Iklan

Selasa, 1 November 2011

Air sarbat pilihan dalam cuaca panas


Seorang pengunjung menikmati air sarbat atau ais tingkap di Lebuh Tamil, Pulau Pinang.
PULAU PINANG 15 Mac - Air kelapa biasanya menjadi pilihan ramai ketika cuaca panas terik, namun bagi masyarakat di negeri ini, minuman yang pasti dicari pada waktu itu tentunya air sarbat.

Ini kerana, minuman yang diperbuat daripada air batu kisar, sirap, air gula, air kelapa dan air herba wangi bukan sahaja menghasilkan rasa lazat tetapi mampu menghilangkan dahaga.

Malah bahan-bahan campuran lain seperti biji selasih, kembang semangkuk dan getah anggur juga dikatakan dapat berfungsi untuk menyejuk serta menyegarkan anggota badan.

Ini terbukti apabila satu-satunya gerai menjual air sarbat di negeri ini di Lebuh Tamil berhampiran Pasar Chowrasta yang telah beroperasi sejak 79 tahun lalu menunjukkan peningkatan jualan terutama ketika cuaca panas.

Pemiliknya, Seemi Mohd. Abdul Majid, 67, ketika ditemui tidak menafikan gerai air sarbat beliau tiba-tiba menjadi tumpuan ramai terutama ketika cuaca panas.

''Sejak cuaca panas terik yang berlaku kebelakangan ini, penjualan air sarbat di gerai saya mencecah 400 gelas dalam sehari berbanding waktu biasa hanya 250 gelas.

''Ramai orang datang ke sini dan rata-rata mereka datang tidak kira masa kecuali semasa hari hujan," katanya yang berasal dari Madras, India.

Tambahnya, perniagaan air sarbat yang sebelum ini dikenali dengan ais tingkap itu diperkenalkan oleh moyangnya, Abdul Azeez pada 1928 dan bertahan hingga kini.

Dalam tempoh tersebut, jelasnya, minuman tersebut telah melalui proses perubahan, sesuai dengan peredaran masa tetapi beliau masih mengekalkan ramuan serta bahan aslinya.

Seemi berkata, proses membuat air sarbat sangat mudah, iaitu bermula dengan air batu kisar diletakkan ke dalam gelas sebelum disemburkan dengan air herba wangi dan sirap serta air gula.

Selepas itu, masukkan biji selasih yang direndam selama 20 minit, kembang semangkuk dan getah anggur ke dalam gelas sebelum dicampurkan dengan air dan bagi menambah keenakannya, Seemi mencampurkan isi kelapa.

sumber - utusan -

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya