Iklan

Selasa, 16 April 2013

ARTIKEL - AGRO - Kacang panjang pulangan lumayan


Kacang panjang pulangan lumayan

Sekitar 2010, Ahajani Shaari, 43, bersama rakan sekampung menyertai Kumpulan Tani untuk mengusahakan pelbagai projek penanaman sayuran di tanah rizab padi.
Bagi mendapatkan bantuan, mereka kemudian menyertai Projek Ladang Kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 
Sejak itu, pelbagai projek penanaman sayuran termasuk cili, bendi, timun, jagung dan kacang panjang dilaksanakan secara bergilir-gilir di kalangan peserta di Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor. 

Ahajani berkata, dengan keluasan tanah 1.2 hektar persegi, dia mengusahakan projek penanaman timun dan kacang panjang secara berselang seli bagi menjamin kualiti sayur dihasilkan.

“Daripada jumlah tanah itu, 0.6 hektar diusahakan dengan timun dan bakinya dengan kacang panjang.

“Namun, modal diperlukan untuk menanam sayur jenis junjung agak tinggi kerana perlu menyediakan kos seperti penyediaan kayu junjung, tali dan dawai dengan anggaran RM10,000 untuk 0.6 hektar,” katanya. 

Menurutnya, FAMA bukan saja membeli hasil pertanian secara langsung, tapi turut menyediakan khidmat nasihat kepada peserta projek terbabit. 

“Kami juga dibantu Jabatan Pertanian. FAMA bertindak untuk memasarkan sayuran. Kami beruntung kerana FAMA menawarkan harga semasa dan membayar pada kadar sama jika harga­nya jatuh. 

“Itu konsep yang dipersetujui menerusi Ladang Kontrak, tapi FAMA akan membayar lebih tinggi jika harga di pasaran meningkat,” katanya. 

Menyentuh mengenai pemilihan dua sayuran diusahakannya, Ahajani yang pernah mengusahakan kantin dan pembekalan makanan asrama mengakui penanaman sayuran seperti itu dapat menjimatkan kos. 

“Biasanya selepas menanam timun, saya akan menanam kacang panjang. Saya mempraktikkan teknik penanaman dua sayuran itu kerana mahu menjimatkan kos. 

“Tali yang digunakan tidak perlu dibuang dan boleh digunakan semula untuk penanaman kacang panjang. Maknanya saya hanya perlu menunggu pokok lama kering sebelum digantikan de­ngan kacang panjang. 

“Biasanya kos upah pemasangan tali untuk 0.6 hektar sekitar RM700 hingga RM800. Jadi di situ saya sudah melakukan banyak penjimatan,” katanya yang turut mengutamakan penggunaan baja organik, selaras dengan konsep ‘natural farming’. 

Menurutnya, semua benih kacang panjang dan timun diimport dari luar negara, manakala pekerjanya pula kebanyakan daripada penduduk tempatan. 

“Kacang panjang mengeluarkan hasil selepas 45 hari ditanam di ladang. Setiap satu batas memerlukan 120 pokok dan bermakna kira-kira 12,000 pokok diperlukan untuk 0.6 hektar. 

“Jangka hayat pokok kacang kira-kira 40 hari, namun usianya boleh mencecah sehingga dua bulan,” kata­nya. 

Dianggarkan 400 hingga 500 kilogram kacang panjang dihasilkan dalam keluasan tanah 0.6 hektar. 

“Potensi penanaman sayur kacang sangat menguntungkan. Jika bergantung kepada pasaran pasar besar atau borong harganya mungkin di bawah kos. 

“Biasanya 10 bakul dapat dihasilkan untuk setiap kali tuaian di ladang. Berdasarkan perjanjian, separuh akan dijual kepada FAMA dan separuh lagi untuk pasaran tempatan,” katanya. 

Mengenai perancangan masa depan, katanya dia berharap dapat meluaskan lagi projek penanaman sayuran, sekali gus meningkatkan skala pengeluaran.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya