Iklan

Selasa, 27 September 2011

Penggemar ayam goreng

CANTIK dan pintar, wanita ini juga pernah menjadi juara pertandingan tenis.

HANIZA ROS NASARUDDIN, 40, masih dapat mengingati dengan baik kenangan dia berkunjung ke Restoran A&W pada masa kecil. Restoran makanan segera itu terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, tidak jauh dari kediaman keluarga Haniza di Segambut.

“Restoran itu adalah francais makanan segera pertama di negara ini. Jadi makan di situ pada awal tahun 1970-an pasti meninggalkan memori yang istimewa,” kata beliau.

Tambah Haniza, makan di situ bukan mengenai menjamu selera semata-mata bahkan telah menjadi aktiviti beliau sekeluarga.

“Bapa akan memimpin tangan saya setiap kali ke sana. Saya sangat seronok dapat makan bersama keluarga,” kenang Haniza, anak sulung daripada empat adik-beradik.

Tiga puluh tahun kemudian, Haniza tidak menyangka restoran berkenaan menjadi sebahagian daripada tugasnya sebagai Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Kumpulan KUB Malaysia Berhad (KUB).

KUB yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan membeli francais restoran itu pada tahun 2001.

Menurut Haniza, A&W dibawa masuk ke negara ini oleh keluarga Lie Boff dari Amerika Syarikat pada tahun 1962. Restoran makanan segera lain seperti KFC dan McDonald’s hanya diperkenalkan 10 tahun kemudian.

“Disebabkan pada masa itu tiada persaingan daripada francais lain, A&W menjadi pilihan utama orang ramai khususnya warga kota.

Signatur
MINUMAN Root Beer dan ayam goreng dianggap hidangan signatur A&W.

“Mungkin juga ramai yang tidak tahu, A&W pernah mengedarkan makanan kepada tentera British dan askar Melayu yang bertugas pada penghujung zaman Darurat. Mereka memberi makanan itu secara percuma,” kongsi Haniza yang selesa dipanggil Ros.

Haniza berkata, kekuatan perniagaan A&W sebahagiannya terletak pada kejayaannya mempromosikan minuman Root Beer sebagai tanda dagang restoran itu.

“Root Beer diperkenalkan pada tahun 1974 dan ia kekal sebagai tarikan sehingga ke hari ini. Rasanya pula tidak jauh berbeza,” ujar Haniza yang berpendapat menghasilkan produk signatur merupakan satu strategi yang baik untuk sesuatu perniagaan.

Tambah Haniza, dapat memulakan perniagaan sahaja tidak memadai.

“Pengusaha mesti memikirkan untuk menghasilkan produk yang berkualiti, berbeza dan seterusnya menjadi tanda dagang yang menjadi sebutan ramai,” terang graduan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya ini.

Mengambil contoh Restoran A&W, beliau berkata selain Root Beer, ayam goreng A&W juga tidak kurang hebatnya.

Katanya, walaupun ayam goreng dijual di beberapa francais ternama di negara ini, beliau tetap memilih ayam goreng A&W sebagai kegemarannya.

Beliau berpendapat ayam goreng A&W lebih sedap dengan ramuan rempahnya yang unik, garing di luar dan lembap pada sisinya.

Ditanya mengenai makanan lain yang popular di tempat kelahiran, warga kota ini menjawab semua makanan di Kuala Lumpur istimewa. Bagaimanapun, Haniza yang mengaku beliau seorang anak yang manja di rumah, berkata memasak bukanlah hobi beliau.

“Saya anak manja ibu dan bapa. Tetapi saya sangat suka makan masakan ibu, tiada makanan khusus yang saya suka. Cuma makanan yang pedas dengan ramuan cili padi adalah kegemaran saya,” ujarnya.

Pada masa lapang, Haniza suka meluangkan masa bersama ibu bapanya malah menganggap kedua-dua mereka sebagai sahabat terbaik selain sumber kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Penjual bunga
HANIZA berbincang dengan kakitangannya mengenai rancangan mengembangkan lagi perniagaan KUB.

“Ibu bapa saya insan terbaik buat saya. Mereka tidak pernah merungut sehingga sekarang.

“Walaupun saya boleh dikatakan telah memegang jawatan tinggi, mereka terus menyokong saya untuk lebih berjaya dalam kerjaya,” katanya yang pergi bercuti ke Perth, Australia bersama ibu bapanya pada awal tahun ini.

Pada usia 40 tahun, wanita jelita dan pintar ini hakikatnya masih hidup membujang.

“Saya rasa macam belum bersedia secara mental untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi ini tidak bermakna saya memilih pasangan hidup, tidak sama sekali.

“Cuma saya tidak memberi keutamaan untuk memikirkan perkara itu. Buat masa ini itulah pendirian saya. Saya serahkan segalanya pada Tuhan Maha Esa, biar Dia yang menentukan hala tuju hidup saya,” katanya tersenyum.

Haniza sememangnya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan orang tuanya. Menurut Haniza, keputusannya untuk tidak melanjutkan pelajaran ke luar negara demi ibu bapanya adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat dalam hidupnya.

“Saya tidak sanggup berpisah dengan mereka,” akui Haniza.

Menurut Haniza, jika tidak memilih kerjaya ini pasti beliau akan membuka bisnes kedai bunga.

“Saya juga seorang penggemar bunga,” katanya yang suka menyanyi, berlakon dan menari semasa di universiti dahulu.

Haniza juga seorang pemain tenis dan pernah menjuarai kategori perseorangan dan beregu wanita sebanyak tiga kali berturut-turut pada kejohanan tenis antara Maktab Rendah Sains Mara.

sumber - kosmo

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya