Iklan

Isnin, 31 Mac 2014

ARTIKEL - SEJARAH - Peristiwa Pelik Selamatkan Polis

OTHMAN Yahya (kiri) dan Abdul Hamid Nayan menunjukkan telaga semula jadi yang menjadi tempat mengambil wuduk di tingkat dua Gunung Jerai.


DUA anak jati Kampung Seri Perigi yang terletak di kaki Gunung Jerai, Othman Yahaya, 42, dan Abdul Hamid Nayan, 53, mempunyai terlalu banyak kenangan pahit manis di gunung itu.
Antaranya, kedua-dua sahabat baik ini seringkali diminta untuk membantu pihak berkuasa dalam misi mencari dan menyelamat disebabkan kepakaran masing-masing mengenai keadaan muka bumi kawasan itu.
Namun bagi kedua-dua mereka, pengalaman menyelamatkan seorang anggota polis yang hilang setelah dikatakan mendaki berseorangan ke Gunung Jerai kira-kira 15 tahun lalu tidak akan dilupakan.
"Kumpulan kami yang terdiri daripada penduduk kampung berpecah kepada dua di mana satu kumpulan bermula dari atas Tangga Kenari dan turun ke bawah manakala kumpulan saya sebaliknya.
"Tetapi usaha itu hanya sia-sia apabila anggota polis itu tidak juga dijumpai menyebabkan kami mendapatkan bantuan daripada seorang tua yang dipanggil Pak Lang.
Menurutnya, Pak Lang yang datang ke Air Terjun Titi Hayun di kaki Gunung Jerai iaitu lokasi mereka berkumpul mengejutkan semua pihak apabila memberitahu lelaki tersebut sebenarnya sedang berada di atas batu besar berhampiran kawasan itu.
"Kami kembali mencari di kawasan batu walaupun sudah berbuat demikian berkali-kali. Namun, tidak juga ternampak individu dicari.
"Sehinggalah Pak Lang mengambil pasir lalu dicampak ke batu berkenaan, barulah lelaki itu kelihatan terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berbogel di atas batu ditunjukkan," katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu, kejadian pelik tersebut tidak terhenti di situ apabila anggota polis berkenaan gagal diangkat oleh lapan lelaki termasuk dirinya dan Othman.
"Tidak sedikit pun tubuh lelaki itu dapat dianjakkan sehinggalah Pak Lang mengarahkan kami ke tepi sebelum beberapa kali mengibas kain yang terdapat pada bahunya.
"Sesudah itu, barulah lelaki tersebut dapat diangkat dan dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut," jelasnya yang juga Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) Kampung Seri Perigi.
Ditanya misi menyelamat paling sukar yang pernah dilaluinya, beliau mengakui usaha membawa turun 18 mahasiswi Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang sesat di Gunung Jerai baru-baru ini agak mencabar.
Menurutnya, beliau pada awalnya melalui telefon meminta rakan kumpulan yang sesat tersebut menyalakan unggun api bagi mengesan di mana mereka berada.
"Setelah lokasi dikenal pasti, saya bersama 25 penduduk kampung termasuk anggota RELA mula mendaki menuju ke arah mereka kira-kira 6.45 petang.
"Setelah tiga jam mendaki, mereka akhirnya ditemui berada di atas batu di tengah-tengah sungai dalam keadaan keletihan dan kelaparan setelah dua hari tersesat," katanya.
Setelah itu katanya, beliau bersama rakan-rakan memberi makan dan minum kepada mangsa sebelum bertolak turun kira-kira 10.15 malam.
"Sepatutnya perjalanan turun mengambil masa tidak sampai dua jam tetapi disebabkan keadaan mangsa lemah sehinggakan kami terpaksa berhenti setiap lima minit, maka kami hanya sampai ke kaki gunung pada pukul 2.30 pagi," katanya.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya