Iklan

Khamis, 21 Julai 2011

Cantiknya Ciptaan ALLAH S.W.T

Blue Lagoon 'dibunuh' pembangunan




DI sebuah daerah subur Jamaica, suasana lagun yang warna airnya akan bertukar daripada kilauan hijau jed kepada sinaran cahaya berlian biru bergantung dengan perubahan cahaya matahari sungguh mengagumkan.

Lokasi yang pernah menjadi set penggambaran filem lakonan bintang Hollywood, Brooke Shields, Blue Lagoon itu hanya sebuah pesisiran lagun yang kecil. Namun, ia kini berdepan dengan amaran keras penyokong alam sekitar yang mahu menyelamatkan kawasan tersebut.

Restoran yang musnah disebabkan oleh ribut taufan dibiarkan tanpa ada usaha membaiki semula, manakala bangkai helikopter pula kelihatan pecah berderai. Selain itu, pembangunan baharu pula dikatakan menjadi ancaman kepada tempat yang paling cantik dan terkenal di Jamaica itu.

Pemilik hotel berhadapan lagun tersebut juga telah menebang hutan bakau bagi memberikan suasana peribadi kepada tetamunya. Namun bagi aktivis alam sekitar, perbuatan itu adalah yang paling ditakuti kerana ia boleh merosakkan keunikannya.

Ahli politik negara yang bergantung kepada ekonomi pelancongan itu bagaimanapun melihat kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar sebagai halangan kepada pembangunan ekonomi. Bagi mereka penebangan kecil-kecilan pokok bakau tidak akan memberi sebarang kesan. Namun hakikatnya, di Blue Lagoon fenomena itu tidak akan berlaku.

Persekitaran Blue Lagoon sangat unik apabila dua jenis air, air panas dari laut dan air tawar dari sumber air batuan mineral sedalam 57 meter bercampur. Burung kakak tua berwarna kuning terbang bagi mengeringkan badan selepas hujan.

Ikan-ikan kecil berwarna biru pula berenang-renang di permukaan. Suasana itu pertama kali digambarkan dalam jurnal seorang jurugambar, Adolphe Duperly.

Gambar-gambar yang diambil oleh lelaki Perancis itu mula mendapat sambutan yang hebat di sebuah pameran di Perancis dan ia membantu menjadikan Blue Lagoon sebagai tempat tarikan pelancong.

Hilang seri

Blue Lagoon dan Port Antonio pernah menjadi destinasi golongan aristokrat dan bintang filem seperti Errol Flynn malah, balunya masih lagi menjalankan penternakan lembu di kawasan berdekatan.

Namun, ia semakin menunjukkan penurunan kedatangan pelancong sejak zaman kegemilangan pada tahun 1950-an. Tetapi, ia masih lagi menjadi tarikan pemerhati burung dan pencinta alam semula jadi yang mahukan pengalaman berada di tempat terpencil.

Jauh dari kawasan tersebut, terdapat lebih kurang sedozen villa mewah yang dibina di sepanjang pesisiran pantai. Penduduk tempatan memanggil tempat itu sebagai Blue Hole sempena nama filem yang dilakonkan oleh Brooke Shield.

Badan Amanah Warisan Kebangsaan Jamaica sudah pun siap melakukan kajian sejarah dan berpendapat Blue Lagoon mempunyai potensi diisytihar sebagai monumen kebangsaan yang dilindungi.


PEMILIK vila mewah dikatakan mula menebang pokok secara berleluasa di Blue Lagoon untuk meluaskan kawasan masing-masing.


Bagaimanapun, pegawai undang-undang badan kerajaan itu menjelaskan, lebih banyak penilaian yang ketat diperlukan sebelum sebarang pengisytiharan rasmi dilakukan.

"Mereka perlu memastikan aktiviti ekonomi sekitar tapak tersebut tidak akan bertolak-ansur dengan integriti kawasan tersebut," katanya yang merujuk kepada pembangunan dan aktiviti pelancongan dengan bot di persekitaran Blue Lagoon.

Tidak jelas berapa tempoh masa yang diperlukan untuk tindakan diambil. Ketika lawatan ketua Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Portland, Machel Donegan berkata, kawasan tersebut sangat istimewa. Jadi, sebarang pembangunan ke atas tempat yang unik itu tidak boleh dibenarkan.

Aktivis alam sekitar lain pula mendesak ahli politik Jamaica menyelamatkan kawasan tersebut sambil mengutuk keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada pembangunan. Bagi mereka ia sebagai bukti kegagalan besar dalam melindungi pulau itu dengan melihat pekerjaan lebih penting daripada pemuliharaan alam sekitar.

Beza

Seorang bapa kepada tiga orang anak, Cy Mortluck, 35, menyokong kuat usaha pemilik membina resort di pantai itu.

"Apa yang kami mahu adalah lebih banyak pekerjaan dan kedatangan lebih ramai pelancong. Menarik lebih ramai orang ke Blue Lagoon adalah yang terbaik, percayalah," kata Mortluck yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong dari lagun sehingga ke kawasan laut berombak.

Perbezaan antara penduduk yang tinggal di vila mewah dan mereka yang miskin kelihatan jelas berbeza walaupun kedua-dua golongan itu tinggal bercampur di mana orang berkulit putih dan orang luar mengawal banyak tanah dan ekonomi di pulau yang didominasi orang kulit hitam.

Resort tropikal Lagun di Blue Lagoon dimiliki oleh pasangan warga tempatan iaitu Devon dan Yvonne Wilson dan mereka menuduh pencinta alam sekitar sebagai rasis dan memandang kepada kelas.

Colin Bell jurucakap Lagun berkata, pencinta alam sekitar tidak percaya bahawa budak lelaki berkulit hitam dari Port Antonio boleh memiliki hartanah dan pendapat itu turut dipersetujui oleh seorang pemandu bot bebas, Fitzroy white.

"Saya boleh cakap apabila ada seorang lelaki kulit hitam mahu mencuba sesuatu, lelaki kulit putih akan cuba menjatuhkan dia dan itu adalah apa yang berlaku di sini," kata White yang akan menangkap ikan merah bagi menampung pendapatan jika tiada pelancong.


DUA orang pelancong berkayak sambil menikmati keindahan Blue Lagoon.


Pasangan Wilson menegaskan, bahawa projek mereka sangat mementingkan alam sekitar dan menolak sebarang tuduhan bahawa pasir dari pantai awam lain dibawa masuk ke pantai tersebut.

"Pasir itu adalah semula jadi dari laut, jadi kami hanya memindahkan ke bahagian tertentu. Kami tahu apa yang kami lakukan," kata Yvonne wilson dalam temu bual melalui telefon.

Menteri Informasi Kebangsaan, Daryl Vaz berkata, terdapat sangat kecil atau tiada bukti mengatakan pantai itu diubah secara haram.

Kurang pantau

Pengasas Badan Amanah Alam Sekitar Jamaica, Diana McCaulay yang mengetuai usaha menentang pantai tiruan berkata, masalah sebenar adalah penguatkuasaan Agensi Perancangan dan Alam Sekitar Kebangsaan (NEPA) adalah sangat lemah.

"Waktu kerja yang perlu dipatuhi tidak berfungsi sama sekali dan tiada tekanan terhadap pembangunan walaubagaimana teruk sesebuah projek. Jika sebuah projek adalah teruk, ia dianggap berstatus baik," kata McCaulay.

Katanya, terdapat juga pemaju yang memulakan projek secara haram kemudian akan disahkan oleh pihak kerajaan.

Dakwanya lagi, pegawai pemeriksa telah mengesahkan kertas kerja di pantai Blue Lagoon itu walaupun ia hampir sama dengan sebuah lagi projek yang ditolak di tempat yang sama setahun lalu dengan alasan merosakkan alam sekitar.

Bagaimanapun Ketua NEPA, Peter Knight berkata, aktivis perlu lebih seimbang dan memahami dinamik di tempat kerja, bukannya memperjuangkan agenda antipembangunan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, agensi kerajaan telah mengarahkan pasangan Wilson memusnahkan jeti dan mendakwa mereka kerana membina binaan laut yang diperbuat daripada batu dan konkrit tetapi, Knight menambah ia tidak membawa maksud pantai tiruan adalah tidak sah.

Bukan golongan pencinta alam sekitar sahaja yang risau dengan kecekapan agensinya. Ketua Audit Negara Jamaica baru-baru ini turut mengeluarkan laporan mengatakan NEPA berdepan beberapa kelemahan dalam pengurusan mengakibatkan pemantauan alam sekitar yang longgar. - AFP


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya