Iklan

Rabu, 14 September 2011

Kubur 'mangsa' projek pembangunan


SEORANG lelaki berjalan melewati kawasan perkuburan tertua Singapura, Bukit Brown, yang sedang 'diancam' pembangunan.

TANAH perkuburan tertua di Singapura, Bukit Brown kini berdepan kemungkinan dibongkar semula bagi memberi laluan kepada pembinaan apartmen untuk kediaman penduduk republik itu.

Dengan kepadatan sebanyak 7,126 penduduk bagi setiap kilometer persegi, Singapura nyata tidak mempunyai pilihan selain menghapuskan tanah perkuburan lama untuk mendirikan kediaman buat warganya.

Berkeluasan 86 hektar, Bukit Brown merupakan kawasan pedagang-pedagang awal China disemadikan. Atas sebab itu, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan pengekalan tanah perkuburan tersebut.

"Bukit Brown merupakan tempat persemadian kaum Cina tertua di Singapura dan alasan itu sudah cukup kuat untuk ia dikekalkan.

"Kubur bukan bertujuan untuk pengebumian sahaja malah ia turut menyimpan sejarah serta khazanah negara yang kian dilupakan," ujar Irving Johnson yang bertugas sebagai penolong profesor Kajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura.

Dibuka secara rasmi pada 1922, Bukit Brown dinamakan sempena kedatangan pemilik kapal Inggeris, George Henry Brown ke pulau itu pada tahun 1840.

Sebagai kenyataan balas, Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) menjelaskan bahawa pembangunan termasuk perumahan perlu diutamakan berikutan kesukaran mendapatkan tanah lapang di negara pulau itu.
PUSARA pedagang hebat, Ong Sam Leong ini adalah antara yang sedang diperjuangkan untuk dikekalkan kerana nilai sejarahnya.

Populasi meningkat

Keputusan pembongkaran tanah perkuburan tersebut juga disebabkan populasi penduduk negara yang pernah menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu itu kini mencecah 5 juta orang dengan 74 peratus terdiri daripada etnik Cina.

"Kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang dirasakan bernilai kepada sejarah negara bagi menjamin keselesaan rakyat.

"Pembongkaran kubur-kubur lama yang tidak lagi digunakan ini membolehkan kita menggunakan tapak tersebut bagi menyediakan prasarana dan infrastruktur lebih baik," ujar wakil URA.

Walaupun masih terdapat 60 tanah perkuburan di Singapura, namun hanya satu kawasan menerima pengebumian baharu dan bakinya telah pun ditutup.

Satu-satunya tanah perkuburan yang masih dibuka ialah Kompleks Perkuburan Choa Chu Kang yang terletak di utara pinggir bandar Singapura.

Jangka hayat setiap kubur di situ pula hanya 15 tahun sebelum ia dibongkar semula dan diuruskan mengikut syarat agama masing-masing.

Rangka-rangka mayat tersebut akan dibakar dan abu tersebut akan disimpan di rumah keluarga waris atau ditebarkan ke laut.

Bagi agama yang memerlukan pengebumian semula seperti Islam, ia akan ditanam semula dengan saiz kecil di Choa Chua Kang bagi menjimatkan ruang.

Media tempatan Singapura memberitahu, terdapat 229 tapak tanah perkuburan pada 1952 tetapi jumlah itu semakin berkurang disebabkan pembangunan dan pembinaan jalan.

Pusat beli-belah terkemuka di Orchard Road, kompleks Ngee Ann City yang menjadi pusat jenama mewah dunia seperti Chanel dan Louis Vuitton juga dibina atas tapak tanah perkuburan.

Pihak yang menentang pembangunan di Bukit Brown berkata, kawasan yang kaya dengan sejarah itu perlu dikekalkan kerana ia antara tinggalan berharga buat generasi akan datang.

"Jika ia tidak dipelihara, generasi masa depan tidak akan mengenali sejarah dan pengetahuan mereka terhadap asal-usul mereka juga kabur," luah pihak terbabit.Perkara ajaib kelapan

Kumpulan sokongan warisan, Singapore Heritage Society (SHS) pula tampil memberi kenyataan menerusi sebuah buku berjudul Space Of The Dead: A Case From The Living yang diterbitkan pada Mei lalu.

Presiden SHS, Kevin Tan dalam tulisannya menyatakan pemusnahan tanah-tanah perkuburan dalam tempoh 40 tahun itu amat mendukacitakan.

"Kita tahu pembangunan itu tetap akan berlaku, tetapi inisiatif yang boleh dilakukan mereka adalah mengekalkan beberapa perkuburan yang berharga buat negara," jelas Kevin.

Antara pusara yang perlu dikekalkan adalah milik Ong Sam Leong, pedagang hebat yang mati pada 1918 dan isterinya yang disemadikan bersebelahan pusaranya pada tahun 1953.

Rasional kubur individu kebanggaan warga Singapura itu dipulihara adalah kerana rekaan serta perincian pusara tersebut adalah satu-satunya yang tinggal di republik itu.

Dua patung batu pengawal India Sikh bersaiz manusia yang memegang senapang sebenar dibina di hadapan pusara tersebut manakala batu nisan kubur itu pula dikelilingi parit kecil.

"Kami menggelar kubur ini sebagai perkara ajaib kelapan di Singapura dan ia amat istimewa," kata pengkaji paranormal Asia, Raymond Goh.
Sumber - AFP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jom LaYan Blog Saya