Iklan

Khamis, 22 September 2011

Industri pengkebumian lumayan di Jepun

Seorang pekerja membetulkan deretan keranda yang telah habis ditempah di Hotel Lastel.

Sesiapapun jika melintas Hotel Lastel yang terletak di hadapan sebuah kedai mi di pinggir bandar Yokohama, di selatan Tokyo, Jepun, memang sukar untuk membezakan perkhidmatannya dengan tempat penginapan lain.

Maka tidak hairanlah sering ada pasangan kekasih yang tersasar lalu terus menuju masuk untuk menyewa bilik di hotel itu.

Hakikatnya, hotel milik Hisayoshi Teramura itu tidak menyediakan bilik untuk pasangan kekasih memadu cinta atau kepada pengembara untuk melepaskan penat dan lelah.

Teramura, 71, memberitahu, kakitangannya sudah biasa dengan gelagat pasangan kekasih di mana mereka hanya akan menjelaskan bahawa hotel tersebut cuma menyediakan bilik dingin beku.

Pelik tetapi benar. Sebenarnya bangunan hotel dengan jubin warna putih dan kelabu itu cuma memberikan khidmat kepada orang ramai untuk menyimpan mayat ahli keluarga mereka yang meninggal dunia sementara menunggu giliran dibakar.

"Sekarang ini ada 18 mayat sedang menjadi 'tetamu' di hotel ini. Mayat tersebut disimpan dalam keranda yang dilengkapi dengan penghawa dingin,'' kata Teramura.

Setakat ini kadar sewa untuk sehari bagi setiap mayat di Hotel Lastel ialah 12,000 Yen (RM392).

Biasanya perniagaan yang berkaitan kematian sukar untuk berjaya termasuk di Jepun. Tetapi individu seperti Teramura boleh dijadikan contoh kerana berani mencuba sesuatu yang baru.

Dengan angka kematian yang semakin meningkat di Jepun telah membuka peluang kepada lelaki itu menjadikannya sebagai perniagaan yang menguntungkan.

Ini memandangkan pada tahun 2010 sahaja, angka kematian rakyat Jepun berjumlah 1.2 juta setahun atau 0.95 peratus. Ia jauh lebih tinggi daripada purata kematian di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) yang hanya pada tahap 0.84 peratus sahaja.

Yang menariknya untuk menceburkan diri dalam industri ini tidak sukar kerana tidak perlu mengambil lesen atau sebarang kelayakan.

Pengarah bagi sebuah syarikat urusan pengkebumian hanya memerlukan pejabat dan telefon.

Bunga atau keranda mudah untuk dibeli manakala dewan, kereta jenazah, rahib pula senang untuk disewa.

Berbanding di AS di mana usahawan pengkebumian perlu memiliki pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum layak diberikan lesen.

Berdasarkan tinjauan Kementerian Perdagangan Ekonomi dan Industri Jepun (METI), terdapat 2,796 syarikat mengendalikan industri pengkebumian di mana satu pertiganya telah menjalankan perniagaan itu lebih dari sedekad.

Perniagaan itu menjadi semakin berkembang luas di mana turut menarik pengusaha yang jujur yang sanggup mengenepikan reputasi diri.

"Biasanya ahli keluarga si mati menyerahkan segala yang berkaitan dengan urusan pengkebumian kepada syarikat yang diupah.

"Sekalipun mampu meraih keuntungan secara tunai, masih timbul beberapa masalah. Namun ia tetap menjadi tarikan kepada pihak tertentu untuk terus menjalankan perniagaan ini,'' kata salah seorang pengusaha dalam industri itu.

"Tempat yang paling mudah dan sesuai untuk broker menjual perniagaan pengkebumian ini adalah di hospital,'' kata seorang lagi pengarah syarikat berkenaan yang enggan dikenali.

Pembabitan mereka sebenarnya telah membawa keuntungan berjumlah jutaan dolar.

Bagaimanapun untuk menentukan sejauh mana industri itu akan terus mampu berkembang dengan baik sukar diramalkan .

Kenyataan oleh METI, pada tahun 2005 sahaja sebanyak 4,107 syarikat pengkebumian telah didaftarkan dan menawarkan pekerjaan kepada 49, 079 orang.

Jumlah itu terus meningkat pada 2006 kepada 6,606 syarikat dan telah membantu mewujudkan tenaga kerja untuk 72,046 orang.

Pengawai METI yang bertanggungjawab bagi pengumpulan hasil kajian tersebut, Yoshiatsu Mitsuhashi berkata, peningkatan itu mungkin disebabkan kementerian telah mengubah cara mengumpul data.

"Kemungkinan ini menjadikan jumlah pengusaha bidang ini meningkat tanpa pengetahuan kami,'' tambahnya.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Yano yang terletak di Tokyo juga menjelaskan, kebanyakan syarikat pengkebumian yang telah berjaya ini kemungkinan telah dikendalikan oleh bekas perunding perkahwinan.

Usahawan ini berjaya memberikan respons terhadap permintaan yang semakin meningkat ini dengan jumlah perbelanjaan yang terhad.

Yano juga menjangka pasaran pengkebumian akan meningkat 1.96 trillion Yen menjelang 2015.

Ini berdasarkan kepada kadar kematian di Jepun yang naik mendadak apabila pada tahun lalu sahaja jumlahnya melebihi 55,000 orang berbanding sedekad sebelumnya hanya 23,000 orang mati setiap tahun.

Dijangka angka kematian juga akan meningkat kepada 1.66 juta pada tahun 2040 memandangkan sejumlah besar kadar kelahiran generasi yang meningkat itu makin lupus.

Selain itu populasi di Jepun dijangka menurun kepada 20 juta orang kerana kadar kematian disebabkan peperangan atau kebuluran berkurangan.

Sekalipun masih dibelenggu dengan masalah ekonomi, rakyat Jepun tetap mengutamakan tradisi bagi upacara pengkebumian yang biasanya mencecah 1.2 juta Yen.

Perbelanjaan ini meliputi pembelian bunga-bungaan, bekas abu mayat, keranda dan lain-lain yang berkaitan dengan upacara pengkebumian.

Oleh itu tidak hairanlah untuk keseluruhan upacara pengkebumian setiap rakyat Jepun mencecah RM52.2 juta setahun di mana jumlah ini dua kali ganda lebih tinggi daripada rakyat Amerika.

"Jumlah untuk upacara pengkebumian sebenarnya telah melonjak dengan mendadak di pasaran,'' kata Teramura yang turut memiliki tanah perkuburan di bawah syarikat Nichiryoku sejak 45 tahun lalu.

Sumber-Utusan

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya