Iklan

Isnin, 24 Oktober 2011

Kapal karam bak kapsul masa silam


SATU ketika dahulu air masin yang menggenangi sebahagian besar daripada muka bumi menjadi penghubung tamadun manusia. Ribuan kapal-kapal besar dan perahu-perahu menjadi pengangkutan utama yang merentasi lautan merupakan salah satu laluan penting masyarakat silam.

Perairan negara tidak terkecuali menjadi salah satu laluan penting dalam peta dunia. Pedagang-pedagang seperti dari China, India, Parsi, Belanda, British, Portugis, Arab dan banyak lagi menjadikan pelabuhan Melaka sebagai pusat pertemuan perdagangan pada kurun ke-15 dan ke-16.

Ia disebabkan kedudukan Melaka yang strategik, mempunyai pentadbiran cekap dan kemudahan asas mencukupi disediakan kepada pedagang asing itu.

Bagaimanapun, samudera yang menjadi laluan perdagangan turut menjadi 'saksi' kepada pelbagai tragedi yang menimpa kapal-kapal sehingga ada yang karam ke dasar laut.

Selepas ratusan tahun terdampar di dasar laut tanpa gangguan, kapal-kapal karam itu boleh dianggap sebagai kapsul masa kepada masyarakat hari ini.

Ini kerana reka bentuk, seni bina dan artifak yang menjadi isi perut dasar laut itu mampu menceritakan semula pelbagai kisah menarik mengenai asal-usul masyarakat terdahulu melalui ekskavasi kapal karam.

Ekskavasi kapal karam

Ekskavasi merujuk kepada kegiatan penggalian yang dilakukan utk mendapatkan maklumat tentang benda zaman purbakala. Dalam merungkai sejarah melalui ekskavasi kapal karam, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhi terlebih dahulu.

Lebih memeritkan apabila ia memerlukan jangka masa yang panjang dan penelitian dalam usaha mengenal pasti lokasi kapal karam serta pemuliharaan artifak tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Muzium Negara, Samsol Sahar yang pernah mengikuti ekskavasi kapal Ranee di perairan Sedili, Johor berkata, pelbagai usaha termasuk mengenal pasti lokasi-lokasi kapal karam itu telah dilakukan sejak tahun 1980-an lagi oleh banyak pihak.

SHAMSOL (kiri) dan Sharipah percaya kapal karam ibarat kapsul masa yang membolehkan kita lebih memahami sejarah silam.
Bagaimanapun dia memberitahu, kerja-kerja sistematik dan mengikut kaedah arkeologi maritim hanya bermula pada tahun 1995 apabila Jabatan Muzium dan Antikuiti membuat salvaj terhadap kapal perang Belanda, Nassau di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Nassau dipercayai karam pada 16 Ogos 1606 disebabkan pertempuran antara Belanda dan Portugis dikenali sebagai peperangan Cape Rachado.

"Ekskavasi terhadap kapal itu telah dijalankan antara Ogos dan Disember 1995 dengan kerjasama Jabatan Laut, syarikat Transea Sdn. Bhd., Mensun Bound, Universiti Oxford serta Universiti Kebangsaan Malaysia," ujarnya.

Terdapat kira-kira 5,000 artifak dikesan pada kapal karam tersebut antaranya senapang besi gangsa, sauh besi, peluru dan seramik.

Pada tahun yang sama, sebuah lagi kapal karam bernama Nanyang, yang dipercayai karam pada 1380, ditemui di perairan Pulau Pemanggil, Mersing, Johor dan berada pada paras 54 meter (m) di dasar laut.

Lazimnya Samsol berkata, Jabatan Laut akan melakukan tinjauan terlebih dahulu tapak lokasi sebelum sesuatu ekskavasi dimulakan.

Dia menambah, sekiranya tapak berkenaan tidak mempunyai nilai sejarah, ekskavasi tidak akan diteruskan kerana ia bukan sahaja mengambil masa yang panjang tetapi melibatkan kos besar.
PENEMUAN pelbagai artifak dapat membantu ahli arkeologi mendapat gambaran kehidupan masa lampau.
Pelbagai cabaran

Mengimbas kembali ekskavasi kapal Ranee pula, Samsol memberitahu, dia terpaksa berdepan ombak yang datang bergulung-gulung semasa hendak melakukan selaman pada hari pertama.

"Sungguhpun keadaan waktu pagi ketika itu agak baik tetapi secara tiba-tiba ombak muncul sehingga menyukarkan proses ekskavasi.

"Selain dugaan ombak besar, rakan selaman saya turut menarik diri pada saat akhir kerana berasa tidak yakin untuk menyelam pada hari berkenaan," katanya.

Cabaran hari kedua tidak kurang hebatnya, Samsol dan rakan-rakan lain berdepan laut bergelora sehingga membuatkan mereka berasa tidak selesa apabila berada di atas kapal.

Katanya, sebilangan besar daripada kami terpaksa merangkak malah, muntah-muntah sehingga lemah dan tidak bermaya.

"Bagaimanapun, kami berjaya juga meredah ombak gelora apabila keadaan tenang ketika berada di dalam air.

"Lebih manis lagi antara artifak ditemui adalah butang emas yang merupakan satu-satunya penemuan emas ekskavasi kapal karam itu," ujarnya.

Detik hitam kapal Ranee yang dipenuhi muatan bijih timah, getah dan rotan berlaku pada 14 Mac 1923 apabila berlaku perlanggaran antara kapal tersebut dengan Boribat.

Dalam kejadian tersebut, ia belayar dari Singapura ke Kuantan, Pahang dan berhenti di Mersing. Lebih malang lagi, sebanyak 31 penumpang telah terkorban dalam perlanggaran yang mengambil masa kurang daripada 10 minit.

SHARIPAH (tengah) bersama dua penyelidik lain melihat porselin yang ditemui.

Kapal Ranee turut membawa barang hantaran milik Tunku Mohammed yang dalam perjalanan ke Kuala Kangsar, Perak bagi melangsungkan perkahwinan.

Selain keadaan cuaca, Samsol menambah, dia juga berdepan masalah penglihatan yang terhad semasa berada di dalam air.

"Perkara ini berlaku apabila melakukan ekskavasi kapal karam Desaru yang dijumpai pada bulan Mei 2001 pada kedalaman 20 meter. Walaupun menggunakan lampu, penglihatan masih terhad apabila terdapat banyak zarah-zarah kecil mengaburi penglihatan sehingga menyukarkan ekskavasi," katanya lagi.

Samsol menambah, antara cabaran lain yang perlu dilalui termasuk ancaman pukat tunda, kapal-kapal lalu lalang, hidupan laut dan banyak lagi.

Katanya, langkah berjaga-jaga sentiasa menjadi keutamaan untuk memastikan keselamatan apabila berada di dalam air.

Peralatan ekskavasi

Sementara itu, Penolong Kurator Muzium Negara, Sharipah Lok Lok Syed Idrus pula memberitahu, terdapat beberapa peralatan yang digunakan dalam melakukan ekskavasi kapal karam.

"Antaranya termasuk magnometer, side scan sonar, pita pengukur, bot, peralatan selaman dan banyak lagi. Kegunaan magnometer ini adalah untuk mengukur kekuatan arah medan magnet, manakala side scan sonar pula bertindak untuk mengimbas imej di dasar laut," katanya.

Dia yang pernah terlibat dalam ekskavasi kapal karam Tanjung Simpang Mengayau, Kudat, Sabah dan Wanli di perairan Dungun, Terengganu, menambah, penggunaan vakum dalam air juga digunakan semasa ekskavasi.

Katanya, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk memulihara artifak daripada pecah ataupun rosak sebelum dapat dinaikkan ke darat.

Sharipah percaya penemuan kapal-kapal karam di perairan negara amat penting kerana ia dapat membantu memahami asal-usul tamadun terdahulu.

"Ini kerana fakta menunjukkan setiap kapal dan perahu mempunyai masyarakat kecilnya tersendiri malah, dapat memberi gambaran mengenai masyarakat serta kebudayaan negara mereka," katanya.

sumber - kosmo

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya