Iklan

Rabu, 2 November 2011

Dijual RM3.50 sekeping

Di Terengganu, industri manisan nira kelapa mempunyai permintaan dan pasaran yang tersendiri. Ia dijual mengikut gred dan boleh dibeli dari harga serendah RM0.90 sen hingga RM3.50 sekeping
ENAK, lembut, manis dan berlemak. Itulah yang digambarkan oleh penggemar manisan nira kelapa yang banyak dihasilkan oleh pengusaha secara kecil-kecilan di Terengganu.

Malah, jika dibandingkan dengan manisan lain, penduduk negeri yang kaya dengan sumber pelancongan itu lebih memilih manisan ini.

Biarpun harga yang agak tinggi berbanding manisan lain yang boleh dibeli pada separuh harga, namun jualan dan permintaannya sangat menggalakkan menyebabkan pengusahanya tidak menang tangan.

Rezeki pengusaha bertambah pada bulan puasa kerana permintaannya meningkat sekali ganda kerana juadah pembuka selera banyak menggunakan bahan ini selain menjadi perasa tambahan dalam masakan.

Salah seorang pengusaha, Suri Abdul Ghani, 43, dan suami, Mohd. Kahni Habsu, 45, memberitahu, permintaan terhadap manisan mereka meningkat antara 1,000 hingga 1,500 keping manisan setiap hari.

Bagaimanapun, manisan yang mereka hasilkan mengikut gred. Manisan asli tidak dicampur gula dan hanya menggunakan nira kelapa yang dijadikan sebagai penawar diabetes.

"Manisan jenis ini kita tidak buat banyak memandangkan harganya lebih mahal kerana saya jual pada harga RM3.50 sekeping," kata Suri ketika ditemui di rumah yang dijadikan tempat pembuatan manisan di Kampung Batangan, Marang, Terengganu baru-baru ini.
SURI menunjukkan penyediaan manisan nira kelapa yang diusahakannya.
Di kampung tersebut, terdapat kira-kira 50 pengusaha yang turut menjalankan perniagaan sama.

Jelas Suri, pembuatan manisan jenis ini lebih rumit kerana tanpa gula, manisan tersebut mengambil masa antara tiga hingga empat jam sebelum ia likat dan dikeraskan di dalam acuan daun nipah.

Sebagai tip katanya, jika mahu membezakan manisan ini asli atau tidak, ia boleh dilihat melalui baunya yang lebih harum. Jika ia dibungkus dengan kertas, kertas tersebut akan lembap.

Selain itu, dia turut menghasilkan manisan ori yang ditambah gula kira-kira tiga peratus dan dijual pada harga borong RM1.70 sekeping.

Tetapi, katanya terdapat dua lagi jenis manisan iaitu gred ketiga yang dinamakan manisan tuak yang dihasilkan dengan tambahan sebanyak 50 peratus gula.

"Jenis ini paling banyak mendapat permintaan kerana harganya yang lebih murah dan dijual pada harga borong RM1.20 sekeping," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Suri, satu lagi jenis manisan yang dihasilkan menggunakan 90 peratus gula dan 10 peratus air nira dinamakan manisan campur. Ia dijual pada harga RM0.90 sekeping.

Selain bau dan rasa katanya, cara untuk membezakan manisan buatannya mengikut gred ialah dengan melihat bahagian bawah manisan berkenaan. Jika ia berpetak-petak kecil maka ia adalah manisan asli.

Tikar mengkuang
Menurut Suri ketika manisan nira dimasukkan ke dalam acuan, ia dialas menggunakan tikar mengkuang, manakala jenis tuak dan campur pula bahagian bawahnya akan mempunyai banyak garis melintang kerana ia dialas menggunakan tikar biasa.

Menjelaskan mengenai proses pembuatan manisan tersebut, kata Suri, ia dilakukan menggunakan nira kepala yang diperoleh daripada penduduk sekitar dan dari kebunnya sendiri.

Menurut Suri, selain manisan kelapa, dia turut menghasilkan dodol yang dibungkus di dalam daun mengkuang dan sejenis kuih yang dinamakan manisan pulut.

Katanya, kesemua produknya mendapat pengiktirafan halal. Beliau yang bertindak menguruskan bahagian pengeluaran manakala suaminya membantu di bahagian jualan dan edaran sedang mencongak-congak untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menceritakan pembabitannya dalam industri ini sejak tujuh tahun lalu, secara kebetulan Suri diminta oleh seorang jirannya menyiapkan tempahan membuat manisan kerana jirannya jatuh sakit. Pada masa itu bulan Ramadan.
ISMAIL SULAIMAN membungkus mayang kelapa dengan botol bagi mengeluarkan air nira.

Ujian bisnes
"Hasil ajaran secara lisan dan pengalaman melihat penduduk kampung membuat manisan ini, saya cuba dan Alhamdulillah saya berjaya menghasilkannya," kata Suri.

Sejak itu, daripada melakukan pelbagai kerja kampung termasuk menanam tembikai dan ubi kayu, Suri mencuba nasib membuat manisan iaitu aktiviti ekonomi yang banyak dilakukan oleh penduduk kampung tersebut.

"Pada mulanya saya buat di rumah dan menjual sendiri di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu," katanya.

Jelasnya, selepas itu dia mula membesarkan perniagaan secara berperingkat. Peringkat awal dia membuat sebuah bangsal kecil yang kemudiannya dibesarkan sehingga dia boleh mengupah 11 orang pekerja.

KUIH buah Melaka menggunakan manisan nira untuk intinya.
"Bantuan daripada Jabatan Pertanian banyak membantu saya membesarkan perniagaan ini dan menampung permintaan yang semakin bertambah," katanya.


MOHD. KAHNI menunjukkan manisan nira kelapa yang diusahakannya di Kampung Batangan, Marang, Terengganu.

Namun katanya, langit tidak selalu cerah. Sekitar tiga tahun lalu dia berdepan dengan dugaan apabila suami, anak dan pekerjanya menghidap penyakit misteri dan tidak dapat bekerja.


"Ketika di rumah mereka baik tetapi bila datang ke tempat kerja mereka mengalami muntah-muntah," katanya.

Permintaan tinggi

DAUN mengkuang digunakan untuk membuat manisan nira kelapa.

Sementara itu, peniaga manisan nira kelapa di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, Norshamimi Munirah Ahmad Shukri, 24, menjelaskan, nira yang lebih murah banyak dibeli oleh pembuat kuih manakala nira yang lebih mahal lebih digemari oleh individu atau pelancong.

"Saya ambil nira daripada pengusaha di Marang dan setakat ini memang permintaannya sentiasa ada," katanya yang sudah empat tahun berniaga di pasar berkenaan.

Jelasnya, pembuat kuih terpaksa membeli manisan gred yang lebih rendah untuk memastikan mereka dapat menjual kuih pada harga yang munasabah.

Sebaliknya, individu atau pelancong luar pula lebih mementingkan kualiti manisan berkenaan supaya resipi masakan dan kuih-muih menggunakan manisan berkenaan lebih enak.

Sementara itu, Midah Hitam, 64, lebih gemar menggunakan manisan tempatan kerana selain rasa, ia juga lebih bersih berbanding manisan import yang banyak dijual di kedai runcit.

"Manisan yang dibuat oleh penduduk tempatan kita tahu cara buatannya tetapi manisan import kita tidak tahu.

"Pernah saya cuba rendam manisan import ini tetapi banyak sampah yang timbul jika dibandingkan dengan manisan buatan tempatan," katanya.

Dalam pada itu, rasa manisan nira kelapa ini juga berbeza kerana ia ada satu aroma nira yang enak jika dicampur dalam makanan. Malah, katanya, jika dibuat kuih seperti kuih buah Melaka, rasa kuih itu lebih lembut dan enak.

sumber - kosmo -

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya