Iklan

Rabu, 29 Januari 2014

ARTIKEL - AGRO - Ayam piru rendah lemak

Tempoh matang agak lama antara enam ke tujuh bulan menyebabkan penternakan ayam piru atau ayam belanda kurang mendapat perhatian.
Kos bahan makanan yang meningkat turut menjadi faktor ramai eng­gan menceburi industri itu. 
Berbeza dengan Mohd Zaki Zakaria, sifat berani mencuba sesuatu yang baru menyuntik minatnya mengusahakan penternakan ayam piru. 

Pernah berkhidmat dalam bidang perkapalan lebih 10 tahun membuat­kan dirinya cekal dalam mengharungi pelbagai risiko.

“Antara faktor yang mendorong pembabitan saya dalam industri penternakan ayam piru ini selepas melihat industri ini kurang diceburi usahawan Bumiputera,” katanya.

Bermula dengan 100 anak ayam piru, usaha­nya berbaloi apabila ternakannya mendapat sambutan baik pada musim perayaan terutamanya Krismas dan Deepavali. 

“Namun, saya tidak boleh bergantung kepada dua perayaan itu saja, sebaliknya meluaskan pasaran ke tempat lain,” katanya. 

Kos makanan yang semakin meningkat me­nyebabkan dia hampir berputus asa mengusahakan penternakan itu. 

“Alhamdulillah, hasil perbincangan bersama ahli keluarga, kami mencipta pelbagai produk hiliran daripada ayam ini,” katanya. 

Sesuai dengan latar belakang keluarganya yang terbabit dalam bidang katering, pelbagai menu ayam piru dihasilkan seperti sate, burger bakar, kebab dan nasi beriani. 

“Kami juga memasukkan semua produk dalam pakej menu katering. 

“Produk ini mula mendapat perhatian kerana ia jarang dijumpai di pasaran,” katanya. 

Dia mengakui, sebelum ini sambutan pengguna hambar terutama sate ayam piru kerana harganya yang tinggi berbanding sate ayam di pasaran. 

“Ketika sate ayam piru diperkenalkan tahun lalu, produk kami sukar dijual kerana harganya agak mahal iaitu RM1.50 secucuk. 

““Namun, kuasa beli yang semakin baik menyebabkan produk sate piru keluaran syarikat kami iaitu One Piru Best Resources semakin laris,” katanya. 

Katanya, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah baru-baru ini, pihaknya menjual sehingga 800 cucuk sate piru sehari. 

“Tahap kesedaran me­ngenai kesihatan yang semakin tinggi dalam kala­ngan masyarakat menjadi faktor ayam piru menjadi pilihan. 

“Ini kerana ia mempu­nyai lemak yang rendah berbanding ayam biasa,” katanya. 

Atas usaha gigihnya melayakkan dirinya menerima Anugerah Inovasi Industri Kategori Penternakan Peringkat Kebangsaan 2013. 

Kini, Mohd Zaki menternak lebih 200 ayam piru baka tempatan, Local Bronze di Kampung Sungai Baru, Alor Setar. 

Syarikat itu turut memproses benih anak ayam menggunakan sistem inkubator di ladang. 

“Saya juga ada me­nyediakan pakej khas bagi bagi sesiapa yang berminat menternak ayam piru termasuk inkubator, benih, makanan dan juga kursus berkaitan,” katanya. 

Beliau turut merancang melahirkan usahawan di bawah jenama Piru Best dalam sistem francais. 

“Usahawan boleh memilih menggunakan karavan dengan modal RM60,000 atau kios yang berharga RM5,000,” katanya. 

Anak didik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah ini turut me­nyasarkan membuka cawangan jualannya di setiap daerah di Kedah dan melebarkan sayap­nya ke seluruh negara tahun depan. 

ARTIKEL - AGRO - Tanam sayur ‘tanpa tanah’

Kesegaran sayur ditanam menggunakan sistem hidroponik bertingkat menarik minat pengunjung Ekspo Inovasi Malaysia (MIExpo) Universiti Putra Malaysia (UPM), akhir tahun lalu.
Kaedah yang digunakan itu membolehkan aktiviti pertanian dilakukan di mana saja termasuk di penempatan di bandar. 
Bagi Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi, teknik pertanian itu digelar pertanian tanpa tanah. 

Kekurangan kawasan pertanian di bandar dan harga makanan yang naik menyuntik minat penyelidik UPM itu membangunkan kaedah pertanian lebih sistematik.
TEKNIK tanaman takungan juga boleh digunakan di bawah sistem berkenaan.
Dr Abdul Shukor bersama kumpulan pensyarah dan penyelidik antara individu yang giat membangunkan pelbagai kaedah pertanian di bandar yang terhad.

Pegawai Pertanian Kanan Fakulti Pertanian UPM Ghazali Mohd Satar berkata, terdapat dua kaedah pertanian bertingkat iaitu melalui hidroponik (air ) atau bantal dengan menggunakan cocopeat atau gentian sabut kelapa. 

“Sistem bertingkat ini adalah kaedah pertanian sayur di kawasan sempit. 

“Contohnya di rumah teres, di halaman, pejalan kaki, bangunan atau pejabat,” katanya. 

Menurutnya, bantuan cahaya Diod Pemancar Cahaya (LED) membantu proses fotosintesis bagi pokok. 

“Jika tidak mendapat cahaya mencukupi, LED ini membantu pokok melakukan proses fotosintesis. 

“Jika di luar kawasan yang mempunyai cahaya matahari mencukupi, kita tidak perlukan bantuan LED,” katanya. 

Katanya, sistem tanaman bertingkat ini boleh digunakan untuk penanaman sayur seperti salad, sawi, kailan, manakala tanaman herba seperti pegaga dan daun kesum. 

“Sabut kelapa itu adalah teknik penanaman secara fertigasi, selain pembajaan juga sama,” katanya. 

Menurutnya, apa yang membezakan antara sistem hidroponik bertingkat dan fertigasi bertingkat adalah penggunaan air. 

“Sistem fertigasi menggunakan air sedikit, tetapi hidroponik, penggunaan air banyak,” katanya. 

Kelebihan kepada sistem pertanian bertingkat ini katanya ia boleh diletak takungan hidroponik di bawahnya. 

“Bila ada ada takungan, kita boleh menggunakan sistem 3T atau tanam, tinggal dan tuai. 

“Penjagaannya kurang tetapi hasilnya lumayan,” katanya. 

Katanya, setiap takungan dalam sistem itu mengandungi lapan lubang yang boleh diletak beberapa jenis tanaman. 

“Kita boleh tanam kangkung dan bayam bersama sebab setiap tingkat itu terdapat sedikit jarak,” katanya. 

Struktur sistem berkenaan menggunakan besi sebagai bahan utama dengan kos kira-kira RM900. 

“Harga itu lengkap dengan sistem pengairan, takungan dan tempat untuk menanam. 

“Ini satu daripada sistem yang boleh menggalakkan orang menanam sayuran dan boleh mengurangkan kos,” katanya. 

Melalui sistem itu, pengguna mendapat sayur yang sihat, segar dan secara terus dari punca di rumah. 

“Anda boleh menggunakan baja organik atau kimia. Saya cadangkan baja Bacto 10 hasil penyelidikan UPM. 

“Jika baja kimia, guna setakat keperluan saja,” katanya. 

Untuk memudahkan aliran air, pengguna sistem ini boleh menggunakan pam akuarium bernilai RM50.

Katanya, hasil tanaman melalui sistem itu sama jika menggunakan kaedah tanah. 

“Dalam tempoh sebulan, kita boleh memungut hasil. Tanaman diletak di depan atau belakang rumah bukan saja baik dan kurang kerosakan berbanding ditanam di luar rumah,” katanya. 

Lebih mustahak katanya, pengguna tahu apa jenis sayuran yang dimakan. 

“Kalau di pasar kita tidak tahu petani menggunakan bahan apa untuk tanaman mereka, jadi ia lebih selamat kepada kesihatan,” katanya. 

Katanya, UPM kini giat mempromosikan sistem pertanian bertingkat melalui pameran apatah lagi menjadi perintis projek Pertanian Bandar.

SUMBER:HARIAN METRO

Jumaat, 20 September 2013

ARTIKEL - KESIHATAN - CARA MEMBERSIHKAN BUAH PINGGANG



Cara Nak Bersihkan Buah Pinggang

Bertahun telah berlalu, buah pinggang kita telah sekian lama menapis darah dengan membuang garam, racun dan mana-mana tidak dikehendaki memasuki badan kita. Seiring dengan masa, garam dan racun merbahaya ini berkumpul dan amat perlu kita membersihkan buah pinggang kita.

Bagaimana kita nak bersihkan buah pinggang??
Ia amat mudah, terlebih dahulu ambil sedikit parsli dan basuh ia dengan air bersih (disyorkan basuh dengan Mineral Water).

Tahukah anda apa itu daun parsli?
Daun parsli adalah daun yang digunakan untuk membuat sup.

Kemudian potong daun parsli tadi dalam kepingan kecil kemudian letakkan ia ke dalam sebuah periuk dan tuang air bersih dan masak ia selama sepuluh minit dan biarkan ia sejuk, kemudian tuangkan airnya ke dalam botol/gelas dan simpan di peti sejuk. Amalkan minum satu gelas sehari dan anda akan dapati perbezaan ketara dimana segala garam, racun akan keluar dari buah pinggang anda melalui air kencing. Juga anda akan dapat merasai perbezaan yang anda belum pernah dirasakan.

Daun Parsli telah diketahui sebagai satu kaedah rawatan pembersihan yang terbaik untuk buah pinggang kita dan ia adalah semula jadi!

Isnin, 6 Mei 2013

ARTIKEL - TEMPAT MENARIK - Pulau Conrad Hotel Paling Mewah



Conrad Maldives Rangali Island merupakan dua buah pulau peribadi dimana terletaknya sebuah hotel mewah 5 bintang yang telah 2 kali memenangi anugerah sebagai hotel terbaik di dunia. Hotel ini mempunyai 50 villa air, 79 banglo pantai, dan 21 villa spa. Namun, yang paling istimewa adalah restoran dasar laut yg boleh juga diubah menjadi suite. Nak berkelamin di bawah lautan






Selasa, 16 April 2013

ARTIKEL - AGRO - ‘Jutawan’ cili padi


‘Jutawan’ cili padi

Berbudi kepada tanah, pasti mendapat hasilnya dan ia dibuktikan Ammar Abd Aziz, 40, yang kini bergelar siswazah tani apabila mengusahakan projek penanaman cili padi di ladang berkeluasan 21 hektar.
Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Pelaburan, dia tidak kekok menjadi petani moden. 
Tanpa sebarang pengalaman, Ammar memberanikan diri mengusahakan projek tanaman cili padi secara ladang di Kampung Batu 3, Membau, Seremban dan Kampung Chembong Kechil, Rembau, Negeri Sembilan. 

Dengan bantuan tenaga kerja asing, dia boleh berbangga mengeluarkan cili padi segar untuk pasaran di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Dengan pendapatan lumayan itu, dia mampu memperuntukan RM15,000 sebulan bagi membayar gaji pekerja.

Ammar yang juga usahawan bimbingan Institut­ Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah ( PhD). 

Justeru, dia meminta bantuan dua sahabatnya memantau projek perladangan cili segar itu menggunakan teknologi telekomunikasi jarak jauh. 

“Walaupun mengambil PhD di University of Queensland Australia dalam bidang Perubahan Cuaca dan Kajian Pokok Bakau, saya masih mampu memantau tanaman cilinya dari jarak jauh,” katanya. 

Dia tidak menggunakan kedah penanaman cili padi segar secara fertigasi atau sistem sembur ‘sprinkler’, sebaliknya kaedah ‘drip tape’ iaitu pengairan titis. 

“Sistem pengairan renjis atau ‘sprinkler’ tidak praktikal kerana semburan tidak tepat kepada tanaman.

“Penggunaan sistem pe­ngairan titis dipraktikkan di ladang lebih menjimatkan malah terus meresap ke akar,” katanya. 

Usahanya itu berbaloi kerana dia kini siswazah tani Bumiputera terbesar menghasilkan tanaman cili padi. 

“Penanaman cili padi ini agak memenatkan kerana kaedah mengutip hasil dilakukan secara manual. 

“Bagi penghasilan sekilogram cili padi, pekerja perlu memetik 600 biji. 

“Justeru, saya perlu bijak menyusun pekerja bagi memastikan seorang pekerja mampu mengutip 30 hingga 40 kilogram cili padi sehari,” katanya. 

Dia berterima kasih kepada Jabatan Pertanian dan MARDI yang banyak membantu dalam usahanya menanam cili padi. 

Kini, Ammar menggunakan varieti cili padi Taiwan yang disemai di tapak semaian di ladang miliknya itu. 

“Cili padi ini boleh hidup sehingga lapan bulan dan hasilnya lebih lumayan. 

“Pokok ini akan disemai dalam rumah khas selama 32 hari dan selepas tiga bulan, 
ia mengeluarkan hasil,” katanya.

SUMBER - HM

ARTIKEL - AGRO - GENKiMO atasi kandang busuk


GENKiMO atasi kandang busuk

BAU ladang ternakan ayam, kambing dan lembu sering kali menjadi isu di kalangan penternak hingga keadaan itu mengundang kehadiran lalat.
Masalah bau busuk itu turut menghantui penduduk setempat sehingga menimbulkan konfrontasi berpanjangan. 
Biarpun penggunaan habuk kayu dapat mengurangkan bau busuk, sifat semula jadi bahan buangan haiwan itu tidak dapat dibasmi sepenuhnya. 

Justeru, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan teknologi GENKiMO iaitu produk bioteknologi menghasilkan mikro organisma probiotik sihat.

Produk dibangunkan melalui usaha sama dengan syarikat Dazzling Destiny Sdn Bhd di Hi-Tech 5, Semenyih Hi-Tech Industrial Park, Semenyih.

Ia dihasilkan melalui proses fermentasi dan pencirian secara semula jadi menggunakan bahan persekitaran tempatan sepenuhnya. 

Lima produk GENKiMO dibangunkan Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Ibu Pejabat MARDI, Dr. Ramli Mohd Noor itu adalah GENKiMO Flora, GENKiMO Fauna, GENKiMO Odor Removal, GENKiMO Composeed (Benih kompos) dan GENKiMO Bio (Aditif Makanan Ternakan). 

Beliau berkata, teknologi dibangunkan itu menggunakan dana TechnoFun (MOA) berjumlah RM1.5 juta. 

“GENKiMO mampu mengitar semula bahan-bahan tanaman hijau atau bahan sampingan agro-industri menjadi baja bio organik dan makanan ternakan. 

“Ia juga memaksimumkan pemuliharaan nutrien dalam bahan-bahan tempatan serta mengandungi mikroorganisma probiotik yang sihat. 

“Kosnya rendah, selamat, tahap aplikasi rendah dan mesra alam sekitar,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO meningkatkan kualiti, warna dan bau selain memendekkan tempoh pemeraman kepada 14 hari. 

“Ia juga mengatasi masalah ‘buffer’ yang sering timbul dengan penggunaan urea dalam pemprosesan silaj,” katanya. 

Beliau berkata, setiap daripada lima produk GENKiMO membantu petani mempertingkatkan pengeluaran di ladang ternakan. 

“Produk GENKiMO Odor Removal sesuai digunakan untuk mengatasi masalah bau busuk di sekitar kandang ternakan. 

“Kami melakukan testimoni di sebuah ladang ayam di Beranang dan hasilnya memang hebat kerana tiada bau dan bebas lalat,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO Bio (Aditif Makanan Ternakan) membantu meningkatkan prestasi serta kesihatan ternakan. 

Sebagai tambahan penternak boleh melakukan pemeraman bahan makanan bagi meningkatkan lagi kesannya. 

“Ia sesuai digunakan untuk ternakan lembu, ayam, itik dan kambing,” katanya. 

Katanya, cecair minuman GENKiMO Fauna dijadikan sebagai bahan alternatif pengganti antibiotik bagi mengurangkan stres pada ternakan dan mengurangkan kos rawatan dan ubat-ubatan. 

“Ia juga mengatasi masalah pencemaran bau busuk dan lalat pada ladang ternakan dan mengatasi masalah serangan kutu dan cacing. 

“Sukatan penggunaan dengan pencairan seliter Fauna bersamaan 1,000 liter air tanpa klorin,” katanya. 

Menurutnya, GENKiMO Flora menggalakkan percambahan dan tumbesaran tanaman, meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman dan meningkatkan jumlah hasil. 

“Ia meningkatkan daya ketahanan tumbuhan terhadap penyakit dan serangga, mampu menghasilkan baja bio organik dan memulih serta menambahbaik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah. 

“Kaedah penggunaan ialah seliter Flora bersamaan satu tan bahan kompos. Penggunaan semburan pada tumbuhan pula membabitkan nisbah 1:700. 

“Jika disembur pada pokok, tumbuhan itu lebih sihat dan cepat membesar,” katanya. 

Produk terakhir, GENKiMO Composeed memulihkan tanah dengan penggunaan 10 kilogram produk itu untuk sehektar tanah. 

Beliau berkata, semua produk GENKiMO dihasilkan menggunakan dua teknologi saranan MARDI seperti tangki fermentasi cecair dan ‘bioreaktor’ ciptaan tempatan. 

Teknologi GENKiMO yang menggunakan konsep ‘pengusaha sejahtera, masyarakat sekeliling sejahtera’ menerima Anugerah Emas Bio Malaysia dan pingat perak bagi Seoul International Invention Fair (SIIF) 2009. 

Bagi perancangan jangka panjang, produk itu akan dikembangkan untuk kegunaan rumah seperti bahan pengelap lantai, karpet dan pembersih bulu kucing.
SUMBER -HM

ARTIKEL - AGRO - Kacang panjang pulangan lumayan


Kacang panjang pulangan lumayan

Sekitar 2010, Ahajani Shaari, 43, bersama rakan sekampung menyertai Kumpulan Tani untuk mengusahakan pelbagai projek penanaman sayuran di tanah rizab padi.
Bagi mendapatkan bantuan, mereka kemudian menyertai Projek Ladang Kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 
Sejak itu, pelbagai projek penanaman sayuran termasuk cili, bendi, timun, jagung dan kacang panjang dilaksanakan secara bergilir-gilir di kalangan peserta di Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor. 

Ahajani berkata, dengan keluasan tanah 1.2 hektar persegi, dia mengusahakan projek penanaman timun dan kacang panjang secara berselang seli bagi menjamin kualiti sayur dihasilkan.

“Daripada jumlah tanah itu, 0.6 hektar diusahakan dengan timun dan bakinya dengan kacang panjang.

“Namun, modal diperlukan untuk menanam sayur jenis junjung agak tinggi kerana perlu menyediakan kos seperti penyediaan kayu junjung, tali dan dawai dengan anggaran RM10,000 untuk 0.6 hektar,” katanya. 

Menurutnya, FAMA bukan saja membeli hasil pertanian secara langsung, tapi turut menyediakan khidmat nasihat kepada peserta projek terbabit. 

“Kami juga dibantu Jabatan Pertanian. FAMA bertindak untuk memasarkan sayuran. Kami beruntung kerana FAMA menawarkan harga semasa dan membayar pada kadar sama jika harga­nya jatuh. 

“Itu konsep yang dipersetujui menerusi Ladang Kontrak, tapi FAMA akan membayar lebih tinggi jika harga di pasaran meningkat,” katanya. 

Menyentuh mengenai pemilihan dua sayuran diusahakannya, Ahajani yang pernah mengusahakan kantin dan pembekalan makanan asrama mengakui penanaman sayuran seperti itu dapat menjimatkan kos. 

“Biasanya selepas menanam timun, saya akan menanam kacang panjang. Saya mempraktikkan teknik penanaman dua sayuran itu kerana mahu menjimatkan kos. 

“Tali yang digunakan tidak perlu dibuang dan boleh digunakan semula untuk penanaman kacang panjang. Maknanya saya hanya perlu menunggu pokok lama kering sebelum digantikan de­ngan kacang panjang. 

“Biasanya kos upah pemasangan tali untuk 0.6 hektar sekitar RM700 hingga RM800. Jadi di situ saya sudah melakukan banyak penjimatan,” katanya yang turut mengutamakan penggunaan baja organik, selaras dengan konsep ‘natural farming’. 

Menurutnya, semua benih kacang panjang dan timun diimport dari luar negara, manakala pekerjanya pula kebanyakan daripada penduduk tempatan. 

“Kacang panjang mengeluarkan hasil selepas 45 hari ditanam di ladang. Setiap satu batas memerlukan 120 pokok dan bermakna kira-kira 12,000 pokok diperlukan untuk 0.6 hektar. 

“Jangka hayat pokok kacang kira-kira 40 hari, namun usianya boleh mencecah sehingga dua bulan,” kata­nya. 

Dianggarkan 400 hingga 500 kilogram kacang panjang dihasilkan dalam keluasan tanah 0.6 hektar. 

“Potensi penanaman sayur kacang sangat menguntungkan. Jika bergantung kepada pasaran pasar besar atau borong harganya mungkin di bawah kos. 

“Biasanya 10 bakul dapat dihasilkan untuk setiap kali tuaian di ladang. Berdasarkan perjanjian, separuh akan dijual kepada FAMA dan separuh lagi untuk pasaran tempatan,” katanya. 

Mengenai perancangan masa depan, katanya dia berharap dapat meluaskan lagi projek penanaman sayuran, sekali gus meningkatkan skala pengeluaran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya