Iklan

Jumaat, 11 Mac 2011

Selatan Thailand..yehaaaaa....

Little Paris Selatan Thai


BEBOLA makanan laut dan sotong bakar antara makanan yang harus dicuba.


HAT YAI selalu disalah erti sebagai ibu kota wilayah Songkla, Thailand. Hakikatnya, ia merupakan sebuah bandar raya dan kawasan metropolis yang terbesar di wilayah Selatan Thailand.

Nama Hat Yai diambil sempena sebatang pokok. Populasinya menjangkau seramai 157,316 orang dan 80 peratus penduduknya adalah beragama Islam.

Backpackers lazimnya suka singgah di wilayah ini kerana banyak hotel bajet yang menawarkan harga semurah RM50 semalam.

Satu perkara baru yang dipelajari semasa berkunjung di Hat Yai ialah rakyat negara gajah putih itu sangat menyayangi raja mereka. Buktinya, di setiap 100 meter perjalanan, terpampang papan iklan gambar Raja Bhumibol Adulyadej.

Berbual dengan salah seorang penduduk tetap yang dikenali sebagai Amid, 35, yang juga pemandu tuk tuk, sudah mengagak penulis adalah orang Malaysia.

"Pelancong di Hat Yai ramai orang Malaysia, sekali-sekala saja nampak orang putih.

"Orang kata Hat Yai syurga membeli pakaian buatan Thailand dan yang diimport dari China dari pagi hingga ke malam, ia memang benar," katanya yang boleh bertutur bahasa Melayu dan memberitahu lokasi-lokasi wajib dikunjungi.

Antara lokasi tersebut adalah Expo Department Store, Lee Garden Plaza, Central Department Store, Kompleks Pink Lady, Robinson Department Store termasuklah kedai-kedai jalanan di Jalan Niphat Uthit 2, Jalan Niphat Uthit 3 dan Jalan Sanehanuson.


MINYAK diisi secara manual adalah satu pemandangan biasa.


Jadi tidak salah kalau ada yang memberi jolokan bahawa Hat Yai adalah Little Paris of the Southern of Thailand.

Bab makanan halal di Hat Yai tiada masalah. Anda boleh memilih Restoran Hamid, Restoran Salmah, Restoran Tamrab atau kedai-kedai tepi jalan yang dibuka lewat petang.

Gaya klasik

Som tam, pulut mangga, tom yam, buah-buahan segar, kacang gajus, udang bakar dan keropok ikan antara menu yang perlu dicuba. Gelagat warga emas memikul kandar menjual kacang Chiengmai sudah pasti membezakan ziarah anda dengan destinasi-destinasi lain di dunia.

Secara jujurnya, Hat Yai bukanlah satu kawasan pelancongan yang sempurna. Bak kata Amid, orang Thailand suka kepada gaya klasik dan kurang gemar kepada pembangunan. Stesen kereta apinya adalah salah satu daripadanya. Begitu juga dengan bangunan-bangunan lamanya yang kelihatan usang.

Tuk tuk atau beca berenjin antara kenderaan unik yang masih kekal digunakan dan menjadi pilihan pelancong kerana tambangnya serendah RM2.

Pemandangan lewat petang di Hat Yai telah mengubah persepsi terhadap bumi Hat Yai. Sama seperti Kuala Lumpur, pengemis berlegar di sana sini. Daripada yang tua hinggalah kepada budak-budak memohon simpati tanpa segan silu. Polis yang berkawal mungkin sudah tidak kuasa untuk menegur.

Gadis sunti di Hat Yai memang pandai bergaya ala-ala selebriti Hong Kong. Membuat rambut sambungan menjadi trend di Hat Yai. Harganya cuma RM120. Gadis berhijab dapat diperhatikan di setiap penjuru.


FABRIK sutera Thai yang boleh dijadikan buah tangan jika berkunjung ke Hat Yai.


Suasana Hat Yai pada waktu malam memang hangat. Penulis enggan bercerita tentang hal-hal hiburan dan urutan tradisionalnya. Ada banyak perkara lain yang lebih menarik.

Gajah muncul di tengah bandar? Memang satu kejutan kepada penulis ketika sedang leka menikmati stimbot di kaki lima berdekatan dengan Kompleks Lee Gardens.

Gajah itu dijadikan sebagai sumber rezeki bagi dua lelaki Thailand. Anda tidak boleh bergambar dengan gajah di tengah kota kalau tidak membeli seplastik tebu yang berharga RM2 daripada mereka.

Jelajah lima hari itu turut membawa penulis ke Songkla. Di Songkla terdapat Pantai Samila yang mempesonakan. Di pantai itu juga terletaknya tugu ikan duyung emas yang menjadi mercu tanda pantai berkenaan.

Menghabiskan masa yang berkualiti selama lima hari di Hat Yai merupakan satu pengalaman yang sangat berbaloi. Sehingga kini, penulis masih tidak dapat melupakan wajah seorang kanak-kanak perempuan yang sangat comel meminta sedekah sambil tersenyum bersama ibunya di tepi jalan. -

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya