Iklan

Jumaat, 14 Oktober 2011

Keunikan Yogyakarta & Solo


Candi Borobudur, keajaiban dunia yang mesti dikunjungi.

YOGYAKARTA, metropolitan kedua terbesar Pulau Jawa sememangnya terkenal dengan keunikan peninggalan sejarah serta budaya menjadikan pelaburan berkunjung ke destinasi itu amat berbaloi.

Di situ tersergam Candi Borobudur - salah satu keajaiban dunia yang termasy- hur terutama dari sudut kehebatan seni bina dan sejarah yang tersimpan rapi.

Candi yang berdiri gagah setinggi 42 meter itu berusia kira-kira 1,200 tahun adalah candi tertua dunia dengan seni bina masih utuh. Tentunya kunjungan ke Candi Borobudur menawarkan pengalaman tersendiri.

Begitu juga dengan Kuil Prambanan yang terkenal dengan keindahan sehingga ada yang memberi gelaran kuil tercantik di dunia. Terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar, kuil yang dibina pada kurun ke-10 itu mempunyai ketinggian sehingga 47 meter iaitu lebih tinggi berbanding Borobudur dan dikelilingi taman yang mempersonakan.

Jelajah Yogyakarta bukan sekadar keajaiban kuil-kuil purba. Terlalu banyak yang ditawarkan kepada pengunjung termasuk runtuhan istana bawah air Taman Sari yang juga dikenali sebagai Istana Air Taman Sari.

Tarikan lain daripada yang lain tentunya Gunung Merapi iaitu satu-satunya gunung berapi di Daerah Istimewa Yogyakarta. Biar pun berbahaya apabila meletus, namun Gunung Merapi mempunyai keistimewaan tersendiri, malah dalam keadaan selamat pengunjung boleh melakukan pendakian.

Jika anda mempunyai stamina, ketahanan fizikal dan mental, apa kata kunjungi Yogyakarta untuk mencuba pengalaman baru mendaki Gunung Merapi.

Puas menikmati keindahan ciptaan Tuhan di Gunung Merapi apa kata kunjungi pula Istana Sultan. Percaya atau tidak, Yogyakarta adalah satu-satunya daerah di Indonesia yang mempunyai sultan dan hampir separuh daripada istananya diubah menjadi tempat kunjungan pelancong.

Kepada yang gemar seni ukiran dan kraftangan tentunya mengunjungi Yogyakarta adalah pilihan yang tepat. Destinasi itu terkenal dengan seni ukir perak dan batik serta aktiviti membeli belah di Jalan Malioboro yang amat sinonim dengan pelbagai barangan kraf tangan dan pakaian murah tapi bermutu tinggi. Juga jangan lupa kunjungi Pasar Tradisional Beringharjo.

Untuk mengisi perut, pelbagai hidangan tempatan sememangnya tidak mampu ditolak kerana keenakan serta cita rasa tersendiri. Ayam Goreng Ibu Suharti misalnya amat terkenal di seluruh Pulau Jawa selain bakpia, kaplak dan nasi gudeg Jogja.

Lain-lain tarikan di Yogyakarta adalah Kota Gede, Kasongan, Pantai Parangtritis dan tarian balet Ramayana.

sumber - utusan

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya