Iklan

Jumaat, 4 November 2011

Airbus Beluga Massive Transport Airplane
























Simpan 1,001 cerita pemerintah Perak






SERONOK...setiap pengunjung pastinya seronok dan teruja melihat barangan yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah.
BANDAR Diraja Kuala Kangsar adalah antara destinasi wajib dikunjungi jika melancong ke Perak.

Letaknya 48 kilometer ke utara Ipoh, Kuala Kangsar mendapat namanya daripada pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai.

CANTIK...Masjid Ubudiah memiliki seni bina gaya Moor yang kuat menerusi kubah warna emasnya

DARJAH KEBESARAN...antara pingat dan darjah kebesaran Kesultanan Perak.

TRADISI...Kuala Kangsar sememangnya cukup terkenal dengan labu sayong sejak dulu lagi.



UNIK...keunikan reka bentuk dan seni bina Istana Kenangan memukau sesiapa saja yang memandangnya.
Ada juga mengatakan nama Kuala Kangsar sempena 99 kuala yang anak di Sungai Perak iaitu kurang satu seratus, maka ia diberi jolokan nama ‘Kuala Kurang Sa’.

Selain keunikan namanya dan bersesuaian sebagai bandar diraja, Kuala Kangsar menyimpan 1,001 cerita mengenai pemerintah Perak di Bukit Chandan.


Justeru, jika berkunjung ke Kuala Kangsar, tetapi tidak ke Bukit Chandan yang menjadi tempat bersemayam pemerintah Perak sejak abad ke-15, pastinya kunjungan itu bagaikan tidak sempurna.Galeri Sultan Azlan Shah

Memulakan penjelajahan di Bukit Chandan, Galeri Sultan Azlan Shah adalah lokasi pertama yang perlu disinggahi.

Memasuki pekarangan Galeri Sultan Azlan Shah, pengunjung pasti terpegun melihat keindahan dan seni bina istana konkrit yang pertama dibina di Perak.

Dulunya, bangunan asal galeri itu adalah bekas Istana Ulu, yang menjadi tempat bersemayam moyang Sultan Azlan Shah iaitu Almarhum Sultan Idris 1 pada 1903.

Bagaimanapun, selepas dibaik pulih sempena 100 tahun pembinaannya pada 2003, istana itu kini dikenali sebagai Galeri Sultan Azlan Shah.

Dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 5 petang, galeri itu bukan saja berfungsi sebagai sumber rujukan, malah membolehkan pengunjung mengenali lebih mendalam perjalanan hidup seorang raja.

Mana tidaknya, pengunjung ke galeri itu berpeluang menyaksikan pelbagai alat kebesaran diraja. Selain itu, peralatan zaman persekolahan, koleksi peribadi, barangan kemas dan pingat diraja dapat dilihat di galeri itu.

Menariknya pengunjung juga dapat melihat pakaian yang pernah disarungkan keluarga diraja Perak termasuk ketika pernikahan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Bahan pameran diatur mengikut kronologi peristiwa bagi memudahkan pengunjung memahami peralihan masa dari zaman anak raja sehingga sebagai pemerintah Perak.

Selesai melihat pelbagai koleksi barangan diraja, bersantai di kawasan galeri juga pasti memberi ketenangan kepada pengunjung di tepi kolam yang di tengahnya ada air pancut yang keluar dari labu sayong.

Selain itu, kawasan sekitar�nya yang bersih dan terpelihara rapi itu memberikan suasana mendamaikan.


Masjid Ubudiah

Puas menjelajah di setiap sudut di Galeri Sultan Azlan Shah, penjelajahan di Bukit Chandan diteruskan pula ke satu lagi tarikan pelancongan yang perlu dikunjungi, Masjid Ubudiah.

Masjid terindah di Perak di sebelah kawasan permakaman diraja raja Bukit Chandan dibina atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda pada 1910.

Pada Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Mur�shidul Azam Shah meletakkan batu asas masjid itu.

Bagaimanapun, pembinaan masjid itu tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul marmar yang dipijak dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan di tempat simpanannya.

Pesanan batu marmar dari Itali bagi menggantikan marmar yang rosak juga tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama sehingga 1917 barulah masjid itu dengan rasminya dibuka Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada 1916.

Masjid yang tersergam indah itu yang menjadi simbol kebanggaan dan kesucian agama Islam di Perak dianggarkan menelan belanja berjumlah RM200,000.

Masjid ini direka bentuk Arthur Benison Hubback, arkitek kerajaan yang turut bertanggungjawab mereka stesen kereta api Ipoh dan Kuala Lumpur.

Justeru, seni bina bangunan ini memiliki gaya Moor yang kuat dapat dilihat dengan kubah warna emasnya.


Istana Kenangan

Selepas melihat seni bina Masjid Ubudiah dengan gaya Moor itu, istana berwarna kuning iaitu Istana Kenangan adalah lokasi kunjungan seterusnya.

Istana Kenangan yang dikenali sebagai Istana Lembah atau Istana Tepas dibina pada 1926.

Ia dianggap sebagai satu pencapaian tinggi dan unik dalam seni bina tempatan kerana seni reka dan kehalusan buatan serta binaannya yang tidak menggunakan paku dari logam walaupun sebatang.

Pelan atau pandangan dari atas bangunan itu berbentuk atau berkonsepkan sebilah pedang yang disimpan di dalam sarungnya.

Di bahagian hulu pedang adalah bilik peraduan sultan, bahagian sarung pedang adalah Balai Rong Seri Istana. Istana ini sungguh pun kecil, ia mempunyai singgahsana sultan yang cantik.

Istana Kenangan ini berdindingkan kelarai berbumbung perabot lima dan perabot pisang sesikat sementara bumbung asalnya menggunakan kayu papan keras jenis berlian.

Pada asalnya, istana ini dibina sebagai tempat persemayaman sementara Sultan Iskandar Shah sementara menantikan siapnya pembinaan Istana Iskandariah.

Pada 1933, apabila Istana Iskandariah siap, Sultan Iskandar Shah berpindah ke istana itu.

Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki keluarga diraja Perak.

Istana itu dinamakan Istana �Kenangan bermula pada 1960-an iaitu selepas istana itu diperbaiki semula dengan usaha Tunku Abdul Rahman Putra iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Kini, Istana Kenangan dijadikan sebagai Muzium Diraja Perak.

Ia mempamerkan sejarah kesultanan dan menyimpan khazanah alat kebesaran Perak.

Pengunjung berpeluang menyaksikan koleksi peribadi sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Koleksi gambar diraja yang lama turut diabadikan dalam muzium itu.

Ia dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 5 petang.
Bagaimanapun, ia ditutup dari jam 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang setiap Jumaat.


Labu sayong

Sebut saja Sayong, tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman iaitu labu sayong. Selain kemegahan Bukit Chandan, labu sayong antara tarikan utama di Kuala Kangsar.

Bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Perusahaan tembikar labu sayong itu kebanyakannya dijalankan di Kampung Sayong.

Wujudnya labu hitam itu adalah dari labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas menyimpan air.

Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.

Namun, kini labu sayong bukan saja dijadikan tempat menyimpan air, tetapi perhiasan dengan pelbagai reka bentuk.



INFO:


Kuala Kangsar mendapat namanya dari pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai dan anda yang mengatakan sempena 99 kuala yang ada di Sungai Perak iaitu kurang satu seratus, maka ia diberi jolokan nama ‘Kuala Kurang Sa’.

Pokok getah tertua di Semenanjung Malaysia ditanam di Kuala Kangsar pada 1900 oleh Residen British di Perak ketika itu, Sir Hugh Low yang membawa masuk benih getah untuk membuka ladang getah.

Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali dengan nama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang dibina pada 1905 menjadi tempat melatih golongan elit Melayu.

Antara bekas penuntutnya ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.

Labu sayong adalah hasil kraf yang cukup sinonim dengan Kuala Kangsar dan menjadi mercu tanda bandar itu.

sumber - hmetro -

Khamis, 3 November 2011

Kecelaruan pasaran hartanah di Vietnam


KETIADAAN pembeli menyebabkan harga apartmen-apartmen mewah di Ho Chi Minh City turun mendadak.

EMPAT tahun selepas ledakan nilai hartanah yang menyaksikan pelabur-pelabur terpaksa berkhemah di atas jalan raya menunggu untuk membayar pampasan terhadap apartmen-apartmen tidak siap, pasaran nilai hartanah yang sebelum ini hangat di Vietnam kini bertukar menjadi dingin.

Pakar-pakar berkata, kenaikan inflasi, kadar faedah dan tekanan kerajaan dalam mengawal kredit menyebabkan kejatuhan harga dan insentif lain untuk menarik pembeli rumah, manakala penyewa pejabat mendapat manfaat kelebihan ruang daripadanya.

"Pasaran hari ini sangat sukar dan mencabar," kata Brad Gee, pengarah pengurusan hartanah yang menghuni tingkat 68, Menara Kewangan Bitexco, Ho Chi Minh City itu.

Bangunan pencakar langit itu baru dibuka tahun lalu dan kini hanya mempunyai lebih 40 peratus ruang pejabat yang telah disewa.

"Jelas sekali, kami terpaksa melakukan proses perundingan yang sukar membabitkan soal sewaan, tetapi mereka yang terlibat di dalam pasaran ini juga sedang berhadapan situasi yang sama," kata Gee.

Bandar raya komersil

Seorang pengurus pajakan berkata, sewa bulanan bagi ruang ruang pejabat berkualiti tinggi di bandar raya itu menurun kepada kurang daripada separuh daripada AS$100 (RM306) bagi setiap meter persegi berbanding pada waktu puncak pasaran pada tahun 2007 hingga 2008.

Bitexco dan dua lagi menara baharu yang telah siap turut menawarkan ruang Gred A sebagai tambahan. Penganalis-penganalisis melihatnya sebagai terlebih penawaran di bandar raya komersial Vietnam itu yang kini dihuni lebih tujuh juta penduduk.

Sektor kediaman juga turut terjejas kerana berlakunya peningkatan faedah dalam usaha pihak berkuasa Vietnam untuk mengurangkan inflasi yang melambung tinggi.

"Pihak bank telah mengetatkan syarat pinjaman bagi firma-firma hartanah, termasuk industri bukan perkilangan dan, jika ia mampu untuk memberi pinjaman sekali pun kadar faedahnya menjadi di antara 20 dan 25 peratus," kata perunding harta DTZ, Craig Wallace.

"Tanpa pinjaman, kami tidak mampu melaksanakan projek, malah kami juga tidak boleh melabur dalam pembangunan hartanah," ujar pengerusi Ho Chi Minh City Real Estate Association, Le Hoang Chau.

Menurut pertubuhan itu, pada masa yang sama, keadaan itu diburukkan dengan penurunan harga apartmen-apartmen mewah di bandar raya itu sebanyak 17 peratus sejak penghujung 2010 dan pertengahan tahun ini iaitu kepada AS$1,500 (RM4,600) bagi setiap meter persegi.

Ketika ada antara hartanah itu menjadi lebih murah, ramai dalam kalangan bakal pembeli rumah tersepit dengan tekanan kredit, tidak mampu untuk mendapatkan cagaran pada kadar yang terlalu tinggi.

Thai Quang Trung, pengurus pengurus penyelidikan di firma perkhidmatan hartanah Jones Lang LaSalle mendapati dirinya kini terperangkap dalam masalah yang dikajinya sebelum ini.

Melalui kadar sewa apartmen yang tinggi, dia menyangka berpeluang membeli kediamannya sendiri namun, terhalang disebabkan masalah pembiayaan.

Lelaki itu mendapati, ramai golongan muda di bandar raya itu turut berdepan dengan situasi yang sama sekiranya mereka bergantung kepada pendapatan sendiri untuk membuat pinjaman pembelian rumah.

"Saya akan terus menyewa sampai bila-bila,"katanya.

Memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang, pada Februari lalu negara itu beralih kepada penstabilan ekonomi yang dilanda oleh peningkatan harga pengguna sebanyak dua kali ganda, kekurangan rizab asing dan mata wang yang lemah.

Langkah-langkah yang dilakukan kerajaan sebelum ini termasuk menaikkan kadar faedah lebih tinggi, mengurangkan perbelanjaan negeri dan arahan pertumbuhan kredit atau pinjaman diletakkan di bawah 20 peratus.

Inflasi

Ahli-ahli ekonomi menegaskan kerajaan perlu berpegang kepada pakej penstabilan yang dirangka bertujuan mengawal ketidakseimbangan ekonomi yang berlaku di negara itu termasuk kadar inflasi yang melebih 20 peratus, antara yang tertinggi di Asia.

"Langkah yang dilakukan kerajaan sebelum ini telah melukakan industri hartanah di samping meningkatkan kadar inflasi," jelas Wallace.

Penganalisis berkata, tidak banyak projek-projek baharu yang dilaksanakan kini.

"Terdapat banyak projek baharu yang terpaksa ditangguhkan. Mereka cuba menghalangnya daripada memasuki pasaran pada hari ini," kata Trung.

Penganalisis turut menambah, bagi bangunan yang telah dimasukkan ke dalam pasaran semasa kemelesetan dahulu, pemaju-pemaju terpaksa menawarkan harga yang jauh lebih rendah, insentif pembiayaan dan juga cabutan bertuah dan perabot.

"Saya rasa situasi pasaran hartanah akan berterusan dan memberikan masalah besar kepada pelabur-pelabur," kata Hoang Chau.

Beliau turut meminta kerajaan mengurangkan peningkatan kadar faedah secara perlahan-lahan.

Industri sedang melihat industri itu akan kembali pulih pada tahun hadapan.

Wallace melahirkan harapan agar wujud kelonggaran beberapa dasar kerajaan yang mungkin dilaksanakan pada awal tahun 2012 contohnya penurunan kadar faedah.

Sementara itu, Ketua Pelaburan dan Perniagaan Jones Lang LaSalle, Huynh Buu Tran memberitahu, potensi pasaran menggambarkan kestabilan kadar pertumbuhan ekonomi Vietnam di mana lebih 60 peratus daripada penduduknya bekerja.

"Sebahagian besarnya merupakan pasangan muda. Mereka semua mengimpikan untuk memiliki kediaman sendiri," katanya.

"Secara dasarnya, ia melibatkan jangka masa panjang dan saya rasa masih ada harapan pemulihan tahun depan," kata Buu Tran. - AFP

sumber - kosmo -

Nikmat kopi ala Itali


INOVASI terkini membolehkan pengguna menghasilkan kopi kegemaran mereka melalui satu sen tuhan butang sahaja sama ada di rumah atau pejabat.
PERUBAHAN zaman menyaksikan kopi mengalami transformasi tersendiri. Dahulu, ia hanya disediakan dengan campuran gula atau susu, kini terdapat variasi kopi antarabangsa ala Itali yang mempunyai pelbagai rasa.

Pasti ramai yang membayangkan kelazatan espresso yang kaya dengan rasa, aroma dan mempunyai kemanisan seperti karamel atau gula hangus. Atau setidak-tidaknya mengingati keenakan latte macchiato, cappucino atau mocha yang dihasilkan melalui campuran kopi, susu stim atau coklat.

Menyedari hakikat itu, Nestle Products Sdn. Bhd. (Nestle), kini memperkenalkan set mesin pembancuh kopi, Nescafe Dolce Gusto yang membolehkan pengguna menikmati minuman kegemaran mereka tanpa perlu berkunjung ke hotel, kopitiam atau francais kafe antarabangsa.

Pengurus Kanan Jenama, Unit Perniagaan Nescafe Dolce Gusto Coffee, Christophe Wyss berkata, produk terbaharu keluaran Nestle itu bukan sahaja mudah dikendalikan malah, sesuai digunakan di rumah atau pejabat.

Katanya, Nescafe Dolce Gusto merupakan gabungan set mesin bertekanan tinggi dan kapsul pelbagai perisa yang membolehkan pengguna menghasilkan aroma kopi segar dan bermutu tinggi.

“Ia berfungsi sama seperti mesin espresso profesional yang sering digunakan untuk mengekstrak kopi.

“Tekanan yang betul menghasilkan rasa kopi yang diingini pengguna. Set mesin pembancuh kopi, Nescafe Dolce Gusto yang mempunyai tekanan sehingga 15 bar sememangnya direka bentuk bagi tujuan itu,” katanya dalam taklimat ringkas di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, inovasi yang dihasilkan melalui kerjasama dengan pengeluar peralatan dapur terkenal, Krups itu membolehkan pengguna membancuh kopi melalui satu sentuhan butang sahaja.

“Hanya masukkan air (air minuman atau air masak), kapsul serbuk perisa dan susu mengikut sukatan yang ditetapkan.

“Setiap sukatan adalah berbeza begitu juga jenis kopi yang dihasilkan. Setakat ini terdapat empat perisa yang ditawarkan iaitu espresso, cappuccino, latte macchiato dan mocha,” jelasnya yang memberitahu setiap kotak mengandungi 16 kapsul dijual pada harga RM27.99.

Katanya, set mesin pembancuh kopi Nescafe Dolce Gusto dihasilkan dalam dua reka bentuk berbeza.

Set kompak, Piccolo yang berkapasiti 0.6 liter dihasilkan melalui tiga variasi warna iaitu merah, putih dan titanium dan dijual pada harga RM399.

Sementara itu, Circolo yang berbentuk bulat dan berkapasiti 1.3 liter dijual pada harga RM699 dalam dua warna iaitu merah dan anthracite.

sumber - kosmo -

Jual seekor ikan kerapu dapat untung RM16,000

SEORANG lelaki memegang ikan kerapu seberat 200 kilogram yang ditangkap di perairan Miri, Sarawak semalam.

IKAN GERGASI. Seorang nelayan tidak menyangka memperoleh wang sebanyak RM16,000 selepas kejayaan menangkap seekor kerapu gergasi semalam.

Ikan seberat 200 kilogram (kg) itu dipercayai ditangkap menggunakan pukat kira-kira tujuh batu nautika dari pantai Miri, Sarawak.

Kejayaan menangkap ikan itu menarik perhatian ramai termasuk seorang pemilik restoran yang membelinya pada harga RM16,000.

Spesies kerapu gergasi yang turut dipanggil sebagai kertang itu mampu membesar sehingga dua meter panjang dengan berat 400 kilogram dan mempunyai nilai pasaran mencecah RM70 sekilogram.

sumber - kosmo -

Rabu, 2 November 2011

Dijual RM3.50 sekeping

Di Terengganu, industri manisan nira kelapa mempunyai permintaan dan pasaran yang tersendiri. Ia dijual mengikut gred dan boleh dibeli dari harga serendah RM0.90 sen hingga RM3.50 sekeping
ENAK, lembut, manis dan berlemak. Itulah yang digambarkan oleh penggemar manisan nira kelapa yang banyak dihasilkan oleh pengusaha secara kecil-kecilan di Terengganu.

Malah, jika dibandingkan dengan manisan lain, penduduk negeri yang kaya dengan sumber pelancongan itu lebih memilih manisan ini.

Biarpun harga yang agak tinggi berbanding manisan lain yang boleh dibeli pada separuh harga, namun jualan dan permintaannya sangat menggalakkan menyebabkan pengusahanya tidak menang tangan.

Rezeki pengusaha bertambah pada bulan puasa kerana permintaannya meningkat sekali ganda kerana juadah pembuka selera banyak menggunakan bahan ini selain menjadi perasa tambahan dalam masakan.

Salah seorang pengusaha, Suri Abdul Ghani, 43, dan suami, Mohd. Kahni Habsu, 45, memberitahu, permintaan terhadap manisan mereka meningkat antara 1,000 hingga 1,500 keping manisan setiap hari.

Bagaimanapun, manisan yang mereka hasilkan mengikut gred. Manisan asli tidak dicampur gula dan hanya menggunakan nira kelapa yang dijadikan sebagai penawar diabetes.

"Manisan jenis ini kita tidak buat banyak memandangkan harganya lebih mahal kerana saya jual pada harga RM3.50 sekeping," kata Suri ketika ditemui di rumah yang dijadikan tempat pembuatan manisan di Kampung Batangan, Marang, Terengganu baru-baru ini.
SURI menunjukkan penyediaan manisan nira kelapa yang diusahakannya.
Di kampung tersebut, terdapat kira-kira 50 pengusaha yang turut menjalankan perniagaan sama.

Jelas Suri, pembuatan manisan jenis ini lebih rumit kerana tanpa gula, manisan tersebut mengambil masa antara tiga hingga empat jam sebelum ia likat dan dikeraskan di dalam acuan daun nipah.

Sebagai tip katanya, jika mahu membezakan manisan ini asli atau tidak, ia boleh dilihat melalui baunya yang lebih harum. Jika ia dibungkus dengan kertas, kertas tersebut akan lembap.

Selain itu, dia turut menghasilkan manisan ori yang ditambah gula kira-kira tiga peratus dan dijual pada harga borong RM1.70 sekeping.

Tetapi, katanya terdapat dua lagi jenis manisan iaitu gred ketiga yang dinamakan manisan tuak yang dihasilkan dengan tambahan sebanyak 50 peratus gula.

"Jenis ini paling banyak mendapat permintaan kerana harganya yang lebih murah dan dijual pada harga borong RM1.20 sekeping," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Suri, satu lagi jenis manisan yang dihasilkan menggunakan 90 peratus gula dan 10 peratus air nira dinamakan manisan campur. Ia dijual pada harga RM0.90 sekeping.

Selain bau dan rasa katanya, cara untuk membezakan manisan buatannya mengikut gred ialah dengan melihat bahagian bawah manisan berkenaan. Jika ia berpetak-petak kecil maka ia adalah manisan asli.

Tikar mengkuang
Menurut Suri ketika manisan nira dimasukkan ke dalam acuan, ia dialas menggunakan tikar mengkuang, manakala jenis tuak dan campur pula bahagian bawahnya akan mempunyai banyak garis melintang kerana ia dialas menggunakan tikar biasa.

Menjelaskan mengenai proses pembuatan manisan tersebut, kata Suri, ia dilakukan menggunakan nira kepala yang diperoleh daripada penduduk sekitar dan dari kebunnya sendiri.

Menurut Suri, selain manisan kelapa, dia turut menghasilkan dodol yang dibungkus di dalam daun mengkuang dan sejenis kuih yang dinamakan manisan pulut.

Katanya, kesemua produknya mendapat pengiktirafan halal. Beliau yang bertindak menguruskan bahagian pengeluaran manakala suaminya membantu di bahagian jualan dan edaran sedang mencongak-congak untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menceritakan pembabitannya dalam industri ini sejak tujuh tahun lalu, secara kebetulan Suri diminta oleh seorang jirannya menyiapkan tempahan membuat manisan kerana jirannya jatuh sakit. Pada masa itu bulan Ramadan.
ISMAIL SULAIMAN membungkus mayang kelapa dengan botol bagi mengeluarkan air nira.

Ujian bisnes
"Hasil ajaran secara lisan dan pengalaman melihat penduduk kampung membuat manisan ini, saya cuba dan Alhamdulillah saya berjaya menghasilkannya," kata Suri.

Sejak itu, daripada melakukan pelbagai kerja kampung termasuk menanam tembikai dan ubi kayu, Suri mencuba nasib membuat manisan iaitu aktiviti ekonomi yang banyak dilakukan oleh penduduk kampung tersebut.

"Pada mulanya saya buat di rumah dan menjual sendiri di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu," katanya.

Jelasnya, selepas itu dia mula membesarkan perniagaan secara berperingkat. Peringkat awal dia membuat sebuah bangsal kecil yang kemudiannya dibesarkan sehingga dia boleh mengupah 11 orang pekerja.

KUIH buah Melaka menggunakan manisan nira untuk intinya.
"Bantuan daripada Jabatan Pertanian banyak membantu saya membesarkan perniagaan ini dan menampung permintaan yang semakin bertambah," katanya.


MOHD. KAHNI menunjukkan manisan nira kelapa yang diusahakannya di Kampung Batangan, Marang, Terengganu.

Namun katanya, langit tidak selalu cerah. Sekitar tiga tahun lalu dia berdepan dengan dugaan apabila suami, anak dan pekerjanya menghidap penyakit misteri dan tidak dapat bekerja.


"Ketika di rumah mereka baik tetapi bila datang ke tempat kerja mereka mengalami muntah-muntah," katanya.

Permintaan tinggi

DAUN mengkuang digunakan untuk membuat manisan nira kelapa.

Sementara itu, peniaga manisan nira kelapa di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, Norshamimi Munirah Ahmad Shukri, 24, menjelaskan, nira yang lebih murah banyak dibeli oleh pembuat kuih manakala nira yang lebih mahal lebih digemari oleh individu atau pelancong.

"Saya ambil nira daripada pengusaha di Marang dan setakat ini memang permintaannya sentiasa ada," katanya yang sudah empat tahun berniaga di pasar berkenaan.

Jelasnya, pembuat kuih terpaksa membeli manisan gred yang lebih rendah untuk memastikan mereka dapat menjual kuih pada harga yang munasabah.

Sebaliknya, individu atau pelancong luar pula lebih mementingkan kualiti manisan berkenaan supaya resipi masakan dan kuih-muih menggunakan manisan berkenaan lebih enak.

Sementara itu, Midah Hitam, 64, lebih gemar menggunakan manisan tempatan kerana selain rasa, ia juga lebih bersih berbanding manisan import yang banyak dijual di kedai runcit.

"Manisan yang dibuat oleh penduduk tempatan kita tahu cara buatannya tetapi manisan import kita tidak tahu.

"Pernah saya cuba rendam manisan import ini tetapi banyak sampah yang timbul jika dibandingkan dengan manisan buatan tempatan," katanya.

Dalam pada itu, rasa manisan nira kelapa ini juga berbeza kerana ia ada satu aroma nira yang enak jika dicampur dalam makanan. Malah, katanya, jika dibuat kuih seperti kuih buah Melaka, rasa kuih itu lebih lembut dan enak.

sumber - kosmo -

Rumah komuniti lelaki Australia


PETER TORENBEEK yang juga Presiden Men's Shed Cessnock bergambar di depan bangsal pusat tersebut.
SEBUAH bangunan dengan kombinasi warna kelabu, merah dan putih tersergam megah di bandar Maitland yang terletak di New South Wales, Australia.

Di hadapan bangunan itu tertera perkataan Men's Shed, satu lokasi yang sudah lama dianggap sebagai 'kuil' bagi lelaki Australia di bandar tersebut. Meskipun dahulu saiznya agak kecil seperti sebuah kawasan di belakang rumah tetapi, kini ia semakin membangun.

Apa yang menarik, premis tersebut menempatkan ruang untuk kaum lelaki melakukan kerja-kerja pertukangan yang dilengkapi dengan bengkel kayu dan logam serta pelbagai peralatan untuk berkebun.

Tetapi menurut ahli majlis Hunter Valley, Marty Leist, kewujudan Men's Shed mampu menyelamatkan golongan lelaki yang telah bersara dan menganggur daripada kesepian di samping menggalakkan mereka untuk bekerja dan kembali bersosial bersama rakan-rakan sebaya.

"Berada dalam komuniti ini membuatkan kami berasa seperti melangkah menjadi lelaki yang baru dalam usia emas sebegini.

"Kesemua lelaki di sini pernah mengharungi hidup yang mencabar dan kini mereka telah menemui kebebasan yang dicari serta boleh melakukan apa sahaja yang diinginkan.

"Apa yang penting, beban yang terpikul di bahu mereka sudah tiada lagi, sebaliknya mereka gembira hidup bersama komuniti yang ada," kata Leist kepada AFP di Maitland Men's Shed yang terletak di pekan Hunter Valley, 160 kilometer ke utara Sydney.

Berkembang di Australia

MEN'S SHED kini sudah mempunyai lebih 600 bangsal komuniti seperti ini di seluruh Australia.

Bermula dengan 12 bangsal lelaki sejak ditubuhkan lima tahun lalu, kini sudah terdapat 600 bangsal yang telah berdaftar dengan Mens Shed di seluruh Australia. Pertubuhan itu dinaungi oleh Tim Mathieson, pasangan kepada Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.

Populariti jenama tersebut dapat dilihat apabila beberapa bangsal turut membuka pintu mereka kepada wanita.

Bagaimanapun di Maitland ia merupakan pusat kegiatan dengan gergaji dan pengimpal apabila sekumpulan kecil warga emas berusaha menyiapkan kenu Maori gergasi. Ia adalah projek impian seorang lelaki tempatan yang meninggal dunia sebelum dia berpeluang untuk menyiapkannya.

Suasana di dalam bangsal tersebut meriah dengan pelbagai bunyi. Daripada bunyi bising peralatan pertukangan atau sesekali hilai tawa kumpulan lelaki tersebut.

Men's Shed beroperasi di bawah moto Shoulder to Shoulder (Bahu ke Bahu) dan Presiden Men's Shed Maitland, John Hill mengatakan elemen praktikal amat penting dalam usaha membuka mata penduduk tempatan.

"Lelaki yang hadir ke sini kebanyakan tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk membina semula keyakinan mereka untuk meneruskan kehidupan.

"Akhirnya mereka sendiri akan sedar bahawa hidup ini perlu diteruskan dan bermakna. Mereka akan sedar dalammeniti usia emas mereka tidak perlu hanya duduk berdiam diri dan menanti waktu untuk meninggal dunia," jelas Hill.

MEN'S SHED mengajak lelaki berusia di Australia membina hidup lebih positif dalam meniti usia emas.

Jerry Cassidy, seorang juruteknik telekomunikasi yang telah bersara, datang ke bangsal tersebut untuk mencari teman selepas kematian isteri selain anak-anak yang sudah dewasa meninggalkan rumah. Sejak itu, dia langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

"Di sini, anda akan mula menggunakan tangan dan bekerja mengikut kehendak sendiri. Orang yang biasanya sangat pendiam dan jarang bergaul, apabila tiba di sini akan berubah menjadi sebaliknya.

"Mereka akan mula bekerja dan berkomunikasi dengan sesiapa yang ada. Lama-kelamaan, kami sudah seperti satu keluarga," katanya.

Ceramah kesihatan

Selain itu, pihak pengurusan turut menganjurkan seminar kesihatan termasuk ceramah mengenai kanser prostat, jantung, diabetes dan darah tinggi.

Malah, ada juga isu-isu sensitif yang jarang diperkatakan lelaki termasuk kepada isteri mereka dibincangkan secara terbuka bersama komuniti.

Semua perkara itu secara tidak langsung memberi kebaikan kepada mereka terutama dalam menjaga kesihatan diri.

"Kami pernah mempunyai beberapa orang ahli yang disangka akan mati sewaktu mula-mula tiba di sini, tetapi masih lagi hidup hingga sekarang. Doktor yang merawat mereka turut hairan dan berkata, 'saya tidak tahu apa yang terjadi kepada kamu, tetapi teruskan apa yang kamu lakukan sekarang'. - AFP

sumber - kosmo -
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya