KUAH kacangnya yang halus, mi yang kenyal dan kuih rojaknya yang rangup nyata membuatkan hidangan mi rojak yang disajikan kepada penulis tengah hari itu cukup lazat.
Penulis yang bukan penggemar mi rojak bagaikan tidak percaya sepinggan rojak yang dihidangkan habis di makan.
Bukan mahu memuji tetapi mi rojak yang diusahakan Mohd Zofid Mohd Zin, 41, ini berbeza dengan yang lain.
Ia lebih ringan dan yang penting bercita rasa Melayu berbanding yang lain kebanyakan adalah cita rasa mamak.
Ia lebih ringan dan yang penting bercita rasa Melayu berbanding yang lain kebanyakan adalah cita rasa mamak.
MI rojak yang digemari sejak 20 tahun lalu.
SUP kaki ayam khusus buat penggemar kaki ayam.
Mohd Zofid yang lebih dikenali dengan panggilan Joe adalah generasi ketiga yang meneruskan perniagaan keluarga itu di Serendah, Selangor.
“Lebih 20 tahun lalu, perniagaan mi rojak ini diasaskan arwah datuk, Abdul Rahman kemudian turun kepada arwah bapa saudara iaitu Abdul Aziz Abdul Rahman.
“Kini, sudah lebih kurang 10 tahun saya mengusahakannya dan mempunyai pelanggan tetap,” katanya.
Ditanya keistimewaan mi rojak itu, katanya kuah yang menggunakan seratus peratus resipi arwah datuk adalah senjata utamanya.
“Walaupun lebih 20 tahun, kami tetap mengekalkan resipi arwah datuk dan kacangnya dikisar halus.
“Mi rojak ini hanya menggunakan satu jenis kuih, justeru proses membuatnya harus betul supaya ia sedap dan menepati cita rasa sebenar,” katanya.
Menurutnya, mi yang digunakan dalam sajian rojak itu amat berbeza dengan mi rojak lain.
“Kita tidak memakai mi kuning biasa tetapi mi seakan-akan mee spaghetti yang berbentuk empat segi.
“Mi ini perlu direbus dulu sebelum menggunakannya dan rasanya lebih ringan serta kenyal,” katanya.
Menggalas beban sebagai penerus legasi mi rojak yang diusahakan sejak 20 tahun lalu, bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi mempunyai pelanggan tetap.
Justeru, sebelum mengambil alih perniagaan rojak ini, Joe belajar membuat kuah kacang serta kuih dari ibunya.
“Walaupun menggunakan tepung, kucai dan tauge, cara mengadun kuih itu perlu betul supaya rangup,” katanya.
Tidak banyak yang berubah dalam menghasilkan kuah kacang selain cara masaknya menggunakan dapur gas, bukannya dapur kayu.
Menu lain di gerainya di Kampung Melaka, Serendah itu, ialah mi rebus dan nasi lemak.
“Kami juga menyediakan hidangan mi sup, bihun sup, sup kaki ayam, mi rebus, dan nasi ayam.
“Dengan itu, pengunjung yang datang menjamu selera di sini tidak bosan dan mempunyai pilihan,” katanya.
Sementara itu, pelanggan tetap, Mohd Moidin, 62, berkata mi rojak yang dihidangkan itu memenuhi cita rasa Melayu.
“Rasanya memang sedap dan berbeza dengan mi rojak lain.
“Nasi lemak juga sedap dan lauknya yang pelbagai memberi banyak pilihan,” katanya yang berkunjung ke gerai itu tiga atau empat kali seminggu.
Gerai yang dibuka setiap hari kecuali hari jumaat bermula dari 11.30 pagi hingga 6 petang turut menerima tempahan.
Justeru, jika mahu datang ke gerai mi rojak Joe, ia terletak berhadapan Masjid Nurul Iman Serendah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan