Iklan

Isnin, 31 Mac 2014

ARTIKEL - TEMPAT MAKAN BEST - KENGSOM - KOTA BAHRU

NATTAKARN (lima dari kiri) menunjukkan tanda bagus bersama para pekerjanya di Kota Bharu, Kelantan.

KEENAKAN sajian Thai mampu menambat selera segenap lapisan masyarakat di negara ini terutama tom yam.
Hidangan pedas dan masam itu menyebabkan ramai yang kecur air liur apabila mengingati kelazatan makanan tersebut.
Namun, mungkin ramai tidak mengetahui mengenai masakan kengsom yang lebih popular di Thailand berbanding dengan hidangan tom yam.
Jika diterokai makanan dari negara Gajah Putih itu, masih terdapat pelbagai pilihan menu yang perlu dicuba yang mana mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Apabila berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan terutama bagi penggemar makanan Thai, jangan lepaskan peluang untuk singgah makan di Restoran Kengsom yang menawarkan lebih daripada 200 pilihan menu kepada pengunjung.
Menurut pemilik restoran tersebut, Nattakarn Mangkong, 39, kebanyakan menu yang ditawarkan disediakan mengikut resipi asli yang direka oleh suaminya yang juga ketua tukang masak di situ.
Disebabkan itu, kata beliau, kebanyakan hidangan yang disajikan di restoran tersebut tidak dapat dinikmati di tempat lain walaupun menggunakan nama resipi yang sama.
NATTAKARN menunjukkan kengsom yang disajikan di restorannya.

"Walaupun terdapat kira-kira 200 pilihan menu, sudah tentu hidangan kengsom menjadi tarikan utama di restoran ini.
"Mempunyai kombinasi rasa seimbang antara pedas dan masam membuatkan asam pedas asli Thai ini unik, lazat serta digemari, selain faktor kesegaran ikan siakap yang digunakan," katanya kepada S2.
Menurut Nattakarn, antara menu lain yang menjadi pilihan pelanggan di restoran tersebut adalah tom yam, sotong kicap cair, udang bangnara, ayam pangpon dan ketam lembut telur masin.
Sempena perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Restoran Kengsom menawarkan menu istimewa ‘golden prawn’ yang menggunakan inti udang serta isi ayam dan ketam yang dikisar.
Tambah Nattakarn, keenakan cita rasa masakan Thai yang sebenar dapat dinikmati kerana restoran tersebut menggunakan khidmat tukang masak yang diimport khas dari Thailand.
"Tukang masak dari Thailand dipilih bagi mengekalkan rasa asli masakan tradisi negara tersebut, selain memastikan pelanggan yang datang berpuas hati dengan hidangan yang disediakan," katanya.
Beroperasi setiap hari mulai pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang dan disambung semula pada pukul 6 petang hingga 10.30 malam, Restoran Kengsom sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan hidangan enak serta layanan mesra, seolah-olah berada di premis lima bintang.


ARTIKEL - SEJARAH - Peristiwa Pelik Selamatkan Polis

OTHMAN Yahya (kiri) dan Abdul Hamid Nayan menunjukkan telaga semula jadi yang menjadi tempat mengambil wuduk di tingkat dua Gunung Jerai.


DUA anak jati Kampung Seri Perigi yang terletak di kaki Gunung Jerai, Othman Yahaya, 42, dan Abdul Hamid Nayan, 53, mempunyai terlalu banyak kenangan pahit manis di gunung itu.
Antaranya, kedua-dua sahabat baik ini seringkali diminta untuk membantu pihak berkuasa dalam misi mencari dan menyelamat disebabkan kepakaran masing-masing mengenai keadaan muka bumi kawasan itu.
Namun bagi kedua-dua mereka, pengalaman menyelamatkan seorang anggota polis yang hilang setelah dikatakan mendaki berseorangan ke Gunung Jerai kira-kira 15 tahun lalu tidak akan dilupakan.
"Kumpulan kami yang terdiri daripada penduduk kampung berpecah kepada dua di mana satu kumpulan bermula dari atas Tangga Kenari dan turun ke bawah manakala kumpulan saya sebaliknya.
"Tetapi usaha itu hanya sia-sia apabila anggota polis itu tidak juga dijumpai menyebabkan kami mendapatkan bantuan daripada seorang tua yang dipanggil Pak Lang.
Menurutnya, Pak Lang yang datang ke Air Terjun Titi Hayun di kaki Gunung Jerai iaitu lokasi mereka berkumpul mengejutkan semua pihak apabila memberitahu lelaki tersebut sebenarnya sedang berada di atas batu besar berhampiran kawasan itu.
"Kami kembali mencari di kawasan batu walaupun sudah berbuat demikian berkali-kali. Namun, tidak juga ternampak individu dicari.
"Sehinggalah Pak Lang mengambil pasir lalu dicampak ke batu berkenaan, barulah lelaki itu kelihatan terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berbogel di atas batu ditunjukkan," katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu, kejadian pelik tersebut tidak terhenti di situ apabila anggota polis berkenaan gagal diangkat oleh lapan lelaki termasuk dirinya dan Othman.
"Tidak sedikit pun tubuh lelaki itu dapat dianjakkan sehinggalah Pak Lang mengarahkan kami ke tepi sebelum beberapa kali mengibas kain yang terdapat pada bahunya.
"Sesudah itu, barulah lelaki tersebut dapat diangkat dan dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut," jelasnya yang juga Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) Kampung Seri Perigi.
Ditanya misi menyelamat paling sukar yang pernah dilaluinya, beliau mengakui usaha membawa turun 18 mahasiswi Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang sesat di Gunung Jerai baru-baru ini agak mencabar.
Menurutnya, beliau pada awalnya melalui telefon meminta rakan kumpulan yang sesat tersebut menyalakan unggun api bagi mengesan di mana mereka berada.
"Setelah lokasi dikenal pasti, saya bersama 25 penduduk kampung termasuk anggota RELA mula mendaki menuju ke arah mereka kira-kira 6.45 petang.
"Setelah tiga jam mendaki, mereka akhirnya ditemui berada di atas batu di tengah-tengah sungai dalam keadaan keletihan dan kelaparan setelah dua hari tersesat," katanya.
Setelah itu katanya, beliau bersama rakan-rakan memberi makan dan minum kepada mangsa sebelum bertolak turun kira-kira 10.15 malam.
"Sepatutnya perjalanan turun mengambil masa tidak sampai dua jam tetapi disebabkan keadaan mangsa lemah sehinggakan kami terpaksa berhenti setiap lima minit, maka kami hanya sampai ke kaki gunung pada pukul 2.30 pagi," katanya.




ARTIKEL - TEMPAT MAKAN BEST - MI KAMPUA SIBU

SURAYA Omar (kanan) sibuk menyediakan mi kampua kicap di Pasar Besar Sibu, Sarawak.


APABILA sampai di Sibu, Sarawak, antara makanan yang wajib dimakan adalah mi kampua.Berkesempatan merasa keenakan mi tersebut di Suraya Cafe yang terletak dalam kawasan Pasar Besar Sibu.
Kedai ini telah dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat lawatan pada 2012.
Pemiliknya, Suraya Omar, 43, berkata, mi kampua adalah sejenis mi berasal dari masyarakat Foochow yang mana ia sedap, murah dan digemari masyarakat tempatan.
"Saya mempelajari resepi mi kampua ketika bekerja di kedai makan orang Cina sebelum memulakan perniagaan sendiri.
"Resepi asal diubah kandungannya agar ia halal dan dapat dimakan oleh mereka yang beragama Islam," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Beliau yang telah berniaga mi tersebut sejak 15 tahun dahulu menambah, kedainya dibuka 365 hari setahun tanpa ada cuti.
Katanya, beliau dibantu empat orang pekerja bagi menyediakan lebih 100 mangkuk mi kampua sehari.
"Cara membuat hidangan ini senang. Rebus mi terlebih dahulu, kemudian kicap cair dan pekat, minyak bawang merah dicampur dan digaul bersama mi.
"Mi kampua saya dihidangkan bersama sup yang pasti menyelerakan orang ramai," jelasnya.
Suraya berkata, pengunjung di Pasar Besar Sibu kebanyakannya akan singgah makan di sini bagi merasa keenakan mi berkenaan.
Pelbagai variasi mi kampua disediakan seperti mi kampua kicap, puti, sos, goreng dan sup yang mana kesemuanya hanya berharga RM3 sahaja.


Jumaat, 21 Mac 2014

ARTIKEL - TEMPAT MAKAN BEST - Mi Rojak Serendah

KUAH kacangnya yang halus, mi yang kenyal dan kuih rojak­nya yang rangup nyata membuatkan hidangan mi rojak yang disajikan kepada penulis te­ngah hari itu cukup lazat.
Penulis yang bukan peng­gemar mi rojak bagaikan tidak percaya sepinggan rojak yang dihidangkan habis di makan. 
Bukan mahu memuji te­tapi mi rojak yang diusaha­kan Mohd Zofid Mohd Zin, 41, ini berbeza dengan yang lain. 

Ia lebih ringan dan yang penting bercita rasa Melayu berbanding yang lain ke­banyakan adalah cita rasa mamak.


MI rojak yang digemari sejak 20 tahun lalu.


SUP kaki ayam khusus buat penggemar kaki ayam.

Mohd Zofid yang lebih dikenali de­ngan panggilan Joe adalah generasi ke­tiga yang me­neruskan per­niagaan keluarga itu di Serendah, Se­langor.

“Lebih 20 tahun lalu, per­niagaan mi rojak ini di­asaskan arwah datuk, Abdul Rahman kemudian turun kepada arwah bapa saudara iaitu Abdul Aziz Abdul Rahman. 

“Kini, sudah lebih kurang 10 tahun saya meng­usahakannya dan mempu­nyai pelanggan tetap,” katanya. 

Ditanya keistimewaan mi rojak itu, katanya kuah yang menggunakan seratus peratus resipi arwah datuk adalah senjata utamanya. 

“Walaupun lebih 20 tahun, kami tetap mengekalkan resipi arwah datuk dan kacangnya dikisar halus. 

“Mi rojak ini hanya meng­gunakan satu jenis kuih, justeru proses membuatnya harus betul supaya ia sedap dan menepati cita rasa se­benar,” katanya. 

Menurutnya, mi yang digunakan dalam sajian rojak itu amat berbeza dengan mi rojak lain. 

“Kita tidak memakai mi kuning biasa tetapi mi seakan-akan mee spaghetti yang berbentuk empat segi. 

“Mi ini perlu direbus dulu sebelum menggunakannya dan rasanya lebih ringan serta kenyal,” kata­nya. 

Menggalas beban sebagai penerus legasi mi rojak yang diusahakan sejak 20 tahun lalu, bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi mem­punyai pelanggan tetap. 

Justeru, sebelum meng­ambil alih perniagaan rojak ini, Joe belajar membuat kuah kacang serta kuih dari ibunya. 

“Walaupun mengguna­kan tepung, kucai dan tauge, cara mengadun kuih itu perlu betul supaya rangup,” kata­nya. 

Tidak banyak yang berubah dalam menghasil­kan kuah kacang selain cara masaknya menggunakan dapur gas, bukannya dapur kayu. 

Menu lain di gerainya di Kampung Melaka, Serendah itu, ialah mi rebus dan nasi lemak. 

“Kami juga menyediakan hidangan mi sup, bihun sup, sup kaki ayam, mi rebus, dan nasi ayam. 

“Dengan itu, pengunjung yang datang menjamu selera di sini tidak bosan dan mempunyai pilihan,” katanya. 

Sementara itu, pelanggan tetap, Mohd Moidin, 62, berkata mi rojak yang di­hidangkan itu memenuhi cita rasa Melayu. 

“Rasanya memang sedap dan berbeza dengan mi rojak lain. 

“Nasi lemak juga sedap dan lauknya yang pelbagai memberi banyak pilihan,” katanya yang berkunjung ke gerai itu tiga atau empat kali seminggu. 

Gerai yang dibuka setiap hari kecuali hari jumaat bermula dari 11.30 pagi hing­ga 6 petang turut me­nerima tempahan. 

Justeru, jika mahu datang ke gerai mi rojak Joe, ia ter­letak berhadapan Masjid Nurul Iman Serendah.


ARTIKEL - TEMPAT MENARIK - Pasar terapung Klong Hae unik

Hatyai di Thailand antara destinasi popular di kalangan rakyat Malaysia kerana kedudukan yang dekat dengan negara ini selain syurga membeli-belah.
Hatyai juga digemari kerana menyediakan menu tomyam yang sedap dan halal. 

Selain membeli-belah dan menikmati keenakan tomyam, rugi jika ke Hatyai tetapi tidak berkunjung ke lokasi tarikan pelancong iaitu pasar terapung Klong Hae. 

Klong Hae terletak kira-kira 20 minit perjalanan kereta dari pekan Hatyai.

KIF (bertudung biru) membantu ibunya sejak usianya 8 tahun.


KLONG Hae sentiasa menjadi tumpuan pelancong terutama tarikan pasar terapung.

Pasar terapung sentiasa menjadi tumpuan rakyat tempatan dan pelancong asing kerana persekitaran yang unik dan masih mengekalkan tradisi lama.

Pasar terapung Klong Hae ini dibuka ­hanya pada hujung minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad dari ­te­ngah hari hingga jam 9 malam. 

Pasar terapung Klong Hae adalah yang pertama seumpamanya di Selatan Thailand. Ia membangkitkan tradisi lama cara rakyat tempatan dulu kala berniaga yang banyak bergantung kepada laluan air. 

Difahamkan kira-kira 90 peratus makanan yang dijual sama ada di atas sampan atau daratan adalah halal. 

Keunikan pasar terapung ini bukan hanya pada kedai jualan yang beroperasi di atas sampan, tetapi kebanyakan makanan dijual di dalam pinggan kecil yang diperbuat dari daun pisang. 

Minuman pula dari pasu tanah liat yang ada persamaan dengan labu sayong. 

Jadi pelanggan seronok mendapat makanan yang dibeli dalam anyaman daun pisang dan gelas tanah liat yang pelbagai bentuk. 

Gelas itu tentu saja di bawa balik dan menjadi ­tanda kena­ngan yang sungguh unik. 

Dengan urusan jual beli antara pelanggan dan penjual di atas sampan, suasana pasar terapung itu sungguh sibuk. 

Penjual turut memperkenalkan produk masing-masing, antaranya laksa, kerabu, jeli, nuget, kuih-muih tradisional, manisan dan pelbagai minuman. 

Meja dan kerusi makan turut disediakan, lengkap dengan sos dan kicap. 

Suasana pasar terapung memang menjadi tarikan pelancong. Semuanya sibuk mengambil gambar. Penjual menghulur makanan yang dibeli de­ngan kayu panjang kerana jarak yang agak jauh jika menggunakan tangan. 

Ada dua beranak yang berniaga di atas sampan sebelah me­nyebelah. Mereka ialah Kak Nab, 53, dan anak gadisnya, Kif, 13 tahun. 

Sudah hampir enam tahun Kak Nab berniaga di situ dan Kif membantunya sejak berusia 8 tahun. 

Mereka menjual pelbagai jenis kerabu dan laksa. 

“Lebih ramai orang Malaysia membeli makanan di sini berbanding orang tempatan,” kata Kak Nab. 

Kak Nab mempunyai enam anak dan Kif ialah anak bongsunya.


ARTIKEL - TEMPAT MAKAN BEST - RAHSIA SATE MAMAK - BALING,KEDAH

Hidangan sarapan pagi yang ringkas ini cukup digemari penduduk pekan Baling, Kedah.


Jika mahu menikmati­nya, anda harus cepat kerana waktu perniagaannya cukup singkat iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 12 te­ngah hari saja.
Adakalanya, belum pun jam 12 tengah hari perniagaan sudah ditutup kerana sate yang dijual pada hari itu sudah habis. Itulah kehebatan Sate Mamak, di pekan Baling ini.

Nama ‘sate mamak’ yang unik ini membuatkan penulis bagaikan tidak sabar melihat dan menikmati sendiri.

HIDANGAN sate mamak yang ringkas tetapi cukup menyelerakan.


CARA membakar sate yang betul antara rahsia keenakan satay mamak .


BAKAR sate guna bara api saja supaya ia tidak bau.

Justeru, sesi ‘city tour’ pagi itu tidak disia-siakan.

Saat tiba di kedai yang dimaksudkan, kami terus memesan sate sambil menemubual empunya kedai, Syed Mohammad, 75 tahun.

“Kenapa bagi nama sate mamak, pak cik?” tanya penulis memulakan temubual.

“Saya asal dari Padra, India dan penduduk di sini panggil saya mamak. Jadilah ia sate mamak,” jawabnya bersahaja sambil membakar sate.

Menjual sate daging ­lembu, ayam, paru dan perut, perniagaan yang ber­mula sejak 1952 ini tidak jauh bezanya dengan sate yang dihidangkan di mana-­mana.

Namun, hidangan ini ringkas serta tidak dileng­kapi dengan nasi himpit dan yang pasti punya rahsia tersendiri iaitu kuah kacangnya.

Satenya pula dihiris nipis-nipis sekali gus menjadikan sajian itu lebih ringan dan boleh dimakan sebagai snek.

Menurutnya, penyediaan sate itu sama kerana daging lembu, ayam, paru dan perut diperap dulu menggunakan bahan asas iaitu kunyit, gula dan serai.

Namun, rahsia dan keenakan hidangan sate mamak ini adalah kuahnya.

“Kekuatan sate ini terletak pada kuah kacang yang dimasak menggunakan ramuan rahsia.

“Kuah kacang yang dimasak sendiri oleh isteri di rumah ini juga dihasilkan menggunakan resipi yang diajarkan arwah bapa,” katanya yang belajar membakar sate sejak berusia 14 tahun.

Katanya, bagi menghasilkan sate yang enak, perlu dibakar menggunakan kayu arang.

“Tidak boleh ada api, kena guna bara saja supaya sate tidak bau,” katanya.

Penggunaan minyak saat membakarnya juga berbeza kerana diletakkan beberapa bahan didalamnya.

“Ketika membakar sate di atas bara api, minyaknya bukanlah campuran minyak dan serai semata-mata.

“Pak cik guna minyak kacang dan ditambah sedikit bawang putih, santan dan serai,” katanya. 

Dijual dengan harga 60 sen secucuk, sate mamak ini memang berbeza dengan sate yang sering penulis nikmati. 

Sebagai satu-satunya peniaga sate di pekan Baling ini, tidak sukar mencari­nya, cuma anda perlu datang awal atau melepas dan terpaksa datang esok hari.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya