Iklan

Selasa, 16 April 2013

ARTIKEL - AGRO - GENKiMO atasi kandang busuk


GENKiMO atasi kandang busuk

BAU ladang ternakan ayam, kambing dan lembu sering kali menjadi isu di kalangan penternak hingga keadaan itu mengundang kehadiran lalat.
Masalah bau busuk itu turut menghantui penduduk setempat sehingga menimbulkan konfrontasi berpanjangan. 
Biarpun penggunaan habuk kayu dapat mengurangkan bau busuk, sifat semula jadi bahan buangan haiwan itu tidak dapat dibasmi sepenuhnya. 

Justeru, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan teknologi GENKiMO iaitu produk bioteknologi menghasilkan mikro organisma probiotik sihat.

Produk dibangunkan melalui usaha sama dengan syarikat Dazzling Destiny Sdn Bhd di Hi-Tech 5, Semenyih Hi-Tech Industrial Park, Semenyih.

Ia dihasilkan melalui proses fermentasi dan pencirian secara semula jadi menggunakan bahan persekitaran tempatan sepenuhnya. 

Lima produk GENKiMO dibangunkan Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Ibu Pejabat MARDI, Dr. Ramli Mohd Noor itu adalah GENKiMO Flora, GENKiMO Fauna, GENKiMO Odor Removal, GENKiMO Composeed (Benih kompos) dan GENKiMO Bio (Aditif Makanan Ternakan). 

Beliau berkata, teknologi dibangunkan itu menggunakan dana TechnoFun (MOA) berjumlah RM1.5 juta. 

“GENKiMO mampu mengitar semula bahan-bahan tanaman hijau atau bahan sampingan agro-industri menjadi baja bio organik dan makanan ternakan. 

“Ia juga memaksimumkan pemuliharaan nutrien dalam bahan-bahan tempatan serta mengandungi mikroorganisma probiotik yang sihat. 

“Kosnya rendah, selamat, tahap aplikasi rendah dan mesra alam sekitar,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO meningkatkan kualiti, warna dan bau selain memendekkan tempoh pemeraman kepada 14 hari. 

“Ia juga mengatasi masalah ‘buffer’ yang sering timbul dengan penggunaan urea dalam pemprosesan silaj,” katanya. 

Beliau berkata, setiap daripada lima produk GENKiMO membantu petani mempertingkatkan pengeluaran di ladang ternakan. 

“Produk GENKiMO Odor Removal sesuai digunakan untuk mengatasi masalah bau busuk di sekitar kandang ternakan. 

“Kami melakukan testimoni di sebuah ladang ayam di Beranang dan hasilnya memang hebat kerana tiada bau dan bebas lalat,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO Bio (Aditif Makanan Ternakan) membantu meningkatkan prestasi serta kesihatan ternakan. 

Sebagai tambahan penternak boleh melakukan pemeraman bahan makanan bagi meningkatkan lagi kesannya. 

“Ia sesuai digunakan untuk ternakan lembu, ayam, itik dan kambing,” katanya. 

Katanya, cecair minuman GENKiMO Fauna dijadikan sebagai bahan alternatif pengganti antibiotik bagi mengurangkan stres pada ternakan dan mengurangkan kos rawatan dan ubat-ubatan. 

“Ia juga mengatasi masalah pencemaran bau busuk dan lalat pada ladang ternakan dan mengatasi masalah serangan kutu dan cacing. 

“Sukatan penggunaan dengan pencairan seliter Fauna bersamaan 1,000 liter air tanpa klorin,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO Flora menggalakkan percambahan dan tumbesaran tanaman, meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman dan meningkatkan jumlah hasil. 

“Ia meningkatkan daya ketahanan tumbuhan terhadap penyakit dan serangga, mampu menghasilkan baja bio organik dan memulih serta menambahbaik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah. 

“Kaedah penggunaan ialah seliter Flora bersamaan satu tan bahan kompos. Penggunaan semburan pada tumbuhan pula membabitkan nisbah 1:700. 

“Jika disembur pada pokok, tumbuhan itu lebih sihat dan cepat membesar,” katanya. 

Produk terakhir, GENKiMO Composeed memulihkan tanah dengan penggunaan 10 kilogram produk itu untuk sehektar tanah. 

Beliau berkata, semua produk GENKiMO dihasilkan menggunakan dua teknologi saranan MARDI seperti tangki fermentasi cecair dan ‘bioreaktor’ ciptaan tempatan. 

Teknologi GENKiMO yang menggunakan konsep ‘pengusaha sejahtera, masyarakat sekeliling sejahtera’ menerima Anugerah Emas Bio Malaysia dan pingat perak bagi Seoul International Invention Fair (SIIF) 2009. 

Bagi perancangan jangka panjang, produk itu akan dikembangkan untuk kegunaan rumah seperti bahan pengelap lantai, karpet dan pembersih bulu kucing.
SUMBER -HM

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya