Iklan

Isnin, 30 Januari 2012

Kemewahan penggodam internet


LELAKI yang lahir di Kiel, Jerman ini dibesarkan dengan nama Kim Schmitz. Lebih 10 tahun lalu dia menukar namanya kepada Kim Dotcom. Sebelum ini, dia juga pernah dikenali sebagai Kimble dan Kim Tim Jim Vestor.

Aksara 'dot com' yang sinonim dengan terma internet seakan-akan menggambarkan siapakah Dotcom, 38, yang mempunyai status penduduk tetap di Hong Kong dan New Zealand itu.

Dia boleh digelar sebagai seorang genius internet kerana kejayaan memperkenalkan jaringan perkongsian fail di internet yang popular, Megaupload.com.

Dotcom juga berbangga kerana memegang kedudukan teratas permainan video dalam talian, Call of Duty: Modern Warfare 3. Dia menggunakan nama MEGARACER dalam permainan video yang disertai 15 juta orang di seluruh dunia itu.

Tetapi nampaknya lelaki gempal seberat 127 kilogram itu menggunakan kepakaran tersebut pada jalan yang salah.

Pakar

Dotcom yang hanya mendapat pendidikan sehingga sekolah tinggi itu pernah dipenjarakan selama dua tahun di Jerman pada tahun 1998 kerana kesalahan menggodam internet.

Selepas itu, dia bangkit dengan menubuhkan sebuah firma keselamatan komputer yang sah dan menjualnya untuk menjadi seorang yang kaya raya.

Pada tahun 2005, Megaupload ditubuhkan. Pada mulanya sistem itu sekadar sebuah 'kunci siber' yang bertindak sebagai penyimpan dan perkongsian fail bersaiz besar dan maklumat kepada pengguna dalam talian.

Antara muatan yang popular termasuklah fail-fail digital lagu, video klip dan filem. Biarpun melanggar hak cipta, perniagaan itu mendapat sokongan daripada beberapa artis antarabangsa termasuklah penyanyi Kanye West.


KIM DOTCOM
Pada Disember tahun lalu, Dotcom telah mengumpul beberapa orang artis untuk menyanyikan lagu promosi Megaupload bersama video klipnya. Antara artis yang terlibat ialah Kanye West, Will.i.am, Jamie Foxx, Sean 'Diddy' Combs, Alicia Keys, Chris Brown dan ramai lagi.

Selain Megaupload, Dotcom memudahkan pengguna memuat naik episod penuh rancangan televisyen dan filem untuk ditonton secara percuma menerusi Megaporn.com dan Megavideo.com.

Daripada perniagaan 'haram' kerana melanggar hak cipta itu, dia hidup bertilamkan wang ringgit.

Hidupnya begitu mewah. Dotcom memiliki sekurang-kurangnya 18 buah kereta mewah pelbagai jenama termasuklah sebuah kereta jenis Cadillac berwarna merah jambu keluaran 1959.

Dia memiliki kereta daripada jenama Mercedes Benz, Rolls-Royce Phantom, Mini Cooper dan Lamborghini.

Beberapa buah kereta kesayangan Dotcom mengguna nombor plat yang dibeli khas yang tertera perkataan HACKER, MAFIA, GUILTY, GOD, V, KIM COM, CEO, POLICE dan STONED.

Menurut Biro Penyiasatan Pusat (FBI), Dotcom memperoleh pendapatan sebanyak AS$115,000 (RM349,715) setiap hari. Tidak hairanlah jika dia mampu membeli sebuah rumah agam yang terletak di Coatesville, New Zealand di dalam sebuah kawasan hartanah seluas 2,300 meter persegi.

Rumah mewah yang bernilai AS$24 juta (RM73 juta) itu terletak kira-kira 24 kilometer dari ibu negara Auckland.

Sebelum berpindah ke rumah itu, Dotcom menghantar e-mel kepada isteri jirannya di situ, France Komoroski dan seakan-akan bergurau menyatakan bahawa dia boleh membantu mereka membeli saham dan mengelak cukai.

"15 tahun lalu saya adalah seorang penggodam dan 10 tahun lepas saya disabitkan kerana perniagaan haram. Selepas itu saya menjadi seorang budak baik, rekod jenayah saya telah dibersihkan dan saya kini telah menjalankan sebuah syarikat berasaskan internet," kata Dotcom dalam e-mel tersebut.

Dalam sebuah rakaman video yang tersebar di laman sosial YouTube pula, Dotcom dilihat sedang bergembira dengan beberapa orang wanita separuh bogel dalam sebuah kapal mewah di Monaco.
LAMAN Megaupload dikunjungi kira-kira 50,000 pelawat sehari.

Serbu

Menurut pihak berkuasa AS, Dotcom telah mendalangi sebuah skim yang memberinya kekayaan lebih AS$175 juta (RM532 juta) dalam beberapa tahun dengan cara menyalin dan mengedar muzik, filem dan kandungan dengan hak cipta tanpa kebenaran.

Justeru pada 19 Januari lalu, laman web www.megaupload.com yang beroperasi di Hong Kong telah ditutup oleh FBI.

Sehari kemudian bapa kepada tiga orang cahaya mata itu ditahan oleh pihak berkuasa New Zealand bersama tiga orang rakannya kerana kesalahan itu.

Rumah mewahnya itu turut diserbu sehinggakan segala kekayaan yang tersembunyi diketahui oleh pihak berkuasa. Ketika ditahan Dotcom sedang meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada 21 Januari.

Menurut Wall Street Journal, ketika ditahan pihak berkuasa, Dotcom bersembunyi di dalam sebuah bilik kebal yang dilengkapi dengan senapang shotgun.

Dia kini ditahan dalam penjara di New Zealand sementara menunggu perbicaraan.

sumber - kosmo

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya