Iklan

Khamis, 3 November 2011

Kecelaruan pasaran hartanah di Vietnam


KETIADAAN pembeli menyebabkan harga apartmen-apartmen mewah di Ho Chi Minh City turun mendadak.

EMPAT tahun selepas ledakan nilai hartanah yang menyaksikan pelabur-pelabur terpaksa berkhemah di atas jalan raya menunggu untuk membayar pampasan terhadap apartmen-apartmen tidak siap, pasaran nilai hartanah yang sebelum ini hangat di Vietnam kini bertukar menjadi dingin.

Pakar-pakar berkata, kenaikan inflasi, kadar faedah dan tekanan kerajaan dalam mengawal kredit menyebabkan kejatuhan harga dan insentif lain untuk menarik pembeli rumah, manakala penyewa pejabat mendapat manfaat kelebihan ruang daripadanya.

"Pasaran hari ini sangat sukar dan mencabar," kata Brad Gee, pengarah pengurusan hartanah yang menghuni tingkat 68, Menara Kewangan Bitexco, Ho Chi Minh City itu.

Bangunan pencakar langit itu baru dibuka tahun lalu dan kini hanya mempunyai lebih 40 peratus ruang pejabat yang telah disewa.

"Jelas sekali, kami terpaksa melakukan proses perundingan yang sukar membabitkan soal sewaan, tetapi mereka yang terlibat di dalam pasaran ini juga sedang berhadapan situasi yang sama," kata Gee.

Bandar raya komersil

Seorang pengurus pajakan berkata, sewa bulanan bagi ruang ruang pejabat berkualiti tinggi di bandar raya itu menurun kepada kurang daripada separuh daripada AS$100 (RM306) bagi setiap meter persegi berbanding pada waktu puncak pasaran pada tahun 2007 hingga 2008.

Bitexco dan dua lagi menara baharu yang telah siap turut menawarkan ruang Gred A sebagai tambahan. Penganalis-penganalisis melihatnya sebagai terlebih penawaran di bandar raya komersial Vietnam itu yang kini dihuni lebih tujuh juta penduduk.

Sektor kediaman juga turut terjejas kerana berlakunya peningkatan faedah dalam usaha pihak berkuasa Vietnam untuk mengurangkan inflasi yang melambung tinggi.

"Pihak bank telah mengetatkan syarat pinjaman bagi firma-firma hartanah, termasuk industri bukan perkilangan dan, jika ia mampu untuk memberi pinjaman sekali pun kadar faedahnya menjadi di antara 20 dan 25 peratus," kata perunding harta DTZ, Craig Wallace.

"Tanpa pinjaman, kami tidak mampu melaksanakan projek, malah kami juga tidak boleh melabur dalam pembangunan hartanah," ujar pengerusi Ho Chi Minh City Real Estate Association, Le Hoang Chau.

Menurut pertubuhan itu, pada masa yang sama, keadaan itu diburukkan dengan penurunan harga apartmen-apartmen mewah di bandar raya itu sebanyak 17 peratus sejak penghujung 2010 dan pertengahan tahun ini iaitu kepada AS$1,500 (RM4,600) bagi setiap meter persegi.

Ketika ada antara hartanah itu menjadi lebih murah, ramai dalam kalangan bakal pembeli rumah tersepit dengan tekanan kredit, tidak mampu untuk mendapatkan cagaran pada kadar yang terlalu tinggi.

Thai Quang Trung, pengurus pengurus penyelidikan di firma perkhidmatan hartanah Jones Lang LaSalle mendapati dirinya kini terperangkap dalam masalah yang dikajinya sebelum ini.

Melalui kadar sewa apartmen yang tinggi, dia menyangka berpeluang membeli kediamannya sendiri namun, terhalang disebabkan masalah pembiayaan.

Lelaki itu mendapati, ramai golongan muda di bandar raya itu turut berdepan dengan situasi yang sama sekiranya mereka bergantung kepada pendapatan sendiri untuk membuat pinjaman pembelian rumah.

"Saya akan terus menyewa sampai bila-bila,"katanya.

Memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang, pada Februari lalu negara itu beralih kepada penstabilan ekonomi yang dilanda oleh peningkatan harga pengguna sebanyak dua kali ganda, kekurangan rizab asing dan mata wang yang lemah.

Langkah-langkah yang dilakukan kerajaan sebelum ini termasuk menaikkan kadar faedah lebih tinggi, mengurangkan perbelanjaan negeri dan arahan pertumbuhan kredit atau pinjaman diletakkan di bawah 20 peratus.

Inflasi

Ahli-ahli ekonomi menegaskan kerajaan perlu berpegang kepada pakej penstabilan yang dirangka bertujuan mengawal ketidakseimbangan ekonomi yang berlaku di negara itu termasuk kadar inflasi yang melebih 20 peratus, antara yang tertinggi di Asia.

"Langkah yang dilakukan kerajaan sebelum ini telah melukakan industri hartanah di samping meningkatkan kadar inflasi," jelas Wallace.

Penganalisis berkata, tidak banyak projek-projek baharu yang dilaksanakan kini.

"Terdapat banyak projek baharu yang terpaksa ditangguhkan. Mereka cuba menghalangnya daripada memasuki pasaran pada hari ini," kata Trung.

Penganalisis turut menambah, bagi bangunan yang telah dimasukkan ke dalam pasaran semasa kemelesetan dahulu, pemaju-pemaju terpaksa menawarkan harga yang jauh lebih rendah, insentif pembiayaan dan juga cabutan bertuah dan perabot.

"Saya rasa situasi pasaran hartanah akan berterusan dan memberikan masalah besar kepada pelabur-pelabur," kata Hoang Chau.

Beliau turut meminta kerajaan mengurangkan peningkatan kadar faedah secara perlahan-lahan.

Industri sedang melihat industri itu akan kembali pulih pada tahun hadapan.

Wallace melahirkan harapan agar wujud kelonggaran beberapa dasar kerajaan yang mungkin dilaksanakan pada awal tahun 2012 contohnya penurunan kadar faedah.

Sementara itu, Ketua Pelaburan dan Perniagaan Jones Lang LaSalle, Huynh Buu Tran memberitahu, potensi pasaran menggambarkan kestabilan kadar pertumbuhan ekonomi Vietnam di mana lebih 60 peratus daripada penduduknya bekerja.

"Sebahagian besarnya merupakan pasangan muda. Mereka semua mengimpikan untuk memiliki kediaman sendiri," katanya.

"Secara dasarnya, ia melibatkan jangka masa panjang dan saya rasa masih ada harapan pemulihan tahun depan," kata Buu Tran. - AFP

sumber - kosmo -

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya