Iklan

Selasa, 3 Januari 2012

FRIM bangunkan hasilan semula jadi


Dr. Nor Azah Mohamad Ali menunjukkan minyak gaharu hasil penyelidikan FRIM.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) merupakan antara agensi yang mengurus dan memulihara sumber hutan.

Pada masa sama, agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu turut menjalankan penyelidikan bagi memartabatkan sumber bukan balak daripada hutan terutama herba.

Satu daripada bahagian yang memainkan peranan penting memartabatkan hasil hutan bukan balak ialah Bahagian Hasilan Semulajadi .

Ia terbahagi kepada enam bahagian iaitu Penemuan Ubat-Ubatan (DDG) , Sumber Biologi, Bioaktiviti, Pembangunan Produk Herba (PPH) , Fitokimia dan Pusat Teknologi Herba.

PPH ditubuhkan pada tahun 2002 dengan nama asalnya Unit Formulasi dan Pembangunan Produk.

Kini ia aktif dalam aktiviti penyelidikan pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) terutama dalam pembangunan produk herba.

Antara aktiviti R&D&C yang dijalankan adalah penyulingan minyak pati, dan pengekstrakan tumbuhan ubatan dan beraroma, pemprofailan dan analisis kimia, formulasi produk kosmetik dan nutraseutikal berasaskan herba serta kawalan kualiti produk herba.

Terdapat dua aktiviti utama PPH:

* Menjalankan aktiviti R&D&C berkaitan produk herba bermula dengan pengekstrakan, analisis kimia, formulasi prototaip dan kawalan kualiti produk yang dihasilkan.

* Menyediakan perkhidmatan analisis kimia-fizik minyak pati menggunakan peralatan GC, GCMS, graviti spesifik, dan indeks biasan, serta ujian bebanan mikrob terhadap bahan mentah dan produk herba.

Selain itu, PPH secara tidak langsung turut memberikan khidmat nasihat dan perundingan kepada industri, orang perseorangan dan pelajar berkaitan herba, dan hasil hutan bukan balak yang lain seperti gaharu.

PPH juga terlibat dalam membantu industri kecil dan sederhana dalam membangunkan produk kosmeseutikal dan nutraseutikal daripada herba yang berkualiti, selamat dan berkesan.

Projek penyelidikan di PPH dibiayai oleh e-Science Fund Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Tabung Geran Penyelidikan FRIM, Technofund, FMBiosis dan melalui beberapa perjanjian persefahaman (MoU) yang dijalankan bersama industri.

Dalam merealisasikan hasil penyelidikan untuk kegunaan masyarakat, PPH telah menghasilkan pelbagai inovasi supaya hasil penemuan penyelidikan dapat dimanfaatkan dalam bentuk yang lebih praktikal.

PPH, telah menyertai pertandingan inovasi di peringkat FRIM, kebangsaan dan antarabangsa. Inovasi yang terhasil adalah paduan tenaga dan kerjasama di kalangan kakitangan FRIM dan Bahagian Hasilan Semulajadi amnya.

Menurut Ketua Program PPH, Dr. Nor Azah Mohamad Ali, pihaknya kini mempunyai lebih 100 koleksi minyak pati yang diperoleh menerusi kajian dan pengekstrakan sebelum ini.

Beliau berkata, kajian tersebut penting bagi menentukan kandungan kimia, nilai perubatan serta kesesuaian minyak pati tersebut di dalam penghasilan produk.

Ujian-ujian lain seperti antioksi dan antimikrob juga dijalankan, manakala kawalan kualiti penting bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah bebas mikrob.

Beliau memberi contoh, antara produk yang berjaya dihasilkan ialah syampu dan aerosol.

Mengenai aspek khidmat nasihat dalam penghasilan minyak pati, Dr. Nor Azah berkata, pelanggan boleh mendapatkan kemudahan cara memproses dan mengetahui kandungan kimianya. Antara tumbuhan yang terlibat ialah serai, serai wangi, melor, gaharu dan vanila.

Industri minyak gaharu kini sedang berkembang, dan ini mendorong PPH memberi tumpuan kepada pokok tersebut sebagai satu daripada industri baru.

Kajian yang telah dijalankan meliputi teknik inokulasi, teknologi pengekstrakan, kawalan mutu minyak dan kayu gaharu.

Melalui projek penyelidikan yang bertajuk "Pencirian dan penilaian sensor minyak pati daripada spesies Aquilaria terpilih ke arah penilaian kualiti hasilan herba yang telah dijalankan sejak tahun 2007, FRIM kini telah menemui pendekatan yang lebih sistematik dan saintifik dengan menggunakan peralatan saintifik yang berteknologi tinggi untuk menentukan kualiti gaharu seperti Pemprofilan Kimia Kromatografi Gas & Kromatografi Gasi Spektrometri Jisim (GC & GCMS), Cap jari aromatik (aroma fingerprinting) melalui Solid Phase Microextraction (SPME) dan teknik klasifikasi gaharu.

Teknik pemprofilan kimia serta kandungan resin dalam kayu gaharu ini telah mula ditawarkan kepada pihak industri gaharu dan ia boleh digunakan untuk mencirikan kualiti kayu dan minyak gaharu tempatan.

Selain itu, PPH juga telah menghasilkan satu teknik yang dikenali sebagai gaharu sense. Teknik ini menggunakan alat sensor untuk menentukan kualiti gaharu. Inovasi ini telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Walaupun ada antara inovasi dihasilkan boleh didapati di pasaran namun inovasi di PPH adalah berkualiti kerana selamat dan berkesan serta disokong dengan hasil penyelidikan.

Teknik itu sedang dipatenkan dan telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

PPH juga telah diiktiraf sebagai makmal Bionexus oleh Malaysia Biotechnlogy Corporation pada tahun ini.

Dalam perkhidmatan teknikal, PPH telah menyumbang aktif kepada hasil pendapatan FRIM.

sumber- utusan

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya