Iklan

Isnin, 31 Mac 2014

ARTIKEL - SEJARAH - Peristiwa Pelik Selamatkan Polis

OTHMAN Yahya (kiri) dan Abdul Hamid Nayan menunjukkan telaga semula jadi yang menjadi tempat mengambil wuduk di tingkat dua Gunung Jerai.


DUA anak jati Kampung Seri Perigi yang terletak di kaki Gunung Jerai, Othman Yahaya, 42, dan Abdul Hamid Nayan, 53, mempunyai terlalu banyak kenangan pahit manis di gunung itu.
Antaranya, kedua-dua sahabat baik ini seringkali diminta untuk membantu pihak berkuasa dalam misi mencari dan menyelamat disebabkan kepakaran masing-masing mengenai keadaan muka bumi kawasan itu.
Namun bagi kedua-dua mereka, pengalaman menyelamatkan seorang anggota polis yang hilang setelah dikatakan mendaki berseorangan ke Gunung Jerai kira-kira 15 tahun lalu tidak akan dilupakan.
"Kumpulan kami yang terdiri daripada penduduk kampung berpecah kepada dua di mana satu kumpulan bermula dari atas Tangga Kenari dan turun ke bawah manakala kumpulan saya sebaliknya.
"Tetapi usaha itu hanya sia-sia apabila anggota polis itu tidak juga dijumpai menyebabkan kami mendapatkan bantuan daripada seorang tua yang dipanggil Pak Lang.
Menurutnya, Pak Lang yang datang ke Air Terjun Titi Hayun di kaki Gunung Jerai iaitu lokasi mereka berkumpul mengejutkan semua pihak apabila memberitahu lelaki tersebut sebenarnya sedang berada di atas batu besar berhampiran kawasan itu.
"Kami kembali mencari di kawasan batu walaupun sudah berbuat demikian berkali-kali. Namun, tidak juga ternampak individu dicari.
"Sehinggalah Pak Lang mengambil pasir lalu dicampak ke batu berkenaan, barulah lelaki itu kelihatan terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berbogel di atas batu ditunjukkan," katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu, kejadian pelik tersebut tidak terhenti di situ apabila anggota polis berkenaan gagal diangkat oleh lapan lelaki termasuk dirinya dan Othman.
"Tidak sedikit pun tubuh lelaki itu dapat dianjakkan sehinggalah Pak Lang mengarahkan kami ke tepi sebelum beberapa kali mengibas kain yang terdapat pada bahunya.
"Sesudah itu, barulah lelaki tersebut dapat diangkat dan dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut," jelasnya yang juga Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) Kampung Seri Perigi.
Ditanya misi menyelamat paling sukar yang pernah dilaluinya, beliau mengakui usaha membawa turun 18 mahasiswi Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang sesat di Gunung Jerai baru-baru ini agak mencabar.
Menurutnya, beliau pada awalnya melalui telefon meminta rakan kumpulan yang sesat tersebut menyalakan unggun api bagi mengesan di mana mereka berada.
"Setelah lokasi dikenal pasti, saya bersama 25 penduduk kampung termasuk anggota RELA mula mendaki menuju ke arah mereka kira-kira 6.45 petang.
"Setelah tiga jam mendaki, mereka akhirnya ditemui berada di atas batu di tengah-tengah sungai dalam keadaan keletihan dan kelaparan setelah dua hari tersesat," katanya.
Setelah itu katanya, beliau bersama rakan-rakan memberi makan dan minum kepada mangsa sebelum bertolak turun kira-kira 10.15 malam.
"Sepatutnya perjalanan turun mengambil masa tidak sampai dua jam tetapi disebabkan keadaan mangsa lemah sehinggakan kami terpaksa berhenti setiap lima minit, maka kami hanya sampai ke kaki gunung pada pukul 2.30 pagi," katanya.




ARTIKEL - TEMPAT MAKAN BEST - MI KAMPUA SIBU

SURAYA Omar (kanan) sibuk menyediakan mi kampua kicap di Pasar Besar Sibu, Sarawak.


APABILA sampai di Sibu, Sarawak, antara makanan yang wajib dimakan adalah mi kampua.Berkesempatan merasa keenakan mi tersebut di Suraya Cafe yang terletak dalam kawasan Pasar Besar Sibu.
Kedai ini telah dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat lawatan pada 2012.
Pemiliknya, Suraya Omar, 43, berkata, mi kampua adalah sejenis mi berasal dari masyarakat Foochow yang mana ia sedap, murah dan digemari masyarakat tempatan.
"Saya mempelajari resepi mi kampua ketika bekerja di kedai makan orang Cina sebelum memulakan perniagaan sendiri.
"Resepi asal diubah kandungannya agar ia halal dan dapat dimakan oleh mereka yang beragama Islam," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Beliau yang telah berniaga mi tersebut sejak 15 tahun dahulu menambah, kedainya dibuka 365 hari setahun tanpa ada cuti.
Katanya, beliau dibantu empat orang pekerja bagi menyediakan lebih 100 mangkuk mi kampua sehari.
"Cara membuat hidangan ini senang. Rebus mi terlebih dahulu, kemudian kicap cair dan pekat, minyak bawang merah dicampur dan digaul bersama mi.
"Mi kampua saya dihidangkan bersama sup yang pasti menyelerakan orang ramai," jelasnya.
Suraya berkata, pengunjung di Pasar Besar Sibu kebanyakannya akan singgah makan di sini bagi merasa keenakan mi berkenaan.
Pelbagai variasi mi kampua disediakan seperti mi kampua kicap, puti, sos, goreng dan sup yang mana kesemuanya hanya berharga RM3 sahaja.


Jumaat, 21 Mac 2014

ARTIKEL - TEMPAT MAKAN BEST - Mi Rojak Serendah

KUAH kacangnya yang halus, mi yang kenyal dan kuih rojak­nya yang rangup nyata membuatkan hidangan mi rojak yang disajikan kepada penulis te­ngah hari itu cukup lazat.
Penulis yang bukan peng­gemar mi rojak bagaikan tidak percaya sepinggan rojak yang dihidangkan habis di makan. 
Bukan mahu memuji te­tapi mi rojak yang diusaha­kan Mohd Zofid Mohd Zin, 41, ini berbeza dengan yang lain. 

Ia lebih ringan dan yang penting bercita rasa Melayu berbanding yang lain ke­banyakan adalah cita rasa mamak.


MI rojak yang digemari sejak 20 tahun lalu.


SUP kaki ayam khusus buat penggemar kaki ayam.

Mohd Zofid yang lebih dikenali de­ngan panggilan Joe adalah generasi ke­tiga yang me­neruskan per­niagaan keluarga itu di Serendah, Se­langor.

“Lebih 20 tahun lalu, per­niagaan mi rojak ini di­asaskan arwah datuk, Abdul Rahman kemudian turun kepada arwah bapa saudara iaitu Abdul Aziz Abdul Rahman. 

“Kini, sudah lebih kurang 10 tahun saya meng­usahakannya dan mempu­nyai pelanggan tetap,” katanya. 

Ditanya keistimewaan mi rojak itu, katanya kuah yang menggunakan seratus peratus resipi arwah datuk adalah senjata utamanya. 

“Walaupun lebih 20 tahun, kami tetap mengekalkan resipi arwah datuk dan kacangnya dikisar halus. 

“Mi rojak ini hanya meng­gunakan satu jenis kuih, justeru proses membuatnya harus betul supaya ia sedap dan menepati cita rasa se­benar,” katanya. 

Menurutnya, mi yang digunakan dalam sajian rojak itu amat berbeza dengan mi rojak lain. 

“Kita tidak memakai mi kuning biasa tetapi mi seakan-akan mee spaghetti yang berbentuk empat segi. 

“Mi ini perlu direbus dulu sebelum menggunakannya dan rasanya lebih ringan serta kenyal,” kata­nya. 

Menggalas beban sebagai penerus legasi mi rojak yang diusahakan sejak 20 tahun lalu, bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi mem­punyai pelanggan tetap. 

Justeru, sebelum meng­ambil alih perniagaan rojak ini, Joe belajar membuat kuah kacang serta kuih dari ibunya. 

“Walaupun mengguna­kan tepung, kucai dan tauge, cara mengadun kuih itu perlu betul supaya rangup,” kata­nya. 

Tidak banyak yang berubah dalam menghasil­kan kuah kacang selain cara masaknya menggunakan dapur gas, bukannya dapur kayu. 

Menu lain di gerainya di Kampung Melaka, Serendah itu, ialah mi rebus dan nasi lemak. 

“Kami juga menyediakan hidangan mi sup, bihun sup, sup kaki ayam, mi rebus, dan nasi ayam. 

“Dengan itu, pengunjung yang datang menjamu selera di sini tidak bosan dan mempunyai pilihan,” katanya. 

Sementara itu, pelanggan tetap, Mohd Moidin, 62, berkata mi rojak yang di­hidangkan itu memenuhi cita rasa Melayu. 

“Rasanya memang sedap dan berbeza dengan mi rojak lain. 

“Nasi lemak juga sedap dan lauknya yang pelbagai memberi banyak pilihan,” katanya yang berkunjung ke gerai itu tiga atau empat kali seminggu. 

Gerai yang dibuka setiap hari kecuali hari jumaat bermula dari 11.30 pagi hing­ga 6 petang turut me­nerima tempahan. 

Justeru, jika mahu datang ke gerai mi rojak Joe, ia ter­letak berhadapan Masjid Nurul Iman Serendah.


ARTIKEL - TEMPAT MENARIK - Pasar terapung Klong Hae unik

Hatyai di Thailand antara destinasi popular di kalangan rakyat Malaysia kerana kedudukan yang dekat dengan negara ini selain syurga membeli-belah.
Hatyai juga digemari kerana menyediakan menu tomyam yang sedap dan halal. 

Selain membeli-belah dan menikmati keenakan tomyam, rugi jika ke Hatyai tetapi tidak berkunjung ke lokasi tarikan pelancong iaitu pasar terapung Klong Hae. 

Klong Hae terletak kira-kira 20 minit perjalanan kereta dari pekan Hatyai.

KIF (bertudung biru) membantu ibunya sejak usianya 8 tahun.


KLONG Hae sentiasa menjadi tumpuan pelancong terutama tarikan pasar terapung.

Pasar terapung sentiasa menjadi tumpuan rakyat tempatan dan pelancong asing kerana persekitaran yang unik dan masih mengekalkan tradisi lama.

Pasar terapung Klong Hae ini dibuka ­hanya pada hujung minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad dari ­te­ngah hari hingga jam 9 malam. 

Pasar terapung Klong Hae adalah yang pertama seumpamanya di Selatan Thailand. Ia membangkitkan tradisi lama cara rakyat tempatan dulu kala berniaga yang banyak bergantung kepada laluan air. 

Difahamkan kira-kira 90 peratus makanan yang dijual sama ada di atas sampan atau daratan adalah halal. 

Keunikan pasar terapung ini bukan hanya pada kedai jualan yang beroperasi di atas sampan, tetapi kebanyakan makanan dijual di dalam pinggan kecil yang diperbuat dari daun pisang. 

Minuman pula dari pasu tanah liat yang ada persamaan dengan labu sayong. 

Jadi pelanggan seronok mendapat makanan yang dibeli dalam anyaman daun pisang dan gelas tanah liat yang pelbagai bentuk. 

Gelas itu tentu saja di bawa balik dan menjadi ­tanda kena­ngan yang sungguh unik. 

Dengan urusan jual beli antara pelanggan dan penjual di atas sampan, suasana pasar terapung itu sungguh sibuk. 

Penjual turut memperkenalkan produk masing-masing, antaranya laksa, kerabu, jeli, nuget, kuih-muih tradisional, manisan dan pelbagai minuman. 

Meja dan kerusi makan turut disediakan, lengkap dengan sos dan kicap. 

Suasana pasar terapung memang menjadi tarikan pelancong. Semuanya sibuk mengambil gambar. Penjual menghulur makanan yang dibeli de­ngan kayu panjang kerana jarak yang agak jauh jika menggunakan tangan. 

Ada dua beranak yang berniaga di atas sampan sebelah me­nyebelah. Mereka ialah Kak Nab, 53, dan anak gadisnya, Kif, 13 tahun. 

Sudah hampir enam tahun Kak Nab berniaga di situ dan Kif membantunya sejak berusia 8 tahun. 

Mereka menjual pelbagai jenis kerabu dan laksa. 

“Lebih ramai orang Malaysia membeli makanan di sini berbanding orang tempatan,” kata Kak Nab. 

Kak Nab mempunyai enam anak dan Kif ialah anak bongsunya.


ARTIKEL - TEMPAT MAKAN BEST - RAHSIA SATE MAMAK - BALING,KEDAH

Hidangan sarapan pagi yang ringkas ini cukup digemari penduduk pekan Baling, Kedah.


Jika mahu menikmati­nya, anda harus cepat kerana waktu perniagaannya cukup singkat iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 12 te­ngah hari saja.
Adakalanya, belum pun jam 12 tengah hari perniagaan sudah ditutup kerana sate yang dijual pada hari itu sudah habis. Itulah kehebatan Sate Mamak, di pekan Baling ini.

Nama ‘sate mamak’ yang unik ini membuatkan penulis bagaikan tidak sabar melihat dan menikmati sendiri.

HIDANGAN sate mamak yang ringkas tetapi cukup menyelerakan.


CARA membakar sate yang betul antara rahsia keenakan satay mamak .


BAKAR sate guna bara api saja supaya ia tidak bau.

Justeru, sesi ‘city tour’ pagi itu tidak disia-siakan.

Saat tiba di kedai yang dimaksudkan, kami terus memesan sate sambil menemubual empunya kedai, Syed Mohammad, 75 tahun.

“Kenapa bagi nama sate mamak, pak cik?” tanya penulis memulakan temubual.

“Saya asal dari Padra, India dan penduduk di sini panggil saya mamak. Jadilah ia sate mamak,” jawabnya bersahaja sambil membakar sate.

Menjual sate daging ­lembu, ayam, paru dan perut, perniagaan yang ber­mula sejak 1952 ini tidak jauh bezanya dengan sate yang dihidangkan di mana-­mana.

Namun, hidangan ini ringkas serta tidak dileng­kapi dengan nasi himpit dan yang pasti punya rahsia tersendiri iaitu kuah kacangnya.

Satenya pula dihiris nipis-nipis sekali gus menjadikan sajian itu lebih ringan dan boleh dimakan sebagai snek.

Menurutnya, penyediaan sate itu sama kerana daging lembu, ayam, paru dan perut diperap dulu menggunakan bahan asas iaitu kunyit, gula dan serai.

Namun, rahsia dan keenakan hidangan sate mamak ini adalah kuahnya.

“Kekuatan sate ini terletak pada kuah kacang yang dimasak menggunakan ramuan rahsia.

“Kuah kacang yang dimasak sendiri oleh isteri di rumah ini juga dihasilkan menggunakan resipi yang diajarkan arwah bapa,” katanya yang belajar membakar sate sejak berusia 14 tahun.

Katanya, bagi menghasilkan sate yang enak, perlu dibakar menggunakan kayu arang.

“Tidak boleh ada api, kena guna bara saja supaya sate tidak bau,” katanya.

Penggunaan minyak saat membakarnya juga berbeza kerana diletakkan beberapa bahan didalamnya.

“Ketika membakar sate di atas bara api, minyaknya bukanlah campuran minyak dan serai semata-mata.

“Pak cik guna minyak kacang dan ditambah sedikit bawang putih, santan dan serai,” katanya. 

Dijual dengan harga 60 sen secucuk, sate mamak ini memang berbeza dengan sate yang sering penulis nikmati. 

Sebagai satu-satunya peniaga sate di pekan Baling ini, tidak sukar mencari­nya, cuma anda perlu datang awal atau melepas dan terpaksa datang esok hari.

Khamis, 20 Februari 2014

ARTIKEL - SEJARAH - Rakyat Turki Pencipta Mesin ATM

Luther George Simjian adalah salah seorang pencipta dan ilmuwan . Dia dilahirkan di Turki pada 28 Januari 1905 dan meninggal pada 23 Oktober 1997 pada usia 92 tahun.

Simjian berhijrah ke Amerika Syarikat pada usia 15 tahun setelah terpisah dengan keluarganya semasa Perang Dunia Pertama.

Setelah bertemu dengan kerabatnya di Connecticut, dia bekerja sebagai jurugambar kerana minat dengannya.

Pada mulanya, Simjian belajar di Universiti Yale dengan mengambil bidang kedoktoran, namun minatnya berubah ketika pihak universiti menawarkannya pekerjaan di Laboratorium Foto. Pada tahun 1928, dia telah menjadi ketua di Jabatan Fotografi di universiti tersebut.

Pada tahun 1934, Simjian berpindah ke New York, dimana dia telah mengembangkan mesin x-ray warna dan self-posing portrait camera, yang memungkinkan subjek untuk melihat ke dalam cermin dan melihat gambar yang tepat untuk diambil.

Dengan berbekalkan penemuannya ini, Simjian telah menubuhkan sebuah syarikat pembuatan kamera dengan jenama Photoreflex yang kemudiannya digantikan dengan nama Reflectone. Syarikat ini kemudiannya terus berkembang.

Ketika Simjian menawarkan idea untuk pelanggan bank melakukan transaksi pengeluaran wang tanpa perlu ke kaunter bank, ia diragui ramai orang.

Namun, dia tidak berputus-asa dan pada tahun 1939, Simjian telah mendaftarkan 20 paten yang berkaitan dengan penemuan barunya dan telah menawarkannya kepada sebuah syarikat besar yang sekarang ini dikenali dengan nama Citicorp.

Namun, hanya selepas enam bulan barulah Citicorp memberi respon mengenai tawaran Simjian.

"Nampaknya, orang yang akan menggunakan mesin ini hanyalah sejumlah kecil pelacur dan kaki judi yang malu dan tidak mahu bertemu muka dengan kerani bank"!

Akhirnya, pada hari ini disetiap sudut bangunan, kita dengan mudah menemui mesin 'ajaib' ini.

Apa yang menjadi keraguan ramai orang pada masa itu terbukti salah!

ATM telah menjadi keperluan yang tidak lagi mampu dipisahkan bagi kebanyakan daripada kita.

ARTIKEL - SEJARAH - SEJARAH PENCIPTAAN KAABAH

Kaabah yakni rumah Allah adalah kiblat di mana seluruh umat Islam menghadapnya ketika menunaikan solat. Diriwayatkan bahawa Allah telah menjadikan tapak Kaabah itu disokong dengan empat tiang daripada air 2000 tahun sebelum Dia menciptakan dunia ini dan Dia telah membentangkan bumi dari bawah Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya sehingga lapisan bumi yang ke tujuh.

Di setiap tujuh langit ada rumah Allah tempat para malaikat beribadat padaNya dan pada langit ke tujuh nama rumah Allah itu adalah Baitul Makmur. Rasulullah bersabda, “Baitul Makmur adalah masjid yang berada di langit dan ia betul-betul di atas Kaabah. Seandainya ia jatuh maka ia akan menghempap Kaabah”.

Sebelum Baitul Makmur dicipta, para malaikat tawaf mengelilingi Arasy pada masa yang sangat lama. Allah memandang mereka kemudian menurunkan rahmat kepada mereka. Allah membina sebuah rumah di bawah Arasy yang diberi nama Baitul Makmur. Allah memerintahkan para Malaikat supaya tawaf di Baitul Makmur dan tinggalkan Arasy. Para malaikat telah melakukan tawaf di Baitul Makmur sehingga jumlah yang memasukinya siang dan malam seramai 70,000 malaikat. Mereka tidak kembali lagi buat selama-lama.

Kemudian Allah mengutuskan para malaikat turun ke bumi dan berfirman kepada mereka, “Binalah sebuah rumah untukKu di bumi sepertinya”. Allah memerintah seluruh makhlukNya di bumi supaya tawaf mengelilingi Kaabah sebagaimana penghuni langit tawaf mengelilingi Baitul Makmur. Diriwayatkan bahawa Allah telah mengutuskan Jibril kepada Nabi Adam serta Hawa supaya membina satu rumah untukNya. Jibril telah menggariskan (rangka) kepada keduanya lalu Nabi Adam menggali tanah manakala Hawa mengangkutnya sehinggalah air menyahut serta menyeru dari bawah beliau meminta agar berhenti menggali dengan kata-kata, “Cukuplah wahai Adam!”

Setelah Nabi Adam wafat, anak-anaknya telah membina Kaabah dengan menggunakan tanah dan batu. Diriwayatkan bahawa orang yang membinanya ialah anak Nabi Adam iaitu Nabi Syith. Mereka sentiasa mendiami dan memakmurkan Baitullah dan begitulah juga dengan orang-orang yang selepas mereka sehinggalah tiba zaman Nabi Nuh, Kaabah telah runtuh dan kawasan tersebut ditenggelami air serta tidak dapat dikesani.

Kemudian Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu. Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

Ciri-ciri binaan yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim:

- Tingginya 9 hasta.
- Panjang di paras bumi dari Hajarul Aswad hingga ke penjuru sebelah Syam 32 hasta.
- Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat 22 hasta.
- Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman 31 hasta.
- Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarul Aswad 20 hasta.

Selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, ia terus berdiri megah di bumi Allah dan tidak akan runtuh sehingga hari Kiamat. Namun usaha membaik pulih dan menyelenggarakan Kaabah tetap diteruskan sehingga sekarang. Berikut adalah rumusan sejarah pembinaan Kaabah.

- Binaan pertama: Malaikat
- Binaan kedua: Nabi Adam
- Binaan ketiga: Nabi Syith
- Binaan keempat: Nabi Ibrahim
- Binaan kelima: Kaum Amaliqah
- Binaan keenam: Kaum Jurhum
- Binaan ketujuh: Qusai bin Kilab (Abad keempat Masihi)
- Binaan kelapan: Abdul Mutalib
- Binaan kesembilan: Kaum Quraisy (Tahun 605 Masihi ketika Rasulullah berusia 35 tahun)
- Binaan ke-10: Abdullah ibnu Zubair (Tahun 64 hijrah)
- Binaan ke-11: Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi (Tahun 74 hijrah/693 Masihi)
- Binaan ke-12: Sultan Murad Khan (Tahun 1040 hijrah/1630 masihi)

Pasti ramai yang masih belum lihat lagi pemandangan di dalam Kaabah secara live bukan? Di sini aku ingin berkongsi video di mana ia menunjukkan pemandangan dari dalam Kaabah. Subahanallah!

http://www.youtube.com/watch?v=dQMD-K3lpaI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya