Iklan

Selasa, 1 November 2011

Air sarbat lazat, penyejuk badan


PULAU PINANG 3 Feb. - Air sarbat mungkin agak asing kepada penduduk luar namun bagi masyarakat di Pulau Pinang, minuman tersebut menjadi pilihan utama ketika cuaca panas.

Ini kerana minuman yang diperbuat daripada air batu kisar, sirap, air gula, air kelapa dan air herba wangi itu menghasilkan rasa yang lazat.

Malah bahan campurannya yang lain seperti biji selasih, kembang semangkuk dan getah anggur berfungsi menyejukkan badan.

Satu-satunya gerai menjual air sarbat di negeri ini ialah di Lebuh Tamil berhampiran Pasar Chowrasta yang telah beroperasi sejak 75 tahun lalu.

Menurut pemiliknya, Seemi Mohd. Abdul Majid, 65, gerai itu diusahakan bersama anak bongsunya, Almi, 21 dan telah diwarisi sejak tiga generasi lalu.

''Air sarbat ini diperkenalkan di Pulau Pinang oleh moyang saya, Abdul Azeez pada tahun 1928.

''Pada masa itu, Abdul Azeez menutup perniagaan air sarbatnya di Sri Lanka untuk membuka perniagaan baru di Pulau Pinang sebelum ia diambil alih oleh anak lelakinya pada tahun 1931," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sepanjang tempoh tersebut, katanya, minuman itu telah melalui proses perubahan, sesuai dengan peredaran masa tetapi beliau masih mengekalkan ramuan serta bahan aslinya.

Jelasnya, pada awal pembukaan gerai berkenaan, sebanyak 25 jenis herba telah digunakan tetapi sejak gerai itu diserahkan kepada generasi lain pada 1970-an, hanya beberapa bahan saja dikekalkan.

''Kini kita hanya menggunakan beberapa rempah yang boleh dibeli di kedai-kedai di sini untuk membuat air herba wangi sebelum dicampurkan ke dalam minuman itu.


''Selain itu, kami turut mencampurkan isi kelapa ke dalam minuman tersebut untuk menambah keenakannya," katanya yang berasal dari Madras, India.

Tambah Seemi, proses membuat minuman tersebut sangat mudah. Ia bermula dengan air batu kisar diletakkan ke dalam gelas sebelum disemburkan dengan air herba wangi dan sirap serta air gula.

Selepas itu, beliau memasukkan biji selasih yang direndam selama 20 minit, kembang semangkuk dan getah anggur ke dalam gelas sebelum dicampurkan dengan air dan isi kelapa.

Menurutnya, seiring dengan peredaran masa, mesin yang digunakan untuk mengisar ais juga telah berubah dan ketika ini beliau menggunakan mesin bermotor berbanding kaedah manual seperti yang digunakan sebelum Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun, katanya, perniagaannya kini kurang mendapat sambutan akibat kemunculan pelbagai jenis minuman menggunakan kaedah sama termasuk ais kacang.

Seemi yang berhijrah ke negeri ini pada 1943 berkata, jika dahulu beliau dapat menjual lebih 500 gelas dalam masa sehari namun kini beliau hanya mampu menjual sebanyak 200 gelas sahaja sehari.

''Mungkin generasi baru tidak lagi menggemari minuman ini dan air sarbat ini juga sukar dijual sekiranya hari hujan," katanya.

sumber - utusan -

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya