Mai La Usha usha apa yg ada ..uhuhuhuhuhuhu ......... - Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah pula kita menjadi langau yang boleh membusukkan daging..........."
Iklan
Selasa, 20 September 2011
Menguji jeram Royal Belum
PENDAYUNG yang berkemahiran juga bakal berdepan dengan arus yang mencabar.
ANTARA hidup dan mati. Itu yang penulis rasai tatkala mengharungi salah sebuah daripada jeram yang terdapat di Sungai Kejar, Taman Negeri Royal Belum, Perak.
Ungkapan itu dirujuk memandangkan pelampung yang digunakan untuk menentang arus deras hilang daripada pegangan sehingga menyebabkan penulis terperangkap di dalam air.
Sambil meronta melaungkan pertolongan kerana merasakan seperti mahu lemas, ketika itu sudah tiada apa yang bermain di benak minda. Kalau ada pun, cuma merasakan sama ada itukah jalan penamatnya.
Namun, pengalaman terbenam ke dalam air hanya sekejap kerana penulis akhirnya berjaya membolos jeram berkenaan dan timbul semula di permukaan air sungai dengan selamat.
Semuanya hanyalah permainan minda. Apabila berhadapan dengan senario yang tidak biasa, perasaan takut dan panik mula menyelubungi diri walhal sebenarnya anda berada dalam keadaan terkawal kerana sudah memakai 'jaket keselamatan'.
Ternyata, perasaan teruja tatkala berjaya melepasi jeram semasa ekspedisi Fakulti Komunikasi dan Media (FCM) (Unisel) Tasik Banding/Eksplorasi Belum baru-baru ini, memberi seribu erti.
Justeru, kalau ada yang mempersoalkan sama ada penulis akan mencuba lagi, jawapannya adalah ya. Namun begitu, timbul juga persoalan mengenai keselamatan sukan air tersebut.
Saat awalnya, penulis memang komited tidak mahu mencuba kerana merasakan ia bagaikan satu sukan tidak selamat. Namun, perasaan teruja melihat anggota ekspedisi lengkap dengan jaket keselamatan dan bertopi keledar khas, menjentik minat sesiapa sahaja untuk turut serta.
Ditambah pula dengan air sungai yang jernih dan persekitaran menghijau, ia pasti menaikkan lagi semangat seseorang yang baru kali pertama mencuba.
Arus deras
Cabaran awal berakit bermula sebaik sahaja rakit dihanyutkan arus yang tidak terlalu kuat. Namun, itu baru peringkat awal.
ARUS deras dan landskap berbatu memberi halangan kepada peserta untuk melepasi jeram.
Bagaimanapun, saat mahu melepasi jeram kedua, minda peserta ekspedisi teruji apabila rakit yang dinaiki diasak arus deras dan sering berlanggar dengan bongkah besar.
Selain terdapat rakit yang terbalik, rakit yang dikendalikan penulis bersama beberapa peserta lain pula gagal meneruskan ekspedisi kerana telah patah dek dipukul arus deras yang menghempasnya pada bongkah batu di situ.
Perasaan cemas sudah tentu dirasai kerana kami tenggelam timbul di tengah-tengah jeram. Saat itu terfikir juga, biarpun memakai jaket keselamatan, tiada siapa boleh menduga bahaya lain yang boleh terjadi.
Begitupun, para jurulatih ekspedisi cekap menarik para peserta ke tepi jeram dengan menggunakan throwbag (tali kecemasan).
"Sukan air ini adalah aktiviti yang selamat. Sama ada sukan air itu adalah berakit atau berkayak di arus deras mahupun tubing, peserta perlulah sentiasa bersama jurulatih yang berpengalaman.
"Ini penting kerana jurulatih akan menganalisa dahulu sungai itu untuk mengetahui kawasan yang selamat untuk diadakan aktiviti. Selain itu, peserta perlu patuh pada penggunaan jaket keselamatan yang betul.
"Ramai orang yang memandang ringan akan pemakaian jaket keselamatan dan merasakan 'asalkan sudah pakai, sudah cukup'.
PERSEKITARAN yang damai dan menghijau ini adalah hadiah paling istimewa buat para pencinta alam di Taman Negeri Royal Belum.
"Namun, itu adalah salah kerana pemakaian jaket keselamatan yang betul adalah dengan mengikut saiz. Itu akan membantu anda daripada keadaan tidak diingini," kata Pengurus Outworld Training and Equipment, Haslil Razif Amir Hasan.
Cabaran
Ramai menyangkakan bahawa cabaran sungai tidaklah sehebat laut. Persepsi itu berdasarkan pada lautan bergelora berbanding sungai yang kelihatan tenang sahaja.
"Apabila bercakap mengenai sukan air, ia terdiri antara laut dan sungai. Laut juga mempunyai cabarannya tersendiri. Tetapi, kalau sungai, anda akan berhadapan dengan bongkah batu besar yang mungkin menyukarkan.
"Jeram juga pelbagai peringkat, tertinggi adalah peringkat enam. Ia (peringkat) bergantung kepada kelajuan air dan jumlah isipadu air.
"Selalunya, peserta yang menyertai ekspedisi begini akan dibenarkan mengharungi jeram sehingga peringkat tiga dan empat sahaja," katanya.
Bagi mereka yang mempunyai rasa ketakutan pada air, usah risau kerana latihan keyakinan dalam air (water confident) akan dilakukan sebelum mana-mana ekspedisi dimulakan.
Dengan berpakaian lengkap jaket keselamatan dan topi keledar khas, setiap peserta dikehendaki melepasi jeram secara individu sambil tangan dilapangkan.
Ini bukan sahaja untuk membiasakan peserta dengan penggunaan jaket keselamatan malah melatih diri dengan kedudukan tangan yang betul semasa melepasi jeram.
"Selalunya perasaan takut itu hanya pada awal ekspedisi. Tetapi, selepas mencuba sukan air ini, mereka terus teruja dan merancang untuk ekspedisi seterusnya," kata Haslil Razif. - Bernama
SUMBER-KOSMO
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan