Iklan

Rabu, 2 Mac 2011

Makanan Ala-Thai

Kuisin autentik utara Thailand


NOORAZLI (kanan) bersama Chef Suzana yang menyediakan hidangan enak masakan dari utara Thailand yang menjadi kegemaran pelanggan di Restoran Said Ali.


MENIKMATI seleksi hidangan yang disediakan Restoran Said Ali Premium Thai di The Strand, Kota Damansara baru-baru ini berjaya membuatkan penulis pulang dengan senyuman penuh kepuasan.

Meskipun sesi fotografi yang dijalankan untuk mengambil gambar-gambar menu yang disajikan memakan masa yang agak lama, namun penantian tersebut amat berbaloi sebaik hidangan yang disajikan mula mencecah tunas rasa lidah.

Malah, penulis yang pada mulanya menggunakan sudu dan garfu untuk makan akhirnya memilih untuk menggunakan tangan bagi menikmati hidangan tersebut dengan sepenuhnya.

Berkonsepkan kuisin asli dari utara Thailand, Restoran Said Ali Premium Thai itu mampu memenuhi selera pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.

Pengurus Restoran Said Ali, Noorazli Said, 32, berkata ini merupakan cawangan restoran kedua yang dibuka selepas menerima sambutan yang begitu menggalakkan apabila beroperasi di Rampai Business Park, Setapak.

“Kami memilih konsep sajian dari utara Thailand seperti Bangkok dan Chiang Mai untuk ditawarkan kepada pelanggan. Malah, bagi memastikan kualiti makanan yang tinggi, kami menggunakan khidmat chef dari dearah berkenaan,” ujar Noorazli ketika ditemui Kosmo!.

Mula beroperasi sejak bulan November 2010, restoran itu turut menerima sambutan baik daripada pelanggan terutama pada waktu makan tengah hari.

Antara hidangan signatur yang wajib dicuba adalah tom yam kelapa yang pasti membuka selera anda sebaik menghirup sesudu kuahnya berwarna putih kekuningan.

Selain itu, menu siakap goreng dengan hirisan mangga muda yang dicampur dengan lobak, salad, bawang dan cili juga tidak boleh ditinggalkan.

Menurut Chef Suzana Abdullah, 50, hidangan lain yang sering dipesan pelanggan termasuklah ketam telur masin, udang mentega, ayam biji gajus dan ayam pandan yang mempunyai kelebihan tersendiri.


KETAM TELUR MASIN


“Bagi minuman pula, segelas air jus pegaga atau teh serai sudah boleh memberi kesegaran kepada pelanggan yang menikmatinya,” jelas Suzana yang berpengalaman selama 20 tahun dalam menyediakan kuisin cita rasa utara Thailand.

Di samping sajian istimewa cita rasa utara Thailand, restoran itu juga ada menyediakan hidangan ala carte seperti pelbagai jenis nasi dan mi goreng. Pada waktu makan tengah hari, pelanggan boleh memilih set makanan tersebut yang dijual pada harga RM6.50 dan dihidang bersama air minuman.

Tambah Noorazli, pihaknya turut menyediakan khidmat pesanan penghantaran sekiranya ada permintaan di kawasan berhampiran premis tersebut.

“Setakat ini memang ada pelanggan yang berbuat demikian, tetapi kuantitinya tidak besar. Namun, sekiranya mendapat permintaan tinggi, kami tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan khidmat tersebut dalam skala yang besar,” beritahu Noorazli.

Untuk menarik lebih ramai pelanggan, restoran itu ada menawarkan promosi tertentu seperti setiap pelanggan yang membelanjakan RM20 ke atas, mereka akan mendapat hidangan manggo sticky rice secara percuma.

Sumber:Akhbar Tempatan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya