Mai La Usha usha apa yg ada ..uhuhuhuhuhuhu ......... - Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah pula kita menjadi langau yang boleh membusukkan daging..........."
Iklan
Jumaat, 4 November 2011
Simpan 1,001 cerita pemerintah Perak
SERONOK...setiap pengunjung pastinya seronok dan teruja melihat barangan yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah.
BANDAR Diraja Kuala Kangsar adalah antara destinasi wajib dikunjungi jika melancong ke Perak.
Letaknya 48 kilometer ke utara Ipoh, Kuala Kangsar mendapat namanya daripada pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai.
CANTIK...Masjid Ubudiah memiliki seni bina gaya Moor yang kuat menerusi kubah warna emasnya
DARJAH KEBESARAN...antara pingat dan darjah kebesaran Kesultanan Perak.
TRADISI...Kuala Kangsar sememangnya cukup terkenal dengan labu sayong sejak dulu lagi.
UNIK...keunikan reka bentuk dan seni bina Istana Kenangan memukau sesiapa saja yang memandangnya.
Ada juga mengatakan nama Kuala Kangsar sempena 99 kuala yang anak di Sungai Perak iaitu kurang satu seratus, maka ia diberi jolokan nama ‘Kuala Kurang Sa’.
Selain keunikan namanya dan bersesuaian sebagai bandar diraja, Kuala Kangsar menyimpan 1,001 cerita mengenai pemerintah Perak di Bukit Chandan.
Justeru, jika berkunjung ke Kuala Kangsar, tetapi tidak ke Bukit Chandan yang menjadi tempat bersemayam pemerintah Perak sejak abad ke-15, pastinya kunjungan itu bagaikan tidak sempurna.Galeri Sultan Azlan Shah
Memulakan penjelajahan di Bukit Chandan, Galeri Sultan Azlan Shah adalah lokasi pertama yang perlu disinggahi.
Memasuki pekarangan Galeri Sultan Azlan Shah, pengunjung pasti terpegun melihat keindahan dan seni bina istana konkrit yang pertama dibina di Perak.
Dulunya, bangunan asal galeri itu adalah bekas Istana Ulu, yang menjadi tempat bersemayam moyang Sultan Azlan Shah iaitu Almarhum Sultan Idris 1 pada 1903.
Bagaimanapun, selepas dibaik pulih sempena 100 tahun pembinaannya pada 2003, istana itu kini dikenali sebagai Galeri Sultan Azlan Shah.
Dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 5 petang, galeri itu bukan saja berfungsi sebagai sumber rujukan, malah membolehkan pengunjung mengenali lebih mendalam perjalanan hidup seorang raja.
Mana tidaknya, pengunjung ke galeri itu berpeluang menyaksikan pelbagai alat kebesaran diraja. Selain itu, peralatan zaman persekolahan, koleksi peribadi, barangan kemas dan pingat diraja dapat dilihat di galeri itu.
Menariknya pengunjung juga dapat melihat pakaian yang pernah disarungkan keluarga diraja Perak termasuk ketika pernikahan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.
Bahan pameran diatur mengikut kronologi peristiwa bagi memudahkan pengunjung memahami peralihan masa dari zaman anak raja sehingga sebagai pemerintah Perak.
Selesai melihat pelbagai koleksi barangan diraja, bersantai di kawasan galeri juga pasti memberi ketenangan kepada pengunjung di tepi kolam yang di tengahnya ada air pancut yang keluar dari labu sayong.
Selain itu, kawasan sekitar�nya yang bersih dan terpelihara rapi itu memberikan suasana mendamaikan.
Masjid Ubudiah
Puas menjelajah di setiap sudut di Galeri Sultan Azlan Shah, penjelajahan di Bukit Chandan diteruskan pula ke satu lagi tarikan pelancongan yang perlu dikunjungi, Masjid Ubudiah.
Masjid terindah di Perak di sebelah kawasan permakaman diraja raja Bukit Chandan dibina atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda pada 1910.
Pada Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Mur�shidul Azam Shah meletakkan batu asas masjid itu.
Bagaimanapun, pembinaan masjid itu tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul marmar yang dipijak dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan di tempat simpanannya.
Pesanan batu marmar dari Itali bagi menggantikan marmar yang rosak juga tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama sehingga 1917 barulah masjid itu dengan rasminya dibuka Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada 1916.
Masjid yang tersergam indah itu yang menjadi simbol kebanggaan dan kesucian agama Islam di Perak dianggarkan menelan belanja berjumlah RM200,000.
Masjid ini direka bentuk Arthur Benison Hubback, arkitek kerajaan yang turut bertanggungjawab mereka stesen kereta api Ipoh dan Kuala Lumpur.
Justeru, seni bina bangunan ini memiliki gaya Moor yang kuat dapat dilihat dengan kubah warna emasnya.
Istana Kenangan
Selepas melihat seni bina Masjid Ubudiah dengan gaya Moor itu, istana berwarna kuning iaitu Istana Kenangan adalah lokasi kunjungan seterusnya.
Istana Kenangan yang dikenali sebagai Istana Lembah atau Istana Tepas dibina pada 1926.
Ia dianggap sebagai satu pencapaian tinggi dan unik dalam seni bina tempatan kerana seni reka dan kehalusan buatan serta binaannya yang tidak menggunakan paku dari logam walaupun sebatang.
Pelan atau pandangan dari atas bangunan itu berbentuk atau berkonsepkan sebilah pedang yang disimpan di dalam sarungnya.
Di bahagian hulu pedang adalah bilik peraduan sultan, bahagian sarung pedang adalah Balai Rong Seri Istana. Istana ini sungguh pun kecil, ia mempunyai singgahsana sultan yang cantik.
Istana Kenangan ini berdindingkan kelarai berbumbung perabot lima dan perabot pisang sesikat sementara bumbung asalnya menggunakan kayu papan keras jenis berlian.
Pada asalnya, istana ini dibina sebagai tempat persemayaman sementara Sultan Iskandar Shah sementara menantikan siapnya pembinaan Istana Iskandariah.
Pada 1933, apabila Istana Iskandariah siap, Sultan Iskandar Shah berpindah ke istana itu.
Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki keluarga diraja Perak.
Istana itu dinamakan Istana �Kenangan bermula pada 1960-an iaitu selepas istana itu diperbaiki semula dengan usaha Tunku Abdul Rahman Putra iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Kini, Istana Kenangan dijadikan sebagai Muzium Diraja Perak.
Ia mempamerkan sejarah kesultanan dan menyimpan khazanah alat kebesaran Perak.
Pengunjung berpeluang menyaksikan koleksi peribadi sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Koleksi gambar diraja yang lama turut diabadikan dalam muzium itu.
Ia dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 5 petang.
Bagaimanapun, ia ditutup dari jam 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang setiap Jumaat.
Labu sayong
Sebut saja Sayong, tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman iaitu labu sayong. Selain kemegahan Bukit Chandan, labu sayong antara tarikan utama di Kuala Kangsar.
Bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Perusahaan tembikar labu sayong itu kebanyakannya dijalankan di Kampung Sayong.
Wujudnya labu hitam itu adalah dari labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas menyimpan air.
Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.
Namun, kini labu sayong bukan saja dijadikan tempat menyimpan air, tetapi perhiasan dengan pelbagai reka bentuk.
INFO:
Kuala Kangsar mendapat namanya dari pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai dan anda yang mengatakan sempena 99 kuala yang ada di Sungai Perak iaitu kurang satu seratus, maka ia diberi jolokan nama ‘Kuala Kurang Sa’.
Pokok getah tertua di Semenanjung Malaysia ditanam di Kuala Kangsar pada 1900 oleh Residen British di Perak ketika itu, Sir Hugh Low yang membawa masuk benih getah untuk membuka ladang getah.
Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali dengan nama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang dibina pada 1905 menjadi tempat melatih golongan elit Melayu.
Antara bekas penuntutnya ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.
Labu sayong adalah hasil kraf yang cukup sinonim dengan Kuala Kangsar dan menjadi mercu tanda bandar itu.
sumber - hmetro -
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan