Iklan

Selasa, 3 Januari 2012

Seronok berperang di Galactic Laser


LASER Tag menawarkan konsep peperangan indoor yang menggabungkan permainan video dan paintball.

LALUAN gelap dan suram di sekitar Planet Galactic itu kelihatan agak menggerunkan. Bagaimanapun Jolene Teh Xin Yuan dan pasukannya tetap meneruskan kemaraan mereka.

Lengkap bersenjatakan pistol, kesemua mereka mengatur langkah dengan berhati-hati. Misi mereka adalah membebaskan kembali planet itu yang kini dikuasai pasukan musuh.

Dalam kesamaran, matanya menangkap kelibat cahaya di kawasan kubu yang menjadi tempat persembunyian musuh.

Jolene mengarahkan pasukannya berpecah dan mengambil kedudukan masing-masing. Dia bertekad melakukan serang hendap.

“Serang!” katanya memberi arahan. Jeritan itu, disusuli bidikan laser berwarna hijau yang dilepaskan bertubi-tubi ke arah pasukan musuh.

Pasukan musuh yang panik cuba membalas serangan yang dilakukan. Kilauan cahaya laser berwarna merah dan hijau daripada muncung senjata kedua-dua pasukan memenuhi sekitar medan pertempuran.

Dalam keasyikan memburu musuh-musuhnya, Jolene tidak menyedari dia turut terkena tembakan. Secara automatik, sistem automatik pada baju elektronik dan pistolnya tidak berfungsi selama beberapa saat.

“Ala...kan dah kena tembak. Macam mana boleh tidak perasan tadi,” ujarnya sambil menunggu sistem berkenaan dihidupkan semula.

Bagaimanapun, bunyi siren yang tiba-tiba berkumandang, mematikan langkahnya. Rupa-rupanya, tempoh 30 minit permainan yang dikenali sebagai Laser Tag itu sudah pun tamat.

Biarpun agak kepenatan, kepuasan jelas tergambar di wajah kanak-kanak berusia 10 tahun itu tatkala meninggalkan kawasan medan pertempuran.

“Saya seronok mencubanya, biarpun permainannya tampak mudah, namun ia tetap menguji kekuatan mental dan fizikal.

“Ia bukan sekadar aksi bertempur atau tembak-menembak sahaja, malah peserta juga belajar bagaimana mengatur strategi dan menyelesaikan misi-misi tertentu bagi menewaskan pasukan musuh,” katanya yang menetap di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Berkonsepkan peperangan berorientasikan alam futuristik, Laser Tag merupakan antara tarikan utama pengunjung ke Galactic Laser yang terletak di Tingkat Tiga, Mid Valley Megamall di sini.

Ruang seluas 510 meter persegi (5,500 kaki persegi) setinggi tiga tingkat itu sengaja direka dengan pelbagai halangan umpama sebuah medan peperangan bagi membolehkan peserta bersembunyi, melakukan serangan, bertahan di kubu dan sebagainya.

Permainan video dan paintball

BARISAN kakitangan Galactic Laser yang sentiasa ramah menyambut kehadiran pengunjung..

Menurut Pengarahnya, Nick Yau, permainan indoor yang semakin popular dalam kalangan warga kota itu menggunakan teknologi laser yang diimport dari Australia.

“Cahaya infra merah jalur lebar yang digunakan lazim digunakan di dalam alat kawalan jauh peranti rumah, pastinya ia selamat dan tidak membahayakan,” katanya.

Katanya, Laser Tag menggabungkan dua konsep berbeza iaitu permainan video dan sukan paintball dalam satu permainan.

“Inilah tarikan utama permainan ini, ia boleh dimainkan secara individu atau berpasukan. Biarpun agak lasak, namun ia tetap menghiburkan melalui elemen interaktif yang dipaparkan dan sesuai untuk semua peringkat usia dan jantina,” katanya.

Tambah Nick, sebelum sesi permainan dimulakan, setiap peserta akan dibawa melihat tayangan video yang menerangkan arahan dan peraturan permainan.

“Selepas itu mereka akan diberikan baju elektronik dan pistol laser sebelum dibahagikan kepada pasukan masing-masing mengikut warna lampu yang tertera bahu dan badan mereka.

“Setiap siri permainan memberikan pengalaman yang berbeza kerana setiapnya telah diprogramkan untuk memberikan cabaran pada peserta dengan tahap tertentu,” jelasnya.

Seperti bermain permainan video, setiap pasukan akan bertempur sesama sendiri bagi mencapai objektif dan misi yang ditetapkan pada awal permainan.

Ujar Nick, sistem pada baju elektronik yang dipakai peserta akan dihubungkan dengan signal khas untuk merekodkan data permainan terus ke dalam komputer.

Data berkenaan akan merekodkan jumlah mata yang berjaya dikutip sepanjang permainan dan akan dipaparkan sebaik sahaja ia tamat.

Pasukan yang menang akan dikira melalui jumlah tembakan terhadap lawan.

“Daripada situ peserta berpeluang menilai sejauh mana prestasi mereka. Menariknya, jumlah mata yang dikutip boleh disimpan dalam kad khas untuk mendapatkan meningkatkan keupayaan dan persenjataan mereka dalam permainan pada masa hadapan,” jelas Nick.

Di samping tarikan permainan laser, Nick memberitahu Galactic Laser juga menawarkan pelbagai hiburan kepada pengunjung seperti meja pool, foosball dan permainan arked.

“Malah ia juga dilengkapi kafe yang mampu memuatkan sehingga 100 pengunjung di samping dua bilik serbaguna memuatkan antara 30 hingga 50 pengunjung,” katanya.

Bagi Mohd. Izwan Alias, 16, biarpun sering bermain sukan paintball sebelum ini dia tetap teruja dengan tarikan dan keunikan yang ditawarkan di dalam Laser Tag.


GALACTIC Laser turut menawarkan pelbagai permainan arked yang terkini dan menghiburkan.

“Konsep indoor serta futuristik yang diterapkan masih baru di negara ini, namun ia tetap mencabar daripada segi halangan dan pelbagai misi yang tawarkan.

“Apa yang lebih penting katanya, permainan itu juga lebih selamat, memerlukan masa yang singkat di samping tidak mengotorkan pakaian,” katanya.

Jelas pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Kuala Lumpur itu, Laser Tag tampak lebih santai tanpa sarat dengan pelbagai peralatan keselamatan, senjata dan peluru seperti dalam paintball.

“Tidak hairanlah ia boleh dimainkan sesiapa sahaja sekadar menghabiskan masa lapang mereka. Selepas puas bermain mereka boleh meneruskan aktiviti lain seperti membeli-belah atau menonton wayang di sekitarnya,” ujarnya.

Sementara itu, Madhavi Johsi, 40, pula berkata, Galactic Laser merupakan pusat hiburan yang sesuai untuk aktiviti keluarga.

Wanita yang berasal dari Mumbai, India itu memberitahu, kehadiran keluarganya ke situ ialah bagi meraikan sambutan majlis hari jadi anaknya, Nidhi Jothi, 10.

“Kami selesa memilih lokasi ini kerana ia lengkap dengan pelbagai kemudahan yang ditawarkan dengan kadar pakej yang berpatutan.

“Di samping meraikan sambutan hari jadi, anak-anak dapat saya dapat bergembira bersama rakan-rakannya dengan pelbagai permainan hiburan yang disediakan,” katanya.



sumber - kosmo

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya