hari semakin padat dengan pelbagai kemudahan yang menawarkan pakej-pakej bina diri.

Malah, dia juga memikirkan kawasan hijau di Janda Baik perlu dibangunkan dengan cara yang betul dan terkawal selepas melihat banyak kawasan lereng bukit diteroka sesuka hati oleh pendatang luar yang menanam halia di situ.

Untuk itu, berbekalkan pengalaman yang ada, dia membeli tanah seluas 4.4 hektar di Kampung Cherengin dan membangunkan sebuah resort bertaraf antarabangsa, Cherengin Hills Convention & Spa Resort dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 136 bilik penginapan pelbagai saiz termasuk lapan suite dan dua suite perdana.

Terdapat kolam renang, bilik persidangan, kafetaria dan restoran yang menyajikan makanan barat, timur serta beberapa makanan popular penduduk Janda Baik.


MOHD. FAUZI A. LATIF


Menariknya, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Cherengin Hills Convention & Spa Resort dan bukan hanya terbatas untuk riadah atau bina diri.

Bagi mereka yang gemar berekreasi dan sukan lasak, aktiviti memanjat bukit untuk ke Air Terjun Ulu Tampit tersedia di situ.

Menariknya, kepenatan memanjat bukit hilang sebaik menyaksikan air terjun ciptaan Tuhan yang sememangnya mengkagumkan sesiapa saja.

Mengambil masa kira-kira 45 minit hingga sejam perjalanan melalui trek yang sudah disediakan, pengunjung dihidangkan dengan bunyi-bunyian unggas serta deruman air terjun tingkat empat buat pertama kali.

Perjalanan kemudian diteruskan ke air terjun tingkat lima yang mempunyai kolam dan juga kawasan perkhemahan untuk memudahkan pengunjung berehat.

Bagi yang inginkan pengembaraan lebih bermakna, boleh meneruskan perjalanan ke air terjun tingkat tujuh yang pastinya menyajikan satu pengalaman unik ketika merendamkan badan di dalam kesejukan air mineral asli Ulu Tampit.

Untuk ke sana, pengunjung perlu menggunakan pemandu pelancong yang disediakan oleh Cherengin Hills Convention & Spa Resort.

Berehat

Selepas puas menikmati keindahan Air Terjun Ulu Tampit, pengunjung bolehlah berehat di Cafe Tampit dengan merendamkan badan di kolam renang pula.


Cherengin Hills Convention & Spa Resort lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk membolehkan pengunjung selesa bersantai.


Di sini juga disediakan kafe untuk membasahkan tekak atau menikmati hidangan ringan ketika berehat.

Selain itu, banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati ketika berada di Cherengin Hills Convention & Spa Resort antaranya melawat ladang buah-buahan, kolam ternakan ikan, ladang organik yang mempunyai pelbagai sayur dan tumbuh-tumbuhan tempatan selain piknik di Pulau Santap.

Inginkan lebih cabaran, kakitangan rekreasi Cherengin Hills Convention & Spa Resort juga boleh membawa aktiviti mendaki Gunung Nuang atau ke air terjun Kuala Gua.

Keunikan Cherengin Hills Convention & Spa Resort adalah ia terletak di dalam kawasan hijau yang masih terpelihara keasliannya ketika pembinaan resort berkenaan.

Tak hairanlah jika berada di situ, biar pun waktu tengah hari pengunjung masih boleh menikmati udara segar dan sejuk. Pada waktu malam pula ada kalanya suasana nyaman di situ akan mencatatkan suhu sehingga 22 darjah Celsius.

Menurut Mohd. Fauzi, pembangunan Cherengin Hills Convention & Spa Resort juga bertujuan memastikan hasrat membantu penduduk kampung tercapai.


CHERENGIN Hills Resort menawarkan pelbagai jenis bilik.


"Bukan hanya itu, pada waktu-waktu tertentu kami juga akan menyediakan gerai-gerai makanan di depan restoran untuk membolehkan penduduk kampung berniaga pelbagai juadah istimewa yang boleh dinikmati oleh pengunjung," katanya.

Fauzi menambah, matlamat utama resort itu diwujudkan ialah menjadikannya sebagai sebuah pusat sehenti program bina diri dan percutian lengkap.

"Dengan adanya pelbagai jenis bilik hotel yang kami sediakan termasuk kolam renang, bilik persidangan, kafe dan restoran, mereka yang menginap di sini tidak perlu ke mana-mana dan bukan hanya itu, mereka boleh melakukan apa sahaja di sini, lebih-lebih lagi lokasinya yang hampir dengan Kuala Lumpur," katanya.

p/s:Cantik sungguh ciptaan ALLAH S.W.T

Sumber:Akhbar Tempatan

Cayalah Usahawanita Malaysia...Tahniah...

Norlia popularkan makanan barat


Norlia Yusof berbangga dengan produk Protess yang mendapat tempat di kalangan syarikat penerbangan.


PENGALAMAN demi pengalaman yang ditimba semasa berada di Australia lebih 20 tahun tidak dibiarkan tenggelam begitu saja. Dengan kerjasama beberapa rakan, mereka bergabung untuk menjadi pembekal daging halal untuk dihantar ke tanah air.

Ini menyebabkan Norlia Yusof perlu mempelajari kaedah memotong daging selain pemasaran memandangkan kemahiran tersebut merupakan kriteria yang diperlukan di sana.

"Setelah lama berulang-alik dari Australia ke Malaysia, akhirnya saya memutuskan untuk kembali ke tanah air," katanya semasa ditemui di premisnya Hajjah Aminah Food Industries Sdn. Bhd. di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sekembali ke tanah air Norlia membuka kilang di Shah Alam, Selangor bagi membekalkan daging lembu halal.

Ketika itu, pelanggan utamanya terdiri daripada beberapa syarikat penerbangan dan restoran makanan Barat yang terkenal di negara ini.

Jumlah jualan bulanan kilang berkenaan pernah mencapai sehingga RM1 juta sebulan menjadikannya syarikatnya pembekal utama daging segar ke negara ini.

Bagaimana selepas rakan kongsi berpecah, Norlia kembali ke Australia tetapi tidak lama kemudian kembali semula ke tanah air.

Pelbagai cabaran yang dihadapi, perniagaannya bagaikan fenomena air laut yang mempunyai pasang surut sehingga entah mana silapnya sehingga kilangnya di Shah Alam beralih tangan.

Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat Norlia untuk bangkit semula.

Berbekal pengalaman memasak, Norlia membuka restoran makanan Barat di Puchong Perdana sebagai mengubat hati.

Bagaimanapun sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan sebelumnya mendorongnya berusaha mendapat pesanan daripada chef-chef hotel terkemuka.

Memikirkan permintaan daripada bekas pelanggan, Norlia sedaya-upaya memenuhi segala tempahan sebaik-baiknya.

Bagaimanapun keceriaannya yang ada tidak kekal lama apabila tuan punya kedai mahukan semula kedai tersebut.

Tidak pernah kenal erti putus asa, terkini Norlia membeli dua unit kedai di Pusat Perniagaan Oakland, Seremban bagi membangunkan perniagaan berasaskan masakan Barat.

Nasib menyebelahinya apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melawat ke premisnya.

Ketika itu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menggalakkan Norlia meningkatkan lagi pengeluaran.

Mendapat permintaan daripada pelbagai restoran Barat terkemuka dan chef luar negara, Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan.

Atas bantuan dan khidmat nasihat bagi mendapatkan spesifikasi kilang yang mempunyai Amalan Pengilangan Baik, Halal serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

"Di (premis) sini, saya mengeluarkan produk makanan baru Protess yang menggunakan campuran ubi kentang lecek dan pelbagai jenis inti," katanya.

Buat masa ini Norlia memberikan penekanan kepada lima jenis produk sementara Protess pula terdapat 19 jenis inti.

Bagaimanapun kaedah pembuatan yang remeh menyebabkan Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan pelanggan.

Bersama-sama 20 orang pekerja, Hajjah Aminah Food Industries telah menjadi anak angkat MARDI bagi tujuan membangunkan produk.

Sehingga kini dia masih belum mempunyai mesin yang sesuai bagi menghasilkan protess hanya mampu menghasilkan sehingga 1,000 keping Protess sehari.

Protess yang mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelanggan tetap.

"Saya amat berharap produk makanan Barat terutamanya protess bakal mendapat sambutan bukan hanya di negara ini tetapi juga di peringkat global," katanya.

P/s:Semoga Berjaya...

Sumber:Akhbar Tempatan.

Rabu, 2 Mac 2011

Makanan Ala-Thai

Kuisin autentik utara Thailand


NOORAZLI (kanan) bersama Chef Suzana yang menyediakan hidangan enak masakan dari utara Thailand yang menjadi kegemaran pelanggan di Restoran Said Ali.


MENIKMATI seleksi hidangan yang disediakan Restoran Said Ali Premium Thai di The Strand, Kota Damansara baru-baru ini berjaya membuatkan penulis pulang dengan senyuman penuh kepuasan.

Meskipun sesi fotografi yang dijalankan untuk mengambil gambar-gambar menu yang disajikan memakan masa yang agak lama, namun penantian tersebut amat berbaloi sebaik hidangan yang disajikan mula mencecah tunas rasa lidah.

Malah, penulis yang pada mulanya menggunakan sudu dan garfu untuk makan akhirnya memilih untuk menggunakan tangan bagi menikmati hidangan tersebut dengan sepenuhnya.

Berkonsepkan kuisin asli dari utara Thailand, Restoran Said Ali Premium Thai itu mampu memenuhi selera pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.

Pengurus Restoran Said Ali, Noorazli Said, 32, berkata ini merupakan cawangan restoran kedua yang dibuka selepas menerima sambutan yang begitu menggalakkan apabila beroperasi di Rampai Business Park, Setapak.

“Kami memilih konsep sajian dari utara Thailand seperti Bangkok dan Chiang Mai untuk ditawarkan kepada pelanggan. Malah, bagi memastikan kualiti makanan yang tinggi, kami menggunakan khidmat chef dari dearah berkenaan,” ujar Noorazli ketika ditemui Kosmo!.

Mula beroperasi sejak bulan November 2010, restoran itu turut menerima sambutan baik daripada pelanggan terutama pada waktu makan tengah hari.

Antara hidangan signatur yang wajib dicuba adalah tom yam kelapa yang pasti membuka selera anda sebaik menghirup sesudu kuahnya berwarna putih kekuningan.

Selain itu, menu siakap goreng dengan hirisan mangga muda yang dicampur dengan lobak, salad, bawang dan cili juga tidak boleh ditinggalkan.

Menurut Chef Suzana Abdullah, 50, hidangan lain yang sering dipesan pelanggan termasuklah ketam telur masin, udang mentega, ayam biji gajus dan ayam pandan yang mempunyai kelebihan tersendiri.


KETAM TELUR MASIN


“Bagi minuman pula, segelas air jus pegaga atau teh serai sudah boleh memberi kesegaran kepada pelanggan yang menikmatinya,” jelas Suzana yang berpengalaman selama 20 tahun dalam menyediakan kuisin cita rasa utara Thailand.

Di samping sajian istimewa cita rasa utara Thailand, restoran itu juga ada menyediakan hidangan ala carte seperti pelbagai jenis nasi dan mi goreng. Pada waktu makan tengah hari, pelanggan boleh memilih set makanan tersebut yang dijual pada harga RM6.50 dan dihidang bersama air minuman.

Tambah Noorazli, pihaknya turut menyediakan khidmat pesanan penghantaran sekiranya ada permintaan di kawasan berhampiran premis tersebut.

“Setakat ini memang ada pelanggan yang berbuat demikian, tetapi kuantitinya tidak besar. Namun, sekiranya mendapat permintaan tinggi, kami tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan khidmat tersebut dalam skala yang besar,” beritahu Noorazli.

Untuk menarik lebih ramai pelanggan, restoran itu ada menawarkan promosi tertentu seperti setiap pelanggan yang membelanjakan RM20 ke atas, mereka akan mendapat hidangan manggo sticky rice secara percuma.

Sumber:Akhbar Tempatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya