Iklan

Isnin, 30 Januari 2012

Laksa goreng Kuala Kangsar


KUALA KANGSAR di Perak sememangnya terkenal dengan laksa kuala sejak tahun 1950-an lagi hinggakan sebuah kampung di bandar diraja itu dinamakan Kampung Laksa. Salah satu jenama terkenal di sini ialah laksa Pak Ngah. Perniagaan yang diwarisi oleh empat generasi itu kini diusahakan oleh Mohd. Rizman Mohamad Tajidi, 36.

"Perniagaan ini dimulakan sejak lebih 60 tahun lalu oleh moyang saya yang dikenali sebagai Pak Ngah. Dia sekadar menjaja laksa ke sekitar kampung dengan menunggang basikal.

"Namun, sekarang laksa Pak Ngah dibekalkan hingga ke Ipoh, Lenggong, Chemor dan Sungai Siput," kata Rizman.

Beliau memberitahu, keluarga Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan penggemar laksa Pak Ngah begitu juga bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

"Tetapi apa yang lebih membanggakan saya ialah kaum Cina juga semakin ramai yang suka makan laksa kuala. Boleh dikatakan setiap kali perayaan Tahun Baru Cina, restoran kami akan dipenuhi kaum itu sehingga bilangan kerusi dan meja makan perlu ditambah," ujarnya sambil menambah, pelancong Eropah yang pasangan mereka berketurunan Cina juga sering singgah di kedai laksa itu.

Seorang pelanggan, Ming Yu, 26, memberitahu, beliau gemar makan laksa Pak Ngah kerana kuahnya yang istimewa.

"Apabila pulang ke Kuala Kangsar, pasti saya akan datang ke sini hampir setiap petang untuk makan laksa.

"Malah, saya selalu kena marah dengan ibu kerana jarang makan tengah hari di rumah. Dia selalu membebel 'apa yang sedap sangat dengan laksa Pak Ngah itu'," ujarnya yang bekerja sebagai kerani akaun di Kuala Lumpur.

Bagi Chong Shan pula, harga hidangan laksa yang murah menyebabkan beliau gemar menikmati laksa Pak Ngah.

"Harganya cuma RM2.50 dan rasanya boleh tahan. Pada mulanya saya bukan penggemar laksa tetapi setelah diperkenalkan oleh seorang rakan, saya terus jatuh hati," katanya yang akan membawa pulang bungkusan laksa Pak Ngah untuk dihidangkan kepada keluarga di rumah.

Menurut Rizman, kelainan laksa Pak Ngah terletak pada jenis laksa dan cara membuat kuahnya.

Laksa Pak Ngah menggunakan tepung gandum dan bukannya tepung beras sebagai bahan asasnya. Tepung gandum itu hanya dibancuh dengan air dan garam.

Kuah laksanya agak cair kerana ikan yang digunakan untuk membuat kuah laksa itu ialah ikan sardin dan ikan kembung.

"Ikan yang bersisik hitam tidak akan digunakan sama sekali kerana ia akan menjadikan kuah laksa berwarna hitam dan tidak enak," katanya.
LAKSA bukan sahaja digemari oleh kaum Melayu tetapi juga masyarakat Cina di negara ini.

Kini, laksa Pak Ngah semakin bijak meneroka menu baharu.
"Jika restoran makanan segera seperti KFC sering tampil dengan idea berbeza, perniagaan laksa walaupun boleh dikatakan bersifat kekampungan juga perlu berubah.

"Kami memperkenalkan laksa goreng yang seakan-akan char kuetiau yang menggunakan laksa sebagai bahan utama. Laksa itu digoreng bersama sayur tauge, telur dan tambahan kuah laksa dan cili api diletakkan berasingan," jelasnya.

Penulis telah merasai sendiri laksa goreng itu dan rasanya cukup enak. Jika inginkan laksa goreng itu berasa seperti laksa kuala biasa, anda cuma perlu tambah kuah laksa yang turut disediakan.

Laksa goreng itu menyerupai makanan kegemaran kaum Cina iaitu Lai Fun. Lai Fun dimasak menggunakan mi putih yang seakan-akan laksa dan boleh disediakan secara bergoreng atau berkuah.

Menurut Rizman lagi, selain laksa goreng, beliau turut memperkenalkan menu laksa yang disediakan bersama telur goreng, bebola ikan atau cucur.

Sama seperti laksa goreng, hidangan laksa yang turut mengandungi bebola ikan dan telur goreng membuatkan pelanggan cepat kenyang.

sumber - kosmo

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya