Iklan

Rabu, 11 Januari 2012

Siap siaga benteng maritim

ANGGOTA Pasukan Tindakan Khas (Star) APMM dalam aksi cegah jenayah pada Eksesais Maritim Perkasa 2/2011 yang berlangsung pada Disember lalu.

LAUT bergelora di perairan Pulau Langkawi, tengah malam 14 Disember lalu tidak menghalang rondaan Kapal Maritim (KM) Gagah yang mendapat maklumat pencerobohan sebuah bot asing di situ.

Berkemungkinan ia bot nelayan asing yang ingin mencuri hasil marin negara atau lanun yang merancang melakukan jenayah, tugas KM Gagah ialah belayar ke arah laluan di situ sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Menghampiri kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Langkawi, paparan skrin radar KM Gagah berjaya mengesan bot asing itu.

Oleh kerana keadaan laut yang cetek, kapal induk KM Langkawi yang memantau rondaan itu mengarahkan dua bot Kilat dari Daerah Maritim Langkawi ke lokasi bersama anggota lengkap bersenjata memintas bot asing tersebut.

Berpandukan alat pengesan kedudukan global (GPS) dan alat penglihatan malam (NGV), kedudukan bot asing itu mudah dijejaki. Sebaik dirapati, bot yang dikemudi warga asing itu sarat dengan kira-kira 40 pendatang asing Myanmar.

Demikian gambaran tugas hakiki Maritim Malaysia (APMM) yang dilakonkan dalam Eksesais Maritim Perkasa 2/2011 yang berlangsung Disember lalu.

Sebagai penguat kuasa tunggal maritim negara, APMM bertanggungjawab terhadap keselamatan perairan Malaysia daripada pencerobohan nelayan asing, aktiviti jenayah dan perlanunan.

Disertai kira-kira 500 pegawai dan penguat kuasanya, latihan melibatkan 13 kapal peronda dan dua helikopter AS365 N3 Dauphin bagi menguji keupayaan dan tahap siap siaga APMM dalam skala eksesais di laut secara besar-besaran.

Eksesais itu menggabungkan tiga Wilayah Maritim iaitu Wilayah Maritim Timur (Wiltim), Wilayah Maritim Utara (Wiluta) dan Wilayah Selatan (Wilsel).

Turut serta ialah 13 penjawat awam bukan beruniform APMM bagi menilai sendiri tugas-tugas serta operasi di perairan sekali gus dapat memahami fungsi agensi itu.

Lokasi eksesais

Perairan utara Selat Melaka dan Pulau Langkawi melalui Perak dan Pulau Jarak ke Lumut dipilih sebagai lokasi latihan.

Ia bagi mempamerkan elemen cegah rintang di Zon Maritim Malaysia di Wilayah Utara serta mempertingkatkan kecekapan aset-aset sedia ada agensi tersebut.

Turut terlibat ialah Cawangan Carilamat dan Bantuan Bencana, Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Pasukan Tindakan Khas, Sistem Pengawasan Laut (Swasla) dan Cawangan C3I.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, latihan itu melibatkan empat Kumpulan Tugas (KT) iaitu dua KT melibatkan kapal-kapal peronda, satu unit udara dan satu tim gempur Pasukan Tindakan Khas.

“Dalam fasa latihan, pegawai dan anggota diberi pendedahan berkaitan taktikal komunikasi kapal, prosedur senggaraan dan tatacara penembakan meriam 40/70mm, latihan komunikasi dan pandu arah terang dan gelap.

“Latihan juga menguji tahap kecekapan operator dalam melaksanakan setiap pengendalian pergerakan taktikal (maneuver) yang melibatkan komunikasi antara kapal ke kapal.

“Pegawai dan pegawai penguat kuasa turut mengadakan latihan menggeledah dan tugas-tugas penguatkuasaan di laut,” ujar beliau yang ditemui selepas penutup eksesais tersebut.

Turut diuji ialah koordinasi latihan carilamat (Sarex), indeks dan tabir kawasan perairan (sector screen). Manakala bagi unit udara pula, mereka diuji kemahiran turun daripada helikopter secara winching dan mendarat di atas kapal.
PERAIRAN utara Selat Melaka dan Pulau Langkawi melalui Perak dan Pulau Jarak ke Lumut dipilih sebagai lokasi latihan.

Uji senjata

Tambah Ahmad Puzi, pegawai dan anak-anak kapal juga menguji keupayaan sistem persenjataan dengan melakukan ujian penembakan meriam 40/70mm di perairan Lumut.

Jelas beliau, ia bagi memastikan setiap sistem komunikasi, jentera, sistem persenjataan kapal sentiasa berada dalam tahap siap siaga yang tinggi pada sebilang masa.

Beliau selaku Pengarah Eksesais tersebut memberitahu, latihan itu meningkatkan aspek sama guna aset-aset APMM dari wilayah maritim yang berbeza termasuk pesawat udara.

“Tugas APMM bukan sekadar menguat kuasa, malah menyentuh bidang khusus seperti kemahiran siasatan, pengumpulan bukti serta keberkesanan koordinasi dalam mengendalikan operasi carilamat.

“Sebenarnya, latihan juga memberi impak yang baik kepada ekonomi negara khususnya perdagangan antarabangsa kerana kita mahu menunjukkan kehadiran di perairan Selat Melaka.

“Dari segi tekniknya pula, kita dapat melihat ketahanan aset yang dimiliki dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas diberikan,” ujarnya.

Tambah beliau, tugas penguatkuasaan maritim memberi kesan yang positif terhadap keselamatan perairan negara.

“Statistik bermula 2006 hingga 2010 menunjukkan penurunan kes perlakuan jenayah di laut iaitu 47.22 peratus kepada 4.23 peratus sahaja pada tahun ini.

“Dari segi hasil pula, sebanyak RM23.7 juta berjaya dikutip agensi ini menerusi denda, kompaun dan lelongan sepanjang tempoh yang sama,” ujarnya.

sumber - kosmo

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya