ZAINAL ABIDIN dipilih sebagai salah seorang pengarca yang akan menghasilkan karya The Alam Collection.
Royal Selangor menyambut kemegahan hutan tempatan dengan sebuah kempen khas untuk tujuan amal bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Berikutan itu, Royal Selangor yang sinonim dengan barangan piuternya dan kini berusia 126 tahun menganjurkan kempen menderma dan kitar semula barangan piuter.
Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li berkata, melalui kempen itu ia akan menggalak dan mendidik orang ramai mengenai kesedaran untuk menjaga alam sekitar dan hutan belantara daripada terus pupus.
“Kempen ini membolehkan orang awam menderma barangan piuter mereka yang lama dan tidak dipakai kepada Royal Selangor untuk dikitar semula.
“Bagaimanapun, hanya barangan piuter daripada Royal Selangor sahaja akan diterima dan dicairkan semula untuk menghasilkan sebuah koleksi baharu terkini untuk The Alam Collection,” katanya.
Menurut Yoon Li, koleksi baharu yang bakal dihasilkan itu akan direka bentuk oleh dua pereka tersohor negara iaitu Tengku Sabri Ibrahim dan Zainal Abidin Musa.
Ulasnya lebih lanjut, satu pertiga daripada hasil jualan koleksi terbaru itu akan disalurkan kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia.
“Sumbangan dana ini untuk membantu mereka dalam usaha-usaha pemuliharaan habitat dan pendidikan alam sekitar khususnya Hutan Belum yang semakin terjejas ekosistemnya,” ujarnya.
Ekoran itu juga Royal Selangor menjanjikan, 100 penderma pertama akan menerima keahlian percuma Persatuan Pencinta Alam Malaysia.
Setiap penderma tersebut turut layak menyertai cabutan bertuah bagi memenangi pakej percutian selama tiga hari, dua malam ke Hutan Belum yang berusia 130 juta tahun.
ATAS: Jenama Royal Selangor juga mahu relevan dengan usaha pelestarian alam sekitar.
“Kami ingin membantu Persatuan Pencinta Alam Malaysia kerana kami amat mengagumi usaha pemuliharaan kawasan hutan dan hidupan liar yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan itu.
“Kebanyakan barangan Royal Selangor akan menjadi satu kenangan abadi yang indah tetapi ada juga barangan lama yang tidak berguna lagi. Jadi apa kata anda mendermakan barangan piuter itu untuk dikitar semula,” katanya.
Ulasnya lanjut, tidak ramai orang yang tahu bahawa piuter boleh dikitar semula dan setiap hari di kilang itu, hirisan piuter dikumpul dan dicairkan semula.
“Kami tidak sabar untuk menerima barangan piuter daripada orang awam untuk dikitar semula,” ujarnya lagi.
The Alam Collection mengandungi beberapa rekaan aksesori dan patung kecil yang mengambil inspirasi daripada hutan tempatan.
Mengulas inspirasi rekaan kedua-dua pengarca, Tengku Sabri berkata, bentuk arca yang akan dihasilkan nanti hasil inspirasi dari sumber alam semula jadi yang tidak dapat dilihat mata kasar dan hidup di alam misteri.
“Saya mengambil inspirasi ketika suatu lawatan di kawasan hutan dimana saya dapat membayangkan makhluk yang di luar alam nyata,” katanya.
The Alam Collection akan berada di pasaran pada bulan Oktober di semua kedai jualan Royal Selangor dan laman web www.royalselangor.com.
sumber-kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan